Perspektif Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam terhadap Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Pendekatan Islam Hadhari (Bhg. Akhir)
Oleh AMIN FADLILLAH
Meskipun menuai banyak kontroversi dan perdebatan di pelbagai kalangan, namun soalan ini perlu diajukan bagi mengetahui pandangan responden terhadap siapa yang paling autoritatif dalam melaksanakan Pendekatan Islam Hadhari. Dengan mengetahui jawaban responden, sekurang-kurangnya dapat dijadikan satu pedoman bagi kerajaan sekiranya pada masa yang akan datang kerajaan mengeluarkan dasar atau pendekatan yang berkaitan dengan Islam. Oleh yang demikian, akan dapat diketahui juga institusi mana yang dianggap paling patut menjadi penggerak utama agenda berkenaan.
Berdasarkan jadual di bawah, responden berpendapat bahawa JAKIM adalah badan yang wajar menjadi penggerak Islam Hadhari (13.2%), Jabatan agama Islam Negeri (12.1%) serta NGO (Badan Bukan Kerajaan) seperti ABIM, JIM, PERKIM dan lain-lain (11.4%). Namun demikian, secara keseluruhan jawaban responden ini menunjukkan institusi-institusi Islam yang ada kaitannya dengan kerajaan dianggap sebagai pihak yang paling sesuai bagi menggerakkan Islam Hadhari seperti YADIM, Institut Islam Hadhari dan JASA, Yayasan Islam Hadhari dan IKIM. Hal ini tentu ada lojiknya sendiri memandangkan Islam Hadhari merupakan gagasan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Malah, UMNO juga dianggap sebagai pihak yang boleh menjadi penggerak utama dalam menjayakan program Islam Hadhari di mana peratusan yang diperolehi 8.6% dari keseluruhan responden (lihat rajah 3).
Rajah 5: Bilangan Respons Terhadap Penggerak Utama Islam Hadhari
PERLUKAH ISLAM HADHARI DITERUSKAN?
Berikutan merosotnya prestasi BN dalam pilihan raya ke-12 pada 2008, Tun Abdullah Badawi terpaksa meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sebagai mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan itu. Terdapat penilaian yang menyatakan bahawa salah satu faktor kekalahan BN adalah kerana ’liabiliti’ Islam Hadhari yang menanggung imej negatif berikutan penggunaan istilah Islam yang melekat pada perkataan Hadhari.(33) Bagi pihak kerajaan sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zahid Hamidi, persepsi negatif yang melekat pada Islam Hadhari merupakan kejayaan pembangkang khasnya PAS, dalam memutar belit fakta terhadap prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya dan telah dicacamarbakan untuk tujuan politik.(34)
Pengharaman secara terbuka terhadap segala program yang berkonsep Islam Hadhari(35) oleh beberapa negeri yang dikuasai oleh kerajaan Pakatan Rakyat(36), membuat Islam Hadhari semakin tersepit ruang dan geraknya di dalam alam pemikiran akademik dan arena politik kebangsaan. Perkara ini semakin diperburuk dengan mundurnya Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri berikutan ‘tsunami politik’ pada pilihan raya ke-12 dan beberapa siri kekalahan BN dalam pilihan raya kecil.(37) Sebagai ideolog dan perancang utama gagasan Islam Hadhari, ketiadaan Pak Lah jelas menimbulkan persoalan bagaimana nasib Islam Hadhari seterusnya. Adakah ia terus tetap menjadi pendekatan keislaman kerajaan baru di bawah kepimpinan Najib Razak atau ia terkubur bersama jatuhnya Pak Lah, tinggal masa sahaja yang menentukan.
Sesetengah pemerhati juga melihat kegagalan barisan kepimpinan kerajaan yang tidak memberikan contoh yang baik kepada rakyat dan tidak sesuai dengan apa yang digembar-gemburkan di dalam agenda berkenaan turut menyumbang kepada perspektif yang cukup negatif.(38) Beredarnya secara meluas beberapa gambar yang menunjukkan kurangnya sensitiviti terhadap elemen moraliti seperti pimpinan kerajaan sedang beramah mesra dengan artis luar negara dalam satu majlis rasmi, semakin memburukkan lagi persepsi kalangan NGO Islam terhadap Islam Hadhari. Sebagai sebuah NGO yang menjadikan Islam sebagai paksi utama dalam tingkah laku interaksi sosial dan nilai utama dalam wilayah pentadbiran, situasi itu sukar diterima.
Oleh yang demikian, tidak lah menghairankan bila dikemukakan soalan tentang ”perlukah Islam Hadhari diteruskan”, responden memberikan jawaban yang negatif. Daripada 245 orang responden, 122 orang daripada mereka memberi respons terhadap soalan ini. Daripada 122 orang yang memberi respons, 26.2% daripada mereka (32) berpendapat bahawa Islam Hadhari harus diteruskan manakala 73.8% lagi (90) tidak bersetuju. Ini bermakna secara majoriti golongan NGO Islam berpandangan perlunya agenda baru dalam mempertingkatkan penghayatan dan pengamalan Islam bagi menggantikan pendekatan Islam Hadhari yang banyak mencetuskan kontroversi (lihat jadual 6).
Jadual 6: Bilangan Responden Tentang Perlukah Islam Hadhari diteruskan
| Respons | Bilangan Responden | Peratusan (%) |
| Ya | 32 | 26.2 |
| Tidak | 90 | 73.8 |
| Jumlah | 122 | 100 |
Persepsi bahawa NGO mempunyai pendirian dan pandangan yang cukup kritikal kepada dasar-dasar kerajaan dapat dilihat dalam kaji selidik ini. Dari segi teoritikalnya, secara kebiasannya pendirian NGO, terutama yang bersifat politik, sememangnya menunjukkan pandangan yang berbeza dengan apa yang diputuskan oleh kerajaan. Malah dalam kes-kes tertentu(39), hubungan kerajaan dengan kalangan NGO berubah menjadi hubungan yang agak tegang berikutan paradigma dan politik kepentingan yang berbeza di antara keduanya.(40) Di satu sisi, NGO sebagai satu badan yang bebas dan neutral daripada kepentingan mana-mana pihak, menginginkan wujudnya cara pemerintahan yang baik (good governance) dan menjunjung tinggi nilai-nilai demokrasi universal. Namun di sisi lain, kerajaan lebih banyak bersikap pragmatikal dan cenderung mengabaikan idealisme politik bagi terwujudnya pemerintahan yang mantap dan stabil.
Bagi kalangan NGO Islam, kaji selidik ini mendapati bahawa pendekatan Islam Hadhari yang dijalankan kerajaan tidak sepenuhnya menepati kehendak Islam. Malah, pada elemen tertentu, wujud satu pandangan bahawa usaha kerajaan melaksanakan Islamisasi telah menimbulkan unsur kontradiksi dalam pelaksanaannya dengan fakta yang berlaku. Di satu pihak, kerajaan mencuba menyerlahkan imej Islamnya menerusi dasar Islamisasinya, namun pada masa yang sama ia tidak disertai dengan komitmen untuk menjalankan Islam secara sungguh-sungguh. Isu tentang kemerdekaan dan hak asasi manusia yang menjadi salah satu prinsip Islam Hadhari, menimbulkan kontradiksi dengan realiti yang berlaku di mana masih banyaknya tahanan politik ISA yang masih belum dibebaskan.(41) Ini dapat dilihat dalam pandangan responden terhadap prinsip-prinsip Islam Hadhari yang bagi mereka terlalu idealistik berbanding dengan fakta yang berlaku. Oleh sebab itu, pandangan NGO Islam terhadap prinsip-prinsip Islam Hadhari cukup negatif. Secara puratanya, mereka bersetuju bahawa prinsip-prinsip Islam Hadhari tidak tercapai dari segi pelaksanaannya.
Jadual 7: Persepsi dan Pandangan Responden terhadap
Prinsip-prinsip Islam Hadhari
| Atribut | Respon | ||||
| Sangat Tercapai | Tercapai | Hampir Tercapai | Tidak Tercapai | Sangat Tidak Tercapai | |
| a. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah | 4 | 15 | 52 | 121 | 48 |
| 1.6 | 6.1 | 21.2 | 49.4 | 19.6 | |
| b. Kerajaan adil dan beramanah | 3 | 8 | 36 | 115 | 78 |
| 1.2 | 3.3 | 14.7 | 46.9 | 31.8 | |
| c. Rakyat berjiwa merdeka | 4 | 31 | 56 | 102 | 46 |
| 1.6 | 12.7 | 22.9 | 41.6 | 18.8 | |
| d. Penguasaan ilmu pengetahuan | 8 | 33 | 77 | 91 | 30 |
| 3.3 | 13.5 | 31.4 | 37.1 | 12.2 | |
| e. Pembangunan ekonomi | 4 | 28 | 73 | 101 | 33 |
| 1.6 | 11.4 | 29.8 | 41.2 | 13.5 | |
| f. Kehidupan berkualiti | 6 | 22 | 66 | 103 | 42 |
| 2.4 | 9.0 | 26.9 | 42.0 | 17.1 | |
| g. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita | 2 | 32 | 81 | 93 | 32 |
| 0.8 | 13.1 | 33.1 | 38.0 | 13.1 | |
| h. Keutuhan budaya dan moral | 2 | 34 | 50 | 103 | 49 |
| 0.8 | 13.9 | 20.4 | 42.0 | 20.0 | |
| i. Pemeliharaan alam semulajadi | 2 | 27 | 67 | 97 | 45 |
| 0.8 | 11.0 | 27.3 | 39.6 | 18.4 | |
| j. Kekuatan pertahanan | 7 | 24 | 88 | 83 | 37 |
| 2.9 | 9.8 | 35.9 | 33.9 | 15.1 | |
Pandangan yang negatif terhadap Islam Hadhari berpunca dari imej elit kerajaan itu sendiri yang tidak konsisten dalam menjalankan prinsip-prinsip Islam Hadhari yang ideal. Beberapa isu yang kerap menerjah barisan kepimpinan seperti tiadanya wujud teladan dalam aspek kepimpinan seperti kesungguhan dalam pembanterasan rasuah, politik wang, isteri pemimpin dan elit negara tidak memakai tudung, dilihat memainkan peranan dalam membentuk persepsi NGO Islam terhadap pelaksanaan Islam di negara ini (Lihat jadual 7).
Jadual 7: Bilangan respons soalan kenapa Islam Hadhari tidak diteruskan
| Atribut | Respons | Jumlah | ||
| Ya | Tidak | |||
| 1. Tidak wujudnya teladan yang ditunjukkan oleh kepimpinan | Bil | 62 | 28 | 90 |
| % | 68.9 | 31.1 | 100.0 | |
| 2. Kandungan dan Pendekatan Islam Hadhari tidak jelas | Bil | 58 | 32 | 90 |
| % | 64.4 | 35.6 | 100.0 | |
| 3. Islam Hadhari hanya sebagai pendekatan bukan satu dasar seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam | Bil | 57 | 33 | 90 |
| % | 63.3 | 36.7 | 100.0 | |
Dalam jadual di atas menunjukkan 90 orang yang tidak bersetuju Islam Hadhari diteruskan berpendapat bahawa ianya tidak perlu diteruskan kerana tidak wujudnya teladan yang ditunjukkan oleh kepimpinan (68.9%). Manakala 64.4% daripada responden berpendapat bahawa kandungan Islam Hadhari ini adalah tidak jelas dan 63.3% berpendapat Islam Hadhari hanya sebagai pendekatan bukan satu dasar seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam. Bilangan peratusan yang cukup besar ini menunjukkan bahawa responden menolak pendekatan Islam Hadhari kerana aspek-aspek yang menjadi asas kepada pelaksanaannya bertolak belakang dengan apa yang diamalkan dalam kehidupan praktikal sehari-hari termasuk lah tentang isu tiada teladan yang ditunjukkan pemimpin negara.
PENGHAYATAN ISLAM MELALUI PENINGKATAN AMALIAH
Dalam konteks bahawa Islam tetap harus menjadi paksi utama dalam arus pembangunan dan nilai utama dalam pentadbiran kerajaan, NGO Islam menyokong sepenuhnya keperluan itu. Hal ini dapat dilihat respons mereka dalam soalan bagaimana dan dengan cara apa sepatutnya kerajaan mempertingkatkan kefahaman Islam di kalangan umat Islam di negara ini. Dengan mengambil segi seperti memantapkan lagi undang-undang syariah, memperkasakan sistem pendidikan Islam, memperbanyak program berunsur Islam di televisyen dan mengurangkan hiburan yang tidak sesuai dengan landasan Islam, kalangan NGO ini menujukkan persetujuannya terhadap langkah-langkah seperti itu.
Jadual 8: Bilangan respons tentang cara yang perlu dilakukan bagi meningkatkan lagi pemahaman Islam dalam masyarakat Melayu
| Atribut | Respons | Jumlah | ||
| Ya | Tidak | |||
| 1. Wujudkan dasar yang lebih mantap yang memberikan kefahaman Islam yang lebih jelas sebagai kesinambungan kepada Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam | Bil | 79 | 43 | 122 |
| % | 64.8 | 35.2 | 100 | |
| 2. Perkasakan Pendidikan Islam dalam semua peringkat | Bil | 87 | 35 | 122 |
| % | 71.3 | 28.7 | 100 | |
| 3. Memantapkan perlaksanaan undang-undang syariah | Bil | 83 | 39 | 122 |
| % | 68.0 | 32.0 | 100 | |
| 4. Perbanyakkan program yang berunsurkan Islam di TV | Bil | 85 | 37 | 122 |
| % | 69.7 | 30.3 | 100 | |
| 5. Perbanyakkan penerbitan yang berunsurkan Islam | Bil | 81 | 41 | 122 |
| % | 66.4 | 33.6 | 100 | |
Jadual 8 menunjukkan responden memperlihatkan jawaban yang cukup responsif terhadap soalan-soalan yang diajukan yang mana secara puratanya mencatatkan jawaban 50 % ke atas. Meskipun dalam aspek tertentu berpendirian kritikal terhadap kerajaan, jawaban yang diberikan oleh kalangan NGO Islam ini memantulkan dimensi yang seirama, sekiranya kerajaan mengeluarkan dasar tentang kaedah dan cara bagi peningkatan penghayatan Islam di masa akan datang. Bagi responden, memperkasakan pendidikan Islam pada semua peringkat merupakan cara yang paling sesuai dalam meningkatkan pemahaman dan penghayatan Islam yang mana jawaban yang diberikan mencecah 71.3%. Jumlah peratusan yang tinggi ini menunjukkan bahawa pendidikan Islam adalah keperluan yang asas dan utama (basic needs) bagi mencetak insan-insan yang bertanggungjawab kepada agamanya. Aspek-aspek lain yang juga dianggap penting mengambil peranan adalah memantapkan perlaksanaan undang-undang syariah 68%, memperbanyak program berunsur Islam di TV 69.7% dan mewujudkan dasar yang lebih mantap sebagai kesinambungan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam 64.8%.
KESIMPULAN
Secara keseluruhan, dapatan kajiselidik ini menunjukkan bahawa pandangan badan bukan kerajaan (NGO Islam) terhadap pelaksanaan agenda pengislaman di negara ini menyerlahkan pandangan yang cukup kritikal. Hal ini selaras dengan kebiasaan cara pandang NGO yang menjadikan prinsip dan nilai-nilai universal sebagai acuan utamanya dalam menilai sesebuah dasar atau pendekatan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Sebagai sebuah badan yang tidak terikat dan bebas dengan mana-mana kepentingan politik, perspektif NGO Islam adalah merujuk kepada idealisme untuk memperjuangkan dan membela kepentingan umat.
Dalam konteks ini, responden yang merupakan NGO Islam telah memainkan peranannya dalam menyuarakan pendirian yang berdasarkan kepada prinsip-prinsip bagaimana syiar Islam boleh berdiri tegak tanpa mengambil kira elemen-elemen politik yang wujud dalam persekitarannya. Oleh itu, sekiranya kerajaan mengeluarkan sesebuah dasar atau pendekatan yang selaras dengan prinsip-prinsip Islam tanpa mengambil kira keuntungan politik ke atasnya, maka dasar atau pendekatan ini akan mendapat sokongan oleh komuniti Islam termasuk lah NGO Islam. Sebaliknya, jika pendekatan atau dasar itu semata-mata atas dasar kepentingan politik dan berpeluang mencetuskan kontroversi, maka tidak sukar untuk meramalkan bagaimana perjalanan program itu nanti seterusnya.
NOTA HUJUNG
33 Analisis lanjut tentang kekalahan BN dan kaitannya dengan Islam Hadhari, lihat Mohammad Redzuan Othman, Pendekatan Islam Hadhari dan Pilihan Raya Umum ke-12, Sejarah, Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, No. 16. 2008.
34 Lihat, Islam Hadhari Punca Kekalahan Besar BN. Harakah. 10-25 Jamadil Awal 1429 / 16-31 Mei 2008, Hal: 34. Layari juga, Islam Hadhari Faktor Kekalahan BN? (atas talian) http://buletinonline.net/index.php?option=com_content&task=view (Diakses pada 20 Mei 2008).
35 Lihat, Selangor Haramkan Program berkonsep Islam Hadhari, (atas talian) http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0527&pub=utusanmalaysia&sec=politik&pg=po_09.htm&arc=hive. Lihat juga, Pulau Pinang Haramkan Islam Hadhari, (atas talian) http://www.malaysiakini.com/print.php?c=news&id=83486 (Diakses pada 22 Mei 2008).
36 Negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat setelah menuai kejayaan pada pilihan raya ke-12 adalah Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Bagaimanapun, hanya Selangor dan Pulau Pinang yang mengumumkan secara terbuka pengharaman Islam Hadhari untuk dilaksanakan di negeri berkenaan. Manakala Kelantan, sudah lama menolak pendekatan Islam Hadhari kerana ia dianggap sebagai karut. Lihat, “Islam Hadhari Karut - Tok Guru Nik Aziz”, (atas talian) http://buletinonline.net/index.php?option=com_content&task=view&id=1346&Itemid=32 (Diakses pada 22 Mei 2008).
37 Setelah pilihan raya ke-12, Malaysia mengalami beberapa siri pilihan raya kecil sama ada pada peringkat parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri. Pilihan Raya Kecil itu antara lain adalah Parlimen Permatang Pauh, Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau, DUN Batang Ai, DUN Penanti dan DUN Manek Urai (pada masa tulisan ini dibuat, rakyat Malaysia tengah menghadapi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir). Dari kesemua pilihan raya kecil itu, BN hanya menang di Batang Ai yang sememangnya merupakan kubu kuatnya, selebihnya dimenangi oleh calon dari Pakatan Rakyat. Pilihan Raya Kecil yang pertama setelah pilihan raya ke-12 iaitu Permatang Pauh dilihat oleh beberapa pengkaji sebagai titik permulaan baru Pakatan Rakyat untuk mengukuhkan kedudukannya di dalam persada politik nasional. Keterangan lanjut, lihat Mohammad Redzuan Othman, et.al. Permatang Pauh Pilihan Raya Kecil Ogos 2008, Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd, 2009.
38 Lihat Nell Al-Attas, Islam Hadhari: What Went Wrong, (atas talian), http://drnell.wordpress.com/2008/06/12/hadhariwrong/html (Diakses pada 24 Jun 2008).
39 Dalam konteks Malaysia, berikutan kes pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998, hubungan antara golongan NGO dan kerajaan menjadi tegang. Hal ini kerana NGO-NGO tersebut menyokong Anwar Ibrahim yang dianggap telah dizalimi dan diperlakukan tidak adil oleh kerajaan. Golongan NGO ini kemudian menubuhkan Gagasan Demokrasi Rakyat (GAGASAN) yang terdiri daripada 25 NGO. Untuk keterangan lanjut keterlibatan NGO dalam kes reformasi, lihat Amin Fadlillah, Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN) dalam Gerakan Reformasi di Malaysia 1998-1999., Projek Sarjana, Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, 2005.
40 Berdasarkan pengalaman di Afrika, hubungan NGO dan kerajaan sentiasa panas dan saling mencurigai sebagaimana yang digambarkan oleh Edward dan Hulme yang menyatakan ” “Traditionally, most NGOs have been suspicious of governments, their relationships varying between benign neglect and outright hostility. Governments often share a similarly suspicious view of NGOs, national and international, and their relationship, at least in Africa, has been likened to cat and mouse.” Lihat, Edward dan Hulme, Making a difference. NGOs and development in a changing world. London: Earthscan Publications, 1992, hal 16.
41 Lihat Bakri Musa, His Hollowness The Imam of Islam Hadhari. (atas talian), http://blog.limkitsiang.com/2007/10/22/his-hollowness-the-imam-of-islam-hadhari (Diakses pada 20 Mei 2008).
BIBLIOGRAFI
BUKU
Abdul Hadi Awang. Hadharah Islamiyyah bukannya Islam Hadhari. Kuala Lumpur: Nufar Street. Sdn. Bhd. 2005.
Abdullah Ahmad Badawi. Islam Hadhari Approach: Towards A Progressive Islamic Civilisation. Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2007.
Edward dan Hulme, Making a difference. NGOs and development in a changing world. London: Earthscan Publications, 1992.
Funston, John, Malay Politics in Malaysia: A Study of UMNO and PAS, Kuala Lumpur: Heinemann, 1980.
Ho Khai Leong. The Political and Administrative Frames: Challenges and Reforms under the Mahathir Administration. Dlm. Ho Khai Leong dan James Chin (pnyt). Mahathir’s Administration: Perfomance and Crisis in Governance. Singapore: Times Book International. 2001.
Hussin Mutalib. Islam in Malaysia:From Revivalism to Islamic State. Singapore: National University of Singapore. 1993.
Ibrahim Ahmad. Konflik UMNO-PAS dalam Isu Islamisasi. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn Bhd. 1989.
Johan Saravanamuttu, Malaysian Civil Society-Awakening?, dalam, Maznah Mohamad dan Wong Soak Koon (pnyt). Risking Malaysia. Culture,Politics and Identity. Bangi: Penerbit UKM, 2002.
Khadijah Md. Khalid, Voting for change? Islam and personalized politics in the 2004 general elections. Dlm. Terence Gomez, Edmund. (pnyt). Politics in Malaysia: The Malay dimension. London: Routledge, 2007.
Lim Teck Ghee, Non-governmental Organisations in Malaysia and Regional Networking, Dlm, Tadashi Yamamoto (pnyt), Emerging civil society in the Asia Pacific Community, Singapura: Institute of Southeast Asian Studies, 1995.
Mohammad Redzuan Othman, et.al. Permatang Pauh Pilihan Raya Kecil Ogos 2008, Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd, 2009.
Roff, William R., The Origins of Malay Nationalism, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1980.
Saliha Hassan, Islamic Non-Governmental Organisations, dalam, Meredith L Weiss dan Saliha Hassan (pnyt), Social movement in Malaysia: From moral communities to NGOs, London: Routledge Curzon, 2002.
Saliha Hassan, Political Non-Governmental Organizations: Ideal and Realities dlm Francis Loh Kok Wah dan Khoo Boo Teik (pnyt). Demoracy in Malaysia: Discourse and Practices. London: Curzon, 2002.
Saliha Hassan, Organisasi bukan Kerajaan dalam Politik Malaysia, Dlm, Hairany Naffis (pnyt). Politik Malaysia dekad 1990-an. Prosiding Seminar Politik Malaysia ke-IV. Bangi: Jabatan Sains Politik UKM, 1991.
Saliha Hj Hassan, NGO, Masyarakat Sivil dan Demokrasi. Dlm Abdul Rahman Embong (pyt). Negara, Pasaran dan Pemodenan Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000.
Wan Nik Wan Yussof dan Asma’ Husna Sulaiman, Islam Dalam Politik Malaysia: Satu Kritikan Terhadap Islam Hadhari. Kota Bharu: Centre for Political Analysis and Strategic Development, 2006.
Weiss, Meredith L dan Saliha Hassan (pnyt), Social movement in Malaysia: From moral communities to NGOs, London: Routledge Curzon, 2002.
Yoshiki Kaneko, Malaysia, Dual Structure in the State-NGO Relationship. Dlm Shinichi Shigetomi (pnyt), The State and NGOs: Perspective from Asia. Singapore: Institute of Southeast Studies, 2002.
TESIS
Amin Fadlillah, Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN) dalam Gerakan Reformasi di Malaysia 1998-1999, Projek Sarjana, Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, 2005.
Azali Bin Atan, Islam, Politik dan Pentadbiran: Satu Tinjauan Mengenai Proses Penerapan Nilai-nilai Islam di Malaysia. Latihan Ilmiah (tidak diterbitkan). Jabatan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. UKM. 1986.
JURNAL
Camroux, David, State Responses to Islamic Resurgence in Malaysia: Accomodation, Co-optation and Confrontation, Asian Survey, Vol. XXXVI, No. 9, September 1996.
Mauzy, Diana K. dan R.S. Milne. The Mahathir Administration in Malaysia: Discipline Through Islam. Pacific Affair, jil. 56, bil. 4, Winter 1983-84.
Mohammad Redzuan Othman, Pendekatan Islam Hadhari dan Pilihan Raya Umum ke-12, Sejarah, Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, No. 16. 2008.
AKHBAR
Islam Hadhari Punca Kekalahan Besar BN. Harakah. 10-25 Jamadil Awal 1429 / 16-31 Mei 2008, Hal: 34.
Makmor Tumin, NGO dalam sistem demokrasi Malaysia, Massa, 16 Mei 1998.
SUMBER INTERNET
Amin Fadlillah, Perbandingan dasar penerapan nilai-nilai Islam dan pendekatan Islam Hadhari (atas talian), http://islamhadhari.net/?p=1565 (diakses pada 24 November 2008).
Bakri Musa, His Hollowness The Imam of Islam Hadhari. (atas talian), http://blog.limkitsiang.com/2007/10/22/his-hollowness-the-imam-of-islam-hadhari (Diakses pada 20 Mei 2008).
Nell Al-Attas, Islam Hadhari: What Went Wrong, (atas talian), http://drnell.wordpress.com/2008/06/12/hadhariwrong/html (Diakses pada 24 Jun 2008).
Pulau Pinang Haramkan Islam Hadhari, (atas talian) http://www.malaysiakini.com/print.php?c=news&id=83486 (Diakses pada 22 Mei 2008).
Selangor Haramkan Program berkonsep Islam Hadhari, (atas talian)







