1Malaysia dan Islam

February 24, 2010 9:52 AM 0 comments

Share this Article

Author:

Tags:

Oleh MOHD KHAIRI WAN ALI 

Sudah menjadi lumrah dan amalan para pemimpin untuk memberikan jenama kepada kepimpinannya. Obama dengan ‘Kita Boleh Berubah’, manakala Najib pula dengan 1Malaysia. Dalam jenama inilah tersiratnya visi pemimpin, yang berteraskan pada realiti dan misi kenegaraan masing-masing. 

Dan sudah menjadi lumrah serta amalan rakyat, mereka akan mentafsir, sambil melihat sejauh mana apa yang dijenamakan itu menjadi kenyataan. Nampaknya Najib lebih bernasib baik daripada Obama, yang kini sedang mengalami kejatuhan dalam popularitinya, dengan beberapa kekalahan dalam pilihanraya untuk merebut jawatan gabenor. 

Demikianlah nasib jenama. Pemimpin tidak boleh lari dari situasi politik. Bahkan, PM Malaysia sedar dan sanggup menghadapinya, serta akan tetap menerima apa saja keputusan pilihanraya umum yang bakal menjelang 2 atau 3 tahun lagi: PRU-13. Keputusan itulah penentuan terakhir sama ada berjaya, atau pun berkesan. 

Itu dari segi realiti, politik atau pun kenegaraan. 

Dari perspektif Islam pula, dan tanpa mengambil kira wujudnya pelbagai fahaman seperti tradisional, moden, konseptual, dogmatik, pragmatik, fundamental atau sebagainya, Islam tetap mempunyai tatacaranya yang tersendiri untuk kebajikan manusia, yang menjangkaui masa dan planet.Semua baik-buruk, jatuh-bangun, sesebuah bangsa atau negara, ditegaskan tidak lain tidak bukan adalah kerana menginkari perintah Allah, yang seluas infiniti alam semesta. 

Semuanya – alam sekitar, flora dan fauna, cuaca – berjalan di atas landasan tertentu, yang dinamakan sebagai sunnahtullah. Cuma manusia yang mempunyai pilihan: patuh atau ingkar, dan segala spektrum antaranya: tidak terkecuali. 

Dari segi motif 1Malaysia, yang bertujuan untuk menyatukan pelbagai bangsa/keturunan/kaum yang ada, sememangya selaras dengan apa yang telah dibentangkan dalam Islam. Islam yang menerima kewujudan kepelbagai etnik manusia ini, bersekali dengan agama atau kepercayaannya, tetap tidak inginkan manusia bermusuhan. Sebaliknya, mengharapkan umat Islam dan manusia seluruhnya, menghormati antara satu sama lain. Inilah teras perhubungan antara manusia. 

Demikian jugalah dengan intisari 1Malaysia yang sebanyak 8 nilai itu: budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan, dan integriti. Semuanya tidak lari dan berada dalam ajaran Islam seperti adil (meritokrasi), mengejar ilmu (pendidikan), pekerti mulia (rendah hati, penerimaan, kesetiaan, integriti) dan menjadi ‘khairan ummah’ – umat terbaik – yang tergambar dalam budaya kecemerlangan. 

Slogannya pula, ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’, juga merupakan suatu slogan yang tidak lari dari ajaran Islam. Pemimpin atau pemerintah perlu mementingkan rakyat, dan penilaian terhadap pemerintahan perlu diukur melalui pencapaiannya. Prestasinya bakal dan mampu menutupkan segala kritikan dan tohmahan yang tidak menentu, melulu, berunsur fitnah, yang juga menjadi adat atau lumrah dalam politik, baik secara demokrasi, bersistemkan khalifah, raja, atau sebagainyan. 

Oleh hal yang demikian, adalah tidak menghairankan jika  seseorang pemimpin itu mengharapkan penyertaan orang ramai atau rakyat. Paling tidak memahami label 1Malaysia. 

Malangnya, di luar sana, bermacam-macam karenah yang dilakukan oleh segelintir rakyat yang tidak faham atau tidak mahu faham apa itu saling menghormati. Ini kerana asas ini, tetap memerlukan toleransi, persefahaman, kesabaran dan sebagainya. 

Sebaliknya di luar sana, ada yang bersikap mementingkan diri sendiri atau pun golongan sendiri saja. Contohnya, waktu solat Jumaat, dijadikan alasan untuk semua pekerja berehat, walhal umat Islam perlu ke masjid, makan, dan bergegas ke pejabat pula, sedangkan mereka hanya makan dan rehat saja! Alasan mereka: 1Malaysia. Semuanya sama! 

Atau dalam mengambil pekerja. Mereka akan melaksanakan meritokrasi, tanpa mengira keadilan dan kewajaran serta situasi yang ada. Mereka menyembunyikan tujuan sebenar mereka, iaitu melaksanakan meritokrasi apabila meritokrasi itu memberi kelebihan kepada mereka, atau puak mereka! 

Dengan kata lain, antara penilaian terbesar terhadap 1Malaysia ialah adil. Keadilan ini perlu difahami bukan saja dari segi ilmunya bersekali dengan nilai-nilai yang berbeza antara ajaran Islam dan Barat, misalnya, tetapi juga aplikasi ilmu keadilan itu sendiri, yang mencakupi ruang polisi, dasarnya, pelaksanaan dan penguatkuasaan. 

Di sinilah terletaknya nilai orang ramai, yang bakal menentukan sama ada 1Malaysia itu berkesan ataupun hanya imbasan seorang pemimpin. Hal inilah yang sedang melanda Obama waktu ini. 

Dan Allah s.w.t pun turut memerhati 1Malaysia, sama ada berlaku adil ataupun menyanggah sunnatullah, yang juga berlandaskan kepada adil.

Leave a Reply