Kalau Fatimah sekali pun mencuri…
Oleh DATO’ DR ISMAIL IBRAHIM
Agak malang bagi negara kita bahawa segala-galanya sentiasa dipolitikkan secara melulu. Sentimen perkauman dan keagamaan nampaknya yang paling banyak dipolitikkan oleh banyak pihak, terutamanya ketika parti-parti politik merasakan seolah-olah esok atau lusa pilihan raya umum akan tiba, dan kerana itu mereka amat tergesa-gesa sekali bersedia untuk menghadapi pilihan raya itu, dan sebarang tindakan haruslah mereka lakukan segera untuk menawan hati para pengundi agar mengundi calon-calon parti mereka untuk berkuasa, walaupun terdapat sesetengah tindakan melulu mereka itu boleh menjatuhkan maruah bangsa, agama dan negara sendiri, tetapi mereka akan tetap melakukannya demi kepentingan dan taksub partisan mereka.
Hal ini bukan hanya berlaku di kalangan ahli politik di dalam negara sendiri semata-mata, malahan orang luar, yang tidak mempunyai kaitan dengan politik dalaman Malaysia juga turut campur tangan seperti yang berlaku di dalam bidang kehakiman di negara kita ini. Ada kes tertentu bagi orang tertentu yang sedang dibicarakan di dalam mahkamah kita yang minta digugurkan!
Mahkamah yang dalam proses perbicaraan untuk menegakkan keadilan di dalam masyarakat kita, tiba-tiba mereka meminta supaya pihak pendakwaan menggugurkan kes itu. Alasannya mudah sahaja, iaitu kes ini dianggap sebagai konspirasi, sedangkan orang yang dituduh itu tidak bersalah. Pendeknya, sebelum pun hukuman dikeluarkan oleh mahkamah, maka mereka akan mengadakan perbicaraan sendiri, dan mengeluarkan hukuman tidak bersalah.
Saya rasa ramai yang mengetahui tentang ketegasan Islam, seperti yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w untuk menegakkan keadilan. Kita selalu mendengar para alim ulama kita mentafsirkan banyak ayat al-Quran tentang keadilan. Keadilan adalah sesuatu yang seharusnya ditegakkan, dilaksanakan, iaitu setelah menjalani proses hukum atau perbicaraan yang adil, maka orang yang salah tetap akan dihukum, walaupun keatas kaum keluarga sendiri, iaitu sekiranya telah dibuktikan seorang itu salah, tidak kira sesiapa, maka ia akan dihukum.
Bukankah Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa umatnya menjadi rosak kerana terdapat diskriminasi dalam menjatuhkan hukuman yang adil terhadap pesalah, iaitu maksud baginda, orang yang berkuasa, atau yang berpengaruh, ketua dan sebagainya, tidak akan dihukum sekiranya ia melakukan kesalahan. Baginda menegaskan, kalau tak salah bacaan saya, kata baginda, “walaupun Fatimah, anak aku, yang mencuri, nescaya akan aku potong tangannya…”
Semua orang tahu prinsip ini, tambahan pula para ilmuwan agama, ulama besar atau kecil, ulama Melayu atau Arab, semuanya tahu, apabila ada tuduhan, maka tuduhan itu hendaklah dibuktikan salah atau tidaknya. Hukum agama menetapkan kewajipan yang seharusnya dilakukan di dalam pembicaraan, tentang mencari saksi dan buktinya, dan tentang siapakah yang harus bersumpah di dalam mahkamah untuk membersihkan dirinya daripada tuduhan, iaitu perincian tanggungjawab pihak pendakwa dan pihak yang terkena tuduh. Saya serahkan hal ini kepada pakar-pakar syariah dan ilmuwan Islam kita untuk menghuraikannya dengan lebih lanjut dan mendalam. Apakah sesuatu tuduhan itu perlu kita gugurkan berdasarkan “keistimewaan” orang yang dituduh?
Apakah ulama berhak untuk mengatakan seorang itu tidak bersalah sedangkan kesnya masih di dalam perbicaraan? Atas dasar apakah tuntutn ini dibuat? Atas dasar kawan, kenamaan, pengaruh? Atau kerana apa? Bukankah tuntutan ini akan membuktikan sikap orang yang menuntut sebagai jahil, tidak berilmu atau sengaja membelakangkan proses undang-undang yang sedia berjalan di dalam sesebuah negara itu ?
Saya tidak perlu menjelaskan apakah kes atau tuduhan, dan siapakah dituduh, atau suspek dan orang yang membelanya di luar mahkamah yang saya maksudkan dan yang sedang melakukan perilaku seperti yang saya sebutkan di atas. Saya hanya ingin menjelaskan tentang proses keadilan yang diamalkan di dalam agama kita.
Orang bukan Islam boleh mengikut hukum dunia, seperti beberapa orang ahli Parlimen Australia, boleh menuntut tuduhan digugurkan. Tetapi bagaimanakah dengan kita orang Islam? Bolehkah kita menuntut supaya tuduhan terhadap seseorang itu digugurkan? Atas dasar apa? Atas dasar lahiriah orang yang dituduh yang kelihatan “tidak bersalah”? Bukankah salah atau tidaknya seseorang itu akan ditentukan oleh mahkamah? Dan sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah peringkat bawah, bukankah orang yang didapati bersalah itu berhak mengemukakan rayuan demi rayuan untuk membuktikan bahawa ia tidak bersalah?
Saya tidak membicarakan individu yang tertentu, atau ulama besar yang tertentu, cuma yang saya persoalkan di manakah kebenaran hukum agama itu pada pentafsiran agama dan para ulamanya? Kenapakah Rasulullah s.a.w sendiri menegaskan bahawa sekiranya puterinya sekali pun mencuri, maka baginda sendiri akan memotong tangannya?
Amat menghairankan, amat menakjubkan sekali! Siapakah ulama “besar” itu dibandingkan dengan baginda Rasulullah s.a.w?
- Penulis ialah Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, UKM

Leave a Reply