Sentimen agama: Polis pantau semua laman blog

January 14, 2010 12:06 PM 0 comments

Share this Article

Author:

KUALA LUMPUR, 14 Januari – Polis memantau laman-laman blog dan rangkaian sosial bagi mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai berhubung insiden serangan dan cubaan membakar gereja baru-baru ini dan siasatan mengenai kejadian itu masih giat dilakukan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata pasukan khas, yang ditubuhkan khusus bagi menyiasat insiden berkenaan, sedang bertungkus lumus mengenal pasti dalang kejadian itu.

“Semua petunjuk diteliti meskipun ia mungkin tidak penting,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Datuk Seri Mohd Bakri mengulas satu laporan yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memberi gambaran seolah-olah polis tidak efektif untuk menjejaki individu dan penjenayah, terutamanya membabitkan jenayah yang mencetuskan minat orang ramai.

Beliau berkata polis menyedari akan hakikat bahawa kes-kes sedemikian perlu ditangani dengan adil dan segera.

Datuk Seri Mohd Bakri menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan khabar angin mengenai kejadian seumpamanya, sebaliknya menyerahkan kepada polis melaksanakan tugas mereka.

Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai insiden berkenaan tampil membantu polis.

Beberapa buah gereja diserang dengan bom api baru-baru ini termasuk Gereja Assumption, The Life Chapel di Petaling Jaya, dan Gereja Metro Tabernacle Church di Desa Melawati, Kuala Lumpur.

Leave a Reply