Kenapa sayangi ibu hanya bermusim?

May 12, 2010 10:47 AM 2 comments

Share this Article

Author:

 

9 Mei 2010 yang lalu merupakan Hari Ibu. Sambutannya, walaupun bukanlah semeriah sambutan hari raya, tetapi sekurang-kurangnya telah berjaya mengingatkan anak-anak betapa pentingnya seorang ibu dalam kehidupan mereka. Ada yang berkata, tanpa ibu siapalah kita sebenarnya? Tidak akan terlahir seorang anak tanpa seorang ibu, tetapi anak akan lahir juga walaupun tanpa seorang bapa.

Kita mungkin masih ingat bagaimana lahirnya Nabi Isa a.s, walaupun tidak mempunyai bapa, ibunya Mariam telah melahirkan seorang anak lelaki yang kemudiannya menjadi seorang nabi dan petunjuk jalan kepada kehidupan beragama manusia. Penganut agama Kristian menganggap Nabi Isa a.s itu sebagai “anak tuhan”, dan kerana itulah pendekatan agama mereka berdasarkan kesatuan tiga nilai keimanan, iaitu Rahul Kudus, Tuhan Bapa dan Tuhan Anak.

Berbanding dengan Islam, kelahiran Nabi Muhamad s.a.w adalah cukup lengkap oleh satu pasangan hidup berkeluarga. Nabi Muhamad s.a.w mempunyai seorang ibu, iaitu Aminah binti Wahb daripada Bani Zuhrah dan seorang bapa, iaitu Abdullah bin Abdullah Mutalib dari bani Hashim. Kedua-dua bani itu, Hashim dan Zuhrah merupakan kabilah Quraisy. Kelahiran Nabi Muhammad saw sebagai anak yatim, ayahnya meninggal dalam misi dagang ke Syam dan dikebumikan di Madinah.

Nabi Muhammad saw membesar dalam lingkungan asuhan ibunya, begitu juga dengan Nabi Isa a.s. Asuhan ibu telah mencorakkan pola kehidupan dan dari asuhan ibulah seorang anak banyak belajar tentang erti kehidupan. Dedikasi seorang ibu menjadikan anak-anak merasakan dirinya lebih selamat dan menjadi lebih sukar bagi anak-anak yang membesar tanpa ibu.

Anak-anak yang membesar dalam asuhan bapa tidak dapat mewariskan pola budaya lemah lembut, kerana secara semulajadinya bapa itu berjiwa perkasa dan pelindung secara fizikal. Ibu tetap menjadi pelindung dan penyubur budaya dalam diri anak-anak seperti meyanyangi, memiliki perasaan halus, mengurus kekemasan diri dan mententeramkan kehidupan di rumah. Bapa banyak berfungsi di luar rumah, mendapatkan rezeki dan menyediakan keperluan kebendaan buat keluarga di samping sebagai pengawal kehidupan berkeluarga.

Mungkin peranan tradisi itu telah berubah disebabkan perubahan budaya dan cara berfikir  masyarakat setelah kosmos manusia berubah peranan. Seorang wanita yang bergelar ibu tidak lagi terperuk di rumah menjalankan peranan tradisi sebagai ibu, mengasuh anak-anak, memasak dan sebagainya, kerana ibu juga turut berperanan mencari rezeki sama ada sebagai membantu menambahkan pendapatan keluarga, atau kerana sayangkan kerjaya setelah sekian lama berusaha dan belajar untuk mencapainya.

Ibu pada masa sekarang menjadi lebih sibuk berbanding dengan zaman tradisi, manakala ada kecenderungan bapa bertukar peranan menjadi ibu semasa isteri berada di pejabat atau keluar mencari rezeki.  Sebagai house-husband, si bapa bukan sahaja akan melayan setiap masa tingkah laku anak-anak, malah turut menyediakan masakan untuk keluarga. Lelaki sedemikian kalau zaman tradisi dianggap sebagai dayus dan bacul, tetapi kini semakin berubah.

Persoalannya, kenapa hanya wanita sahaja dianggap sebagai ibu dan diberikan sambutan oleh anak-anak semasa meraikan hari ibu? Pada hari tersebut, sekurang-kurangnya anak perempuan akan menghantar sms mengucapkan “selamat hari ibu” atau menghantar kuntuman bunga sebagai penghargaan. Bagi yang mempunyai pendapatan dan berkerjaya akan membelikan sesuatu yang bernilai untuk mengingati “hari ibu” itu. Timbul juga pertanyaan lain, kenapakah hanyalah ketika itu sahaja ingatan anak-anak kepada seorang ibu menjadi kuat dan mahu mengucapkan kata sayang dan mendoakan kesejahteraan ibu?

Islam tidak melarang menyambut hari ibu atau hari bapa. Ini kerana Islam meletakkan prasyarat yang tinggi kepada setiap orang agar menghormati dan meyanyangi kedua ibu bapa mereka.  Namun, Islam memerintahkan agar seorang anak itu wajib mengasihi ibu dan bapanya sepanjang masa atau istiqamah. Bukan hanya pada hari tertentu sahaja kita kasih dan sayang pada ibu. Walaupun seorang anak merupakan seorang yang bekerjaya dan sibuk, mengingati ibu bapa sepanjang masa adalah tanggungjawab yang perlu dipenuhi.

Masyarakat Barat yang memulakan tradisi merayakan hari ibu atau hari bapa adalah kerana ingin mengimbangi kesibukan mereka dalam bekerjaya. Masyarakat Barat yang menggariskan corak kehidupan berdasarkan prinsip materialism atau dikenali juga dengan istilah selfish capitalism memisahkan diri mereka dengan kehidupan keluarga sepanjang masa bekerja. Semasa mereka melaksanakan tanggungjawab professional, dalam hati mereka kosongkan semuanya, kerana perkara-perkara yang diluar keperluan kerjaya itu dilihat sebagai penghalang.

Selepas sekian lama menghabiskan masa membina kerjaya dan melupakan perkara-perkara lain, mereka berusaha memperuntukkan masa yang khusus bagi bersama-sama meraikan hari ibu. Pada hari tersebut, mereka melayan ibu mereka dengan penuh kasih sayang dan menghadiahkan sesuatu sebagai penghargaan. Pada hari sambutan tersebut, anak-anak akan berkumpula mengadakan pelbagai majlis keraian termasuk makan bersama ataupun parti dan dansa, kerana itu adalah sebahagian daripada budaya mereka.

Ulama sepakat menyebut bahawa berbuat baik kepada ibu bapa adalah sebuah tanggungjawan yang dituntut oleh Islam. Ia adalah menyamai dengan mengerjakan solat fardhu lima kali sehari semalam. Kerana itulah ada riwayat yang mengatakan Nabi Muhamad saw pernah menahan seseorang yang begitu bersemangat untuk ke medan perang dengan meninggalkan seorang ibu yang tua dan sedang sakit. Pemuda tersebut diminta oleh Nabi Muhamad s.a.w supaya melupakan hasrat untuk ikut sama berperang, kerana berbakti kepada ibu yang tua dan sedang sakit juga merupakan satu bentuk jihad. Maknanya, berbakti kepada kedua orang tua bukanlah sesuatu yang bermusim dan boleh ditangguhkan, walaupun kedua ibu bapa itu bukan seorang muslim. Ketaatan dan menghormati mereka tetap menjadi tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Seorang lelaki datang berjumpa Nabi SAW, beliau meminta izin untuk berjihad, lalu Nabi s.a.w bertanya: “Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?” Beliau menjawab: “Ya”, Baginda SAW bersabda: “Maka kepada keduanyalah engkau berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapa…” (Luqman: 14)

Pada ayat seterusnya, dalam surah Luqman terdapat perkataan saahibhuma . Perkataan itu terbit dari kata asal, saahib yang bermaksud akrab atau rapat. Apabila rapat baru kita mengerti perasaan seseorang. Dalam perbendaharaan kata baru, ada mereka yang tidak dapat memahami makna akrab atau rapat, tetapi lebih memahami istilah intimate yang dipinjamkan dari bahasa Inggeris. Maksudnya adalah sama, menjelaskan tentang sebuah perhubungan yang rapat dan sentiasa terjalin kuat sama ada secara fizikal atau psikologi.

Apabila mendengar atau mendapat tahu tentang apa yang berlaku ke atasnya, secara otomatik perasaan mengambil tempat dan mendesak untuk cepat-cepat menemuinya. Kalaupun jaraknya berates kilometer, sekurang-kurangnya fikiran akan membuat pelbagai andaian dan mencari-cari kenalan terdekat yang boleh dihubungi bagi mendapatkan gambaran apa yang terjadi. Kemudahan teknologi membolehkan kita mengetahui dan bertindak dengan lebih cepat, kerana boleh mengetahuinya dalam masa sebenar atau beberapa minit kemudian.

Tetapi, adakah lagi pada zaman ini anak-anak yang sentiasa menjadikan ibu mereka sebagai ikon kasih sayang? Kita sering mendengar ada ibu merungut,  seorang ibu boleh menjaga 12 anak tetapi 12 anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. Ini sudah memberikan kita petanda, betapa seorang anak belum tentu boleh melayan tingkahlaku seorang ibu. Kita mungkin turut mengingatkan kembali bagaimana seorang ayah tidak pernah menjawab pertanyaan anaknya walaupun soalan yang sama diulang berkali-kali. Apabila anak menginjak dewasa, daya ingatan ibu bapa semakin pudar, interaksi yang hampir sama berlaku, tetapi kali ini orang tua lebih banyak membuat soalan secara berulang-ulang.

Ketika itulah kesabaran dan dedikasi seorang anak akan teruji. Di situlah sebenarnya Allah swt ingin menguji sejauhmanakah anak-anak menghormati orang tua mereka. Disitu Allah swt ingin menentukan keikhlasan dan kejujuran seorang anak. Syukurlah, jika anak-anak mampu memahami dan melayan karenah kedua orang tuan mereka. Disitulah sebenarnya kaitan antara keberkatan dan reda Allah kepada kita?

Reda Allah bagi seseorang anak bergantung kepada redanya ibu bapa kepada kita. Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Reda Allah terletak pada reda ibu bapa, kemarahan Allah juga terletak pada kemarahan ibu bapa.” (Riwayat Tirmidzi, dan disahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim)

Kehidupan tanpa restu atau reda ibu bapa, tidak akan mendapat rahmat Allah. Itulah ada peringatan bahawa setitis air mata kesedihan seorang ibu gugur kerana perilaku anak yang menyakitkan hati, menjadikan kehidupan seterusnya tidak mendapat ketenangan. Allah amat murka, sehingga tidak akan menjanjikan syurga bagi seorang anak yang menderhakai kedua orang tuanya.

Kita mungkin mempunyai banyak contoh, bagaimana seorang anak sanggup meninggalkan ibu bapanya kerana terpengaruh dengan cinta. Ramai juga anak gadis remaja hatta isteri orang sanggup “membuang keluarga” kerana ikutkan gelojak cinta. Setelah melarikan diri dan hidup berkeluarga beberapa lama, akhirnya sedar kehidupan mereka sebenarnya tidaklah sebahagia yang diharapkan.

Hujan tetap turun melanda, akhirnya sedar itulah akibat tidak mendapat restu ibu bapa. Beruntunglah jika saat kesedaran itu timbul, kedua orang tua masih ada. Bagaimana jika pada saat mengambil keputusan “meninggalkan keluarga”, kedua orang ibu bapa dilanda pelbagai musibah sehingga menyebabkan mereka meninggal tatkala penyesalan masih belum terbuka? Menangis sehingga keluar air mata darah sekalipun, kedua ibu bapa tidak dapat dihidupkan kembali.

Apa yang boleh kita lakukan ialah memohon kemaafan daripada roh mereka. Perbanyakkan doa dan memohonlah keampunan dari mereka, sebagai petanda bahawa kita sebenarnya sedang berusaha memperbetulkan kesilapan diri. Kita sebenarnya sedang berusaha kembali ke pangkal jalan, menimba pengalaman pahit dengan penuh keinsafan dan kesedaran.

Jadikanlah ia sebagai teladan, dan akuilah kesilapan tanpa rasa takut dan malu. Dari situlah sebenarnya kita akan mendapat kekuatan, kita mungkin boleh menyusun sebuah kehidupan yang lebih bermaka buat generasi seterusnya, atau memugarkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak kita agar tidak mengulangi kesilapan seperti itu.

Kita mungkin mempunyai kekayaan dan anak-anak yang pintar. Oleh kerana itu Allah swt sentiasa mengingatkan kita kepada istidraj. Dijelaskan mengenai cerita di kalangan firaun. Apabila  Allah swt mengistidrajkan hambanya-Nya, sebenarnya Allah swt bermaksud setiap kali hamba itu membuat atau menambah kesalahan maka setiap kali itulah juga Allah menambah atau membaharui nikmat-Nya ke atas hamba-hambaNya, dari situlah seseorang manusia akan merasakan dirinya  disayangi tetapi lupa memohon ampun.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat bahawa Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah s.w.t.” (Riwayat at-Tabrani, Ahmad, dan al-Baihaqi)

Maka menjaga ibu bapa yang sudah lanjut usia, melayani gerak hatinya yang bukan lagi boleh diramalkan dan tingkah laku berulang-ulang kepada suatu bentuk yang menghampiri kelupaan, adalah sesuatu yang amat mencabar.

Dalam hal ini,  Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Sentiasalah berdoa dan layanilah mereka dengan kasih sayang: “Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Israk: 23-24)

Mungkin juga kita boleh mengingatkan diri kita dengan memahami bagaimana siksanya seorang anak yang bernama Alqamah. Setelah mengalami kesakitan dan berada dalam keadaan nazak, amat sukar untuknya menyebut kalimah La Ilaha Illallah meskipun banyak orang telah mencuba .

Peristiwa ini kemudiannya diceritakan kepada Rasulullah s.a.w. Setelah mendengarkan cerita kepayahan itu, Nabi Muhamad s.a.w bergegas ke rumah Alqamah untuk membantu agar dia boleh menyebut kalimah tersebut. Kedatangan Rasulullah saw juga tidak dapat membantu, sehinggalah baginda bertanyakan sama ada Alqamah masih mempunyai ibu kandung atau tidak?

Mendengarkan pertanyaan tersebut, hadirin memberikan maklumat bahawa ibu kandung Alqamah masih hidup. Baginda meminta supaya dapat dicari ibu kandung Alqamah dan memintanya datang.  Setelah ibu kandung itu tiba, Rasulullah s.a.w bertanyakan sesuatu dan dari situlah diketahui bahawa kedua beranak itu tidak sehaluan. Namun si ibu tetap tida mahu memaafkan anaknya, kerana terlalu berkecil hati ke atas perbuatan Alqamah sebaik sahaja berkahwin.

Apabila ibu tidak sanggup mengampunkan kesalahan tersebut, Nabi Muhammad s.a.w memerintahkan hadirin mengumpul kayu bakar untuk membakar Alqamah. Tersintak hati seorang ibu apabila mendengarkan ada cadangan untuk membakar seorang anak yang sedang nazak. Atas kesedaran tidak sanggup melihat anak sendiri dibakar di depan mata, ibu kandung Alqamah akhirnya memaafkan kesalahan tersebut. Sebaik sahaja mendengarkan suara kemaafan, Alqamah dapat mengucapkan kalimah tauhid itu dan menarik nafas terakhir dengan tenang.

Gambaran itu jelas membayangkan, meninggalkan ibu dan bapa adalah satu bentuk perderhakaan. Selagi kedua ibu bapa tidak memaafkan kesalahan, seseorang anak bukan sahaja tidak mendapat keberkatan dalam hidup, malah saat-saat kematiannya juga amat menyeksakan. Mengingati dan menyayangi ibu bapa bukanlah ingatan yang bermusim seperti masyarakat Barat meraikannya.

Islam menuntut tanggungjawab kepada ibu bapa dilaksanakan sepanjang masa apatah semasa keduanya masih hidup, dan setelah kedua mereka meninggal dunia, anak-anak diharapkan akan terus berbakti dengan berdoa dan menyedekahkan al-Fatihah agar diterima di sisi-Nya sebagai hamba yang saleh.  Ingat, jangan jadi kacang lupakan kulit. Amin, wallahu aklam.

Oleh MONOSIN SOBRI

2 Comments

  • Assalamu’alaykum wa rahmatullah…
    Di negeri kami ini, Indonesia, hari ibu ditetapkan pemerintah tiap 2 Mei.
    Sebagian muslim di negeri ini, terutama di Jakarta dan di pesantren-pesantren di Jawa, ada yang tidak merasa perlu untuk merayakannya. Diantaranya ada yang beralasan bahwa tidak perlu taat kepada umara (pemerintah) didalam bermaksiat kepada Allah swt. Oleh karena itu, bagi sebagian kaum muslimin di negeri ini, dalam jumlah yang tidak signifikan, setiap hari adalah hari ibu. Setiap hari adalah hari untuk berbakti kepada ibu.
    Jazakallah khairan.

Leave a Reply