Kasih suci tidak bermusim
Tarikh 14 Februari diisytihar oleh orang Barat sebagai ‘Hari Mengingati Kekasih’. Di dalam kalendar Islam, tidak dikhaskan hari istimewa memperingati kekasih, tetapi ini tidak bererti Islam tidak menghargai budaya cinta dan kasih.
Islam melihat cinta dan kasih sebagai fitrah dalam kejadian manusia. Ia adalah satu hubungan suci yang memaut antara hati. Ia adalah anugerah Allah, sebab itu ia sangat berharga.
Firman Allah di dalam al-Quran membayangkan kasih dan sayang sebagai nikmat pemberian Allah yang tidak boleh dibeli sekalipun tawaran harganya ialah bayaran bumi dan segala isinya.
Walaupun kewujudan cinta diiktiraf oleh agama, harganya yang terlalu mahal menyebabkan ia sukar untuk diingati sehari cuma.
Orang Islam tidak meraikannya pada hari tertentu saja kerana cinta dan kasih yang suci tidak boleh bermusim. Ia tidak boleh digambarkan hanya melalui slogan kata-kata indah atau sekadar sejambak bunga ros merah.
Nilai kasih dan cinta yang dibudayakan Islam adalah untuk sepanjang hayat. Ukurannya pula harus dibuktikan dengan pengorbanan, ujian, dugaan dan kesanggupan memikul tanggungjawab melakukan apa saja demi kecintaannya.
Cinta yang tulus dan murni adalah kurniaan Allah. Ia tidak datang menyembah dengan percuma. Allah akan menganugerah rasa cinta dan kasih pada mereka yang bersungguh berusaha mencarinya. Setelah terhasil kasih dan cinta, ia perlu dipupuk dan dibaja.
Pun begitu, cinta yang jernih tidak mustahil keruh di pertengahan jalan apabila dicemar oleh sikap negatif.
Menyedari hal ini baginda Rasulullah s.a.w sentiasa berdoa memohon dikurniakan cinta dan kasih pada Allah.
Baginda mengajar umatnya bermunajat dengan berdoa:
“Ya Allah, kurniakan padaku cinta dan kasih kepadaMu serta cinta dan kasih pada mereka yang mencintai-Mu, jadikanlah apa saja yang aku suka sebagai pendorong untuk mencintai-Mu.”
Begitulah cara Rasulullah s.a.w memupuk kasih agar terjamin berkekalan sepanjang hayat. Keprihatinan Islam membudayakan nilai cinta dan kasih nampak jelas melalui saranan Islam di dalam pendidikan anak-anak supaya ibu bapa memupuk cinta dalam diri anak-anak sejak kecil.
Baginda Rasulullah berpesan di dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Ajarkanlah anak kamu belajar mencintai tiga perkara, cinta dan kasih pada nabi, cinta dan kasih pada keluarga nabi dan cinta dan kasih pada al-Quran.”
Cinta ikhlas terhadap tiga perkara ini akan menjadi driving force atau nadi penggerak yang mendorong seseorang sanggup berkorban demu membuktikan cintanya.
Para sahabat yang mencintai Rasulullah sampai ke tahap sanggup menggadai nyawa demi cinta dan kasih kepada Rasulullah s.a.w. Baginda memberi jaminan bahawa cinta begitu akan menyelamatkan seseorang dari neraka di hari akhirat.
Seorang lelaki Badwi pernah datang berjumpa dengan Rasulullah dan bertanya, “Wahai Rasulullah, bilakah akan berlaku kiamat?” Baginda menjawab: “Apakah persediaan kamu sudah cukup untuk menghadapinya?”
Lelaki itu menjawab: “Tidak banyak yang aku sediakan, cuma aku bekalkan diriku dengan rasa cinta dan kasih kepada Allah dan Rasul-Nya.” Baginda terus menjawab, “Dan dengan cinta itulah kamu akan dikumpulkan dengan orang yang kamu cinta di hari akhirat.”
Kekasih sebenar ialah pengabdian kepada Allah. Kasih kepada Allah ini harus dibuktikan melalui taat kepada ajaran Rasul dan ia berkekalan sepanjang hayat.
Cintanya seorang sahabat yang bernama Anas kepada Rasulullah s.a.w, mendorong beliau untuk berkhidmat dengannya selama sepuluh tahun hingga baginda wafat.
Ada juga yang sanggup menjadi tukang susun kasut Rasulullah, tukang memegang air wuduk Rasulullah dan sebagainya asalkan dapat menatap wajah kekasih mereka dan berkhidmat untuknya.
Setiap bekas peninggalan Rasulullah adalah terlalu berharga. Ummu Salim menyimpan kain bekas lelehan peluh Rasulullah untuk keberkatan anak cucunya.
Asmak isteri Zubair sanggup bangun berjumpa Rasulullah sebaik saja melahirkan anaknya Abdullah supaya tegukan pertama yang ditelan anaknya ialah daripada air liur Rasulullah yang mengunyah buah kurma.
Hari ini bekas peninggalan kekasih ini cuma al-Quran dan hadisnya. Jika benar kasih dan cinta kita padanya buktikanlah dengan mengikuti apa yang dipesannya.
Cinta dan kasih ini mestilah berkekalan sepanjang hayat. Meskipun tidak pernah bersua dengan kekasih ini tapi baginda memberi.jaminan setiap yang menyintainya akan dapat berkumpul bersama baginda nanti.
Iman dan cinta berserta kasih saling bertaut rapat. Tanpa inta, kemanisan iman tidak terasa. Baginda Rasulullah berpesan dalam sebuah hadis, “Sesiapa yang mahu merasakan nikmat manis iman mesti belajar bercinta dan kekasih yang pertama dan terakbirnya mestilah Allah dan Rasulullah. Setelah itu dia belajar kasih pada dirinya.”
Dalam erti kata lain, dia memelihara dirinya sebaik mungkin kerana dia adalah wakil atau khalifah daripada Allah. Seseorang tidak boleh hidup bersendirian, dengan itu dia mesti belajar kasih pada sahabatnya sepertimana dia kasih pada dirinya.
Bagaimana pula Islam mengajar umatnya memupuk kasih? Selain daripada bukti pengorbanan, ucapan cinta juga tidak kurang pentingnya. Acap kali baginda berpesan kepada kita, jika benar kita cinta dan kasih pada seseorang ucapkanlah dan sebutlah kepadanya.
Rasulullah memberi tips mengekalkan kasih sayang, antaranya banyakkanlah tegur menegur dengan ucapan salam antara satu sama lain. Bertukar-tukar hadiah juga tidak kurang peranannya mengintimkan hubungan. Ziarah menziarahi semoga kasih berpanjangan sepanjang hayat.
Hamba yang belajar mencintai Allah dan Rasul akan dibalas cinta mereka dengan cinta Allah.
Cinta Allah yang berganda pada hambanya diiringkan dengan maghfirah, rahmat dan berkat. Cinta Allah berkekalan sepanjang hayat.
Cinta Rasul pada umatnya mendorong baginda berdoa sebanyak-banyaknya untuk mereka. Cinta Rasul berkekalan sehingga kiamat diiring dengan syafaat.





