‘Mengalih’ persepsi lama terhadap program keagamaan

February 17, 2010 10:22 AM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh ABUL HANZALAH

Pertambahan pelbagai program bercorak keagamaan kian ketara di negara kita. Bagaimanapun, banyak yang lebih berupa tindak balas kepada pelbagai masalah yang dianggap sedang menghantui masyarakat. Dengan meneliti tema dan tujuan program-program tersebut, dapat dikesan beberapa andaian yang dipakai para penganjurnya:

- Masyarakat Islam, terutama di kalangan anak-anak muda, sedang diancam bahaya keruntuhan moral yang besar, yang memerlukan program menanganinya.

- Dengan kepesatan pembangunan moden sekarang, ramai orang Islam yang mengalami gejala kekosongan jiwa yang dapat diisikan melalui amalan seperti zikir beramai-ramai.

- Ramai juga Muslim, yang meskipun mengerjakan solat, tidak melakukannya dengan sempurna, lantas perlu disediakan kursus menghalusi solat (yang tentu termasuk kaedah berwuduk dan beristinjak yang betul!).

- Berdasarkan perkembangan global, orang-orang Islam bukan sahaja mudah dipengaruhi oleh ajaran-ajaran agama yang dianggap menyesatkan, bahkan berpotensi besar terjebak menjadi ‘pengganas’.

Oleh hal yang demikian, perlu ada program yang secara konsisten mengajak mereka memahami bahaya ekstremisme, mengamalkan kesederhanaan, malah membentuk jati diri menjadi Muslim moderat yang menerima hidup harmoni dalam masyarakat majmuk.

Dengan kandungan unsur-unsur agama di dalamnya, program sedemikian tentu bermanfaat terutama kepada mereka yang sibuk dengan urusan pekerjaan harian dan tidak berpeluang menjalani pendidikan agama secara formal. Cuma, pendekatan begitu, yang berdasarkan beberapa andaian yang belum tentu pasti, turut mempunyai kelemahan-kelemahan tersendiri yang boleh membawa natijah yang tidak diingini.

Pertama, menyampaikan Islam hanya sebagai tindak balas kepada kemunculan sesuatu gejala atau bahaya, bolehmenimbulkan kekeliruan bahawa agama itu perlu dipelajari dan kemudian diamalkan hanya apabila berhadapan dengan masalah atau ancaman.

Kedua, persoalan yang terbit dalam menentukan adakah masalah yang dikatakan sedang dihadapi masyarakat itu benar-benar `masalah sebenarnya`. Dan ia bukan sekadar satu gambaran yang diada-adakan untuk suatu maksud lain yang terselindung. Kelemahan tersebut mempunyai risiko yang membimbangkan.

Jika Islam dipelajari hanya sebagai langkah untuk mengatasi sesuatu masalah, akan timbul persepsi bahawa orang boleh mempelajari ajaran agama itu dengan memilih bahagian-bahagian yang diperlukannya sahaja tanpa menghiraukan perutusan keseluruhan risalah tersebut. Sikap ini boleh mewujudkan beberapa gejala sebagai manifestasi kepada kekeliruan yang timbul.

- Orang Islam hadir di majlis-majlis agama tetapi lebih dengan tujuan tertentu mengikut keperluan masing-masing. Misalnya, belajar agama hanya untuk menghuraikan masalah yang sedang dihadapinya.

- Pembentukan kelompok-kelompok yang mengamalkan amalan agama secara eksklusif, dengan ritual, gaya dan pakaian tersendiri.

- Bersikap Islam seperti menunjukkan adab Islam atau membanyakkan ucapan-ucapan keagamaan hanya di majlis-majlis bersifat agama, tetapi tidak melakukannya di tempat-tempat lain agar tidak pula dilabel sebagai fanatik atau pelampau agama.

Dalam memastikan sama ada gejala-gejala yang timbul itu merupakan masalah sebenarnya, terdapat pula beberapa masalah sampingan yang lain. Misalnya, jika pun masalah yang disebutkan itu benar, adakah ia masalah berat dan strategik sehingga memerlukan tindak balas serta-merta dengan menggunakan sumber agama hanya untuk tujuan menangani masalah-masalah tertentu sahaja?

Tujuan utama agama Islam cukup luas – memandu manusia membangunkan nilai dan potensi mereka semaksimum mungkin bagi memainkan peranan sebagai khalifah Allah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi ini. Jadi, lebih daripada sekadar mengubat sesuatu penyakit atau masalah, risalah Islam perlu didakwahkan untuk tujuan membangunkan manusia dan kemanusiaan.

Perlu juga diperiksa apakah punca timbulnya sesuatu masalah itu agar rawatan setepatnya dapat dilakukan.

Satu ketika dahulu terdapat persepsi umum bahawa orang Melayu malas dan tidak bermotivasi tinggi dalam mengejar kemajuan hidup kerana berpegang kuat pada ajaran agama. Dengan andaian Melayu malas dan ajaran Islam yang tidak menyokong usaha kemajuan, telah timbul gerakan mempelopori usaha mengubah sikap dan pandangan agama orang-orang Melayu yang dipimpin tokoh-tokoh politik dan agama ketika itu.

Mujurlah kemudiannya terbit sorotan-sorotan bersifat kesarjanaan yang mempersoalkan andaian sifat Melayu dan pandangan agama mereka yang demikian itu. Persoalan itu menyedarkan masyarakat betapa andaian yang tidak betul akan menghasilkan rumusan yang tidak tepat, yang seterusnya menghasilkan pendekatan dan kaedah pembaikan yang salah.

Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz membuktikan betapa kemiskinan para petani dan nelayan Melayu bukan kerana sifat malas. Mereka bekerja keras membanting tulang dan menyabung nyawa di darat dan di laut. Tetapi akibat tidak menguasai aspek pemasaran yang umumnya dimonopoli orang tengah, mereka terus terjerut dengan kemiskinan dan kedaifan. Jadi, penghuraian masalah bukanlah dengan menyeru petani dan nelayan Melayu supaya lebih rajin dan kuat bekerja, tetapi mencari jalan mengatasi masalah pemasaran!

Profesor Syed Hussein Al-Attas (Allahyarham) pula menyangkal dakwaan peribumi malas sebagai mitos yang sengaja dimomokkan pihak penjajah Barat kerana para petani peribumi enggan bekerja sebagai hamba di ladang-ladang kapitalis Barat.

Beliau juga menolak andaian kaitan faktor agama dengan lemahnya penyertaan Melayu di bidang perniagaan dengan mengajukan contoh betapa kaum India Muslim yang juga bermazhab Syafie seperti orang Melayu boleh maju di bidang perniagaan masakan (makanan) di negeri-negeri Melayu.

Kajian-kajian lain seterusnya mendapati dasar `melindungi` Melayu yang dipakai penjajahan Inggeris di Tanah Melayu itulah yang menjadi punca menghambat orang Melayu daripada terdedah kepada persaingan terbuka dalam ekonomi moden. Pengalaman demikian dapat membantu kita membentuk dan memiliki perspektif yang betul dalam memanfaatkan program-program keagamaan untuk tujuan membangun masyarakat sekarang. Misalnya, benarkah anak-anak muda kita terjebak dalam bahaya kerosakan moral akibat menjauhi agama? Apakah sebenarnya masalah di sini?

Penelitian jujur akan mendapati anak-anak muda kita bukan sahaja menjauhi agama, malahan lari daripada banyak hal yang mereka sifatkan berat dan menyusahkan. Sebaliknya, mereka sanggup menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk kegiatan-kegiatan yang menyeronokkan, bebas daripada memikul sebarang tanggungjawab.

Jadi, apa yang mungkin menjadi masalah adalah anutan faham hedonisme (budaya mengutamakan keseronokan) yang tumbuh meluas di sekeliling. Ia mudah masuk langsung ke setiap rumah, malah dipakai pula sebagai satu daya tarikan oleh sesetengah penganjur Islam bagi program-program remaja masing-masing. Masalah ini sukar dibendung kerana masyarakat sendiri lemah untuk melawan arus hedonisme. Dalam pada itu, program-program keagamaan kita pula gagal mengisi keperluan membangun ketahanan diri yang diperlukan akibat memakai andaian yang tidak tepat.

Program kita dalam melawan bahaya keganasan juga berhadapan masalah yang serupa akibat menerima bulat-bulat takrifan dan tafsiran `’keganasan` menurut yang dikembangkan beberapa pihak di Barat, termasuk andaian yang melihat setiap Muslim berpotensi menjadi pengganas.

Akibatnya, program keagamaan yang demikian itu lebih mengambil pendekatan apologetik, menerima semua takrifan dan penilaian yang sedia ada, yang banyak pihak di Barat sendiri telah mula mencurigakannya, malah menentangnya secara terbuka.

Disebabkan kekurangan itu, terbit persepsi bahawa program keagamaan yang ada sekarang lebih bersifat propaganda. Ia kurang menyebarkan tujuan risalah yang lebih besar, iaitu mendidik orang ramai ke arah memahami dan menyanjung keluhuran nilai kemanusiaan sejagat seperti keadilan, kemerdekaan, dan kemuliaan akhlak.

Leave a Reply