Hati anak Adam (dan 2 kisah lain)
Tidak dapat dinafikan bahawa setiap pergerakan insan serta penampilannya merupakan refleksi dari hatinya sendiri. Hatilah yang menunjukkan watak dan siapa diri kita sebenarnya.
Allah s.w.t sengaja menjadikan hati tergantung di bahagian tubuh sebelah kiri dan jika ditiupkan hawa nafsu kepadanya, ia akan bergerak. Apabila ditiupkan bisikan takwa, ia juga akan bergerak. Ia kadang-kadang dikalahkan oleh hawa nafsu dan ada kalanya dikendalikan oleh bisikan takwa. Suatu saat ia dapat membawa kecelakaan pada diri kita dan pada saat yang lain juga dapat memuliakan dan menberi kebahagiaan kepada kita.
Sehubungan ini Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Di dalam tubuh itu ada mudghah,seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh tubuh dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh itu. Ketahuilah mudghah itu adalah qalb (hati).”
Justeru itu, kita lihat berapa banyak hati manusia yang hatinya bersama Allah s.w.t lalu ia terpisah daripada-Nya dalam satu tarikan nafas sahaja. Berapa banyak ahli ibadah berusaha sepanjang malam untuk berkasih-kasihan dengan Tuhannya,.tetapi bila terbit matahari tiba-tiba ia mengkhianati-Nya. Hati juga boleh diibaratkan atap sebuah rumah. Jika seseorang membakar api di dalam rumah, maka asap pun akan menjalar ke atas hingga menghitamkannya.
Begitu juga jika seseorang menyalakan nafsu dalam tubuh, maka asap dosa itu pun akan meyerap ke hati hingga menggelapkannya. Perumpamaan hati yang lain adalah seperti cermin, sedangkan nafsu bagaikan tiupan nafas. Setiap hembusan nafas menerpa cermin, maka cermin itu menjadi kelabu dan tidak berkilat lagi. Demikianlah juga hati orang yang berlumuran dengan dosa.
Sementara hati orang yang bertakwa seperti pengantin perempuan yang cantik jelita. Setiap hari dibersihkan dan diperhatikan hingga tetap suci bersih selamanya. Demikian di antara perumpamaan hati sebagai cermin bagi setiap anak Adam. Setelah sedar benar siapa dirinya,maka seharusnya ia berusaha mengendalikannya.
Hadirkan hati dengan penuh khusyuk tatkala membaca al-Quran atau berzikir dan mohonlah kepada Allah s.w.t untuk memperolehi hati yang khusyuk. Kesucian hati jangan sampai ia dikotori dengan hal-hal yang merosakkan seperti mengumpat, mengadu domba, melihat sesuatu yang tidak halal, memakan barang yang bukan haknya dan sebagainya.
Kalau hatinya sihat, secara automatik fikiran, bicaranya dan segala tindakannya juga sihat. Namun kalau badan sahaja sihat, tetapi hati tidak sihat, maka kesihatan badannya akan. Otak dicerdaskan hati dibiarkan sakit, kecerdasan juga akan membawa masalah.
Hati sesungguhnya tidak terhalang oleh sesuatu di luar dirinya, melainkan ia juga boleh tertutup oleh sesuatu di dalam dirinya. Mata hati akan selalu bercahaya apabila kita sentiasa memelihara diri dari memakan makanan yang haram dan sentiasa berzikir mengingati Allah, berkumpul dengan orang-orang ahli hikmah dan ilmu pengetahuan. Apabila seseorang memelihara hatinya selalu bersih, bening dan jernih, keseluruhan perilakunya juga akan memantulkan kebersihan, kebeningan dan kejernihan pada dirinya. Bak raja, hatilah yang menunjukkan watak dan siapa diri seseorang yang sebenar.
Hakikat syukur
Sepanjang hari, nikmat dan anugerah Allah s.w.t kita peroleh. Tidak usah jauh-jauh, marilah kita lihat diri kita sendiri secara fizikal. Kita diberi indera yang lengkap – penglihatan, pendengaran, pernafasan, perasaan dan sebagainya yang memungkinkan kita mengecap segala bentuk nikmat duniawi yang indah. Atau lihatlah sekeliling kita, sinar matahari yang panas, air dan udara yang segar, pepohonan tempat berteduh, semua disediakan oleh Allah s.w.t untuk kita, tanpa kita perlu membayarnya.
Itulah sebab Rasulullah s.a.w menganjurkan kita bersyukur dan ‘berterima kasih’ kepada-Nya, atas pelbagai nikmat pemberian-Nya. Allah s.w.t adalah Zat Maha Segalanya, maka Dia tidak memerlukan apa pun daripada kita. Allah s.w.t pun tidak pernah memerlukan ibadah kita, kerana bagi-Nya, tidak jadi soal apakah seluruh semesta menyembah-Nya atau ingkar pada-Nya.
Ibadah kita kepada-Nya semata-mata berpangkal daripada kesedaran kita sendiri, yakni kesedaran tentang keharusan untuk bersyukur kepada-Nya kerana telah memberi kita begitu banyak nikmat.
Rasulullah s.a.w pernah ditanya sahabat, mengapa baginda solat sunat pada malam hari (qiyam al-lail) hingga kaki baginda bengkak-bengkak. Bukankah baginda sudah diampuni segala dosa yang akan datang, bukankah baginda sudah dijamin masuk syurga? Jadi untuk apa baginda bersusah payah memperbanyakkan ibadah? Baginda menjawab, “Tidak bolehkah aku bersyukur?”
Jawapan tersebut menjelaskan bahawa tujuan ibadah bukan semata-mata untuk mengharap syurga-Nya, atau agar terhindar daripada neraka-Nya. Namun lebih daripada itu, ibadah adalah ekspresi rasa syukur kita kepada Allah s.w.t di atas semua nikmat pemberian-Nya.
Allah s.w.t sendiri tidak suka kepada manusia-manusia yang enggan bersyukur. Dalam sebuah hadis qudsi, dinyatakan, “Siapa yang tidak mahu bersyukur atas nikmat pemberian-Ku, dan tidak mahu bersabar atas cubaan-Ku, maka silakan saja ia keluar dari kolong langit-Ku dan silakan ia cari Tuhan selain Aku!”
Rasa syukur dapat diwujudkan dengan cara menjaga nikmat Allah s.w.t agar tidak digunakan di jalan maksiat. Kita biasa mengucap hamdalah atau mungkin memperbanyak ibadah murni (mahdhah) dan ibadah-ibadah sunat lainnya, sebagai ungkapan rasa syukur kita kepada-Nya kerana telah memberi kita nikmat yang tidak terkira.
Bagaimanapun, semua itu tidak akan ada ertinya sama sekali jika di sisi lain dan bersamaan dengan itu, kita masih saja melakukan maksiat kepada Allah swt dengan menggunakan kemudahan nikmat pemberian-Nya.
Misalnya, kita sering solat dan puasa sunat, katakanlah itu kita lakukan sebagai ungkapan syukur. Tetapi apa gunanya jika kita juga tidak dapat meninggalkan kata-kata berbentuk umpatan, mengumpat saudara dan sebagainya. Kerana itu, tentu saja yang paling baik adalah apabila kita rajin solat dan puasa dan pada waktu bersamaan kita dapat menjaga mulut dan perilaku daripada hal-hal yang tidak baik. Itulah antara lain hakikat daripada rasa syukur.
Hidup seiring dengan al-Quran
“Kalau sekiranya Kami menurunkan al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah s.w.t. Perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.” (Al-Hasyr: 21)
Dalam kitab Bahr al-Muhith, diterangkan bahawa maksud ayat tersebut adalah celaan kepada manusia yang telah keras hatinya, dan tidak terpengaruh hatinya dengan al-Quran. Jika gunung yang tegak dan kukuh saja tunduk dan patuh kepada al-Quran, tentu manusia harus lebih tunduk kepada al-Quran.
Lalu, apakah kaum muslim sudah tunduk dan patuh kepada al-Quran dan kandungan isinya? Apakah ketika dibacakan Al-Quran mereka sudah menundukkan diri, merenungkan isinya, kemudian berusaha mengamalkannya?
Apakah justeru mereka mengingkari, bahkan berusaha mengganti hukum-hukum yang terkandung di dalam al-Quran? Lantas, atas dasar apa kaum Muslim tidak serius mempelajari al-Quran, memahaminya, membacanya, dan mengamalkan kandungan isinya.
Ironisnya lagi, sebahagian besar di antara mereka lebih mencintai faham kufur yang menyesatkan dari Barat daripada ajaran yang lahir daripada al-Quran. Padahal, siapa saja yang mendustakan dan menyombongkan dirinya di hadapan ayat-ayat Allah swt, tidak mungkin boleh masuk ke syurga-Nya.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali-kali tidak akan dibukakan pintu-pintu langit (ampunan) dan mereka tidak (pula) masuk syurga, hingga unta masuk ke lubang jarum. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berbuat kejahatan” (Al-A’raf: 40)
Pada hakikatnya, orang yang menolak aturan-aturan Allah s.w.t dan malah menggantinya dengan hukum-hukum ciptaan Barat adalah orang yang mendustakan dan menyombongkan dirinya di hadapan ayat-ayat Allah s.w.t. Orang-orang seperti ini tidaklah mungkin boleh masuk ke syurga Allah s.w.t, sebagaimana tidak mungkinnya unta masuk ke lubang jarum.
Hukum Allah s.w.t adalah hukum terbaik. Tidak ada satu pun hukum yang boleh melebihi hukum Allah s.w.t. Lalu apakah perlu kita mencipta hukum menurut hawa nafsu dan akal kita dan mengesampingkan hukum terbaik (hukum Allah s.w.t)?
Jadi, apakah diri kita masih pantas berharap kepada syurga Allah swt, sementara kita masih meminggirkan al-Quran?
Tugas kaum Muslim adalah membangun peradaban manusia berdasarkan al-Quran. Ini boleh diwujudkan dengan jalan menerapkan hukum-hukum yang terjandung di dalamnya di seluruh dimensi kehidupan. Ketika hukum-hukum Allah ditegakkan, akan tercipta masyarakat dan peradaban dunia yang agung dan mulia.
Sebaliknya, ketika manusia enggan menerapkan aturan-aturan Allah s.w.t, bahkan memperjuangkan tegaknya peradaban kufur, mereka akan mendapat kesulitan dan kesempitan hidup.
Susunan MUHAMMAD FAIZAL





