Memang wajar Akta Halal dibentangkan segera

February 25, 2010 8:45 AM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh ZULKARNAIN ZAKARIA

Jika sebentar tadi anda bersarapan mi goreng, adakah anda yakin makanan yang anda makan itu halal? Benar, pada bungkusan mi itu ada logo halal, tetapi adakah anda benar-benar yakin ia halal? Jika mi goreng itu dicampur dengan kicap untuk mengenakkannya, adakah juga anda yakin yang kicap itu halal? 

Kemudian, mi goreng itu dicampur dengan ayam. Adakah anda yakin ayam itu disembelih mengikut kaedah yang disyarakkan oleh Islam? Dan, jika anda makan mi goreng itu di kedai mamak, adakah anda yakin pemilik kedai itu benar-benar mamak, iaitu India Muslim? Pokoknya, halalkah apa yang anda makan semasa bersarapan tadi? 

Itu baru satu contoh, satu analogi, satu gambaran. Hakikat sebenarnya, banyak contoh lagi yang boleh diutarakan apabila memperkatakan tentang status halal sesuatu makanan. Itu tidak termasuk status produk `makanan halal’ di dapur kita, penguatkuasaan, hukuman, operasi, penjualan dan pemalsuan  sijil halal dan sebagainya. 

Amalan mewujudkan sijil halal, memang satu langkah terpuji yang dilakukan oleh kerajaan. Tetapi apabila diselewengkan, ia bertukar menjadi duri dalam daging. Oleh kerana itulah, memang sewajarnya Akta Halal dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi, seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, baru-baru ini. 

Mengapa Akta ini perlu dibentang dan dibahaskan secepat dan seperinci mungkin? 

Mungkin sebahagian daripada kita sedia maklum, sebab terlalu banyak penyelewengan yang dilakukan. Sebagai contoh, sebuah majalah baru-baru ini melaporkan siasatan mereka tentang produk yang mempunyai sijil halal. Apa yang mengejutkan, apabila disemak menerusi laman web halal JAKIM, sebahagian daripada ubat gigi, roti, mentega, minuman dan makanan ringan berlogo halal yang diteliti oleh majalah berkenaan, adalah palsu! 

Paparan menunjukkan, `Tiada rekod dijumpai’. Malah terdapat juga makanan itu yang sijil halalnya telah lama tamat tempoh. Inilah salah satu bukti pemalsuan logo halal. 

Media massa juga pernah melaporkan bagaimana sijil-sijil halal ini diperdagang dan dialibabakan kepada bukan Islam. Memang lumayan apabila sijil itu disewakan, kerana nilainya lima angka, tetapi apa kesannya kepada pengguna Muslim? 

Media juga pernah melaporkan bagaimana operasi yang dilakukan ke atas premis pengeluar dan pemohon sijil halal ini mendapati, keadaan kilang dan produk yang dikeluarkan sangat menyedihkan. Malah, ada yang terdapat bangkai cicak dan lipas dalam ramuannya. Laksa dibiarkan di atas lantai. Pakaian pekerjanya kotor dan selekeh. Menipu timbangan. 

Malah, anda tentu belum lupa tentang serbuan yang dilakukan ke atas sebuah kilang mengeluarkan perut tauhu di Lembah Klang tidak lama dahulu, mereka mendapati ianya terletak bersebelahan dengan kandang babi. Anjing pun boleh berkeliaran di dalam kilang tersebut! Nah, siapa antara yang memakan perut tauhu itu kalau sebahagian besarnya adalah kita juga, orang Islam.

Kita juga tentu terkejut kerana statistik JAKIM menunjukkan sehingga Mei 2009, hanya 27 atau 1.4 peratus sahaja daripada kira-kira 2,000 hotel di seluruh negara telah mendapat sijil halal JAKIM bagi dapur utama mereka.

Kalau begitu, halalkah makanan lima bintang yang kita makan di hotel-hotel tersebut? Itu belum lagi makanan Barat mahu pun kek yang dihidangkan oleh hotel berkenaan, atau pun oleh bakery, yang sering kali menggunakan wain sebagai bahan asasnya? 

Kembali kepada restoran mamak: Rupa-rupanya yang disangka mamak, bukanlah mamak, tetapi India bukan Islam. Itulah yang sering kali diadukan oleh masyarakat. Iaitu, pemilik dan pekerja restoran itu mengaku mamak dan menggantung ayat-ayat al-Quran untuk menarik pelanggan Muslim, sedangkan hakikatnya mereka bukan Islam. Malahan, terdapat juga restoran bukan Islam yang menyalahgunakan ayat-ayat al-Quran ini yang membuat pungutan derma untuk agama lain! Perkara ini juga pernah diadukan oleh media. 

Lantas, halalkah makanan yang dihidangkan? Apakah bentuk hukuman yang patut dikenakan kepada mereka yang menyalahgunakan ayat-ayat al-Quran dan imej Islam itu untuk menghalalkan makanan mereka? 

Justeru, pembentangan Akta Halal memang tepat sangat pada waktunya. Ia perlu disegerakan. Malah, perlu dimasukkan juga bentuk-bentuk hukuman yang keras dan tegas kepada pesalah-pesalah yang memalsu serta menyalahgunakan sijil halal ini. 

Selain itu, hukum juga pihak-pihak yang bertanggungjawab ini atas kesalahan menghina ayat-ayat al-Quran, seperti yang dilakukan kepada pengeluar pakaian yang tertera ayat al-Quran. Atau, mungkin di bawah akta-akta yang berkaitan dalam Kementerian Dalam Negeri, mengenai penghinaan terhadap ayat-ayat al-Quran. 

Penggunaan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972, di bawah kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, yang membolehkan JAKIM menarik balik sijil halal itu, sudah tidak relevan lagi. Ia tidak memadai. 

Sebaliknya, selain hukuman keras berbentuk denda dan penjara, perlu juga diseiringkan dengan penyitaan kilang mahu pun penarikan balik produk-produk halal palsu itu daripada pasaran, secepat mungkin. 

Selain itu, pihak-pihak yang melakukan kesalahan itu juga patut dikenakan juga dengan hukuman menghina Islam. Ini kerana Halal itu membabitkan hukum di dalam agama Islam. Ia adalah rukun dalam agama Islam. Sijil halal juga dikeluarkan oleh organisasi berteraskan Islam. Maka, sudah semestinya pengeluar-pengeluar yang menyeleweng, memalsu dan menyalahgunakan sijil halal itu dikenakan hukuman menghina Islam. Mereka tahu ia berkaitan dengan hukum Islam, maka perbuatan menyeleweng, menyalahguna dan memalsukannya juga adalah sama ertinya dengan menghina Islam. 

Tidak logikkah jika hukuman menghina Islam ini dikenakan kepada pekilang yang mengeluarkan produk bersijil halal, tetapi kilangnya berdekatan dengan kandang babi? Atau yang membiarkan anjing berkeliaran di dalam kilangnya, terdapat bangkai lipas, tikus dan cicak dalam ramuannya, ayam dan lembu tidak disembelih mengikut syarak? Bukanlah mereka itu menghina Islam? 

Selain itu, Akta ini perlu juga membincangkan tentang logo halal itu sendiri. Siapa boleh menafikan, logo halal yang ada kini terlalu mudah dan murah. Hanya berwarna hitam dan putih, tanpa sebarang ciri-ciri keselamatan. Ia boleh ditiru oleh sesiapa sahaja, dan inilah yang menjadi penyumbang besar kepada penyelewengan serta pemalsuan sijil halal. 

Kita percaya, jika logo halal itu mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti logo KPDNHEP, masalah ini dapat dibendung. 

Semoga pengumuman Datuk Seri Jamil Khir itu dan pembentangan Akta Halal nanti akan dapat membantu mencabut duri yang sekian lama menikam dan menyakitkan tubuh kita. 

Seperkara lagi, dalam pada memastikan pengeluaran sijil halal itu menepati konsep Halalan Toyyiban berasaskan syariah serta Roh Halal dan Jihad Halal, perlu juga diperhatikan kepada konsep atau kaedah-kaedah lain yang dapat membantu pengusaha-pengusaha Muslim menjadi pemain utama dalam pengeluaran produk halal ini. 

Pada ketika ini, seperti yang dikeluarkan oeh laman web halal JAKIM, hampir 69 peratus (1613) daripada pengeluar makanan  memohon sijil halal adalah bukan Islam. Hanya 739 pengeluar bumiputera sahaja yang memohon sijil halal. 

Ertinya, pengusaha-pengusaha bumiputera ini juga perlu disokong dan diberikan bantuan yang sewajarnya. Mungkin mereka menghadapi masalah dari  segi kewangan, renovasi untuk memenuhi syarat-syarat  Amalan Pengilangan Baik (GMP)  dan Amalan Kebersihan Baik (GHP) yang melibatkan kos yang tinggi. Maka, dalam pada mengetatkan pengeluaran sijil halal dan mengenakan hukuman keras kepada pesalahnya, jangan dilupa pula akan masalah pengeluar bumiputera dan mekanisme yang dapat membantu mereka.

Leave a Reply