Islam teras perpaduan

May 25, 2010 12:49 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Secara umumnya, mengikut perspektif Islam, perpaduan terjalin melalui dua ikatan, iaitu  perpaduan sesama anggota masyarakat, dan perpaduan antara kaum Muslimin.

Perpaduan juga dapat dilihat daripada dua jurusan atau dimensi, iaitu, pertama: perpaduan luaran yang tergambar sebagai kerukunan muafakat, memperteguh suasana sosiopolitik negara demi kepentingan bersama. Kedua: perpaduan yang jauh lebih asasi, iaitu kesatuan dalaman yang terzahir sebagai pautan kejiwaan dan kerohanian.

Pengertian perpaduan mengikut dimensi atau jurusan pertama adalah merujuk kepada kerukunan politik kerana mereka mempunyai kepentingan umum seperti menetap di negara yang sama. Oleh kerana mereka lahir di tanah tumpah darah yang sama, maka mereka pun menjadi warganegara yang sama. Jika dibandingkan antara satu wilayah dengan wilayah yang lain, ia adalah perpaduan sosial sesebuah masyarakat yang serupa dari segi pembawaannya, warna kulitnya, budayanya dan bahasa pertuturannya.

Usaha untuk menyatukan bangsa Melayu dan umat Islam oleh ahli-ahli politik dalam negara ini merupakan satu kegiatan yang baik dan perlu dialu-alukan. Perpecahan umat Islam akibat perbezaan dan ideologi politik merupakan salah satu faktor yang boleh melemahkan kekuatan Islam dalam negara ini.

Kemenangan dan kejayaan itu hanya akan datang apabila terciptanya perpaduan di antara yang memimpin dengan yang dipimpin. Dan kerana itulah, Rasulullah s.a.w pun menegaskan, “bahawa orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”.

Peri pentingnya kesatuan ummah itu dapat diselaraskan dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka, menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya.” (Ali-Imran: 103)

Nikmat yang dimaksudkan menerusi ayat tersebut ialah Islam – di mana yang menyebut Islam itu sebagai nikmat (yang membuat manusia bersaudara) bukan ahli tafsir atau ulama mana-mana pun, tetapi Allah s.w.t sendiri.

ANTARA CATATAN SEJARAH

Masyarakat Madinah – generasi pertama Islam telah diakui oleh dunia sebagai masyarakat yang bersatu padu, masyarakat par excellence. Ketika itu Islam mampu memupuk perpaduan dalam kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara.

Dalam menjalinkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam pula, model negara Islam Madinah pimpinan Rasulullah s.a.w perlu dijadikan contoh. Sebagaimana pada awal-awal hijrah, orang-orang Islam merupakan golongan minoriti berbanding dengan penganut Kristian dan Yahudi yang mendominasi Madinah ketika itu. Namun melalui penonjolan akhlak dan moral yang terpancar dalam bentuk teori dan praktikal, ditambah dengan keadilan pemerintahan dan pengurusan Islam yang disesuaikan dengan masyarakat majmuk ketika itu, maka tertegak akhirnya sebuah negara yang kuat, aman dan damai, bersatu padu di bawah pimpinan Nabi Muhammad s.a.w.

Pendekatan ini diperkukuhkan melalui tindakan, seperti pembinaan masjid sebagai institusi sosial. Masjid Nabawi dan Masjid Quba’ adalah model institusi terawal Islam dalam menjana perpaduan. Masjid bukan setakat berfungsi sebagai tempat menunaikan solat semata-mata, malah berperanan sebagai lokasi strategik untuk baginda menyusun dan membentuk masyarakatnya, membangunkan aqidah umat Islam, melaksanakan urusan syariah dan menjalinkan hubungan sesama rakyat melalui akhlak yang mulia.

Nabi Muhammad s.a.w  juga mengambil langkah mempersaudarakan umat Islam menerusi ikatan ukhwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khazraj yang sedemikian lama bersengketa telah telah berjaya didamaikan.

Persefahaman ini mampu dipatuhi oleh semua ahli masyarakat tanpa membezakan kaum, bangsa dan agama. Sama-sama berganding bahu mentaatainya sebagai langkah membentuk kesatuan ummah dan perpaduan kaum di Madinah.

Rasulullah s.a.w memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan yang menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah. Ini terbukti apabila Baginda ditanya oleh seorang sahabat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ayub Al-Ansari dalam hadisnya yang bermaksud:

” …Ya!, Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku, amal yang akan memasukkan aku ke dalam syurga. Maka sabda Rasulullah s.a.w: ‘Engkau beribadah kepada Allah S.W.T dan tidak menasyrikkannya dengan sesuatu, mendirikan solat, membayar zakat dan menghubungkan persaudaraan.’”

Jika ditelusuri sejarah, kita akan dapati bahawa tindakan afirmatif yang menjamin kestabilan dan kerukunan masyarakat berbilang kaum bukanlah asing dalam Islam. Pendekatan afirmatif dalam pengagihan kekayaan turut dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai ketua negara yang mentadbir pelbagai kelompok di Madinah yang berlainan agama, bangsa, puak dan keturunan.  

Umpamanya, dalam peristiwa pembahagian harta Al-Fai’, iaitu hasil rampasan yang diterima tanpa berperang kepunyaan Bani Nadhir, Rasulullah turut menggunakan pendekatan afirmatif secara bijaksana. Dalam pembahagian tersebut, Rasulullah hanya memperuntukkan harta tersebut kepada puak Muhajirin (para penghijrah dari kota Mekah) tanpa diberikan kepada puak Ansar (penduduk asal Madinah) melainkan kepada dua orang Ansar yang memang miskin.

Selaku ketua negara, Rasulullah menggunakan kebijaksanaan politik dalam pembahagian ini dengan mengambil kira keadaan masyarakat Muhajirin yang meninggalkan segala kekayaan dan harta benda mereka di Mekah demi tuntutan hijrah. Sedangkan puak Ansar memiliki limpahan kekayaan di Madinah hingga wujud ketidakseimbangan ekonomi antara Ansar dan Muhajirin.

Pendekatan afirmatif ekonomi Rasulullah yang bertujuan mengurangkan jurang kekayaan antara Ansar dan Muhajirin ini turut mendapat restu Allah apabila ayat al-Quran (al-Hasyr: 7) khusus diturunkan memperakui tindakan Nabi s.a.w.

Ini adalah sebahagian daripada coretan sejarah yang membuktikan betapa pentingnya kebijaksanaan dalam merencana strategi dan pendekatan terbaik bagi memastikan keharmonian hidup masyarakat berbilang latar belakang dan keupayaan. Apa yang penting sebarang unsur yang boleh meruntuhkan perpaduan di kalangan masyarakat harus dihapuskan.

Di sinilah pentingnya sejarah yang harus difahami dan kembali ditelaah oleh generasi pewaris negara agar lebih menghayati dan menghargai suasana kehormonian kaum yang wujud, sekali gus memaksa semua pihak bertolak ansur dan bersifat berlapang dada antara satu sama lain.

Usahlah kerana ideologi politik yang sempit, kita sanggup membakar jambatan perpaduan yang telah lama terbina. Usahlah hanya kerana kepentingan jangka pendek untuk berkuasa, kita sanggup meleburkan semangat perpaduan yang menjadi teras perpaduan masyarakat dan keharmonian negara.

Masyarakat yang menjiwai makna kesatuan adalah masyarakat yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain. Masyarakat yang mengerti mahalnya harga perpaduan tidak akan membuat tuntutan yang bukan-bukan atau mencetuskan riak-riak permusuhan. Sebaliknya, masyarakat yang cintakan perpaduan dan keamanan adalah masyarakat yang akan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan kelompok dan kepartian.

Sesungguhnya kesejahteraan negara menuntut keikhlasan dan komitmen semua pihak dalam memastikan semangat perpaduan dan kesefahaman antara kaum terus segar. Hanya melalui semangat inilah masyarakat Malaysia mampu terus hidup dalam suasana negara yang aman dan harmonis.

Sejarah juga telah mencatatkan bahawa peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w hampir mencetuskan pergaduhan sesama muslim sehingga Umar mengambil inisiatif dengan tegas meminta semuanya bersetuju melantik Abu Bakar sebagai pengganti Rasulullah s.a.w.

Demikianlah seterusnya suasana tidak aman dan konflik timbul di kalangan umat Islam pada zaman pemerintahan Uthman dan Ali. Dan kalau kembali pada surah aI-Hujuraat ayat 9, ajaran tentang ukuran yang seharusnya dilakukan untuk menyelesaikan konflik, di mana Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah, jika ia kembali patuh, maka damaikanlah di antara keduanya dengan dengan adil (menurut hukum Allah), sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Daripada Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah r.a, “Kami telah dinasihati  Rasulullah s.a.w akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarkannya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali, maka berilah pesanan kepada kami.” Lalu baginda pun bersabda, “Aku berwasiat kepada kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan para Khulafah Ar-Rasyidin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bidaah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bidaah itu adalah sesat.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang amat berharga daripada Rasulullah s.a.w bagi umatnya, terutama apabila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan perselisihan. Oleh hal yang demikian itu, sesiapa yang mahu selamat, maka hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis, iaitu:

Pertama: Hendaklah ia melazimi takwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Kedua: Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum Muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w dan contoh teladan daripada Khulafa Ar-Rasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w.

Ketiga:  Berpegang teguh kepada sunnah Nabi s.a.w dan contoh teladan daripada Khulafa Ar-Rasyidin (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali) yang mana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah Taala.

Keempat: Menjauhi perkara-perkara bidaah dholalah, iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama. Sekiranya ada asal / asas atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baru itu dikatakan bidaah menurut pengertian syarak (bukan bidaah dholalah) tetapi hanya dinamakan bidaah menurut pengertian loghat atau bahasa sahaja (jaitulab bidaah hasanah).

Perpaduan dan penyatuan umat Islam merupakan asas kekuatan umat Islam dan ini telah dibuktikan dalam peristiwa Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadan di mana umat Islam telah diberikan kemenangan dan dibantu oleh Allah walaupun bilangan pihak musuh, Quraisy, lebih ramai daripada umat Islam ketika itu.

ANTARA HALANGAN

Dalam mencapai perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara, manusia tidak terlepas dari menghadapi rintangan dan halangan. Halangan-halangan itu ada yang berpunca dari dalam diri seseorang individu itu sendiri. Sifat sombong dan bangga diri sendiri sering menjadi penghalang utama bagi seseorang untuk menerima pendapat atau buah fikiran orang lain. Sikap ini akan mendorong berlakunya keretakan dan perpecahan dalam masyarakat. Sikap sombong sering membawa individu atau kumpulan melakukan keganasan dan kekerasan kepada orang lain.

Berlaku tidak jujur atau bersifat keras terhadap orang lain sering menimbulkan rasa tidak puas hati dan dendam antara sesama manusia, lebih-lebih lagi antara yang memerintah dengan yang diperintah. Perbuatan keras akan merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan Muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayainya dan tidak boleh menyerahkannya (kepada musuhnya)…”
Perbuatan suka mengintip dan menyebarkan keburukan orang lain juga merupakan punca yang menghalang perpaduan. Sesungguhnya tidak ada sesiapa yang suka dirinya diintip dan juga tidak rela apa jua keburukannya didedah dan dihebahkan yang boleh menjatuhkan maruah dan air mukanya. Islam memberi perhatian tentang perbuatan keji seumpama ini. Dalam hubungan ini, Allah dan Rasul-Nya mengingatkan umat Islam supaya menjauhi perbuatan intip mengintip dan mengumpat keji sesama sendiri. Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah setengah kamu mengumpat akan setengah yang lain…”  (al-Hujurat : 12)

Perbuatan suka menghina dan merendah-rendahkan orang lain dengan memberi gelaran-gelaran yang hina juga adalah faktor penghalang perpaduan yang utama dalam masyarakat umat Islam hari ini termasuklah di kalangan umat Islam di Malaysia. Nama-nama serta gelaran yang buruk ini lebih ketara dalam ucapan ahli-ahli politik ketika memburuk-burukkan lawannya (contohnya: musim kempen pilihan raya) termasuklah ucapan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang-pejuang Islam tulen. Gelaran-gelaran sebagai ‘thghut’, ‘firaun’ dan sebagainya sering diberikan kepada individu atau pihak-pihak tertentu. Berkenaan hal ini, antara lain Allah berfirman yang bermaksud:

“…Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk..” (al-Hujurat: 11)

PEDOMAN UNTUK MELAYU-ISLAM

Justeru, pedoman daripada Islam, khususnya al-Quran dan al-Sunnah perlu difahami dan dipraktikkan seberapa yang boleh. Contohnya:

  1. Umat Melayu-Islam perlu bermuzakarah apabila berselisih, dan kembali kepada al-Quran, jika mereka beriman. (Perhatian: kembali kepada al-Quran bermaksud sama-sama bersetuju dengan sebarang resolusi yang bakal diputuskan hasil daripada muzakarah bersama, yakni bukan di peringkat pemimpin, tetapi seluruh wakil ummah);
  2. Umat Melayu-Islam perlu percaya dan yakin, bahawa bangsa Melayu adalah ciptaan Allah s.w.t dan bukannya seperti yang didongengkan dalam mitos bangsa, atau penemuan saintifik yang belum kesudahan;
  3. Umat Melayu-Islam perlu percaya dan yakin bahawa mereka telah dianugerahkan (diamanahkan) sebuah wilayah eksklusif, yakni Tanah Melayu, sama seperti Cina dengan benua Chinanya, atau India dengan sub-continentnya India, dan sebagainya;
  4. Umat Melayu-Islam perlu jelas bahawa sungguhpun ada dari kalangan mereka berdarah campuran dari Arab, Cina, atau India, dan sebagainya, namun ini tidak bermakna mereka dari Arab, Cina atau India. Adat resam merekalah yang menentukan percampuran ini diizinkan dan tetap dikira sebagai Melayu. Tatacara Melayu menentukan segalanya;
  5. Umat Melayu-Islam perlu yakin bahawa Islam tidak menyanggahi pertubuhan yang berasaskan kaum atau bangsa, dan tidak semestinya bersifat perkauman seperti golongan Nazi, Ku Klux Klan dan sebagainya, termasuklah yang terkini, kaum Serbia;
  6. Umat Melayu-Islam perlu memahami panduan asasi Islam tentang saling berkenalan dan menghormati antara kaum yang berbeza-beza, supaya tidak melampaui garisan ini sehingga menyerahkan tanah air, kuasa, ketua kepada kaum asing tanpa pengawasan yang sewajarnya;
  7. Umat Melayu-Islam perlu mencontohi kaum Ansar yang mengenali dan menghormati golongan pendatang – Muhajirin, yang terdiri dari pelbagai kaum etnik Arab - yang seagama, dan sama-sama bersatu bila berhubungan atau berkomunikasi dengan kaum lain, yang juga penduduk setempat tetapi tidak seagama.

Leave a Reply


Topik Lain

  • Berita Dunia Islam

    Berebut jadi Presiden Iran

    Persaingan menggantikan Mahmoud Ahamadinejad (gambar kecil) sebagai Presiden semakin panas di Iran, ini berikutan sokongan sebuah kumpulan berpengaruh kepada Ali Akbar Velayati, seorang daripada lapan calon untuk jawatan itu. Seorang lagi calon, Hasan Rowhani menjanjikan hubungan lebih baik dengan masyarakat antarabangsa. Kita tidak akan benarkan dasar lapan tahun lalu diteruskan” Rowhani Agensi berita Mehr melaporkan, majoriti ahli Persatuan Cendekiawan Islam Qom memberi sokongan kepada Velayati selepas mengadakan mesyuarat semalam. Ia dimaklumkan oleh ketua anggota persatuan itu, Ayatollah Mohammad Yazdi, bekas [...]

    Read more →
  • Berita

    Tiada Laporan Elektrik Terputus – SPR

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan bahawa tidak wujud dakwaan bekalan elektrik terputus pada 5 Mei lalu dan mendakwa penganjuran perhimpunan haram oleh pembangkang hanya bertujuan mencemar nama suruhanjaya itu. Malah Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata perhimpunan yang dikenali sebagai ‘Black505′ merupakan satu penghinaan terhadap sistem pilihan raya demokrasi di negara ini. Tambah beliau SPR sedang mendapatkan nasihat perundangan bagi membolehkan pihaknya bertindak terhadap mereka yang mencemar nama suruhanjaya itu untuk kepentingan politik murahan. Beliau membidas Ketua [...]

    Read more →
  • Artikel Thailand tegas kuat kuasa lese majeste

    Thailand tegas kuat kuasa lese majeste

    DILAHIRKAN di Thailand, namun Joe Gordon menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai rumah pertamanya. Pilihan itu membolehkan Gordon, 56, menerima kerakyatan AS dengan mudah, apatah lagi dia telah menetap di negara itu selama lebih 30 tahun. Barangkali apabila telah terlalu lama mengikut acuan Barat, Gordon atau nama aslinya, Lerpong Wichaikammart, lupa asal usulnya atau hilang semangat orang Asia yang selama ini menjunjung tinggi budaya dan adat resam terutamanya dalam soal institusi beraja. Mungkin fikiran moden dan keterbukaan Gordon membuatkan dia memilih [...]

    Read more →
  • Berita Seorang Lagi Penceroboh Lahad Datu Berdepan Hukuman Mati

    Seorang Lagi Penceroboh Lahad Datu Berdepan Hukuman Mati

    Seorang lagi lelaki yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada Februari lepas berdepan hukuman mati selepas dia didakwa di Mahkamah Tinggi di sini kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong. Totoh Hismullah dituduh melakukan kesalahan itu dari 9 Februari 2013 hingga 29 Mac 2013 di Kampung Simunul, Semporna, mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan. Dia turut didakwa menurut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana menjadi anggota kumpulan pengganas dan boleh dihukum penjara seumur hidup dan boleh didenda. Pendakwaan dilakukan [...]

    Read more →
  • Makalah Pilihan Melissa Gooi? Oh Kenapa Jadi Begitu?

    Melissa Gooi? Oh Kenapa Jadi Begitu?

    Saya tidak kenal siapakah wanita keturunan Cina bernama Melissa Gooi, tapi namanya menjadi sebutan ramai ekoran komen yang dikatakan menghina Yang di-Pertuan Agong dalam akaun facebooknya. Ekoran komen itu, Melissa terpaksa bersembunyi beberapa hari ketakutan sehingga beliau ditangkap dan kemudiannya dilepaskan oleh pihak polis setelah kenyataannya direkodkan. Beberapa orang lagi sedang dicari polis untuk direkodkan kenyataannya. Sebenarnya bukan Melissa seorang yang dikatakan menghina Agong, bahkan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 6 Jun 2013 mendedahkan menurut pengendali blog Kedah Ke KL (http://kedahkl.blogspot.com) [...]

    Read more →
  • Global Perang Sektarian di Ambang Pintu?

    Perang Sektarian di Ambang Pintu?

    BARANGKALI di era al-Rabei al-Arabi (Arab Spring) ini, Israel tidak perlu bersusah-payah melakukan provokasi untuk menyulut perang sektarian di kawasan, pasalanya krisis Suriah yang berlarut-larut semakin membuka lebar meletusnya perang sektarian. Betapa tidak, masker gerakan perlawanan seperti Hizbullah benar-benar telah terkuak di mata publik Arab sebagai gerakan yang ternyata mengusung kepentingan aliran tertentu di kawasan. Sebelum lebih jauh menyelami peran gerakan yang konon paling ditakuti Israel itu, mari kita mengilasbalik terlebih dahulu perang musim panas tahun 2006 antara Hizbullah dan [...]

    Read more →
  • Paparan Khas Masa depan BM, BI?

    Masa depan BM, BI?

    Terlintas juga dalam hati kecil saya kemungkinan satu hari negara tunggal Melayu ini juga batu nisan Bahasa Melayu! Ada orang British juga Amerika berpendapat United Kingdom dan Amerika Syarikat satu ketika kemuka akan jadi pusara Bahasa Inggeris! Mereka yang terganggu memikirkan masa depan kedua bahasa (BM, BI) berasa tidak mustahil itu berlaku. Sebabnya: bagi kita walaupun Bahasa Melayu bahasa kebangsaan, bahasa rasmi tunggal nampaknya ia terus terpinggir. Orang British dan Amerika pula nampak bahasa mereka akan menjadi bahasa pasar bukan [...]

    Read more →
  • Berita Najib Gesa Kerjasama Antara Negara Asia Hadapi 3 Cabaran

    Najib Gesa Kerjasama Antara Negara Asia Hadapi 3 Cabaran

    Negara-negara Asia digesa bekerjasama dalam menangani tiga cabaran utama iaitu perubahan iklim, konflik dan pembangunan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat. Dalam menyentuh perkara ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiga cabaran tersebut akan menguji keupayaan Asia untuk berdiri bersama-sama sebagai satu unit dengan komitmen untuk bekerjasama, pelaburan masa, sumber dan iltizam politik. “Saya percaya kita akan melakukannya. Saya percaya dalam potensi Asia. Saya percaya dalam keupayaan Asia untuk [...]

    Read more →
  • Berita Dunia Islam Starbucks Hong Kong Guna Air Kumbahan Bancuh Kopi (dan 6 berita lain)

    Starbucks Hong Kong Guna Air Kumbahan Bancuh Kopi (dan 6 berita lain)

    Starbucks Hong Kong Guna Air Kumbahan Bancuh Kopi Pendedahan sebuah media tempatan Hong Kong mengenai salah sebuah cawangan francais Starbucks di kepulauan bekas tanah jajahan British telah menggunakan air kumbahan untuk membancuh kopi yang dipesan oleh pelanggannya. Akhbar Apple Daily turut menyiarkan sekeping gambar yang dirakamkan di sebuah cawangan Strabucks di Menara Bank China di mana seorang kakitangan telah mengambil air dari sebuah paip yang tertera “Starbucks Only”, yang terletak berhampiran tandas lelaki. Menurut laporan UPI, wakil Jabatan Makanan Higenik [...]

    Read more →
  • Ensiklopedia Kiai

    Kiai

    Gelaran kehormat yang diberikan masyarakat terutama di Indonesia kepada seorang ahli agama Islam disebut kiai. Dahulu, seseorang dipanggil kiai jika beliau memimpin sesebuah pondok pengajian dan mengajarkan agama Islam kepada muridnya, tetapi sekarang banyak ulama berpengaruh disebut kiai, meskipun tidak memimpin pondok pengajian. Di beberapa daerah di Indonesia, masyarakat menyebut kiai dengan istilah mereka sendiri. Di Jawa Barat, misalnya, kiai disebut Ajeungan, di Lombok disebut Tuan Guru sementara di Aceh disebut Teungku. Di Malaysia golongan ini dipanggil sebagai Tuan Guru. [...]

    Read more →