Seratus satu persoalan tasawwuf (Bhg. 5)

Bookmark and Share

Bersama DR ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRY

SOALAN 31

Nyatakan erti sabar.

JAWAPAN

Sabar, ertinya tahan menempuh suatu yang sukar. Sabar yang terpuji adalah sabar atas mengerjakan taat kepada Allah s.w.t, menjauhi segala maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya. Tetapi di antara sifat sabar itu,terdapat sifat sabar kerana mengerjakan taat dan meninggalkan maksiat adalah sabar yang lebih utama, lebih utama dari sabar atas segala takdir yang amat susah dan menggelisahkan perasaan.

Sabar adalah merupakan salah satu daripada tangga-tangga ibadat menurut Ahlus Sunnah wal Jamaah bahkan ia merupakan darjat dan tangga ibadat yang paling agung. Allah s.w.t menyebut lebih 90 kali pada pelbagai tempat di dalam al-Quran; adakalanya dengan memuji kesabaran itu sendiri, adakalanya juga dengan memuji orang-orang yang sabar di sisi Allah s.w.t dan darjat apa sahaja yang telah disediakan oleh Allah untuk mereka. Di dalam Islam, sabar ada tiga darjat:

  1. Sabar terhadap ketaatan
  2. Sabar terhadap kemaksiatan
  3. Sabar terhadap ketentuan dan musibah

Darjat sabar yang paling agung adalah sabar terhadp ketaatan. Kerana itulah sabar yang paling agung yang diharapkan, takkala kamu melaksanakan ketaatan, lalu kamu bersabar terhadapnya dan menyabarkan dirimu, supaya kamu sentiasa tetap melaksanakan sesuai dengan bentuk yang paling sempurna, dengan segala kekhusyu’an dan ketundukannya.

Sabar terhadap kemaksiatan, iaitu tatkala jiwamu sentiasa menyuruh untuk berbuat kejahatan dan dia binasakanmu, lalu kamu bersabar dan mengharapkan pahala hanya daripada Allah s.w.t. Sabar menerima takdir Allah s.w.t, dilakukan apabila Allah menetapkan takdir-Nya ke atasmu dan untuk meringankan dosa-dosamu atau meninggikan darjatmu.

Apabila hal ini sudah diketahui, maka salah satu ciri yang dimiliki para kekasih Allah adalah bersabar dan disertakan keyakinan yang kuat. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pernah bertanya: Dengan cara apakah sebuah kepimpinan di dalam agama diperoleh? Dia menjawab: Dengan kesabaran dan keyakinan tidakkah kamu pernah mendengar firman Allah s.w.t dalam Surah al-Sajadah, ayat 24, yang bermaksud:

“Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka bersabar (sabar dalam menegkkan kebenaran). Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.”

Para hamba Allah s.w.t yang salih diuji Allah s.w.t dengan pelbagai musibah. Ada juga yang diuji dengan harta benda, lalu di kehilangan harta bendanya itu dan ada juga yang diuji dengan akalnya sehingga akalnya hilang dan dia menjadi bodoh. Ada juga yang diuji pada tubuhnya, sehingga sebahagian daripada anggota tubuh dan pancainderanya tidak berfungsi. Ada juga yang diuji dengan anaknya, yang diculik oleh orang atau meninggal atau pergi menghilang dan tidak kembali. Ada juga yang diuji dengan harga dirinya, lalu dia dituduh dengan satu tuduhan yang dia sebenarnya bebas darinya, sebenarnya tuduhan itu tidak layak untuknya dan dia tidak layak untuk itu, tetapi dia bersabar dan berharap pahala hanya daripada Allah SWT Apabila hal ini sudah diketahui, sesungguhnya Allah s.w.t telah menceritakan kisah orang-orang yang sabar dan hanya mengharap pahala daripada Allah s.w.t juga telah memuji mereka. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 153 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman jadikanlah sabar dan sembahyang sebagai penolongmu sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

 

SOALAN 32

Apakah perkara yang sukar difahami nilainya?

JAWAPAN

Hatim al-Zahid berkata: Empat macam, tidak difahami nilainya kecuali oleh empat:

  1. Nilai muda tidak diketahui kecuali oleh orang yang telah tua.
  2. Nilai kesihatan tidak diketahui kecuali oleh orang yang sakit.
  3. Nilai sejahtera (aman) tidak diketahui kecuali oleh orang yang terkena bala.
  4. Nilai hidup tidak diketahui kecuali oleh yang sudah mati.

 

SOALAN 33

Apakah pengertian ujub?

JAWAPAN

Imam al-Ghazali berkata: Ujub ertinya mengagungkan diri, atau menganggap agung amal yang telah dilakukan. Misalnya dengan mengatakan: Akulah orang yang paling soleh, tidak ada orang yang melebihi kesalihanku. Menurut para ulama’ ujub adalah seorang yang beranggapan bahawa kemuliaan amal soleh disebabkan adanya sesuatu perkara atau sebab bukan kerana Allah s.w.t. Ujub itu mempunyai tiga wujud, yakni diri sendiri, makhluk dan barang.

Suatu saat ujub terdiri dari dua sudut, misalnya seorang mengatakan: Jika aku tidak mempunyai wang tentu tidak boleh menunaikan ibadat haji. Bermakna ujubnya berwujud diri sendiri dan harta benda. Selain itu ujub boleh juga wujud dengan tunggal.

Lawan ujub adalah zikr al-Minnah yang bermaksud mengingati kurniaan Allah. Ianya harus diingati bahawa amal salih yang dapat diamalkan itu kerana adanya taufiq daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah lah yang memuliakan amalannya dan memperbanyakkan pahalanya.

 

SOALAN 34

Berkenaan dengan ujub, manusia terbahagi kepada tiga golongan dan bagaimanakah keadaannya?

JAWAPAN

Imam al-Ghazali berkata: Manusia terbahagi kepada tiga golongan:

      i.        Ujub untuk selamanya, sekalipun ia menyedari adanya kurniaan Allah namun tetap juga dia bersifat ujub yakni golongan Muktazilah dan Qadariyah. Mereka tidak memandang Allah menurut pendapat mereka, segala perbuatannya merupakan inisiatif dan ciptaan mereka sendiri bukan dari Allah. Begitulah aqidah mereka sehingga mereka terus bersifat ujub. Mereka mengingkari adanya taufiq dan pertolongan Allah serta latifnya Allah. Hal itu kerana syubhat yang menguasai dirinya.

     ii.        Golongan ini mengingati adanya kurniaan Allah dan segala tindakan dianggap sebagai kurniaan Allah sehingga mereka tidak pernah bersifat ujub atas amalan-amalannya. Hal itu kerana mereka sentiasa berhati-hati dan diberi kewaspadaan oleh Allah serta dikhususkan dengan ta’yid daripada Allah s.w.t dan inilah golongan yang lurus.

    iii.        Golongan campur aduk, kadang-kadang ujub tetapi pada suatu saat mereka tidak bersifat ujub. Mereka ini kebanyakkannya ahli sunnah, kadang-kadang menyedari kurniaan Allah, kadang-kadang ia lengah. Sifat ego atau ujub timbul mendadak. Hal itu kerana lemahnya ijtihad dan kurang berhati-hati.

Sehubungan dengan itu adanya golongan Qadariyah dan Muktazilah itu ada yang mengatakan sebagai kesalahan sendiri, ada juga berpendapat bahawa pahalanya tidak akan hilang kerana satu iktiqad yang pada umumnya mengenai kumpulan-kumpulan Islam kecuali semua amalannya diujubkan.

 

SOALAN 35

Apakah maksud taubat?

JAWAPAN

Taubat dari segi bahasa dengan bermaksud kembali.

Taubat daripada Adam bermaksud kembali daripada maksiat, sedangkan taubat daripada Allah s.w.t kembali ke atas-Nya dengan rahmat.

Imam al-Ghazali mendefinisikan taubat pada istilah sebagaimana dalam kitab Minhaj al-Abidin, iaitu dengan kerja hati yang apabila tahsil daripada pendapat ulama’: Pembersihan dan penyucian hati daripada dosa.

Imam al-Ghazali menaqalkan definisi taubat yang ketiga daripada gurunya Abu Bakar al-Turtusi dengan: Meninggalkan pilihan dosa seumpamanya dahulu daripadanya kedudukan (manzilah) bukan gambaran (surah) kerana membesarkan Allah s.w.t dan waspada daripada kemurkaan-Nya.

Dinyatakan di sini ungkapan ulama’ sufi tentang taubat daripada kitab al-Risalah al-Qusyairiyah:

Sahl bin Abdillah berkata: Taubat adalah  jangan lupa dosa kamu.

  1. Junaid al-Baghdadi berkata:  Taubat ialah lupa dosa kamu.
  2. Al-Nuri berkata: Taubat ialah engkau bertaubat daripada semuanya kecuali Allah s.w.t.
  3. Zu al-Nun al-Misri berkata: Taubat orang awam adalah taubat dari dosa sedangkan taubat orang khawwasadalah taubat  dari lalai.
  4. Sahl bin Abdullah juga berkata: Taubat ialah meninggalkan angan-anganyang mendatang.

 

SOALAN 36

Apakah syarat-syarat taubat?

JAWAPAN

Syarat taubat ialah dengan:

Meninggalkan dosa dengan sukarela.

  1. Bertaubat dari dosa yang telah dilakukan.
  2. Meninggalkan dosa pada manzilah dan darjat bukan hanya gambaran seperti syeikh yang tua.
  3. Pilihan untuk meninggalkan dosa terbit daripada membesarkan Allah s.w.t.

 

SOALAN 37

Apakah muqaddimah taubat?

JAWAPAN

Muqadimah taubat ialah:

Ingat kemuncak buruknya dosa.

  1. Ingat kemuncak pembalasan Allah
  2. Ingat kelemahan dan kekerdilan diri.

Syeikh Junaid al-Baghdadi berkata: Taubat itu atas tiga makna:

      1.    Kesesatan.

       2.   Berazam untuk meninggalkan perkara yang dilarang Allah s.w.t daripadanya.

      3.  Bersegera menyelesaikan perkara yang membabitkan kezaliman.

 

SOALAN 38

Apakah tafsiran Surah al-Nur, ayat 31 yang bermaksud:

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

JAWAPAN

Dr. Yusuf al-Qardhawi menyatakan dalam kitabnya Taubat Untuk Allah: Di dalam ayat ini, Allah s.w.t telah memerintahkan semua orang yang beriman supaya bertaubat kepada-Nya. Tidak terkecuali seorangpun, tak kira sekukuh mana istiqamah (komitmen) seseorang itu dan setinggi mana dia menakah darjat ketaqwaan. Dia tetap memerlukan taubat. Di kalangan orang beriman, ada yang bertaubat daripada dosa-dosa besar apabila mereka sering melakukannya kerana ia bukanlah ma’sum. Ada pula yang bertaubat daripada dosa-dosa kecil yang sedikit sekali manusia selamat daripadanya. Ada pula yang bertaubat daripada perkara-perkara syubhat. Sesiapa yang menjauhkan perkara syubhat bermakna dia telah menyelamatkan agama serta kehormatannya. Ada pula yang bertaubat daripada perkara-perkara makruh. Ada juga yang bertaubat daripada kelalaian yang terlintas di dalam hati mereka. Bahkan ada juga yang bertaubat lantaran melakukan perkara yang lebih ringan daripada itu kerana ia menghalangnya daripada naik ke darjat yang lebih tinggi.

Pengarang kitab al-Qamus menjelaskan ayat al-Quran ini di dalam kitabnya yang bernama al-Basyair: Ayat ini termasuk di dalam Surah Madaniyah yang diajukan oleh Allah kepada orang-orang yang sudah beriman, orang-orang yang terbaik di kalangan makhluknya agar mereka bertaubat kepada-Nya, setelah mereka beriman, bersabar, berhijrah dan berjihad. Kemudian dikaitkan keuntungan kejayaan dengan taubat. Semoga kamu akan beruntung, kaitan ini adalah kaitan antara sebab dan musabab, Allah mendatangkan ungkapan semoga yang menggambarkan sebuah harapan yang bermaksud: Jika kamu bertaubat bererti kamu ada harapan untuk berjaya. Orang yang mengharapkan kejayaan tersebut adalah orang-orang yang bertaubat.

 

SOALAN 39

Apakah tafsiran taubat mengikut Imam al-Ghazali?

JAWAPAN

Taubat menurut tafsiran Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin ialah makna yang terangkum di dalam tiga unsur iaitu ilmu, keadaan dan amalan. Ilmu adalah yang pertama, keadaan adalah yang kedua dan amalan adalah yang ketiga. Perkara pertama merupakan kemestian bagi perkara kedua, perkara kedua merupakan kemestian bagi perkara ketiga. Kemestian ini berdasarkan ketentuan sunnah Allah di dalam alam.

Imam al-Ghazali berkata: Menerangkankan berkenaan dengan beberapa hakikat taubat:

      1.   Unsur ma’rifah (pengetahuan di dalam taubat).

      2.   Emosi keinginan.

      3.   Unsur amali di dalam taubat.

      4.   Mengikhlaskan taubat kepada Allah s.w.t.

 

SOALAN 40

Nyatakan maksud istighfar.

JAWAPAN

Istighfar ialah memohon keampunan atau memohon penghapusan dosa, menghilangkan kesannya dan berlindung dari kejahatannya. Ibn al-Qayyim telah berkata: Hakikat al-maghfirah (keampunan) ialah melindungi daripada kejahatan dosa. Oleh sebab itu setiap yang menutupi kepala dari kesakitan dinamakan sebagai al-Mighfar.

 (Bersambung…)

Bookmark and Share

About the Author

Editor

Leave a Reply

You can use these XHTML tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <blockquote cite=""> <code> <em> <strong>