Gerakan pantas membasmi ajaran sesat

February 19, 2010 9:48 AM 0 comments

Share this Article

Author:

Blue hills

Oleh KETUA EDITOR

Berdasarkan realiti sejarah masa lalu, jelas  ajaran sesat boleh membawa kepada perpecahan dalam masyarakat. Ajaran sesat tidak sahaja melakukan penyelewengan terhadap Islam dan menyesatkan para pengikutnya, namun daripada bukti-bukti sejarah, ia berupaya menimbulkan ketegangan, malah peperangan.

Selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w dan sewaktu zaman  Khalifah Ar-Rasyidin, terjadi peperangan menentang ajaran sesat.

Terdapat pelbagai bentuk ajaran sesat, tidak sahaja yang sesat dan menyesatkan pembawa mahupun pengikutnya tetapi ikut sama menyeret kepada hal-hal yang berkaitan dengan politik sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dan permusuhan yang tidak akan menguntungkan sesiapa pun sama ada individu, kumpulan mahupun masyarakat dan negara.

Menyedari bahawa ajaran sesat, pengamal mahupun pengikutnya boleh mengancam keamanan masyarakat, maka tindakan tegas pihak berwajib, pihak yang bertanggungjawab menjaga kesucian Islam agar tidak tercemar oleh anasir-anasir dan makhluk perosak ini, maka tindakan tegas ke atas pembawa, pengamal dan para pengikutnya sebagaimana kes terbaru yang terjadi pada guru dan pengikut  Ajaran Abdul Rejab Ahmad di Putrajaya, adalah dialu-alukan.

Jakim sebagai agensi pusat yang menyelaras semua perkara yang berkaitan dengan agama Islam haruslah meningkatkan lagi usaha membanteras gejala ajaran sesat ini di samping peranan pihak berkuasa agama negeri menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas tanpa kompromi dengan golongan ini. 

Di Malaysia sahaja untuk mengenali ciri-ciri ajaran sesat, di antaranya ialah golongan ini memansuhkan syariat Islam dan mengadakan syariat baru, dapat meramalkan bila berlaku kiamat, menerima risalah Islam terus daripada Nabi, zikir dalam gelap bercampur gaul lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamal suluk, penyerahan rohani dan jasmani kepada guru melalui nikah batin, menghalalkan nikah adik-beradik, semua manusia boleh melihat Allah di dunia ini, nikah menurut syariat hanyalah mengikut adat, sebab itu dikehendaki dinikahkan sekali lagi dengan nikah batin, murid-murid tidak boleh mengahwini wanita-wanita yang diminati oleh gurunya dan bagi mereka Islam itu ada zahir dan batin, zahir itu kulit dan batin itu isi. Apabila dapat isi, maka kulit tidak berguna lagi.

Dan yang paling dibimbangi jelas bahawa kebanyakan ajaran sesat di Malaysia menggunakan seks sebagai tarikan kepada ajaran mereka dan kebanyakan yang menjadi mangsa mereka adalah wanita.Di kalangan wanita Islam yang sering tertipu oleh perangkap guru ajaran sesat ini adalah dari kalangan mereka yang jahil dan tiada pengetahuan asas agama. Dan tidak dinafikan juga ada dikalangan mereka yang berpengetahuan agama juga turut terpengaruh dan terlibat. 

Tujuan sebenar kumpulan ajaran sesat ini adalah untuk menghancur dan merosakkan ajaran Islam yang suci ini. Untuk mencapai matlamat tersebut, mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi mempengaruhi masyarakat Islam yang tidak mempunyai pegangan akidah yang kukuh. 

Mereka memperkenalkan ajaran baru yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Dengan cara ini mereka dapat melemahkan dan merosakkan pegangan umat Islam terhadap akidah Islamiah.

Kelewatan bertindak ke atas kumpulan-kumpulan ajaran sesat akan mengakibatkan tercetusnya pelbagai angkara yang mungkin tidak terjangkau pada pemikiran kita. Demikian juga bentuk hukuman dan denda sedia ada yang dikategorikan sebagai amat rendah serta tidak setimpal dengan kesalahan, jelas menunjukkan bahawa usaha menangani ancaman ajaran sesat kurang berkesan dan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Oleh hal yang demikian, satu metadologi yang merangkumi aspek pendidikan seperti menyebarkan risalah atau maklumat umum mengenai cara mengenal pasti sesuatu ajaran sesat perlu dilakukan. 

Pendidikan formal atau tidak formal boleh dimanipulasi sebagai medium penyebaran maklumat yang berkesan termasuk penggunaan media cetak dan elektronik.

Kaedah atau jalan penyelesaian umat ialah dengan meluruskan akidah dan kembali kepada akidah Salafush-shalih, menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber hukum, ikhlas pada Allah dan menjadikan Rasulullah Saw. sebagai teladan, menuntut ilmu syariat serta berusaha memahami agama dan mencari kebenaran mengikut dalil yang benar.

Usaha juga harus ditekankan ke arah memberi penerangan secara jelas kepada masyarakat umum mengenai akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Sikap tidak bertolak ansur dalam penghayatan akidah yang sahih merupakan suatu ketegasan tidak sahaja dalam mempertahankan kesucian akidah dan agama Islam itu sendiri, tetapi yang sama pentingnya adalah mempertahankan kewibawaan institusi Islam.

Akidah yang sahih ialah mereka yang beriman kepada Allah, para malaikat dan rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, hari akhirat serta qada dan qadar. Akidah yang benar dapat menjadi landasan dan pendorong bagi umat Islam dalam melaksanakan amal soleh dan diwar-warkan dalam pelbagai media – cetak mahupun elektronik – secara meluas.

Satu kempen yang menyeluruh dan gerakan yang strategik haruslah dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai wadah yang ada seperti misalnya masjid-masjid. Hal ini perlu dilakukan dengan segera tetapi bukan ad-hoc kerana mereka yang terlibat dengan ajaran salah ini secara relatif bukan hanya kalangan orang biasa, bahkan mereka yang mempunyai pengetahuan dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat.

Leave a Reply