Mahmoud Al-Mabhouh dibunuh Mossad? (dan 3 berita lain)
DUBAI – Agensi perisikan Israel, Mossad, dituduh sebagai dalang dalam pembunuhan seorang pemimpin kanan Hamas, Mahmoud al-Mabhub di bilik hotel Dubai, pada 20 Januari lalu, iaitu sehari selepas tiba dari Syria.
Menurut ketua polis Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dhahi Khalfan, “Mungkin Mossad atau pihak lain. Saya tidak menolak kemungkinan itu atau pihak yang ada kepentingan melakukan pembunuhan terhadap Mahmoud al-Mabhuh.
“Ada lebih daripada tujuh orang yang memegang pasport beberapa buah negara Eropah dalam kumpulan yang disyaki bunuh Mahmoud,” katanya lagi “Kami menghubungi negara Eropah itu untuk mengesahkan keaslian pasport berkenaan.”
Beliau walau bagaimanapun enggan mendedahkan nama tujuh negara Eropah yang dimiliki oleh tujuh orang penjenayah yang terbabit.
Mahmoud merupakans seorang tokoh terkemuka dalam sayap tentera Hamas, dan menjadi pengasas Briged al-Qassam. Berusia dalam lingkungan 50 tahun dikatakan tiba di Dubai pada 19 Januari untuk membeli senjata daripada Iran bagi menghadapi serangan penjajah Israel di Gaza.
Atas pembunuhan tersebut, Hamas berikrar akan membalas dendam. Kejadian itu berlaku apabila “(Mahmoud) membuka pintu bilik membolehkan pembunuhnya masuk. Dia mati kerana dicekik.”
Media Israel mengalu-alukan pembunuhan itu, manakala Jerusalem Post menganggapnya sebagai satu ‘tamparan hebat terhadap pakatan kejahatan’ dan menyukarkan Hamas membawa senjata masuk ke Gaza. Bagi akhbar The Times of London, memetik sumber Asia Barat sebagai berkata, mayat Mahmoud ditemui kakitangan hotel Al Bustan Rotana dan Mahmoud menggunakan pasport palsu untuk ke Dubai.
Menurut anggota biro politik Hamas di Syria, Izzat Al-Rishq, “Saya tidak boleh mendedahkan sebab kematiannya. Kami sedang bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab di UAE untuk menyiasat punca sebenar kematian Al-Mabhouh.
Dalam kenyataan tersebut, Hamas menjelaskan bahawa Al-Mabhouh “mati sebagai syahid dalam suasana yang mencurigakan”. Kematiannya bukanlah merupakan kematian biasa.
Namun Hamas tidak menyebutkan secara jelas sebab-sebab yang mencurigakan itu dan hanya menegaskan bahwa “Hamas akan membalas dendam ke atas kekejaman Zionis pada waktu yang tepat.”
Al-Mabhouh telah lama tinggal di Syria. Pihak Israel menuduh bahawa tokoh Hamas itu terlibat dalam insiden penculikan dan pembunuhan dua anggota tentara Israel pada tahun 1989. Walau bagaimanapun, hingga kini Israel belum belum memberikan sebarang komen berhubung dengan pembunuhan tersebut.
Hamas tetap menuduh agen-agen penyiasat Israel sebagai bertanggungjawab dalam pembunuhan komandan tentera Hamas, Mahmoud al-Mabhouh. Manakala media Israel termasuk laman web Central Issues dalam laporannya menyatakan bahawa ejen-ejen Mossad bertanggungjawab penuh atas pembunuhan keji terhadap Mahmud Mabhuh itu.
Menurut laman web itu lagi, pembunuh Mahmud adalah seramai empat orang dan kesemuanya merupakan ejen-ejen Mossad yang dilengkapi dengan maklumat tepat mengenai tempat penginapan dan pergerakan Mahmud sepanjang berada di Dubai.
Menurut pihak polis Dubai, mereka telah berjaya mengenal pasti beberapa orang “pemegang pasport Eropah ” sebagai disyaki membunuh anggota komanden tentera Hamas itu pada minggu lalu.
Siasatan awal mendapati bahawa Mahmoud al-Mabhouh dibunuh oleh “sekumpulan penjahat profesional” yang mengekorinya sebaik sahaja tiba di Dubai.
Menurut pemimpin politik Hamas dalam buangan, Khaled Meshaal: “kaum Zionis, janganlah terlalu gembira dengan pembunuhan tersebut. Kalian membunuh dia, anak lelakinya akan membalas dendam. Allah sudah mengambil para pemimpin kami dan orang-orang yang kami sayangi, tetapi peperangan akan terus berlaku. Palestin adalah tanah yang diberkati. Palestin tidak akan terus bersabar.”
Menurut seorang doktor yang memeriksa jenazah Mahmoud, kematiannya adalah disebabkan dibunuh dengan menggunakan renjatan arus elektrik dalam jumlah yang tinggi di bahagian kepalanya. Turut mendapat bukti bahawa berlakunya pergelutan dan kesan Mabhouh dicekik.
Hasil analisis sampel darah yang dihantar ke sebuah makmal di Perancis turut memberikan jawapan bahawa kematian Mabhouh adalah disebabkan kejutan elektrik yang kuat.
Pihak Mossad juga dikatakan pernah beberapa kali cuba membunuh anggota keluarga Mabhouh, dan dua kali terseselamat dari percubaan tersebut, termasuk yang terbaru ialah percubaan meracuni ahli keluarga semasa berada di Beirut, Lubnan, enam bulan lalu.
Menurut salah seorang dari mereka, dia tidak sedarkan diri selama 30 jam akibat terkena racun itu.
Ketua Polis Dubai, Dhani Khalfan Tamim terus memberikan jaminan bahawa “Saya tidak boleh meluputkan kemungkinan bahawa Mossad terlibat dalam pembunuhan keatas Mabhouh.”
Namun, apa yang jelas ialah Israel tidak akan membuat pengakuan terbuka mengenai penglibatan mereka, sebaliknya akan melemparkan pelabagi tuduhan bagi mengelirukan pendapat awam mengenai punca sebenar pembunuhan Mahmoud itu.
AS fokuskan kumpulan militan
WASHINGTON – Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat akan meningkatkan strategi ketenteraannya bagi menghadapi ancaman kelompok militan Islam dan penyebaran maklumat propaganda yang semakin canggih.
Menurut dokumen strategi jangka panjang Jabatan Pertahanan yang dikeluarkan pada Isnin lalu (1 Februari 2010), Amerika Syariat perlu mengalihkan strategi ketenteraannya dengan member penekanan kepada menangani ancaman kumpulan militan Islam dan penyebaran propaganda melalui penggunaan teknologi tinggi.
Perubahan dasar itu menjadikan Pentagon berusaha melakarkan sebuah doktrin baru bagi menggantikan konsep lama yang sudah mampu dipertahankan lagi. Askar Amerika Syarikat dikatakan tidak mampu lagi menghadapi ancaman global yang disebabkan oleh tindakan dasar luar Amerika Syarikat sendiri.
Tentera Amerika Syarikat perlu lebih bersiap sedia untuk menghadapi dua peperangan dalam satu masa, iaitu peperangan konvensional dan bukan konvensional. Dalam peperangan bukan konvensional, banyak tentera Amerika Syarikat tewas menghadapi serangan musuh kerana tidak mempunyai kekentalan semangat berjuang mempertahankan watan.
Sebaliknya, ketika ini pasukan tentera seharusnya mempersiapkan diri dengan pelbagai ancaman bagi menghadapi sebuah lanskap keamanan yang tidak menentu di mana kelompok-kelompok militan atau pelaku-pelaku tidak bernegara memperoleh akses yang luas melalui kemajuan teknologi persenjataan dan pemusnah besar-besaran.
Menurut Setiausaha Pertahanan, Robert Gates, konsep persenjataan baru, taktik baru dan musuh baru kini menjadi sesuatu yang dominan dalam menentukan dasar pertahanan negara setelah berakhirnya Perang Dingin. Kerana itu, “sekarang, kami seharusnya mempersiapkan sesuatu yang jauh lebih luas dari keperluan meningkatkan keamanan.”
Berdasarkan kepada perubahan dan tuntutan tersebut, pihak tentera Amerika Syarikat sentiasa mempertingkatkan keupayaan meninjau kembali apa yang selama ini merupakan asas pembentukan dasar, termasuk anggaran perbelanjaan pertahanan tahun 2011.
Tinjauan itu juga perlu bagi menentukan sejauhmanakah potensi ancaman yang pada masa ini boleh menyebabkan serangan ke atas kemudahan peralatan dan ketenteraan.
Dengan memberikan contoh, bagaimana ketika ini kumpulan militant Syiah Libanon Hizbullah mampu memperoleh pesawat tanpa juruterbang dan sistem pertahanan udara portabel, sementara Iran telah berupaya membangun sistem persenjataan balistik yang mampu mengepung kapal-kapal angkatan laut AS dan sekutunya.
FBI bunuh imam Masjid Detroit
DETROIT – Imam sebuah masjid di Detroit, Ameen Luqman Abdullah, telah ditembak sebanyak 20 das oleh pihak Biro Siasatan Persekutuan Amerika pada 28 Oktober lalu dikatakan cuba melawan semasa cubaan menangkapnya dilakukan.
Menurut sebuah laporan penyiasatan yang diketuai oleh Wayne County, pasukan pemeriksa perubatan yang membuat bedah siasat ke atas jenazah tersebut mendapati sebanyak 20 butir peluru telah terkena mangsa dan hasil bedah siasat itu telah didedahkan pada hujung Januari lalu.
Menurut jurucakap FBI, ketika kejadian Abdullah dikatakan cuba melawan dan melepaskan tembakan rambang ke sebuah kedai berhampiran. Dalam kejadian tersebut, Abdullah berjaya ditembak mati oleh pihak FBI.
Walau bagaimanapun, ketika ini pasukan polis masih menyiasat sebab-sebab utama pembunuhan tersebut manakala Majlis Hubungan Islam-Amerika telah diminta memberikan maklumat mengenai kejadian tersebut.
Menurut dakwaan FBI, Abdullah merupakan seorang pemimpin kumpulan Sunni yang radikal dan sedang merancang untuk mendirikan sebuah negara Islam di Amerika Syarikat.Walau bagaimanapun semua tuduhan yang dibuat oleh pihak FBI telah dibantah oleh keluarga Abdullah dan dilihat tidak menunjukkan mangsa mempunyai tindakan melawan kerajaan.
Kedutaan Saudi di Iran lindungi anak perempuan Osama
KAHERAH – Seorang anak perempuan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden telah berjaya melarikan diri dari satu pasukan pengawal yang mengawalnya sejak lebih lapan tahun lalu dan kini sedang dilindungi oleh pihak Kedutaan Arab Saudi di Teheran.
Menurut satu laporan akhbar Arab Saudi pada 23 Disember lalu, puteri Osama itu telah dikawal rapi bersama lima orang saudara lelakinya oleh sepasukan pengawal peribadi berjaya meloloskan diri dari kurungan lebih lapan tahun, iaitu sejak mereka melarikan diri dari Afghanistan pada tahun 2001.
Anak-anak Osama yang lain dikatakan sedang berselindung di Iran antaranya ialah Saad dan Hamza. Keduanya merupakan pemimpin dan mempunyai kedudukan penting dalam jaringan al-Qaeda.
Sebelumnya, menurut kenyataan perisik Amerika Syarikat bahawa Saad bin Laden berkemungkinan terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat di wilayah Pakistan, setelah melarikan diri dari Iran. Walau bagaimanapun berita tersebut tidak dapat disahkan.
Menurut Omar bin Laden, seorang lagi anak Osama yang tinggal di luar negera memberitahu, akhbar Asharq Al-Awsat bahwa menurut kenyataan Iman (anak perempuan Osama yang melarikan diri daripada kawalan), Saad yang berusia 29 tahun dan empat saudara lainnya masih berlindung di Iran. Iman memberitahu perkara tersebut melalui telefon dari kedutaan Saudi.
Iman yang berusia 17 tahun, berjaya memperdayakan para pengawal dan melarikan diri ke Kedutaan Saudi hampir sebulan lalu. Pejabat kedutaan, Fouad al-Qassas mengesahkan bahawa bahwa Iman sudah diberikan perlindungan di kedutaan itu sejak 25 hari lalu dan pihak kedutaan sedang memikirkan tindakan diplomatik bagi mengeluarkan Iman dari Iran.
Menurut seorang lagi anak Osama yang tinggal di Arab Saudi, Abdullah kepada rangkaian televisyen Al-Jazeera bahawa setelah berjaya melepaskan diri daripada kawalan sepasukan pengawal yang menemaninya membeli-belah di Teheran.
Osama bin Laden didakawa mempunyai seramai 19 orang anak daripada beberapa orang isteri. Osama dikatakan telah membawa sekurang-kurangnya seorang isteri dan beberapa orang anaknya ke Afghanistan pada tahun 1990-an setelah diusir dari Sudan.
Mereka kemudiannya berpindah ke beberapa tempat setelah berlakunya peperangan di Afghanistan.
Omar bin Laden juga menjelaskan bahawa beliau sempat menelefon saudaranya, Othman (25), yang merupakan salah seorang dari enam anak Osama yang ditahan di Iran. Menurut Othman dalam perbualan itu, kerajaan Iran telah menahan dia dan lima saudaranya setelah mereka menyeberangi sempadan Afghanistan tahun 2001.
Mereka seterusnya hidup dalam kawalan sepasukan pengawal di sebuah kompleks perumahan di Teheran. Menurut Omar, saudaranya yang berada di sana adalah Saad, Hamza, Othman dan Bakr bersama dua orang anak perempuan Osama, Iman dan Fatima.
Susunan MAHANOR SALEHA
Leave a Reply