Mesir pertahan pembinaan tembok (dan 4 berita lain)

Bookmark and Share

KAHERAH – Presiden Mesir, Hosni Mubarak mempertahankan tindakan kerajaannya membina tembok keluli bawah tanah di sempadan dengan Genting Gaza bagi melindungi serangan kumpulan pelampau yang mungkin menggunakan laluan tersebut.

Berucap sempena Hari Polis, Hosni Mubarak berkata “Kerja pembinaan dan pengukuhan di sempadan timur kita melibatkan kedaulatan Mesir. Kita menolak untuk mengadakan sebarang perbahasan mengenai isu ini dengan sesiapa pun.”

Khaled Meshaal, Pemimpin Hamas yang hidup dalam buangan baru-baru ini menggesa Mesir supaya menghentikan pembinaan tembok berkenaan. Hamas ialah pergerakan pejuang Palestin yang memerintah Gaza sejak Jun 2007.

Mempertahankan tindakan tersebut, Husni berkata, “Perkara yang kita tidak boleh dan tidak akan terima ialah memandang ringan keselamatan sempadan kita, atau wilayah kita dicerobohi atau bila askar atau kedudukan kita diserang.

“Kita meneruskan kerja pembinaan dan pengukuhan di sempadan kita bukan untuk memuaskan hati sesiapa tetapi untuk melindungi keselamatan negara kita daripada pencabulan dan serangan pengganas seperti yang berlaku di Taba, Sharm el-Sheikh, Dahab dan Kaherah,” kata Mubarak.

Pihak berkuasa mula membina tembok keluli tersebut dalam usaha untuk menyekat kegiatan penyeludupan senjata dan barang keperluan ke Genting Gaza menerusi rangkaian terowong bawah tanah.

Pada 6 Januari lalu, seorang anggota polis Mesir terbunuh dan lima orang lain cedera dalam satu pertempuran di sempadan Mesir-Gaza selepas penunjuk perasaan Palestin memprotes pembinaan tembok tersebut

Israel mengenakan sekatan menyeluruh ke atas Genting Gaza kecuali bagi bekalan keperluan asas yang sangat terhad sejak Hamas mengambil alih kuasa di wilayah Palestin itu pada 2007.

Sejumlah 130 orang maut dalam beberapa serangan bom di pusat-pusat peranginan Laut Merah di Semenanjung Sinai dari 2004 hingga 2006, dan seorang remaja Perancis terbunuh dalam satu letupan bom di sebuah bazar di Kaherah pada 2009.

Masyarakat Islam antarabangsa terus mengecam sikap Mesir itu kerana terowong bawah tanah itulah satu-satunya jalan yang ada bagi penduduk Palestin mendapatkan barangan keperluan harian mereka. Laluan itu juga menjadi pilihan kepada kumpulan sukarelawan Viva Palestin yang dihalang oleh tentera Mesir semasa cuba menyampaikan bantuan kemanusiaan dan perubatan awal Januari lalu.

 

Perancis tidak hantar askar tambahan ke Afghanistan

PARIS – Presiden Perancis Nicolas Sarkozy mengotakan janjinya yang dibuat 18 bulan  lalu bahawa Perancis tidak akan menghantar lebih ramai tenteranya ke Afghanistan bagi menyambut cadangan Amerika Syarikat untuk menambahkan kekuatan tentera bersekutu dalam rangka membendung pemberontakan rakyat tempatan dan menjaga kepentingan ekonominya.

Presiden Perancis itu berkata demikian dalam satu wawancara yang disiarkan oleh televisyen bagi mengulas cadangan untuk mengadakan satu persidangan antarabangsa mengenai kestabilan politik antarabangsa yang akan diadakan hujung minggu ini.

Setakat ini Perancis menghantar seramai 3,300 orang tenteranya bagi menyertai pasukan bersekutu yang diketuai oleh Amerika Syarikat bagi membendung kegiatan Taliban dan kumpulan yang menuntut kemerdekaan Afghanistan. Kehadiran pasukan tentera bersekutu dilihat sebagai satu kuasa penjajah untuk menguasai ekonomi dan menjadikan Afghanistan sebagai laluan paip minyak yang diketuai oleh Amerika Syarikat.

Mereka adalah antara 113,000 tentera asing di bawah kawalan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sana, di mana seramai 40,000 tentera lagi dijangka ditambah tahun ini, iaitu pada bulan Mac nanti. Cadangan awal penambahan tentera Amerika Syarikat ialah pada bulan November lalu, tetapi disebabkan berlakunya serangan di Fort Hood, Texas oleh Mejar Nidal Hassan sewaktu berlangsungnya proses pemilihan dan pemeriksaan anggota tentera yang bakal dihantar bertugas di Iraq dan Afghanistan, cadangan tersebut terpaksa ditunda.

Presiden Perancis itu tetap menegaskan bahawa  beliau “benar-benar cuba mengotakan janji” yang pernah dibuat kira-kira 18 bulan lalu untuk “tidak akan ada tentera (yang dihantar Perancis ke Afghanistan).”

Walau bagaimanapun, Perancis mungkin akan menghantar kakitangan tentera bukan daripada pasukan tempur bagi melatih tentera keselamatan Afghanistan. Jika terdapat keperluan, Perancis akan melatih lebih ramai orang bagi mengurus pasukan polis, melaksanakan kerja=kerja kejuruteraan dan membantu penduduk awam.

Sarkozy turut melahirkan kebimbangan berikutan meningkatnya pelbagai ancaman apabila rakyat tempatan semakin berani melancarakan penentangan terhadap pasukan tentera bersekutu yang ingin terus menjajah mereka. Kebangkitan kumpulan penentang itu dikatakan lebih sederhana dan mendapat sokongan meluas rakyat tempatan. Mereka melihat kepimpinan Afghanistan yang diketuai oleh Hamid Karzai semakin kuat dibayangi oleh kepentingan politik dan ekonomi Amerika Syarikat.

Perancis tetap bimbang dengan kemunculan kumpulan tersebut kerana menganggap ” Jika Taliban menang di Afghanistan, Pakistan akan jatuh,”

Britain dijangka akan  menganjurkan pertemuan dengan Presiden Afghanistan Hamid Karzai, Setiausaha Negara AS Hillary Clinton dan menteri-menteri luar pada 28 Januari ini bagi membincangkan kemungkinan penyerahan kuasa oleh tentera NATO kepada tentera Afghnistan sebagai usaha memujuk kumpulan Taliban supaya menghentikan perjuangan mereka.

 
 

 

Amerika bakal ulangi kesilapan Rusia di Afghanistan

MOSCOW – Veteran perang Rusia berpendapat Amerika Syarikat (AS) perlu menjadikan pengajaran daripada kekalahan Kesatuan Soviet (USSR) di Afghanistan selama 10 tahun dan tidak mengulangi kesilapan sama .

Selama 10 tahun USSR menjajah Afghanistan (1979 hingga 1989), dan menurut mereka, “Sekarang ini sudah hampir sembilan tahun sejak tentera bersekutu menyerang dan menduduki Afghanistan dan tidak ada apa-apa yang berubah.”

Mereka yakin kempen tentera Soviet selama hampir 10 tahun yang berakhir dengan kekalahan patut menjadi pengajaran bagi tentera Barat.

Bekas pegawai tentera Soviet, Leftenan Jeneral Ruslan Aushev, 55, pernah berkhidmat selama lima tahun di Afghanistan, dinobatkan sebagai Wira Kesatuan Soviet dan mengalami kecederaan mengakui bahawa tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan AS menghadapi musuh yang lebih hebat hari ini berbanding lawan yang dihadapi oleh askar Soviet.

Menurut beliau, ketika itu Tentera Merah yang memberontak tidak mempunyai pengalaman dan latihan bagi menghadapi konflik terutamanya di kawasan pergunungan  dan USSR terjerat dengan perang gerila oleh pejuang Mujahidin yang mendapat bantuan kewangan dan ketenteraan daripada Washington.

“Situasi hari ini lebih rumit. Pejuang Mujahidin berfahaman lebih sederhana berbanding Taliban yang radikal. Pada zaman kami, tidak ada pengebom berani mati,” kata Aushev yang kini mengetuai jawatankuasa veteran perang Afghan.

Manakala menurut seorang lagi veteran perang Afghanistan, Mejar Jeneral Makhmud Gareyev, “Tentera Amerika memerangi sebuah bangsa dan bukan tentera biasa. Napoleon tidak mungkin beroleh kemenangan di Sepanyol. Mereka perlu faham adalah mustahil untuk memerangi sebuah bangsa.”

Makhmud Gareyev pernah menjadi timbalan ketua turus Tentera Merah dan penasihat tertinggi tentera kepada Presiden Afghanistan, Najibullah yang digulingkan oleh pejuang Islam pada 1992 dan digantung sampai mati oleh Taliban pada tahun 1996. Selepas pengunduran tentera Soviet pada 1989, Gareyev terus berkhidmat untuk membantu rejim boneka Kremlin.

Gareyev turut melahirkan kebimbangannya mengenai misi pimpinan AS di rantau itu dan tidak yakin mempunyai peluang cerah bagi membentuk  kestabilan jangka panjang, jika tentera bersekutu tidak menukar strategi dengan segera.

Gareyev, kini merupakan Presiden Akademik Sains Ketenteraan di Moscow berkata satu-satunya strategi untuk tentera bersekutu pimpinan AS berjaya ialah memberikan fokus kepada usaha pemulihan dan pembangunan di Afghanistan.

Gareyev dan lain-lain veteran seakan sepakat mengatakan bahawa Amerika Syarikat perlu “mengubah polisi mereka dan mencari penyelesaian lain, mereka perlu membantu membangunkan semula negara itu serta memberikan bantuan kewangan, ekonomi dan kemanusiaan.”

 

Israel terus berdegil tolak desakan PBB

TEL AVIV – Cadangan menubuhkan suruhanjaya siasatan mengenai dakwaan jenayah perang semasa serangan 22 hari di Semenanjung Gaza oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah ditolak oleh Israel.

Keputusan tersebut sekali gus bermakna mereka menolak desakan yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu laporan mengenai serangan tiga minggu ke atas Gaza. Israel telah menyerang penduduk Gaza pada 27 Disember 2008 dan dalam serangan selama lebih tiga minggu itu, seramai lebih 1,500 terbunuh, manakala lebih 5,000 orang awam cedera.

Cadangan tersebut merupakan reaksi PBB ke atas satu laporaLaporan yang disediakan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB. Laporan itu telah disediakan oleh hakim dari Afrika Selatan, Richard Goldstone dan diterbitkan pada bulan September 2009.

Antara cadangan yang dibuat dalam laporan tersebut ialah PBB mahukan Israel dan pergerakan Hamas memulakan siasatan bagi mengumpul bukti penglibatan askar masing-masing telah melakukan jenayah perang dan kemungkinan jenayah kemanusiaan.

Cadangan tersebut bagaimanapun ditolak oleh Menteri Diaspora dan Penerangan Israel, Yuli-Alon Edelstein dari parti pemerintah, Likud dengan tegas bahawa “tiada sebarang niat timbul untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan.”

Beliau yang berada di New York dalam rangka bertemu pegawai PBB berkata , Israel merancang untuk menghantar maklum balas rasmi ‘dalam masa beberapa hari’ mengenai dakwaan yang terkandung di dalam laporan Goldstone.

“Israel seperti mana yang diminta PBB, akan menyerahkan dokumen yang menjawab secara spesifik semua dakwaan yang dibuat,” kata Edelstein kepada Israel Radio.

Laporan Goldstone memberi masa selama tiga bulan kepada Israel dan Hamas untuk melancarkan siasatan berhubung dakwaan ‘serius’ mengenai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan serta tambahan tiga bulan untuk memaklumkan kepada Majlis Keselamatan PBB mengenainya.

Setakat ini, Israel telah melakukan siasatan dalaman melalui tentera sendiri bagi mendapatkan jawapan terhadap askar Yahudi yang didakwa melakukan jenayah perang, namun tidak berhasrat menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas mengenainya.

Ia menyebabkan berlakunya perdebatan dalaman antara Menteri Pertahanan, Ehud Barak dan peguam negara Israel manakala Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu setakat ini masih berada ‘di atas pagar’.

Edelstein dianggap sebagai pelampau Yahudi dalam parti Likud, dan  tinggal dalam sebuah kawasan penempatan di Baitullaham. Tidak jelas sama ada beliau mewakili keputusan akhir Israel mengenai saranan laporan Goldstone atau tidak.

 

PBB kaji semula dakwaan pemanasan global yang dipertikaikan

LONDON – Panel iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkaji semula kesangsian bukti terhadap dakwaan bahawa pemanasan global ada kaitan dengan bencana alam yang semakin buruk melanda seluruh dunia sejak akhir-akhir ini.

Menurut sebuah laporan sebuah akhbar Britain, ini merupakan satu lagi perkembangan yang memalukan Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) kerana, telah mengakui terdapat kesilapan dalam ramalannya mengenai kecairan glasier di Pergunungan Himalaya.

Pada tahun 2007, IPCC mengeluarkan satu laporan meramalkan akan berlakunya kecairan glasier dan kesannya menyebabkan berlakunya perubahan iklim. Ramalan tersebut telah memberikan IPCC hadiah nobel keamanan dan menjadi penanda aras dalam sains iklim. Laporan itu turut mengaitkan kesan kerugian yang semakin meningkat akibat berlakunya malapetaka seperti  banjir , taufan dan kaitannya dengan perubahan iklim.

Bagaimanapun akhbar Sunday Times hari ini melaporkan, dakwaan berkenaan berasaskan satu kajian yang belum diterbitkan dan belum melalui proses penelitian saintifik yang rutin. Hasil kajian itu akhirnya diterbitkan pada tahun 2008, dan hanya mengandungi  satu peringatan bahawa: “Kami tidak menemui cukup bukti untuk mendakwa terdapat hubungan statistik antara kenaikan suhu dunia dengan kerugian besar akibat malapetaka.”

Timbalan Pengerusi IPCC yang juga pakar kaji iklim di Universite Catholique de Louvain di Belgium, Profesor Jean-Pascal van Ypersele memberitahu Sunday Times, beliau akan mengkaji semula bukti yang dikemukakan.

“Kami akan menilai semula bukti dan akan menerbitkan laporan mengenai bencana alam dan keadaan cuaca melampau berasaskan penemuan terbaru. Proses IPCC masih sangat teliti dan saintifik meskipun berlaku perkembangan negatif baru-baru ini,” ujar beliau.

Laporan Penilaian Keempat IPCC ialah dokumen setebal 938 yang diterbitkan pada 2007. Amarannya bahawa perubahan iklim semakin buruk mendorong ahli politik di seluruh dunia menjanjikan tindakan.

Namun IPCC minggu lepas terpaksa mengakui bahawa ramalan yang membayangkan glasier di Pergunungan Himalaya akan lenyap menjelang 2035 ‘tidak mempunyai asas yang kukuh’.

 

Susunan MAHANOR SALEHA

Bookmark and Share

About the Author

Editor

Leave a Reply

You can use these XHTML tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <blockquote cite=""> <code> <em> <strong>