Seratus satu persoalan tasawwuf (Bhg. 6)
Bersama DR ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRY
SOALAN 41
Bagaimanakah ikatan antara istighfar dengan taubat?
JAWAPAN
Istighfar yang hakiki mengandungi taubat sepertimana taubat mengandungi istighfar. Setiap satunya termasuk di dalam pengertian yang satu lagi. Tetapi jika kita gandingkan di dalam ayat yang sama seperti mana yang dikatakan beristighfarlah kamu kepada tuhan kamu dan bertaubatlah kepadanya. Maka makna istighfar di sini ialah meminta perlindungan daripada dosa yang lalu, sementara taubat pula bermakna kembali dan memohon perlindungan dari kejahatan apa yang ditakutinya pada masa depan daripada perlakuan buruknya.
Imam Ibn al-Qayyim telah berkata: Di sini terdapat dua dosa. Satunya ialah dosa yang lalu, beristighfar darpadanya ialah memohon perlindungan daripada kejahatannya dan daripada dosa dibimbangi akan dilakukannya. Kembali kepada Allah terdiri daripada dua cara, kembali kepada-Nya untuk melindungi dari kejatan yang lalu dan kembali kepada-Nya untuk melindunginya daripada kejahatan akan datang yang disebabkan oleh perlakuan yang buruk.
Istighfar juga termasuk di dalam kategori menghilangkan kemudharatan sama ada taubat adalah permohonan mendapatkan manfaat. Keampunan ialah melindunginya daripada kejahatan dosa dan taubat, memperolehi apa yang disukainya setelah perlindungan ini. Setiap satunya memerlukan antara satu sama lain.
SOALAN 42
Apakah perbezaan antara bisikan nafsu dengan bisikan syaitan?
JAWAPAN
Menurut al-Junaid al-Baghdadi bahawa nafsu apabila meminta sesuatu kepada kamu ia membuat saranan berterusan dan sentiasa mempengaruhi kamu sehingga tercapai kehendaknya dan berhasil tujuannya melainkan apabila ia digagalkan dengan mujahadah sebenar yang berterusan, kemudian ia terus mempengaruhi kamu dan mempengaruhi kamuu. Tetapi syaitan apabila mengajak kamu melakukan sesuatu penyelewengan tertentu dan kamu mengingkarinya dia mempengaruhi kamu supaya melakukan penyelewengan yang lain pula kerana bagi semua pelanggaran ajaran Allah itu sama baginya. Ia hanya mahu selama-lamanya mengajak kepada penyelewengan apa sahaja dan bukan tujuannya, mengkhususkan penyelewengan dalam satu perkara dan tidak yang lainnya.
SOALAN 43
Apakah yang dimaksudkan dengan muraqabah?
JAWAPAN
Muraqabah bermaksud tilikan atau tumpuan hati secara berterusan terhadap Allah serta menunggu limpahan kurnia daripada-Nya. ia dilakukan sehingga menjadi satu sifat yang sebati dengan diri. Berterusan melakukan muraqabah membawa kepada tercapainya mushahadah. Amalan muraqabah ini merujuk kepada hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sekiranya engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.” Demikian juga hadis yang bermaksud: “Jagalah (renungilah) Allah nescaya Dia akan menjaga dirimu.”
Dalam tarikat Naqsyabandiyyah, terdapat beberapa jenis muraqabah yang diamalkan yang menjadi asas muraqabah-muraqabah itu ialah muraqabah ahadiyyah, muraqabah ma`iyyah dan muraqabah mutlaq.
SOALAN 44
Terangkan hakikat tawakal.
JAWAPAN
Tawakal adalah satu maqam yang disepakati oleh para sufi dan merupakan antara asas yang menghimpunkan padanya kalangan mereka yang teguh kedudukan di dalam kerohanian atau kesufian. Kedudukan tawakal ialah di hati, ia tidak pula menghalang manusia daripada berusaha dan berikhtiar bahkan maqam ini akan menjadikan seorang murid itu beroleh thiqah, pertolongan dan pemeliharaan Allah. Ia juga adalah antara syarat-syarat yang perlu ada bagi orang-orang yang beriman. Firman Allah dalam Surah al-Maidah, ayat 23 yang bermaksud:
“Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.”
Bagi golongan sufi tawakal mempunyai adab-adab tertentu yang mesti dipelihara, dengan adab ini para murid akan meningkatkan darjatnya ke tahap tawakal tafwidh (تفويض).
Asal kepada tawakal adalah yakin. Kebanyakkan manusia tidak dapat mengetahui rahsia tawakal ini adalah kerana mereka memiliki keyakinan yang lemah. Di samping itu, dalam banyak hal mereka hanya terhenti melihat sesuatu perkara atau kejadian pada sebab-sebabnya sahaja, bukan kepada musabbibnya, iaitu Allah s.w.t. Hal ini bertentangan dengan tuntutan tawakal itu sendiri. Orang yang benar-benar bertawakal akan melihat sesuatu perkara itu terus kepada pelakunya iaitu Allah. Sifat ini akan terus berkembang sehingga melihat hakikat ciptaan Allah tentang dirinya sendiri, tawakal akan melahirkan hal iaitu yang dinamakan tafwidh iaitu kedudukan tawakal yang tinggi.
SOALAN 45
Nyatakan maksud sabar di sisi tasawwuf.
JAWAPAN
Sifat sabar adalah antara asas-asas penting dalam tasawwuf. Ia adalah maqam bagi mereka yang telah mantap di dalam dunia kesufiaan. Bahkan ia adalah hakikat iman atau sebahagian daripada iman. Athar menyebutkan: Sabar itu adalah sebahagian daripada iman, ia juga sebahagian daripada ahwal yakin, rahsianya ialah dengan menguasai asas-asas agama.
Sesiapa yang berakhlak dengan sifat ini akan dapat melihat dengan firasatnya. Selain itu sabar adalah landasan untuk tibanya pertolongan Allah. Sabar itu juga akan membersihkan diri untuk terpilih melalui beberapa ujian yang akan menguji semangat dan keazaman pada jalan Allah. Sabar juga adalah senjata ampuh untuk berjaya melalui ujian ini. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Orang yang paling banyak menghadapi ujian ialah nabi, kemudian orang selepasnya dan selepasnya.”
Sifat sabar bukan sahaja perlu ketika ujian kesusahan bahkan perlu ketika mendapat nikmat agar dapat bersyukur. Ia akan dapat dicapai dengan amalan mentaati perintah Allah dan istiqamah dengannya. Antara doa yang diucapkan oleh Imam Abu al-Hasan al-Syazili ialah: Ya Allah, kurniakanlah kepada aku sifat sabar untuk mentaati perintahmu, menjauhi laranganmu dan menjauhi nafsu syahwat yang semua itu akan menjauhkan aku dari sisi-Mu.
Sabar itu ada beberapa martabat, mengikut pendapat Syeikh Hasan Ridhwan:
- Sabar kerana Allah.
- Sabar pada Allah.
- Sabar dengan Allah.
- Sabar berserta Allah.
Sabar kerana Allah, sukar serta perlu usaha keras.
Sabar pada Allah menjadi penawar dan fana.
Sabar dengan Allah beroleh baqa.
Sabar beserta Allah beroleh kesetiaan.
Sufi yang sabar akan menapak kehadapan, mencapai martabat yang tertinggi pada maqamnya. Sehingga bersedia untuk menerima apa sahaja bentuk azab atau seksa. Ketika itu ia dinamakan memiliki kesabaran yang istimewa (الصبر الجميل) iaitu maqam Nabi Yaakub a.s sehingga disebut oleh Allah dalam firmannya, Surah Yusuf, ayat 18 yang bermaksud:
“Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku), dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan.”
SOALAN 46
Nyatakan pengertian al-Wasatah serta kedudukannya.
JAWAPAN
Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim Raid al-`Asyirah al-Muhammadiyah dalam kitabnya Ma`a Qadiyat al-Qibab wa al-Masajid wa al-Kubur wa al-Wasilah, telah menakrifkan al-Wasatah sebagai berikut:
Al-Wasatah adalah meminta sesuatu dengan wasit secara langsung bukan daripada Allah kerana mengiktiqadkan bahawa wasit itu berkuasa atas segala sesuatu.
Manakala kedudukan al-Wasatah, beliau menyatakan bahawa al-Wasatah adalah jelas merupakan perbuatan syirik bahkan lebih berbeza daripada wasilah kerana ia adalah iman bahkan lebih.
Pendapat Sa`id Hawa tentang al-Wasatah pula ialah:
1. Di kalangan sufiyah sering didapati orang yang menyeru orang soleh baik yang masih hidup atau yang sudah mati, beristighashah kepada mereka supaya menghilangkan kesempitan atau perkara yang dibenci atau mendapat sesuatu manfaat atau menolak bahaya dalam halaqat zikir dicelah-celah nasyid. Sering terdengar teriakan madat ya sayyidi fulan dan teriakan memanggil Nabi Khidir a.s. Lebih-lebih lagi di kalangan Syiah. Perkara ini lebih luas lagi sehingga kita dapati percakapan mereka dengan sebahagian imam-imam mereka menjadi nampak seperti doa.
2. Ucapan seseorang Ya Muhammad, mintalah syafaat bagiku kepada tuhanmu adalah berbeza daripada ucapan ya Muhammad, sembuhkanlah penyakitku. Yang pertama termasuk tawassul sedangkan yang kedua termasuk istihashah. Ini didapati sering dilakukan oleh sebahagian orang yang menziarahi kubur orang soleh yang mereka meminta secara langsung kepada yang mati pelbagai permintaan seperti: Ya fulan, kahwinkanlah saya, ya fulan sembuhkanlah saya dan yang seumpamanya.
3. Sebagaimana yang dikatakan oleh Hasan al-Banna, para wali adalah mereka yang disebut dalam firman Allah s.w.t sebagai orang yang beriman dan bertaqwa. Karamah adalah thabit bagi para wali ini dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak dengan iktiqad bahawasanya mereka tidak memiliki manfaat atau bahaya pada bagi diri mereka. Sama ada semasa hidup atau sesudah mati, apatah lagi untuk memberikan sesuatu kepada orang lain, menziarahi kubur meskipun hukumnya sunat dengan cara yang disyariatkan tetapi meminta pertolongan kepada orang yang sudah dikuburkan, meminta dipenuhi hajat, bernazar untuk mereka, membangunkan kubur, memasang tirai, menerangi, mengusap dan bersumpah dengan Allah serta segala perbuatan bidaah lainnya adalah kabair atau dosa-dosa besar yang wajib diperangi.
SOALAN 47
Nyatakan pengertian al-Istighathah dan hukumnya.
JAWAPAN
al-Istighathah hampir sama pada sebahagian bentuknya dengan wasatah kerana al-Istighathah sebabagimana dijelaskan oleh Syeikh Ali Mahfuz dalam kitabnya al-Ibda’ fi Madar al-Ibtida’ adalah meminta ghawth iaitu pertolongan untuk menghilangkan kesusahan yang sangat besar. Al-Istighathah hanya dalam keadaan yang sangat genting (kritikal) berbeza daripada isti`anah, iaitu meminta pertolongan sama ada dalam kesusahan ataupun bukan.
Hukum al-Istighathah:
1. Syeikh Ali Mahfuz menyatakan bahawa al-Istighathah kepada makhluk dalam perkara yang tidak sesiapa pun berkuasa atasnya yang selain Allah adalah terlarang,kerana dia adalah doa. Doa itu adalah ibadah, bahkan mukh atau otak daripada ibadat, dan tidak di ibadati selain Allah.
2. Abu Bakar Jabir al-Jazairi menjelaskan bahawa sesiapa yang berIstighathah pada selain Allah, yang tidak berkuasa untuk memberikan pertolongan, dan tidak mendengar perkataannya, tidak melihat tempatnya dan tidak mengetahui halnya, sama ada daripada yang hidup yang ghaib dan yang jauh, yang tidak melihat orang yang berIstighathah dan tidak mendengar al-Istighathahnya, ataupun yang sudah mati yang telah terputus amalannya daripada dunia, sama ada ia adalah seorang nabi ataupun orang soleh, maka sesungguhnya ia telah melakukan perbuatan syirik, yang dengan perbuatannya itu dia menjadi musyrik dan kafir.
3. Ibnu Al Qayyim Al Jauziyah menjelaskan dalam kitabnya Madarij al-Salikin, bahawa antara syirik yang kecil adalah meminta hajat daripada orang yang sudah mati, berIstighathah dan bertawajjuh kepada mereka. Orang yang sudah mati telah terputus amalannya dan ia sendiri tidak dapat membahayakan atau menguntungakan dirinya sendiri, apalagi memberi manfaat kepada orang yang berIstighathah kepadanya, kepada orang yang meminta supaya dipenuhi hajatnya atau kepada orang yang meminta syafaatnya. Sesungguhnya tidak ada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah selain dengan keizinan-Nya Allah tidak menjadikan al-Istighathah atau permintaannya itu sebagai sebab bagi keizinan-Nya adalah kesempurnaan tauhid.
Dengan perbuatan syirik ini, sebenarnya ia telah membawa sebab yang mencegah keizinan tersebut. Kedudukan orang itu seperti orang yang meminta pertolongan supaya dipenuhi hajatnya dengan sesuatu yang mencegahnya daripada memperolehinya. Begitulah keadaan setiap orang yang melakukan perbuatan syirik.
Orang yang sudah mati berhajat kepada ornag yang berdoa untuknya, meminta rahmat atasnya dan meminta keampunan baginya,sebagaimana yang dipesan oleh Nabi s.a.w apabila menziarahi kubur dengan ziarah ibadat ,tetapi meminta dipenuhi hajat dan al-Istighathah dengan orang yang sudah di kubur.
4. Dalam kitab Roh al-Ma’ani, telah dinaqalkan perkataan al-Sajjad r.a bahawa permintaan orang yang berhajat kepada orang yang berhajat adalah kebodohan dalam pandagan dan kesesatan pada akalnya.
5. Abu Yazid al-Bistami berkata: al-Istighathah makhluk kepada makhluk seperti al-Istighathah seorang banduan lain.
SOALAN 48
Apakah maksud syatohah?
JAWAPAN
Syatohah, iaitu kata kata ganjil yang lahir daripada lidah seorang ahli sufi ketika fana terpancar dari dalam lubuk hatinya dengan disertakan dengan dakwaan sesuatu dan beliau berkata lagi bahawa syatohah dalam bahasa Arab bererti gerak disebut syatohah yasytahu, ertinya apabila sesuatu bergerak, maka syath perkataan yang diambil daripada gerak kerana menurut ahli tasawuf syatohah merupakan pergerakan rahsia orang fana apabila fana mereka kuat maka mereka menggambarkan apa yang didapati dalam diri mereka itu dengan ungkapan yang ganjil didengar oleh orang lain.
Al-Tusi mengakui bahawa seorang sufi ketika dalam keadaan fana ia memang dikuasai oleh keadaan itu. Oleh itu, apa yang dilafazkan pada ketika itu tidaklah harus diambil kira. Beliau dicontohkan dengan air yang banyak apabila air itu mengalir didalam sungai yang kecil, maka iar akan melimpah di kiri kanan tebing, namun demikian masih air mengalir di sungai. Begitu seorang yang sedang mabuk rohani, apabila kuat mabuknya dan tidak dapat menanggung apa yang terdapat dihatinya, dia akan bercakap dengan ungkapan ganjil yang sukar difahami oleh orang yang mendengarinya. Maka, bagi pendengar harus ia bertanya kepada orang yang mengentahuinya dan jangan terburu buru menafikannya.
SOALAN 49
Apakah maksud kasyaf?
JAWAPAN
Kasyaf ialah satu istilah yang dipakai kepada pembuka hijab melalui ilham, ia ialah sumber maklumat yang menyamai wahyu kepada nabi-nabi, antara wahyu dan ilham dibezakan oleh penerima sama ada nabi ataupun bukan.
Kasyaf ditakrifkan sebagai ”menyingkap maklumat di sebalik hijab yang berupa perkara ghaib dan perkara perkara yang benar ada”. Kaum sufi berpendapat, apabila sesorang itu dianugerahkan ilham, maka terbukalah hijab dan dengan itu mereka dapat menyingkap alam langit dan bumi, sidratul muntaha,l uh mahfuz, syurga, neraka, kursi, qalam dan lain-lain yang selama ini menjadi rahsia. Mereka berpendapat tiada daun yang gugur di bumi, tiada air yang turun dari langit, tiada bayi yang lahir, tiada kejadian yang berlaku tanpa pengentahuan kaum sufi yang beroleh kasyaf. Mereka mengentahui apa yang tertulis di luh mahfuz, Mereka tahu dengan bahasa apa ditulis dan dengan pena mana dicatat setelah hijab dibuka. Maklumat ini menurut mereka tertutup kepada ulama yang dinamakan ulama syaiat.
SOALAN 50
Bagaimana pendapat Ibn al-Qayyim kecintaan pada Allah?
JAWAPAN
Ibnu al-Qayyim menyebut dalam kitabnya Madarij al-Salikin: Sesungguhnya kecintaan kepada Allah adalah tanda atau sifat golongan ini,dan kecintaan itu membuktikan kebenaran seorang sufi didalam perjalanan menuju Allah.
Tidak ada diantara Allah dengan hamba-Nya sebarang hubungan kecuali semata-mata sifat ubuddiyyah, daripada hamba dan uluhiyyah daripada Allah, dan tidak ada pada hamba satu pun daripada sifat uluhiyyah dan tidak ada pada tuhan satu pun daripada sifat ubudiyyah, justeru paksi bagi ubudiyyah ialah kecintaan. Maka ubudiyyah terikat dengan kecintaan ini, jadi terlerailah ubudiyah. Ketahuilah, Ibnu Qayyim adalah daripada kalangan ulama salafi. Jadi di manakah letaknya penentangan ke atas ahli sufi yang disebabkan oleh kecintaan mereka kepada Allah?
(Bersambung…)
Leave a Reply