Dialog ke arah kesejahteraan

April 21, 2010 9:26 AM 0 comments

Share this Article

Author:

Penganjuran dialog antara agama sememangnya menjadi salah satu program yang memenuhi kalendar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Sejajar dengan matlamat penubuhannya, adalah menjadi tugas institut itu memberi kefahaman kepada pelbagai pihak tentang Islam dan membetulkan fahaman sempit yang masih membelenggu umat Islam itu sendiri.

Ketua Pengarah IKIM, DATUK NIK MUSTAPHA NIK HASSAN (foto) menarik perhatian tentang dialog antara agama yang pernah dianjurkan institut itu yang menurut beliau sememangnya mendapat sambutan di kalangan orang Islam dan bukan Islam.

Beliau percaya untuk membolehkan dialog antara agama dilaksanakan, umat Islam mesti mempunyai keyakinan diri yang tinggi agar setiap perkara yang dibangkitkan semasa dialog dapat diberi penjelasan dengan berkesan.

Dalam pertemuan dengan NORAINI ABD. RAZAK dan HAFIZAHRIL HAMID, beliau turut menepis kebimbangan umat Islam tentang penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama yang menurut Nik Mustapa sama sekali tidak akan meminggirkan peruntukan Perlembagaan.

Katanya, kedudukan Islam tetap terpelihara dan apa juga jawatankuasa antara agama atau dialog antara agama yang dianjurkan oleh mana-mana pihak tidak akan sama sekali menggugat Islam sebagai agama rasmi di negara ini. Beliau turut menyeru umat Islam supaya berfikiran terbuka, meningkatkan keyakinan diri dan bersedia berhadapan dengan apa juga persoalan yang dibangkitkan oleh bukan Islam menerusi ilmu dan bukannya berasaskan emosi semata-mata.

Bagaimana Datuk melihat soal penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama?

Dari sudut IKIM, isu pertama bagi saya adalah pemahaman tentang Islam di kalangan masyarakat itu sendiri. Kita mahu pemikiran mereka lebih ke hadapan dan berada di arus perdana. Kita tidak boleh memencilkan diri daripada hakikat. Selain itu kita juga tidak boleh hanya merasai kelebihan di kalangan kita. Kemelut yang dihadapi masyarakat dunia bukan sahaja di kalangan orang Islam dengan pelbagai masalah seperti perceraian, institusi perkahwinan ditolak dan pembuangan bayi. Oleh itu yang menjadi penyelamat kepada manusia pastinya agama dan kita meyakini Islam adalah yang terbaik. Kalau kita mahu memartabatkan Islam melalui cara yang dimainkan oleh IKIM hanya melalui ilmiah. Sama ada orang terima atau tidak itu soal lain. Pertama kalau kita mahu melaksanakannya kita perlukan keyakinan dari segi ilmu dan kedua baru diterjemah kepada dasar. Maka baru kita melaksanakan dari segi dasar dan ia perlu tepat. Ini bukan sesuatu yang mudah.

Bagi saya apa yang telah dilakukan oleh IKIM adalah yang terbaik dalam berkongsi dan menyampaikan maklumat kepada semua kaum di negara ini. Banyak dialog antara agama yang sudah dianjurkan oleh IKIM.

Dialog sebegini haruslah dilakukan dalam dua hala atau pelbagai hala. IKIM adalah sebuah badan pemikir dan apa yang dilakukan oleh pihak kami dalam melaksanakan dialog antara agama adalah perlu kerana kita tidak boleh mengongkong orang dari memberikan pandangan. Apa guna kita mewujudkan badan tertentu jika hanya untuk mengiakan pandangan yang diberi. Itu tidak betul. Kita mesti dibenarkan untuk memberi pandangan sama ada orang bersetuju atau tidak itu soal lain.

Apa yang penting adalah keharmonian di kalangan masyarakat majmuk di negara ini dikekalkan.

Sepanjang menganjurkan dialog antara agama, bagaimana penerimaan pihak-pihak yang terlibat?

Setakat ini semua pihak menerima baik dialog yang dianjurkan. Memang ada ketikanya kita ditanya dengan pelbagai soalan panas namun kita perlu sedar jika kita cukup ilmu kita mampu berhujah dan memberi pandangan yang membina bukan dengan emosi. Masyarakat kita ini hanya melihat agama dari sudut dan perspektif kecil. Agama hanya dilihat dari sudut hukum walhal agama itu sebenarnya menyusun kehidupan. Kita perlu melihat dari konteks yang lebih luas. Kita perlu mendengar dan saling memahami sama ada kita bersetuju atau tidak itu soal lain. Jika kita lihat dengan lebih mendalam Islam itu sendiri berbentuk sebegitu. Jika kita lihat pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda mewujudkan Piagam Madinah untuk menyusun masyarakat yang pelbagai ras dan kepercayaan. Golongan Yahudi sendiri berjumlah 49 peratus dan orang Arab yang bukan Islam pun ramai. Terdapat 52 artikel dalam piagam itu yang adil untuk semua. Maknanya di situ Rasulullah s.a.w memahami senario ketika itu dari segi budaya, ekonomi dan politik. Perbincangan dengan masyarakat bukan Islam juga diadakan, baru Rasulullah mewujudkan piagam itu. Barulah dapat diwujudkan satu masyarakat yang mendapat rahmat dari Allah kerana mendokong keadilan dan kebenaran serta kasih sayang di antara semua. Kenapa kita perlu menyempitkan Islam sekarang. Agama ini untuk semua manusia. Al-Quran itu adalah panduan untuk semua manusia. Dialog perlu tetapi bentuk bagaimana ia perlu dilakukan. Pertama kita perlu bersetuju tentang perbezaan tentang ketuhanan atau teologi. Jika tidak kita tidak nampak perbezaan antara agama. Akidah kita berbeza begitu juga keturunan. Kristian percaya kepada trinity manakala Islam percaya pada Allah yang satu, perlu ada persetujuan dalam soal ketuhanan dan kepercayaan dan ia perlu diakui. Namun kita juga perlu mengiktiraf kepercayaan mereka serta menghormati mereka. Tetapi kalau kita hendak membincangkan soal ketuhanan masing-masing, itu boleh kita adakan perbincangan secara tertutup di kalangan orang ilmuwan. Takkan orang awam hendak bercakap tentang konsep ketuhanan seperti trinity, konsep tauhid dan sebagainya kerana mereka tidak begitu faham. Maka perbincangan secara ilmiah boleh dilakukan secara tertutup tentang perkara ini. Kalau mereka yakin tentang ajaran dan kehebatan Islam mungkin akhirnya mereka mendapat hidayah untuk memeluk Islam.

Mungkin ada perkara yang boleh kita bincangkan dan ada yang tidak boleh?

Dalam konteks masyarakat kita dari segi kesamaan atau keselarian agama tentang soal-soal yang boleh dikongsi bersama seperti dalam hal institusi keluarga, tidak ada agama yang tidak mengiktiraf institusi keluarga. Namun kerana pengaruh sekularisme Barat ramai yang beragama Kristian terpaksa menerima perkara seperti berkesedudukan dan pelbagai lagi. Mereka menerima budaya bebas seperti ini sebagai cara hidup yang diamalkan. Ini kerana falsafah hidup mereka sangat menuntut kebebasan dalam kehidupan dan tidak mahu ada kongkongan. Bagi mereka kebebasan ini yang membentuk kreativiti tetapi akhirnya membawa kepincangan dalam masyarakat.

Kalau diikutkan bagaimana Barat maksudkan dengan konsep keluarga. Kalau hidup berkesedudukan bagaimana kita hendak mendefinasikan keluarga apatah lagi jika mereka melahirkan anak yang kemudiannya tidak pernah berjumpa dengan ibu atau bapanya. Dari sudut psikologi generasi sebegini mungkin tidak diiktiraf dan kemudiannya tidak mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Jika perkara sebegini berterusan ia akan terus menyumbang masalah dan ini yang berlaku di dalam negara kita. Perkara sebegini perlu kita bawa berbincang dan berdialog di dalam masyarakat berbilang kaum supaya konsep keluarga yang dimahukan di negara ini jelas.

Jadi kita perlu memberi kefahaman tentang perkara sebegini dan kita boleh berkongsi jika jika dialog antara agama diadakan. Contohnya kita perlu sama-sama memahami bahawa institusi perkahwinan sama ada Kristian, Hindu dan sebagainya perlu dihormati. Kita tidak boleh biarkan kehidupan bersama sebelum berkahwin menjadi budaya yang akhirnya membawa keburukan dalam masyarakat. Begitu juga dalam perkara seperti dadah, jenayah dan sebagainya tidak ada agama yang membenarkan kegiatan seperti ini. Banyak perkara yang boleh kita boleh berkongsi bersama jika kita menganjurkan dialog seperti yang IKIM lakukan. Kita membina sebuah negara bangsa memandangkan kita sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

IKIM sendiri telah menganjurkan pelbagai dialog antara agama tetapi di kalangan masyarakat Islam tidak boleh menerima jawatankuasa begini?

Pada pandangan saya mereka tidak begitu memahami. Sebenarnya jawatankuasa itu membincangkan tentang perkara-perkara yang masih menghormati Perlembagaan. Bila kita bincang perkara seperti ini kita tidak boleh lari daripada yang ditetapkan dalam Perlembagaan seperti Perkara 3 Islam adalah Agama Persekutuan. Maknanya agama-agama lain perlu menghormati perkara yang telah termaktub. Perkara 11(4) iaitu agama-agama lain tidak boleh disebar kepada orang Islam. Adalah jelas Perlembagaan Malaysia adalah untuk penduduk negara ini dan Piagam Madinah adalah untuk penduduk di sana.

Kalau kita tidak mendukung keluhuran Perlembagaan maka kita akan jadi sebuah masyarakat yang huru-hara. Apa lagi yang menjadi teras kepada masyarakat jika Perlembagaan tidak dihormati kerana ia merupakan sebuah perjanjian dan penggubalan Perlembagaan ketika ia dibuat adalah berlandaskan senario ketika itu seperti kontrak sosial. Saya tidak faham kenapa masyarakat sekarang ini tidak memahami Perlembagaan dan kontrak sosial. Mengapa sistem pendidikan kita gagal membina masyarakat yang faham tentang Perlembagaan, kerana perkara sebegini perlu difahami. Kita tidak boleh membandingkan dengan negara-negara lain kerana mereka berbeza. Contohnya di Amerika Syarikat (AS) tidak boleh diletakkan Islam dari sudut Perlembagaan negara mereka kerana mereka berbeza. Perkara ini perlu kita fahami dan kita juga perlu memberi kefahaman kepada masyarakat supaya mereka jelas. Kita perlu lebih memberi pemahaman agama kepada semua dan menyelesaikan masalah yang menjadi duri dalam masyarakat kita.

Timbul isu bahawa ia akan menjadikan Islam sebagai setaraf dengan agama lain satu hari nanti?

Kita perlu lihat kepada Perkara 3 dalam Perlembagaan tadi bahawa jawatankuasa ini perlu selaras dan tidak terpesong daripada yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Agama lain juga tidak boleh dibenarkan membincangkan tentang kedudukan Islam tetapi jika mahu membincangkan tentang apa itu Islam boleh. Jika mereka hendak dengar tentang perkahwinan dalam Islam dan tanggungjawab suami isteri dalam Islam kita perlu bagi kenapa perlu halang tetapi sama ada mereka setuju atau tidak itu hak mereka. Dalam perbincangan akademik kita perlu berbahas dan menyampaikan jika tidak bagaimana kita boleh mengajar dan berdakwah kepada bukan Islam tentang kesucian agama ini. Kita mesti yakin bahawa Islam adalah agama untuk disampaikan kepada manusia.

Saya pernah dijemput menghadiri dan mengadakan pertemuan bagi mewakili IKIM untuk bercakap dan menyampaikan dialog dalam majlis antara agama sebelum ini. Tahun lepas saya hadir ke Korea Selatan menghadiri mesyuarat Asia Europe Meeting (ASEM). Ada dialog antara agama yang terdiri daripada empat bengkel. Salah satu bengkel tersebut membincangkan pendekatan ekonomi dalam agama dan saya menyampaikan kertas kerja berkenaan. Ada wakil agama Buddha seorang profesor dari Thailand. Tapi dari agama lain tidak ada malah seorang paderi berkata dalam agama mereka tidak ada pendekatan atau hal ehwal ekonomi dari sudut agama Kristian. Maka jelas Islam adalah agama yang menyeluruh dan menyusun kehidupan. Islam adalah agama yang menyentuh semua aspek bukan sahaja ekonomi, perundangan dan sebagainya malah Islam itu sendiri adalah cara hidup. Islam mengajar umatnya menyusun kehidupan sehingga membolehkan wujud sebuah peradaban. Oleh itu kenapa kita perlu takut sedangkan Islam itu tinggi dan tidak boleh dibandingkan.

Apa cabaran yang paling besar untuk memberi kefahaman kepada orang Islam tentang usaha dialog sebegini?

Bila orang Islam gagal memahami usaha dialog ini apa sahaja usaha yang dilakukan untuk memberi kefahaman kepada orang bukan Islam akan sentiasa dibantah. Bagi saya kita perlu yakin, jika tidak bagaimana kita mahu berhadapan dengan orang lain. Sebab itu dialog perlu kerana berdasarkan apa yang dilakukan oleh IKIM dengan orang bukan Islam yang datang serta pelbagai topik yang dibincangkan merangkumi undang-undang, ekonomi, sosial dan sebagainya kita turut berbincang dan memahami apa yang mereka mahukan. Masalahnya di kalangan kita terdapat masalah untuk membuka minda serta berkelahi tentang isu yang remeh temeh. Walhal kita perlu melihat kepada aspek yang lebih luas.

Punca kenapa kebanyakan umat Islam sempit pemikiran mereka adalah kerana sistem pendidikan yang terlalu melihat dari sudut hukum.

Contoh yang boleh saya beri adalah dari sudut menutup aurat. Jika di Malaysia kebanyakan wanita Islam berpakaian baju kurung tapi mungkin negara lain pakaian mereka berbeza mengikut fesyen dan budaya tempatan. Namun yang penting mereka masih menutup aurat. Dari segi hukum yang penting menutup aurat yang lain tidak perlu.

Begitu juga dari sudut pengajaran dan kuliah di masjid-masjid, bentuk pengajaran adalah berbeza. Kuliah yang disampaikan mestilah berbeza mengikut tempat. Kalau di Damansara teknik dan pengisian adalah berbeza dengan masyarakat di Hulu Selangor. Mereka yang di bandar terdiri dari golongan profesional, dan sebagainya. Cara penyampaian pun harus berbeza kerana latar belakang masing-masing yang berbeza. Kita kena memahami dari hakikat dan kita tidak boleh lari dari hakikat.

Satu lagi cabaran adalah segi generasi muda yang berfikiran sangat kritikal akibat pengaruh Internet. Sekarang segalanya luas terbentang akibat teknologi yang semakin canggih. Namun tidak semua yang boleh dicapai melalui bantuan teknologi seperti Internet dan siaran televisyen yang pelbagai adalah tidak baik. Jika kita lihat dalam rancangan televisyen bagaimana pengkaji dari Barat sanggup bergelumang dengan kehidupan di hutan hanya untuk mengkaji binatang dengan begitu teliti sekali. Mungkin ada masyarakat Islam di negara ini yang sanggup membuat kajian begitu tapi kita masih jauh ketinggalan. Pengkaji di Barat sanggup mentelaah kehidupan seekor cacing hingga berbulan-bulan dan saya melihat apa yang dilakukan mereka ini sebagai sesuatu yang berlandaskan Islam. Kita tidak boleh menilai hanya kerana mereka ini bukan Islam maka apa yang dilakukannya adalah tidak berlandaskan Islam. Bagi saya itu program agama tapi jika kita hanya melihat dari segi hukum sahaja maka program seperti nasyid sahaja yang boleh kita lihat. Kita kena ubah semua ini supaya pemahaman lebih jelas. Itulah sebabnya bagi saya dialog antara agama perlu dilakukan supaya dari segi pemahaman antara agama dan kaum lebih jelas. Barulah soal perpaduan dapat dijalin lebih erat kerana kita saling memahami dan bertanggungjawab sesama kita walaupun berbeza kaum dan agama. Dan bagi kita sebagai orang Islam seharusnya program berdakwah dapat dijalankan secara langsung.

Saya juga percaya setiap kaum mesti ikhlas dalam setiap perbincangan yang dilangsungkan dengan orang Islam. Tanpa keikhlasan setiap usaha untuk mewujudkan persefahaman di antara orang Islam dan bukan Islam tidak akan mendatangkan hasilnya.

Sumber: Mingguan Malaysia, 18 April 2010

Leave a Reply