Usah perkecilkan sambutan Maulidur Rasul

Bookmark and Share

133

Oleh KETUA EDITOR

Ada di kalangan  kita yang memperkecilkan sambutan Maulidur Rasul kerana menganggap ia tidak mempunyai fadilat dan disifatkan sebagai ‘menyimpang’. Lebih daripada itu, ada juga yang melarang perarakan di jalan raya kerana dikatakan tiada dalil teks yang membolehkan mereka berarak meraikan sesuatu sambutan.

Ini menunjukkan betapa jahilnya golongan ini yang enggan menunjukkan rasa kecintaan yang mendalam terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Sedangkan pada hakikatnya memperingati baginda merupakan sunat muakad yang tertinggi dalam menghayati sejarah serta perjuangan baginda yang dapat menginsafkan diri setiap umat Islam.

Maulidur Rasul perlu disambut sebagai tanda orang Islam menyayangi baginda dan mengeratkan hubungan kerohanian antara baginda dengan umatnya. Allah sendiri memuliakan Nabi, maka adalah sunat bagi umat manusia turut meraikan hari kelahiran baginda. Kalau ada yang mengatakan bahawa perayaan Maulud Nabi merupakan satu perbuatan bidaah, maka  orang tahu kita ini pelaku bidaah yang mencintai Nabi.

Mengapa kita wajib mencintai Rasululllah s.a.w? Kerana baginda memang wajar untuk dicintai.Adakah teladan yang lebih baik dari kehidupan Rasulullah s.a.w? Itu hanya ada pada orang yang hatinya beku untuk mencintai keagongan dan kemuliaannya. 

Salah satu anugerah Allah s.w.t bagi mereka yang mengikuti Rasulullah s.a.w adalah digabungkannya mereka bersama beliau secara rohaniah di dunia dan secara hakiki di akhirat. Apakah yang akan terjadi bila hati sangat terpaut dengan orang yang kita cintai? 

Pertama: sudah tentu perilaku kita (iaitu fikiran, perasaan, dan tindakan) akan sangat dipengaruhi oleh apa dan siapa yang kita cintai. Kedua: jika anda mencintai seseorang, sudah tentu anda akan berusaha untuk berperilaku seperti orang itu. 

Cintai Rasulullah s.a.w, pasti ia akan menjadi pusat perhatian seluruh kehidupan kita. Di mana sahaja orang membicarakan  tentang kemuliaan Nabi s.a.w,  kita juga akan turut bersama menghayati sejarah hidup dan sunnah baginda. Kita akan mengabungkan diri dengan orang-orang yang mencintainya. Sudah tentu kita  akan merasa bahagia ketika menyaksikan orang yang memuliakan baginda, sebaliknya berduka cita ketika mendengar orang yang menperlekehkannya. 

Pada hakikatnya meneladani perilaku Nabi s.a.w tidak dapat direalisasikan hanya dengan menpelajarinya. Kita harus memasukan cinta kepada Nabi s.a.w terlebih dahulu ke dalam hati kita. Setelah cinta sudah tertanam di dalam hati, dengan mudah dan dengan nikmat kita akan mencontohi Nabi s.a.w dalam setiap gerakan kita. 

Mencintai Rasulullah menjadi suatu  keharusan dalam iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan  suka atau tidak suka. Seorang Muslim harus menyimpan rasa cinta kepada Nabinya, seberapa kecil sekali pun. Idealnya ia mencintainya lebih daripada segala sesuatu yang ia miliki, bahkan dirinya sekalipun. Dan itulah pada hakikatnya iman yang paling sempurna. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang sehingga aku (Nabi) lebih ia cintai daripada dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)                                                                                                                      

Sambutan merayakan hari kelahiran junjungan besar kita, diadakan setiap tahun ini bertujuan mengingati dan mengenang kembali sejarah perjuangan hidupnya yang penuh dengan pengajaran  tauladan dan contoh ikutan (uswah hasanah).

Justeru hari kelahirannya dikira ‘hari Allah’ yang bersejarah dalam agama Allah dan diperintahkan untuk diperingati sepertimana firman-Nya yang bermaksud:

“Dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah (peristiwa agama yang bersejarah bagi suatu ummah).” (Surah Ibrahim: 5))

Demikian juga sehingga Allah s.w.t dengan sinis menyindir mereka yang tidak langsung mengambil ingatan terhadap hari-hari Allah yang bersejarah dalam agama. Ini dapat difahami dari firman-Nya yang bermaksud:

“katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman hendaklah mereka memaafkan (kejahatan dan gangguan) mereka yang tidak menaruh harapan (ingatan) kepada hari-hari Allah (yang disuruh melakukan yang demikian itu(memperingatinya) kerana Tuhan akan membalas suatu puak itu dengan apa yang mereka usahakan.” (al- Jaathiyah: 14)

Bagi umat Islam hari ini tiada suatu nikmat lain yang lebih besar dari kelahiran dan kedatangan jujungan besar Rasulullah kealam maya ini. Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk alam semesta. Ini sesuai dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Tiada Kami utuskan kamu melainkan sebagai rahmat untuk alam semesta seluruhnya.” (al-Anbiya: 107)

Dengan rahmat inilah diarahkan kita sebagai umatnya untuk bersuka ria dan berpesta dengan apa jua bentuk perayaan dan sambutan yang sesuai seperti berpuasa, berseminar, berarak, ziarah menziarahi dan apa-apa majlis yang boleh merapatkan hubungan silaturrahim sesama kita.

Justeru itu, acara sambutan atau pesta besar-besaran  ini pernah diadakan oleh penduduk Madinah sewaktu menyambut ketibaan Rasulullah (peristiwa hijrahnya), yang mana di antara mereka ada yang beramai-ramai berarak-arak di jalan  untuk mengalu-ngalukan ketibaannya dan ada yang memanjat pokok tamar, dan yang menaiki bumbung-bumbung rumah, ada yang memukul gendang dan bernasyid.

Sudah diketahui umum  kita digalakkan mengadakan akikah (sembelih) dua ekor binatang (kambing) untuk menyambut kelahiran anak lelaki dan seekor kambing untuk bayi perempuan serta bercukur dan sebagainya . Ini semua untuk melahirkan (menandakan) kesyukuran terhadap nikmat Allah. Dalam hal ini Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Dan adapun dengan nikmat Tuhanmu itu, maka hendaklah engkau sebut-sebut (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya.” (al-Dhuha: 11)

Apakah nikmat kedatangan utusan Allah ini dinilai begitu remeh dan hina sekali?

Perlu difahami, walau bagaimana tinggi sanjungan dan selawat yang dipersembahkan oleh kita sebagai umat baginda, selama-lamanya pun tidak dapat menandingi jasa dan kelebihan rahmat dan petunjuk baginda kepada kita.

Maka, salahkah kita menyambut hari ulang tahun keputeraan baginda sebagai tanda rasa syukur dan terima kasih kepada ‘tokoh’ yang tiada tolok bandingnya?

Bookmark and Share

About the Author

Editor

One Response to “ Usah perkecilkan sambutan Maulidur Rasul ”

  1. “Selepas kewafatanku kamu akan melihat banyak perselisihan. Maka berpegang teguhlah dengan sunnahku dan sunnah khulafa al rasyidin al Mahdiyyin (Mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah dengan geraham. Jauhilah kamu perkara yang diada-adakan dalam agama, kerana setiap yang dia-adakan adalah bid’ah, dan setiap yang bid’ah itu adalah sesat”

    Riwayat Abu Daud, Tirmidzi mengatakan Hadith ini adalah Hadith Hasan Shahih. al-Hakim dalam al-Mustadrak mengatakan Hadith ini adalah Hadith Shahih.

Leave a Reply

You can use these XHTML tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <blockquote cite=""> <code> <em> <strong>