Bersikap dinamis tanpa menendang tradisi

February 5, 2010 4:27 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh SYAM AKHYAR

Kecenderungan sekian banyak orang untuk melakukan “pembaharuan” di dalam gaya hidup, bahkan di dalam sistem hidup, antara lain turut memancing aksi yang agak ekstrem. Sama ada ia memang bertolak dari satu kefahaman yang jitu, atau sekadar condong kepada sesuatu prinsip, atau tak lebih pun daripada keghairahan terhadap sebuah trendy, pokoknya tidak sedikit perlakuan manusia (kerana mahu beroleh kepuasan; atau juga kerana percaya kepada dalih dan dalil perjuangan) yang tiba-tiba seperti “melompati tujuh gunung menyeberangi tujuh lautan” tanpa mengira betul atau salah laluan yang diambil.    

Begitulah, telah terbetik berita di sana sini mengenai perlakuan sekian banyak manusia, yang berasa segala sistem-nilai yang sedia ada ini tidak lagi relevan, tidak lagi boleh diguna pakai. Seolah-olah segala macam perhukuman dan peradatan yang sudah sedia sebati dalam kehidupan manusia sejak zaman berzaman itu adalah barang lapuk dan usang, dan kerananya perlu diperbaharui atau perlu diganti.    

Di sinilah sebahagian daripada kita menjadi lupa.    

Kita menyangka, bahkan sebahagian kita begitu percaya, bahawa untuk membangun hidup supaya benar-benar maju dan jaya, landasan konkrit mestilah dibina. Dan landasan konkrit itu adalah apa yang disebut sebagai realiti, jelas, terang, “akurat”  dan tahan uji. Dengan kata lain, setiap peraturan mestilah “siap-guna” atau “siap-pakai”, dan tidak boleh lagi sekadar sebuah retorik, sebuah permainan kata, sebuah kepercayaan  melulu dan apa sahaja yang menyerupainya.       

Pada tahap inilah kita jadi terbentur.      

Kita begitu muak dan meluat terhadap sebarang peraturan lama (dalam hal ini adalah agama dan adat), lalu kita cuba untuk mencerna peraturan baru; atau sebenarnya tidak mencerna apa-apa peraturan lain, sekadar meremeh-remehkan peraturan lama itu sahaja. Malahan, jikapun sebuah atau beberapa buah peraturan baru direka-cipta, ianya tidak lebih daripada teori-teori yang serba janggal. Di tempat lain, peraturan baru itu sangat ceroboh sifatnya, kerana ianya cuba menerobos sesuatu yang sudah baku dan valid sejak sekian abad.       

Dengan kata lain, “pancang” atau “tiang” sekian banyak rukun dianggap tidak lagi berupaya menjadi pasak, atau jika dimisalkan sebagai sebuah kenderaan, kenderaan itu tidak lagi mampu memecut mengejar luncuran kenderaan-kenderaan lain yang memacu di lebuhraya. Mahu tidak mahu pilar-pilar atau tiang-tiang baru mesti dibina. Kenderaan baru mesti dicari. Yang lama sama ada ditumbangkan saja atau dihumbankan saja ke gaung, atau biarkan saja berkarat dan punah sendiri!       

Begitulah manusia moden berhadapan dengan kemajuan zaman.       

Sekali lagi, di sinilah sebahagian daripada kita menjadi lupa, juga menjadi keliru.        

Sesungguhnya menerobos zaman itu bukanlah bermakna menumbangkan zaman, atau cuba memutar-balik kalendar. Menerobos zaman tidak lebih daripada  bersedia menghadapi segala macam cabaran yang bakal tiba. Persediaan itu adalah penggembelingan serentak antara mental, spiritual, dan energi. Penggandaan nilai-nilai dalaman itulah yang penting, sementara material luaran hanyalah pemangkin.       

Sehingga kini, telah terjadi sekian banyak peristiwa di mana kerana ingin menjadi manusia maju, maka manusia yang sama sanggup menjadi provokator: melakukan apa saja provokasi dan pelanggaran tak menasabah, antara lain termasuk cuba merombak struktur atau tiangseri agama dan berusaha menyesuaikan dengan apa yang mereka sebut sebagai “tuntutan zaman”, atau malahan cuba membina sebuah  agama baru dengan bertolak daripada sekian banyak agama, mencampur-adukkannya, tak kira sama ada agama samawi mahupun agama budaya, lalu mereka cuba menamakannya sebagai “agama zaman globalisasi”.

Jika mereka masih bertengger pada pola Islam, mereka namakan sebagai “Islam Moden” atau “Islam Baru”; dan jika mereka masih bergantung pada dagu Kristus, mereka menamakannya pula sebagai “Kristian Global”. Ya, apa sahaja nama mereka berikan. Pokoknya, semuanya telah dicincang dicaing. Yang diusung tak lebih daripada “modernisme” yang mereka fikir akan selalu sesuai dengan semua manusia dan semua zaman.               

Dan ini meliputi hampir semua aspek hidup.              

Cara berpakaian saja sudah demikian melencong. Manusia tamadun, yang kononnya sangat tahu akan ethika, mulai merombak segala nilai ethika yang murni itu, semata-mata kerana memuja “kebebasan hak pribadi dan hak asasi”. Lantaran itu, salah satu wabak paling bahaya yang sedang mengancam manusia global adalah apabila mereka “berpakaian” seperti manusia yang langsung “tidak memakai apa-apa”. Maka betullah seperti dikatakan sebahagian komentator moral: manusia moden nampaknya sedang kembali ke zaman batu dari segi berpakaian!              

Betapa tidak? Kalau orang-orang di zaman batu sekadar memakai cawat, atau sekadar menggunakan daun-daun kayu untuk menutupi kelangkang dan dada mereka, manusia-manusia moden malahan sedang sangat ghairah dan berasa bangga untuk mendedahkan kelangkang dan dada mereka!              

Apabila mereka diberi peringatan, mereka membalas balik dengan peringatan mereka: Ini hak kami! Ini zaman kami! Hormatilah hak asasi kami!              

Jadi apa lagi komen kita?              

Tak kalah pula cara makan dan minum. Orang-orang zaman batu makan apa saja, minum apa saja. Tetapi umumnya mereka tidak makan dan tidak minum apa yang boleh merosakkan diri mereka. Sekurang-kurangnya mereka masih mampu berpandu kepada perbuatan beruk dan kera. Beruk dan kera tidak makan daun-daun, umbut-umbut, buah-buahan dan bunga-bungaan yang boleh “meracuni” mereka. Manusia zaman batu juga begitu.             

Tetapi manusia zaman moden, manusia di era globalisasi ini, malahan dengan sengaja “mencipta” pelbagai makanan dan minuman yang boleh merosakkan diri mereka sendiri. Mereka juga bukan lagi sekadar makan untuk menghindar daripada lapar, atau minum sekadar melepaskan haus, sebaliknya mereka makan dan minum untuk memecahkan tembolok mereka!              

Mereka lantak alkohol sampai hangus jantung mereka. Mereka telan aneka macam jenis dadah sampai menghancur usus mereka. Mereka makan setiap tongkol daging, hatta daging manusia. Tidak cukup sekadar otak monyet yang dimakan mentah-mentah (ketika monyet masih bernyawa), malahan mereka sanggup makan ginjal manusia, sanggup pula makan janin manusia! Tak mampu kita berfikir dan memikirkannya!              

Tapi itulah manusia moden!              

Bagi mereka, setiap makanan dan minuman tak perlu dipersoalkan lagi: dari mana datangnya? Apa pula bahan asasnya? Apa akibatnya?              

Belum lagi cara membina pergaulan. Sudah seperti langit dan bumi bezanya pergaulan orang zaman dulu dengan orang zaman moden. Entah kerana terlalu cepat matang, terlalu cepat dewasa, atau kerana adannya pengaruh atau petunjuk dari sekian bahan siaran, cara bergaul orang zaman moden sudah betul-betul kelewat batas.              

Hakikat memang tak dapat ditutup. Perlakuan manusia moden, di sana sini, tidak lagi terikat oleh adat dan tatacara berakhlak. Manusia moden, kerana pelbagai macam alasan, selalu membelakangkan agama dan hukum, apabila mereka menghidupkan peranan mereka sebagai “pelakon sandiwara di pentas dunia terbuka”.              

Mereka tidak berasa perlu untuk menghormati orang lain. Mereka berontak apabila perbuatan mereka digugat, dan mereka mendesak supaya hak asasi mereka dikembalikan ke tempat sewajarnya, tetapi pada masa yang sama, mereka tanpa segan silu menginjak-pijak hak asasi khalayak/masyarakat mereka.              

Dan ini merembat langsung kepada cara menstrukturkan keluarga. Keluarga zaman moden telah kehilangan paksinya. Setiap seorang di dalam keluarga seolah-olah telah terlepas dari kontrol. Malahan masing-masing mendakwa mereka mampu mengontrol diri masing-masing, padahal hakikatnya mereka langsung tidak terkontrol.              

Musibat daripada apa ini?             

Kesan daripada modernansi semata-mata? Tidakkah modernisasi (dengan sains dan teknologinya) telah banyak memberikan kemudahan kepada manusia? Ataukah kesan globalisasi? Tidakkah globalisasi juga sebenarnya adalah ciptaan manusia, yang bertolak dari sains dan teknologi itu juga?             

Atau sebenarnya agara-gara penangan materialisme, yang membuat manusia setiap saat hanya tahu mengejar “benda” (tanpa memisahkan antara yang halal dan yang haram)? Apapun jawabannya, manusia sendirilah yang memegang kemudi, maka manusia pulalah yang boleh memilih haluan.     

           

Sayangnya, ada ketikanya manusia lupa bagaimana hendak mengendalikan “stering”, lalu membiarkan kenderaan meluncur ke mana saja. Tahunya sekadar menekan pedal minyak, sedangkan pedal brek pun tidak lagi dianggap berfungsi. Dengan kata lain, manusia itu akhirnya tiba ke satu tahap di mana tahunya cuma maju dan maju terus; dan kerana “maju”nya itu, apa sahaja yang menggelibat di sepanjang jalan langsung ditinggalkan, hatta papan petunjuk dan dan tanda peringatan keselamatan sekali pun.             

Padahal petunjuk dan peringatan itu senantiasa dipaparkan di hadapan mereka. Dan apa lagi itu kalau bukan agama? Agama  senantiasa memberikan pedoman dan peringatan, bagaimana caranya untuk menata kehidupan. Agama senantiasa memberikan wejangan bagaimana caranya untuk membina dan menstruktur keluarga bahagia dan kompak; agama tak pernah menyempitkan hak manusia untuk memburu “benda” asalkan diimbangi dengan pertanggungjawab membangunkan nilai-nilai insani yang bertopangkan nilai-nilai Ilahi; agama mengajarkan cara terbaik bagaimana untuk memurnikan pergaulan antara manusia, pergaulan remaja; agama sering memberikan nasihat bagaimana untuk mencari kesihatan kepada badaniah (dengan makan dan minum), sekali gus menyihatkan rohaniah (dengan ibadat dan kebajikan);   dan agama juga sarat dengan isyarat bagaimana caranya manusia itu harus berpakaian, harus menjaga auratnya, kerana aurat itu adalah milik perribadi yang sangat mahal nilainya, yang selalu berkembar dengan maruah, harga diri dan keperibadian insani!           

Semuanya ada dalam agama!      

    

Malangnya, manusia moden di zaman globalisasi ini, betul-betul sudah “hilang akal”. Betapa tidak? Agama pun sudah mau di caing-caing, di siat-siat. Kononnya banyak kaedah beragama yang sudah ketinggalan zaman, maka manusia moden harus merombak kaedah itu dengan mencipta kaedah-kaedah “baru” dalam praktik agama! Sungguh mati, sudah “sesat” betul manusia!           

Rupanya, bagi manusia moden, apa sahaja harus diperbaharui, hatta justeru kerana untuk “baharu” itu, semuanya mesti dirempuh dan dilanggar! Rupanya kemajuan itu sinonim dengan pembaharuan. Rupanya, apabila hendak “maju” mestilah semuanya “baharu”, dan apabila hendak “baharu”, fondasi yang sudah muktamad pun mesti ditunggang-terbalikkan!          

Sehingga pada akhirnya, inilah pertanyaan pedih kita, apakah manusia sesungguhnya tidak lagi seronok menjadi manusia, dan kerana itu, mereka sanggup untuk jadi apa sahaja asalkan bukan manusia?

Leave a Reply