Peringatan dari jambatan Mostar

February 10, 2010 10:07 AM 0 comments

Share this Article

Author:

MostarBridge

Oleh ZULKARNAIN ZAKARIA

Apa yang sedang berlaku di negara kita sekarang ini mengingatkan penulis kepada kunjungan ke Bosnia pada tahun 2005. Lebih tepat lagi, ke Mostar. Mostar adalah sebuah wilayah yang amat cantik, dan mercu tandanya ialah sebuah jambatan yang diberi nama Stari most (jambatan tua). Cendera mata paling menarik di Mostar pula ialah sekeping papan yang patah di kedua-dua hujung, dan di tengahnya dilukis gambar jambatan tersebut.

Apakah makna ini semua kepada kita di Malaysia ini?

Begini, kira-kira lima setengah tahun yang lalu, atau lebih tepatnya pada 23 Julai 2004, Wakil Tertinggi Komuniti Antarabangsa di Bosnia-Herzegovina, Paddy Ashdown telah membuat suatu ucapan yang perlu kita renungkan, bukan sahaja untuk hari ini, tetapi juga untuk hari-hari yang mendatang.

Dalam ucapannya sempena pembukaan semula jambatan Stari most itu, Paddy berkata, “Saya berharap agar penyatuan dan perdamaian semula di Mostar ini akan menjadi pengajaran yang bermakna kepada seluruh masyarakat dunia.”

Mengapa beliau berucap demikian? Apa yang telah berlaku di Mostar? Dan, apa pula kaitannya dengan jambatan Stari most itu?

Sebenarnya, sejak dijajah oleh empayar Uthmaniah pada 1468, penduduk berbilang etnik dan agama di Bosnia serta Mostar hidup aman, damai serta saling menghormati. Di Mostar, masyarakat etnik Serb yang menganut Kristian Ortodoks hidup harmoni bersama jiran-jiran mereka dari kalangan etnik Croat yang menganut Kristian Katholik serta etnik Bosniak yang beragama Islam.

Mereka bergaul sebagai satu masyarakat besar dan perkahwinan silang etnik adalah perkara yang lumrah. Kedudukan serta jumlah penganut Islam kemudian semakin bertambah kuat seiring dengan kukuh serta adilnya pemerintahan raja-raja Uthmaniah, terutamanya pada kurun ke-16 sewaktu Sultan Suleyman I (1520-1566) yang dikenali sebagai Suleyman the Magnificient.

Salah satu monumen penting yang dibina oleh Sultan Suleyman I ini ialah sebuah jambatan yang menghubungkan tebing Barat dengan tebing Timur Sungai Neretva yang membelah bandar Mostar. Projek pembinaan jambatan itu bermula pada 1557 diketuai oleh seorang arkitek bernama Mimar Hayruddin. Ia hanya siap sembilan tahun kemudian.

Jambatan cantik yang berbentuk melengkung ini sepanjang 29 meter, manakala lebarnya empat meter. Ia dibina menggunakan batu-batu marmar dari kawasan bukit berdekatan.

Apabila siap, jambatan itu menjadi mercu tanda yang amat unik dan indah. Di situlah penduduk Mostar yang berbilang etnik dan agama tadi bersiar-siar sambil melihat air Sungai Neretva membiru dan jernih, juga batu-batu besar yang menghiasi tebingnya.

Di situlah juga tempat anak-anak muda memadu cinta, dan ibu bapa memimpin anak masing-masing menghirup udara segar. Pemuda-pemudanya pula menunjukkan keberanian mereka dengan terjun dari puncak jambatan ini bagi mengejar dasar Sungai Neretva yang mengalir 25 meter di bawahnya.

Kegilaan terjun dari jambatan ini kemudiannya menjadi aktiviti tradisi bagi masyarakat Mostar, tidak kira apa bangsa dan agama mereka sekalipun. Tradisi unik ini berlangsung selama beratus-ratus tahun, hinggalah tercetusnya Perang Balkan pada 1992.

Pada awalnya, tentera Bosnia dan Croat berganding bahu menghalau tentera zalim Serbia dari bumi Mostar. Tetapi selepas itu, pertelingkahan tercetus antara kedua-dua pihak. Ini kerana tentera Croat mahu membawa Mostar bersatu dengan negara jirannya, Croatia. Sedangkan etnik Bosniak mahu terus kekal di dalam Bosnia-Herzegovia.

Pertelingkahan ini menyebabkan tentera Croat mula menjalankan kempen membersihkan Mostar daripada Muslim Bosniak, agar ia menjadi seratus-peratus Croat. Bagi mencapai tujuan itu, pihak Croat yang mendiami kawasan tebing Barat Sungai Neretva  menyerang habis-habisan pihak Muslim Bosniak di sebelah Timur.

Kemuncaknya, pada 9 November 1993, sebuah kereta perisai tentera Croat yang ditempatkan di atas sebuah bukit, telah menembak jambatan Stari most. Arahan itu dikeluarkan oleh Slobodan Praljak, Komander Majlis Pertahanan Croatia.

Maka, pada 10.15 pagi, jambatan tua yang sekian lama menjadi simbol kepelbagaian, penyatuan serta keharmonian masyarakat berbilang etnik dan agama di Mostar, runtuh lalu tenggelam ke dasar Sungai Neretva.

Apa yang berlaku seterusnya?

Ribuan masyarakat Muslim Bosniak terbunuh dan dihalau dari rumah masing-masing. Beribu-ribu lagi ditawan, ada yang melarikan diri ke wilayah-wilayah di sebelah Timur dan selebihnya berhijrah ke negara-negara asing.

Apabila gencatan senjata ditandatangani oleh semua pihak yang bertelagah pada November 1995, dianggarkan sekurang-kurangnya 5,000 orang penduduk Mostar terbunuh.

Apa pula kesan daripada peperangan itu serta runtuhnya Stari most?

Banyak. Kini etnik Croat adalah majoriti di Mostar, berbanding sebelumnya. Ertinya, kuasa majoriti Muslim Bosniak, sudah terhakis. Penduduk Mostar berpecah-belah. Mereka kini menjadi seperti minyak dan air, bersatu di dalam sebiji gelas, tetapi tidak mampu bercampur.

Mereka hidup terpisah, Muslim Bosniak di kawasan tebing Timur, Kristian Croat di tebing Barat. Masing-masing saling mencurigai dan tidak lagi bergaul mesra seperti sebelum perang dahulu.

Mereka pergi ke sekolah dan universiti yang berbeza, malah menonton stesen televisyen yang berbeza. Mostar hanya sebuah bandar, tetapi kini ia telah dibelah dua.

Benar, jambatan Stari most kemudian dibina semula dan seterusnya dirasmikan pembukaannya oleh Paddy Ashdown pada 23 Julai 2004 itu, tetapi ia hanya cantuman fizikal. Tebing Timur dan Barat sudah disambung, tetapi hakikatnya, roh dan jiwa Mostar tidak mungkin dapat dicantumkan semula. Parut luka perang itu masih berdarah walaupun selepas lebih satu dekad berlalu.

Pada majlis pembukaan jambatan itu, pihak penganjur merancang untuk menjemput seorang penyanyi terkenal Croat menyanyikan sebuah lagu berjudul `I’m Sorry’. Bagaimanapun, ia terpaksa dibatalkan selepas dibantah keras oleh masyarakat Croat.

Bukan itu saja, pihak gereja Roman Katolik Croat turut membina sebuah salib besar di puncak bukit yang dahulunya digunakan oleh kereta perisai mereka untuk mengebom penduduk Muslim Bosniak di Tebing Timur dan meruntuhkan jambatan Stari most yang telah menghubungkan mereka selama lebih 400 tahun.

Benarlah kata sebahagian besar yang hadir pada majlis perasmian jambatan baru Stari most, “Membina jambatan ini lebih mudah daripada membina semula minda masyarakat Mostar yang telah hancur.” Keadaannya seperti, tiada lagi zon perang di daerah yang indah dan permai itu, tetapi bayangan garisan merah itu sentiasa terlukis di dalam minda mereka.

Dalam situasi tidak menyenangkan yang sedang melanda negara sekarang ini, ambillah pengajaran daripada tragedi yang berlaku di Mostar tadi. Api perkauman dan keagamaan yang sedang terbakar ketika ini, perlu dipadamkan segera.

Jangan biarkan api itu marak kerana ia boleh menghanguskan jambatan perpaduan yang telah dibina oleh pemimpin, datuk serta bapa kita sejak beratus-ratus tahun dahulu. Jambatan perpaduan ini tidak nampak fizikalnya kerana ia dibina di minda. Jika jambatan ini runtuh, teramat sukar untuk membinanya semula.

Tragedi pergaduhan kaum pada penghujung 1940-an dan 13 Mei 1969 adalah peristiwa pahit yang amat dalam lukanya. Adakah kita mahu ulangi lagi tragedi ini? Adakah kita mahu menjadi seperti Mostar, kemudian baru kita menyesal?

Leave a Reply