Peranan kerajaan di dalam pembangunan hukum Islam: Perspektif Malaysia

Bookmark and Share

Oleh PROF MADYA DR RAHIMIN AFFANDI ABD RAHIM

dan DR MOHD ANUAR RAMLI

Jabatan Fiqh dan Usul,

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

 

Kajian ini antara lainnya bertujuan untuk memberikan maklumat tentang nisbah pembangunan hukum Islam di Malaysia. Hal ini dirasakan amat perlu diberikan pendedahan yang secukupnya, memandangkan terdapat tuduhan negatif yang mengaitkan kelemahan pihak kerajaan di dalam membangunkan hukum Islam di Malaysia. Antara dakwaan ini:

1)    Pihak kerajaan tidak melakukan apa-apa inisiatif yang bermakna bagi memperbaiki status hukum Islam, sebaliknya hanya meneruskan dasar sekularisme yang diwarisi daripada zaman penjajah British.

2)    Dasar pembangunan hukum Islam di Malaysia menafikan sumbangan bermakna yang sepatutnya dimainkan oleh sarjana-ulama Islam. Atas dasar ini, pihak kerajaan memang memusuhi ulama, yang menyebabkan elemen keberkatan Allah akan semakin jauh dan seterusnya bakal menjemput kemurkaan Allah.

3)    Pihak kerajaan terlalu akur dan takut dengan tuntutan golongan bukan Islam di Malaysia sehingga sanggup mengadai maruah agama Islam itu sendiri.

Demi untuk menolak kesemua dakwaan negatif ini, kajian ini akan mengambil pendekatan yang lebih bersifat wasatiyyah (pertengahan dan objektif), dengan mengemukakan beberapa teori utama yang diharapkan dapat dinilai kesesuaiannya dengan realiti Malaysia. Mengikut kaedah ilmiah, sesuatu teori dikemukakan adalah berasaskan kepada sesuatu kajian yang mendalam dan dibuat berasaskan kepada metodologi kajian yang cukup ketat. Kajian ini akan mengemukakan dua teori utama; teori paradigma kerajaan di dalam pembangunan hukum Islam(1) dan teori pemantauan proaktif pihak kerajaan terhadap perkembangan ajaran Islam di Malaysia.(2)   

Teori Paradigma Kerajaan di Dalam Pembangunan Hukum Islam           

Secara dasarnya, perlu diketahui bahawa hukum Islam tidak lahir daripada ruang yang hampa, tetapi berasaskan kepada latarbelakang kontekstual umat Islam di dalam menghadapi kehidupan seharian. Bertitik tolak daripada kenyataan ini, kita dapat mengenalpasti tiga paradigma yang dipegang oleh umat Islam apabila menyentuh isu peranan kerajaan di dalam pembangunan hukum Islam di dalam masyarakat. Ianya terbahagi kepada tiga paradigma; 

Pertama, paradigma integralistik (unified paradigm) yang menganggap peranan agama dan negara mesti bersatu di dalam menguatkuasakan sistem perundangan Islam. Ketua negara adalah merupakan pemegang kekuasaan agama dan politik sekali gus berasaskan kepada konsep kedaulatan tuhan (divine sovereignty) sepenuhnya. Atas dasar ini sebarang bentuk perundangan Islam yang dijalankan oleh pihak kerajaan wajib ditaati oleh semua rakyat jelata, dan sekiranya timbul penentangan ataupun kritikan terhadap sistem perundangan Islam yang dikuatkuasakan akan dianggap seperti mencabar kedaulatan tuhan sendiri. 

Kedua, paradigma Sekularistik (Secularistic paradigm) yang menolak sama sekali konsep penyatuan antara agama dan politik. Ianya menolak konsep yang dibawa oleh ajaran pokok Islam tentang kepentingan dunia dan akhirat. Mengikut paradigma ini, sebarang urusan negara yang digolong dalam urusan politik perlu dipisahkan daripada kepentingan agama, sekali gus menolak pertimbangan agama di dalam menentukan sesuatu dasar negara. 

Ketiga, paradigma simbiotik (Symbiotic paradigm) yang menganggap memang wujud hubungan timbal balik dan saling memerlukan di antara Islam dan negara. Dalam hal ini, agama memerlukan negara kerana hanya dengan fungsi negara sesuatu agama dapat berkembang dengan cukup berkesan. Sebaliknya, negara juga amat memerlukan agama kerana dengan agama sesuatu negara dapat berkembang dalam bimbingan etika dan moral spiritual. 

Merujuk khusus kepada ketiga-tiga paradigma ini, ternyata sekali pihak kerajaan Malaysia menerimapakai paradigma simbiotik ini. Hal ini boleh dilihat daripada beberapa perkara yang utama: 

1)    komitmen berterusan pihak kerajaan di dalam membantu program pembangunan Islam yang efesien, terutamanya yang membabitkan soal formula pembangunan teras Negara, pendidikan dan perundangan Islam. Secara kasarnya terdapat empat gagasan yang mencorak program pembangunan di Malaysia; Rukunnegara, DEB, Wawasan 2020 dan Islam Hadhari. Teras kepada falsafah pembangunan negara adalah Rukunnegara. Berikutan daripada penerimaan Rukun negara itu, perancangan pembangunan Malaysia telah menjalan DEB selama dua puluh tahun (1970-1990) DEB telah membuahkan hasil serampang dua mata; iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.(3) Setelah tamat DEB, gagasan Wawasan 2020 yang kemudiannya dikuti dengan gagasan Islam Hadhari mula diperkenalkan, yang jika diteliti keempat dokumen ini, ianya merupakan kesinambungan daripada hasrat negara ini bagi menjana proses pembangunan negara yang lebih terarah. Berbanding dengan DEB, gagasan Wawasan 2020 dan Islam Hadhari lebih menjuruskan kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam maju yang berasaskan kepada acuan Malaysia sendiri.(4)

2)    Konsep Negara yang dipakai dalam Perlembangaan Malaysia walaupun sering dikatakan dibuat berasaskan kepada intipati fahaman sekularisme, masih lagi memberikan penekanan yang tinggi terhadap kepentingan agama Islam.

3)    Memang wujud usaha timbal balik di antara peranan IPTA Islam (tempat beradanya kalangan sarjana Islam) dengan pihak kerajaan. Kita dapat mengesan bagaimana sebahagian besar daripada gagasan Islam yang dikemukakan oleh sarjana Melayu-Islam telah diterimapakai secara baik oleh pihak kerajaan sendiri. Hal yang sama juga boleh dilihat daripada kecenderungan pihak kerajaan memberikan sejumlah dana bantuan R&D yang cukup besar untuk IPTA Islam melakukan penyelidikan bagi tujuan penambahbaikian dasar-dasar kerajaan yang berkaitan dengan isu Islam.

4)    Isu-isu yang menyentuh persoalan Islam dan pembangunan kerap menjadi isu utama yang perlu diperhatikan dengan lebih serius oleh kedua buah parti politik Islam, demi untuk menjadikan mereka sebagai parti yang diterima ramai oleh kalangan pengundi Islam di Malaysia.(5) Hal ini boleh dilihat daripada perubahan sikap pengundi Melayu baru yang terdiri dari golongan professional yang telah menganggotai parti PAS kerana tertarik dengan pendekatan Islam bentuk moden yang diperjuangkan oleh parti ini, dan sekali gus menolak dakwaan bahawa parti PAS adalah parti orang kampung dan lulusan agama semata-mata.(6) Begitu juga halnya dengan parti UMNO, yang telah turut dianggotai oleh kalangan lulusan agama dan golongan professional Melayu yang mendukung perjuangan bagi meningkatkan martabat umat Islam.(7) 

Apa yang lebih penting lagi, untuk konteks pelestarian ketuanan masyarakat Melayu-Islam di Malaysia, kita perlu berbangga dan seterusnya memperjuangkan agar paradigma simbiotik ini terus diamalkan dalam masyarakat Malaysia. Jika dilakukan analisis induktif terhadap kesemua teori jatuh dan bangunnya sesuatu tamadun Islam, kita akan bersetuju bahawa survival masyarakat Melayu bergantung sepenuhnya kepada empat asas yang utama: 

1)    Ajaran Islam – yang menjadi asas jati diri dan kebanggaan manusia Melayu, sehingga melahirkan tamadun yang cukup tinggi suatu masa dahulu.

2)    Tanah – Kawasan geografi khusus yang menempatkan masyarakat Melayu. Identiti, jati diri dan rasa kebanggaan sesuatu manusia itu bergantung sepenuhnya kepada nisbah negara yang dimilikinya. Manusia sebagai makhluk sosial sentiasa mahu dikaitkan dengan sesuatu komuniti ataupun negara yang bakal menjadi kebanggaannya apabila berinteraksi dengan bangsa lain. Sesuatu Negara itu hanya boleh wujud seandainya memiliki daerah geografi yang tertentu, rakyat dan sistem pemerintahan yang stabil. Pemeliheraan ketiga-tiga elemen ini perlu dilakukan secara berterusan bagi mengelakkan ianya musnah, seperti mana yang dialami oleh penduduk Yahudi, Palestin dan Afghanistan pada masa sekarang. Setiap bangsa yang terpaksa merempat di negeri orang tanpa tanah air sendiri akan merasakan identiti dan jati diri mereka terhina.

3)    kekuasaan politik – kuasa kerajaan yang bakal menjalankan dasar jangka pendek dan panjang (seumpama DEB)(8) demi kepentingan bangsa dan kebudayaan Melayu.

4)    Institusi beraja Melayu – sebagai penaung kepada kedaulatan dan ketuanan masyarakat Melayu.   

Tanpa keempat-empat asas ini, masyarakat dan kebudayaan Melayu akan menjadi lemah dan bakal menerima nasib yang buruk seperti mana dialami oleh masyarakat Islam Palestin,(9) Kurdis dan masyarakat minoriti Islam di negara Barat. Dalam perkembangan semasa, kelihatannya keutuhan institusi beraja Melayu telah mula dipertikaikan,(10) ajaran Islam khususnya sistem perundangan Islam boleh dianggap sebagai asset dan benteng terakhir masyarakat Melayu-Islam bagi mempertahankan konsep ketuanan Melayu.(11) 

Teori Pemantauan Proaktif Pihak Kerajaan Terhadap Perkembangan Ajaran Islam di Malaysia 

Pihak kerajaan Malaysia didapati telah mengamalkan sikap yang berhati-hati dengan pelbagai bentuk pandangan kontroversial yang dibawa oleh pelbagai gerakan dan NGO yang bertopengkan nama Islam. Hal ini ditegaskan berasaskan kepada dua perkara utama: 

Pertama, pihak kerajaan dengan khidmat nasihat daripada sarjana Islam telah mengambil sikap berwaspada dengan gerakan Wahabism yang sedang giat berkembang menyebarkan pengaruhnya di beberapa IPTA/IPTS Islam. Ia menyebarkan seruan supaya tidak bermazhab yang dikesan turut mengunapakai pendekatan kekerasan dan menimbulkan isu-isu kontroversial. Gerakan ini dijangka gagal berkembang kerana beberapa faktor yang utama: 

1)    Ianya bertentangan dengan world-view masyarakat Melayu yang menentang sebarang idea ataupun fahaman yang menjurus kepada kaedah kekerasan dan mencabar warisan turun temurun Melayu.(12)

2)    Gerakan ini sendiri tidak mempunyai metodologi (Manhaj usuli) yang jelas, sebaliknya dilihat terlalu terikat dengan mazhab Wahabism yang diamalkan di Arab Saudi. Tindakan bermazhab yang dikritik hebat oleh golongan ini sekurang-kurangnya mampu menyediakan paradigma dan metodologi usuli syariah yang jelas dan applicable untuk zaman moden ini, sedangkan gerakan ini tidak mempunyai metodologi seumpamanya, yang “menyebabkan mereka sendiri terjebak dalam fenomena kekeringan intelektual, bahkan melebihi kekeringan yang menimpa golongan bermazhab yang dikritik oleh mereka.” (13)

3)    Ianya dilihat tidak dapat menjana pemikiran yang sihat kerana lebih suka menilai segala perkara termasuklah soal budaya Melayu menggunakan pendekatan legal formalistik (hitam putih), tanpa mengambilkira soal falsafah dan latar belakang sejarah yang terkandung di dalamnya.(14) Hal ini timbul akibat daripada sikap gerakan Wahabism yang memusuhi ilmu falsafah yang dikatakan berasal daripada pengaruh bukan Islam, Yunani. Akibatnya, seperti ditegaskan oleh Fazlur Rahman, sikap memusuhi filsafat ini telah menjemput kepada kelemahan pemikiran umat Islam : “ philosophy is however a perennial intellectual need and has to be allowed to flourish both for its own sake and for the sake of other disciplines, since it inculcates a much-needed analytical-critical spirit and generate new ideas that become important intellectual tools for other sciences not least for religion and theology. Therefore a people that deprives itself of philosophy necessarily expose itself to starvation in terms of fresh ideas- infact it commits intellectual suicide.” (15)

4)    Masyarakat lebih disibukkan dengan isu-isu furu yang remeh, sedangkan masih ada lagi isu lain yang penting untuk ditonjolkan seperti perpaduan dan perpecahan sesama umat Islam.

5)    Sifat eksklusif (tertutup) dan pendekatan self truth claim menyebabkan ianya kurang dapat didekati oleh kalangan pengkaji daripada luar, apatah lagi hendak mengadakan intellectual discourse, memandangkan hanya pandangan mereka sahaja yang dianggap sebagai paling betul dan menafikannya kepada pihak lain.(16)

6)    Nisbah ketaksuban dan self truth claim  yang dimiliki oleh golongan ini akan dijadikan sebagai bukti oleh media Barat untuk menunjukkan sifat kekerasan yang dimiliki oleh sesetengah penganut Islam.(17) Nisbah negatif ini telah menjadi semacam suatu sifat stereotype untuk masyarakat Islam, yang diulas oleh Ghazali Basri sebagai; “The stereotypes can be summarised thus: Muslims have a fierces, merciless and authoritarian God; their prophet is potrayed as highly sexed and lacking in propriety; their Islamic rites as mechanistic and tedious; the family life of Muslims and their woman is potrayed as living in traumas and at the mercy of their husbands. The above stereotypes re a commonplace phenomena in almost every Muslim country, as for the Malaysian and Indonesian case they are no exception.”(18)   

Kedua, sikap proaktif dengan langkah mewartakan gerakan liberalisme sebagai ajaran yang menyesatkan. Hal ini diambil memandangkan beberapa perkara yang utama: 

1)    Nisbah masyarakat majmuk di Malaysia yang sangat rendah dari segi integrasi kaum. Dalam reality ini, api perpecahan agak senang timbul, khususnya yang membabitkan kepentingan sosio, politik dan keagamaan semua kaum di Malaysia. Kita boleh merujuk kepada usaha yang dijalankan oleh NGO tertentu yang memperjuangkan penyebaran faham liberalisme (kebebasan dan hak asasi manusia) dalam setiap perlakuan dan pemikiran manusia. Dalam soal ini, pelbagai syiar dan autoriti Islam dipersoalkan, kerana kesemua autoriti Islam ini dilihat bertanggungjawab menghalang agenda liberalisme ini. Sebagai contohnya, terdapat NGO Islam di Malaysia yang bergiat cergas menimbulkan beberapa isu:

a)    Tuntutan IFC (Inter Faith Council) agar pihak kerajaan menyamatarafkan semua pemeluk agama di Malaysia tanpa mengiranya Islam ataupun bukan Islam.

b)    Isu yang mencabar dominasi dan keistimewaan hak bumiputera Melayu-Islam – kononnya bertentangan dengan nisbah persamaan hak asasi semua warganegara bukan Islam di Malaysia. Isu yang mencabar konsep jati diri (malayness) Melayu yang sinonim dengan penganut Islam. Sebaliknya, isu jati diri Melayu cuba ditolak dengan cara bertolak ansur dan mendokong peluang untuk seseorang Melayu murtad(19) serta sanggup memberikan khidmat guaman untuk mempertahankan hak ini. Antara kes yang terlibat adalah kes Ayah Pin, Kumpulan Artikel 11, Lina Joy dan Kamariah Ali.(20)

c)    Isu pluralisme agama, yang menganggap semua agama adalah sama di sisi tuhan dan boleh membawa kesejahteraan kepada umat manusia.

d)    Isu yang mempersoalkan kesan psikologi dan perundangan yang timbul akibat seseorang penganut agama bukan Islam memeluk agama Islam.

e)    Isu menentang cadangan pelaksanaan undang-undang Hudud yang dikatakan ketinggalan zaman dan bakal menindas penganut bukan Islam.

2)    Masyarakat di Malaysia amat mudah terpengaruh dengan perkembangan moden yang dibawa oleh arus globalisasi dunia. Memanglah diakui terlalu unsur positif yang dibawa oleh arus globalisasi ini, namun pada masa yang sama juga pelbagai perkembangan fahaman sekularisme yang menyesatkan telah turut sama berkembang pesat sehingga mempengaruhi sejumlah besar masyarakat Malaysia. Bagi menghadapi realiti ini, semua pihak termasuklah kerajaan dan pakar perundangan Islam perlu mengamalkan sikap proaktif dan selektif dengan menyediakan pelbagai elemen mendidik dan pencegahan yang sepatutnya.(21)

3)    Perlu mengelakkan sikap yang terlalu politiking dalam menangani sesuatu isu yang membabitkan kepentingan negara. Ini termasuklah isu permasalahan dalaman negara yang bakal menjejaskan pencapaian pembangunan, yang memerlukan kedua-dua pihak, parti pemerintah dan pembangkang sama-sama bersatu untuk mengatasinya. Hal ini antara lainnya termasuklah isu keruntuhan moral, dadah, peningkatan kadar jenayah, keruntuhan rumah tangga orang Melayu, kemiskinan, pengaruh budaya kuning, pencemaran alam, penurunan semangat patriotisme di kalangan muda dan banyak lagi. 

KESIMPULAN

Sebagai rumusan akhir, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa  pihak kerajaan Malaysia telah menjalankan dasar yang bersifat selektif dan proaktif dengan perkembangan dan pembangunan hukum islam di Malaysia. Tidak hairanlah seandainya kerajaan Malaysia sering dianggap negara contoh yang mengamalkan pendekatan moderate dalam segala isu yang berkaitan dengan ajaran Islam. Pengiktirafan ini diberikan bukan setakat oleh kerajaan Barat, bahkan turut disuarakan oleh negara Islam yang lain. 

NOTA HUJUNG:

1      Teori yang terhasil daripada Grant penyelidikan UM FR008/2007A, bertajuk Pelaksanaan Syariah Islam dDi Malaysia; Kajian Terhadap Insfrastruktur dan Sumber Manusia. 

2  Teori yang terhasil daripada Grant penyelidikan UM FR006/2007A : bertajuk Islam Antara Liberalisme dan Konservatisme di Malaysia. 

3   Abdul Rahman Aziz, Falsafah Pembangunan, Sintok: Penerbit UUM, 2004, hal. 31-33. 

4  Rahimin Affandi Abdul Rahim, “Islam Hadhari Sebagai Wahana Ilmu Untuk Kecemerlangan Umat Islam di Malaysia“, dalam Risalah Khas Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1427 H, Putrajaya: Jakim, 2006. 

5  Muhammad Abu Bakar, “Polemik Negara Islam dan Pembudayaan Politik di Malaysia“, dalam Himpunan Kertas Kerja Isu Dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam, Kuala Lumpur: DBP,  2002, hal. 161-174. 

6  Syed Ahmad Hussein, “Muslim Politics and The Discourse On Democracy“, dalam ed. oleh Francis Loh Kok Wah and Khoo Boo teik, Democracy In Malaysia: Discourses and Practices, Richmond, Surrey: Curzon Press, 2002, hal. 99. 

7   Ibid., hal. 87-88. 

8   Abdul Rahman Aziz (2000), Pekerjaan Dalam Kehidupan Manusia, Petaling Jaya, hal. 94-101. 

9  Zainal kling, (1999/)“ Keranamu Malaysia: Negara Itu Adalah Akar Umbi Kehidupan Dan Essensi Kewujudan Manusia “, dalam Perpaduan, Bil. 3, h. 4-11. 

10  Ahmad Fawzi Mohd. Basri (1996), Nilai Orang Melayu, Sintok: Sekolah Pembangunan Sosial, UUM. 

11  Jamaie Hamil (2004), UMNO Dalam Politik Dan Perniagaan Melayu, Bangi: Penerbit UKM, hal. 126-131 

12  Maklumat lanjut boleh didapati dalam Noriati A. Rashid, “Konsep Kesantunan Dalam Masyarakat Melayu“, dalam Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, v. 3, bil. 1, Jun 2005, hal. 112-128. 

13  Pandangan ini dikeluarkan oleh Fazlur Rahman dalam “Islam: Challenges and Opportunities“, dalam Alford T. Welch, Islam: Past Influence And Present Challenge, Edinburgh: Edinburgh University Press, 1979, hal. 315-330. 

14   Untuk melihat perkaitan erat yang wujud di antara adat dengan amalan ibadat dalam masyarakat Melayu, sila lihat Anisah Abd Ghani dan Saadan Man, “Nilai-Nilai Adat dDan Budaya Dalam Amal Ibadat Masyarakat Melayu“, dalam (Edit) Md Salleh Haji Ahmad, Hukum Islam Dan Budaya Tempatan, Kuala Lumpur: Jabatan Fiqh Dan Usul, APIUM, 2006, hal. 159-186. 

15  Fazlur Rahman, Islam And Modernity : Transformation Of An Intellectual Tradition, Chicago and London: The University of Chicago Press, 1982, hal. 157-158. 

16  Sebagai maklumat janjut tentang gerakan Wahabism,  sila lihat  Khaled M. Abou El-Fadl, Atas Nama Tuhan: Dari Fikih Otoriter Ke Fikih Otoritatif, Terjemahan oleh R. Cecep Lukman Yasin, Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta, 2001, khususnya hal. vii-xvii 

17  Maklumat lanjut boleh didapati dalam Fawaz A. Gerges, America and Political Islam; Clash of Cultures Or Clash of Interest, Cambridge : Cambridge University Press, 1999, hal. 21-28. 

18  Lihat Just World Trust (JUST), Terrorising The Truth : The Shaping Of Contemporary Images Of Islam And Muslims In Media, Politics And Culture, Prosiding Kepada International Workshop Anjuran Just World Trust (JUST) pada 7-9 Oktober 1995, hal. 25.

19  Rahimin Affandi Abd Rahim (2006), “Islam dan perkembangan Emosi Melayu Selepas Merdeka : Satu Analisis “, dalam  Hashim Musa (ed.), Emosi Melayu, Kuala Lumpur : APMUM, hal.  405-425 

20  Ummu Atiyah Ahmad Zakuan (2007), “Hak Asasi Manusia dan Demokrasi Dari Persepktif Islam dan Barat “, dalam Mohd Izani Mohd Zain(ed.), Demokrasi dan Dunia Islam: Perspektif Teori dan Praktik, Kuala Lumpur: Penerbit UM, hal. 106-112 

21  Rahimin Affandi Abd Rahim , “Pendekatan Pluralisme Dalam Pengajian Islam: Satu Pengenalan“, dalam Jurnal KATHA, Pusat Dailog Peradaban UM, v. 2, 2005

Bookmark and Share

About the Author

Editor

Leave a Reply

You can use these XHTML tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <blockquote cite=""> <code> <em> <strong>