Perspektif Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam terhadap Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dan dan Pendekatan Islam Hadhari (Bhg. 1)
Oleh AMIN FADLILLAH
ABSTRAK
Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dan Pendekatan Islam Hadhari merupakan agenda kerajaan yang dicetuskan bagi meningkatkan pemahaman dan penghayatan umat Islam di Malaysia khasnya di kalangan masyarakat Melayu. Meskipun kedua agenda itu terhasil dari idea kerajaan, namun dari segi kesan dan hasil program berkenaan menyerlahkan dimensi yang berlainan. Hal ini dapat dilihat dari kaji selidik terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, bagi mengetahui persepsi dan pandangan mereka terhadap kedua agenda berkenaan. Secara keseluruhan, wujud beberapa perbezaan jawaban dalam menilai Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Pendekatan Islam Hadhari di kalangan mereka. Dalam memberikan pandangan terhadap pelaksanaan penerapan nilai-nilai Islam, golongan NGO cenderung menunjukkan respon positif terutama yang berkaitan dengan agenda mempertingkatkan kefahaman Islam, menyemai nilai-nilai Islam yang murni dalam masyarakat berbilang kaum dan menggalakkan pendidikan Islam. Sebaliknya, kalangan NGO ini memberikan respons yang agak negatif terhadap pelaksanaan Islam Hadhari disebabkan pemerintah tidak menunjukkan penghayatan Islam dan contoh yang baik. Selain itu, pelaksanaan Islam Hadhari dianggap lemah kerana tiada gagasan yang konkrit.
PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang maju membangun dan menjadi antara negara yang dicontohi oleh negara-negara Islam yang lain. Kejayaan pembangunan ekonomi yang pesat dan kestabilan dari segi politik merupakan elemen utama dalam menilai kejayaan itu meskipun struktur penduduknya terdiri dari pelbagai latar belakang kaum, bangsa, bahasa dan agama. Sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara, Islam telah memainkan peranan yang sangat penting dalam arus utama pembangunan negara sama ada pembangunan yang bersifat spiritual mahupun material. Pembangunan berteraskan Islam ini termasuklah yang merangkumi pembangunan dari segi pentadbiran, pendidikan, perundangan dan perekonomian bagi memajukan Islam dan memperbaiki taraf kehidupan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Bagi memanifestasikan rancangan pembangunan yang berteraskan kepada ajaran Islam, kerajaan Malaysia telah mengeluarkan dasar atau pendekatan yang berdasarkan kepada prinsip-prinsip Islam. Pada era kepimpinan Mahathir Mohamad, Malaysia mula dikenali sebagai negara Islam yang berjaya melahirkan beberapa institusi pendidikan dan ekonomi Islam menerusi dasar penerapan nilai-nilai Islam. Manakala pada era Abdullah Badawi, kerajaan melancarkan satu pendekatan pembangunan Islam yang menekankan kepada aspek ketamadunan sebagai paksi utamanya. Kemunculan Islam Hadhari dipandang tepat pada masanya bagi membuktikan bahawa Islam bukan agama pengganas melainkan agama yang toleran dan aman, sekaligus menciptakan Islam yang rahmatan lil alamin. (1) Salah satu aspek penting dalam Islam Hadhari adalah penghasilan modul J-Qaf dalam kurikulum pendidikan, kewujudan Hub Halal dan sistem perbankan Islam yang semakin rancak.(2)
LATAR BELAKANG DASAR PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM DAN PENDEKATAN ISLAM HADHARI
Fenomena kebangkitan Islam yang berlaku di sebahagian besar dunia Islam pada tahun 1970-an dan 1980-an, merupakan antara faktor utama yang menjadi pencetus pelaksanaan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam di Malaysia.(3) Sebaik-baik sahaja mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat pada 1 Julai 1981, beliau telah melaksanakan dasar yang meletakkan Islam sebagai agenda utama dalam pentadbiran negara. Ini memulakan satu era apabila Malaysia dikenali oleh masyarakat dunia sebagai sebuah negara Islam berbanding dengan era kepimpinan sebelumnya.(4) Perbezaan yang ketara antara beliau dengan perdana menteri sebelumnya terletak pada pendekatan mereka melaksanakan dasar-dasar Islam. Inilah julung-julung kalinya seorang pemimpin negara mengisytiharkan secara terbuka dasar baru berhubung kedudukan dan peranan Islam dalam masyarakat yang merangkumi bidang ekonomi, pentadbiran, politik, undang-undang, pendidikan, sains dan teknologi di Malaysia.
Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam yang dilaksanakan pada 1982, merupakan dasar yang menekankan kepada reformasi mental dan spiritual masyarakat Melayu dengan mengambil prinsip-prinsip Islam sebagai teras pelaksanaan dasar kerajaan.(5) Dalam konteks pembangunan insan dan pembangunan fizikal, dasar ini telah merubah secara fundamental lanskap negara dari segi ekonomi, politik, pendidikan, budaya kerja dan pentadbiran negara. Dalam aspek pembangunan insan, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam yang diambil dari prinsip-prinsip Islam seperti amanah, tanggungjawab, bersih, tekun dan disiplin diimplementasikan menerusi pembinaan jatidiri umat Islam dan kakitangan kerajaan untuk lebih menghayati dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Dalam aspek pembangunan fizikal, dasar ini dilaksanakan dengan mewujudkan institusi pendidikan Islam atau sistem pendidikan yang berpaksikan kepada Islam seperti penubuhan UIA, pelaksanaan KBSM dan bantuan kewangan kepada SAR. Turut diwujudkan insititusi kewangan Islam seperti penubuhan Bank Islam, Takaful dan sistem pajak gadai Islam.
Objektif utama dasar ini adalah untuk menanamkan semangat cintakan nilai-nilai murni dalam kehidupan harian umat Islam. Umat Islam digalakkan melakukan kebaikan, dan menjauhi keburukan, membentuk sikap yang berguna kepada negara. Selain itu mereka digalakkan menghapus sikap yang negatif dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan. Mereka juga digalakkan menghasilkan perkhidmatan yang bermutu, melatih diri dengan disiplin tinggi dan menjalankan amanah dengan dedikasi.(6) Dengan penanaman nilai-nilai murni Islam ini akan dapat mewujudkan kesedaran di kalangan umat Islam dalam usaha meninggikan lagi syiar Islam di Malaysia. Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam merupakan dasar baru yang bertujuan mengubah sikap umum masyarakat termasuklah dalam perjuangan hidup, cara bekerja, sifat tanggung jawab dan amalan yang dilakukan oleh mereka sepanjang hayat.
Idea yang mencetuskan pelaksanaan Pendekatan Islam Hadhari mempunyai kaitan yang erat dengan pemikiran tentang perkembangan tamadun Islam dan hubungkaitnya dengan persoalan mutakhir yang berlaku di Malaysia dan dunia Islam pada awal tahun 2000-an. Sebagai suatu pendekatan, gagasan ini telah dibincangkan dalam “Seminar Percambahan Pemikiran Islam Hadhari/Tamadun Islam Peringkat Kebangsaan” yang diadakan pada tahun 2002. Persidangan ini telah dirasmikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.(7)
Walau bagaimanapun, konsep yang dibincangkan tidak membawa kepada pelaksaaan yang terancang kerana tidak ada tindakan susulan yang berkesan yang dilakukan selepas itu. Namun begitu, setelah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 pada 31 Oktober 2005, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menjadikan Pendekatan Islam Hadhari sebagai agenda peribadi yang cuba dilaksanakan sebagai agenda negara.
Pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO ke-55 pada 23 September 2003. Dalam ucapannya untuk kali pertama sebagai pemimpin nombor satu UMNO, beliau tidak sekadar memperkenalkan pendekatan ini kepada para perwakilan dan pemerhati yang hadir, dan malahan turut menghuraikan sepuluh prinsip yang terkandung di dalam Pelaksanaan Islam Hadhari. Sebagai seorang pemimpin yang baru dilantik menerajui negara Pendekatan Islam Hadhari telah dijadikan landasan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memperkenalkan nilai-nilai Islam yang universal. Dengan pendekatannya beliau berhasrat menjadikan Malaysia sebagai model bagi membangunkan masyarakat yang berteraskan tamadun Islam melalui pembangunan modal insan yang terancang. Di peringkat antarabangsa pula, sebagai pengerusi OIC, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menggunakan pelbagai kesempatan bagi memperkenalkan Pendekatan Islam Hadhari kepada negara anggota pertubuhan Islam tersebut sebagai satu wahana untuk penyelesaian pelbagai masalah yang sedang melanda dunia Islam pada ketika ini.(8)
Dari segi idealismenya, Pendekatan Islam Hadhari bermatlamat bagi mewujudkan sebuah negara dengan bangsanya yang bertamadun dan berwibawa. Pendekatannya juga bertujuan bagi menonjolkan ciri-ciri sebuah masyarakat moden dalam usaha meningkatkan kualiti sumber insaniah yang celik teknologi dan maju dalam bidang sains. Sepuluh prinsip Islam Hadhari yang digariskan bermatlamat bagi melahirkan masyarakat Islam moden yang mampu bersaing dalam dunia yang semakin mencabar. Walaupun pendekatan ini dikaitkan dengan pembinaan tamadun umat Islam, namun prinsip yang digariskan turut memberikan ruang yang luas kepada pembelaan hak golongan minoriti dan kaum wanita. Pendekatan Islam Hadhari dianggap amat tepat pada masanya kerana pelaksanaannya dilakukan ketika umat Islam sedang diasak dengan pelbagai label dan unsur-unsur negatif selepas peristiwa 11 September 2001. Pendekatan Islam Hadhari yang dilaksanakan di Malaysia yang bersifat moderat dianggap mampu memberikan wajah Islam yang universal yang boleh dijadikan model dan dapat diterima oleh segenap lapisan masyarakat.(9)
LANDASAN KONSEPSUAL NGO
Dari aspek teoritikalnya, kewujudan dan aktivisme NGO dapat dikenalpasti dalam kerangka masyarakat sivil (civil society). Ciri-ciri utama masyarakat sivil adalah kewujudan NGO sebagai aktor utama dalam memainkan peranannya untuk menciptakan ruang yang seluas-luasnya dalam berkomunikasi di antara kalangan orang awam dengan kerajaan. Ruang komunikasi ini berkaitan dengan masalah-masalah kemasyarakatan yang dilakukan secara bebas dan berdikari dari campur tangan mana-mana pihak. Sedangkan, ditinjau secara konseptual, NGO adalah satu medium bagi penyertaan sosial dan politik rakyat demi menciptakan hubungan yang lebih berkesan dengan pihak kerajaan. Banyak juga NGO ditubuhkan bagi membantu pelaksanaan dasar-dasar kerajaan, bahkan sesetengahnya pula diwujudkan sendiri oleh kerajaan atas sebab pelbagai kepentingan politik, pentadbiran dan pelaksanaan dasar kerajaan. Namun ada juga NGO yang diasaskan atas tujuan mencabar kelemahan-kelemahan kerajaan atau menawarkan ideologi alternatif.(10)
Secara umumnya, NGO di Malaysia bergiat dan membabitkan diri dalam persoalan-persoalan alam sekitar, perlindungan dan hak pengguna, hak asasi manusia, isu-isu pembangunan dan gerakan feminisme.(11) Mengikut Syed Husin Ali, corak dan sifat kerajaan yang autoritarian adalah antara punca kemunculan NGO yang pesat di Malaysia(12) selain faktor ideologi pembangunan yang dianut kerajaan sejak 1970-an lagi.(13) Perkembangan ini juga dikaitkan dengan fenomena global mengenai gerakan perubahan masyarakat khususnya apa yang berlaku di Barat yang disebut juga sebagai lahirnya era new politics.(14) Bagaimanapun, NGO dalam pengertian pertubuhan bukan kerajaan an sich (maksudnya tanpa adanya dikotomi NGO politik dan bukan politik) sudah wujud sejak sebelum merdeka lagi.(15) Apa yang ketara dalam kedinamikan perjalanan NGO dalam masa yang cukup panjang itu adalah berlakunya sebuah proses transformasi ideologis dan sosiologis berikutan semakin membaiknya tingkat pendidikan dan ekonomi rakyat negara ini.(16)
Dilihat dari sifat dan agenda perjuangannya, terdapat dua kategori NGO iaitu NGO politik (political NGOs) dan NGO bukan politik (apolitical NGOs).(17) Pengkategorian ini berdasarkan kepada isu-isu yang diperjuangkan dan matlamat utama yang menjadi halatuju organisasi. Menurut Saliha, NGO politik merujuk kepada penglibatan mereka kepada isu-isu yang berkaitan dengan politik, sosial, ekonomi dan pentadbiran sama ada secara langsung dan sengaja atau secara kebetulan dan berpilih-pilih. Manakala NGO bukan politik tidak melibatkan diri secara langsung dalam proses politik negara namun sebaliknya menumpukan perhatian terhadap isu-isu kebajikan, khidmat masyarakat, rekreasi, kebudayaan, kepenggunaan dan perdagangan.(18) Bidang-bidang yang dikerjakan NGO bukan politik ini bersifat melengkapi dan mengisi kerja di bahagian-bahagian yang selama ini kurang mendapatkan tumpuan institusi pemerintah seperti kempen masalah kesihatan, alam persekitaran dan kesejahteraan sosial.(19)
Bagaimanapun, di Malaysia NGO lebih popular dalam kategori NGO politik kerana pelbagai aktivitinya yang menyerlahkan dimensi politiknya berbanding NGO bukan politik kerapkali mendapat perhatian pihak kerajaan.(20) Ini adalah wajar memandangkan aspek-aspek politik biasanya menarik minat orang ramai untuk mengetahui perkembangan semasa politik negara apatah lagi apabila ia mendapat liputan dari media massa. Oleh itu, kewujudan dan peranan NGO politik di Malaysia kerana sifatnya yang sedemikian seringkali mengundang kecurigaan dan tidak disenangi kerajaan. Dalam banyak hal, NGO yang bersifat politik terutama bagi NGO yang ditubuhkan dengan tujuan menciptakan ideologi alternatif, boleh dikatakan cenderung antagonistik terhadap dasar-dasar kerajaan yang dianggap tidak sesuai dengan prinsip-prinsip demokrasi.(21)
Responden dalam kajian ini merupakan NGO yang dikategorikan sebagai NGO Islam.(22) Pengkategorian ini berdasarkan kepada agenda dan prinsipnya yang menjadikan Islam sebagai tunjang dan matlamat utama organisasi berkenaan. NGO Islam yang terbabit dalam kajian ini tidak hanya berasal dari kalangan NGO yang kerap kali menonjolkan pandangan yang kritis kepada kerajaan, namun kaji selidik ini turut membabitkan NGO Islam yang ditubuhkan bagi menyokong kerajaan. Kepelbagaian latar belakang NGO Islam yang terbabit dalam kaji selidik ini bertujuan bagi mendapatkan maklum balas yang luas sehingga informasi yang didapatkan nanti menepati unsur yang adil dan seimbang. Dengan begitu kajian ini diharapkan menghasilkan dapatan kajian yang kredibilitinya tidak dipertikaikan dan dapat dipertanggungjawabkan secara saintifik.
Penyelidikan ini dijalankan sekitar tiga bulan bermula pada bulan April 2008 hingga bulan Julai 2008 melalui kaedah temubual bersama responden di lokasi kajian. Penganalisaan data bagi kaji selidik ini adalah berteraskan kepada analisis data menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) di mana kaedah penganalisaan data ini memberikan nilai statistik berdasarkan jumlah responden yang bersetuju atau tidak bersetuju berserta peratusan responden mengikut jumlah dapatan yang diperolehi melalui analisis data tersebut. Jumlah responden yang diperolehi melalui kaji selidik ini adalah 245 orang responden.
PROFIL RESPONDEN
Kajian ini dijalankan di setiap zon di Semenanjung Malaysia, iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan. Zon Utara terdiri daripada negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Zon Tengah terdiri daripada negeri Perak, Selangor-Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan manakala Zon Timur terdiri daripada negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Zon selatan pula terdiri daripada negeri Melaka dan Johor. Jumlah responden daripada Zon Tengah lebih ramai kerana kebanyakan para ahli dan aktivis NGO tinggal di kawasan itu.
Jadual 1: Taburan Responden Berdasarkan Zon
|
ZON |
Bilangan Responden |
Peratus (%) |
|
Zon Utara |
39 |
15.9 |
|
Zon Tengah |
138 |
56.3 |
|
Zon Timur |
8 |
3.3 |
|
Zon Selatan |
60 |
24.5 |
|
Jumlah |
245 |
100.0 |
Manakala jumlah responden daripada Zon-Zon lain lebih sedikit disebabkan jumlah ahli NGO yang terhad di kawasan berkenaan. Hal ini wajar memandangkan bahawa dalam skala nasional, ibu pejabat dan ahli NGO kebanyakannya terkonsentrasi di Kuala Lumpur dan sekitarnya yang masuk dalam zon tengah meskipun sebahagian NGO berkenaan memiliki cawangan di beberapa negeri tertentu. Jadual 1 di atas menunjukkan taburan responden berdasarkan setiap zon serta pecahan-pecahannya.
Rajah 1: Taburan Responden Berdasarkan Pertubuhan
Rajah 1 menunjukkan taburan responden berdasarkan pertubuhan bukan kerajaan. 49.4% responden daripada ABIM, 15.1% responden daripada ahli Persatuan Pelajar Negeri manakala 11.4% daripada kakitangan PKPIM. 24.1% selainnya adalah terdiri daripada kakitangan JIM, Persatuan Ulama Malaysia, Sisters in Islam, PERKIM, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Persatuan Peguam Syariah. Struktur latar belakang responden pada jadual ini memperkukuh fakta yang menunjukkan majoriti ahli NGO lebih banyak berkedudukan di zon tengah. Walau bagaimanapun, struktur responden ini tetap dapat mewakili NGO seluruh semenanjung memandangkan jumlah 53.7% responden berasal daripada selain zon tengah yang mana mereka telah memberikan pandangan yang seimbang.
Seramai 245 orang responden telah ditemui untuk mendapat pandangan mereka tentang Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Pendekatan Islam Hadhari. Daripada 245 orang responden, 62.4% (153) adalah responden lelaki manakala 37.6% lagi adalah terdiri daripada responden perempuan (92). Perbezaan yang ketara antara responden lelaki dan perempuan adalah disebabkan faktor ahli-ahli mahupun aktivis NGO berkenaan didominasi oleh golongan lelaki. (Lihat Rajah 2).
Rajah 2: Taburan Responden Berdasarkan Jantina

Responden terdiri dari pelbagai peringkat umur. Secara keseluruhannya, responden adalah dari kategori peringkat umur 21 hingga 30 tahun (42.0%), diikuti dengan responden berumur 31 hingga 40 tahun (16.3%) manakala 15.1% responden terdiri daripada responden yang berumur 41 hingga 50 tahun. Peratusan yang tinggi daripada kategori umur 21-30 tahun (42 %) dan 31-40 tahun (16.3 %) menunjukkan bahawa kebanyakan ahli dan aktivis NGO itu merupakan golongan muda yang bergiat aktif dalam organisasi sivil. (Lihat Jadual 2)
Jadual 2: Taburan Responden Berdasarkan Umur
|
Umur |
Bilangan Responden |
Peratus (%) |
|
16-20 tahun |
20 |
8.2 |
|
21-30 tahun |
103 |
42.0 |
|
31-40 tahun |
40 |
16.3 |
|
41-50 tahun |
37 |
15.1 |
|
51-60 tahun |
36 |
14.7 |
|
61 tahun ke atas |
8 |
3.3 |
|
Tidak Respon |
1 |
0.4 |
|
Jumlah |
245 |
100.0 |
Dari segi latar belakang pendidikan, 48.6% (119) daripada responden memiliki Ijazah dari universiti, diikuti pula dengan 26.9% responden yang memiliki Sijil STPM/ Diploma/A-Level. Selebihnya adalah terdiri daripada responden yang memiliki Sijil PMR (1.6%), SPM/O-Level (20.8%) serta lain-lain kelulusan (1.6%). 0.4% responden tidak respons terhadap soalan ini. Peratusan tinggi yang dicapai oleh responden dengan kelulusan ijazah universiti itu, merupakan pencapain yang sesuai dengan jangkaan terutama dalam menentukan kelompok sasaran yang berpendidikan. Hal ini memandangkan untuk memperolehi persepsi dan pandangan responden, perlu ada pendidikan yang memadai supaya maklumat yang diberikan memenuhi jawaban yang sesuai (Lihat Jadual 3).
Jadual 3: Taburan Responden Berdasarkan Tahap Pendidikan
|
Tahap Pendidikan Tertinggi |
Bilangan Responden |
Peratus (%) |
|
PMR |
4 |
1.6 |
|
SPM/O-Level |
51 |
20.8 |
|
STPM/DIPLOMA/A-Level |
66 |
26.9 |
|
Ijazah Universiti |
119 |
48.6 |
|
Lain-lain |
4 |
1.6 |
|
Tidak Respon |
1 |
0.4 |
|
Jumlah |
245 |
100.0 |
NOTA HUJUNG:
1. Perutusan Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Islam sebagai ’Ramatan lil ’Alamin’, Jurnal Hadhari, Edisi Khas 2008M/1429.
2. Ibid, hal. 7.
3. Terdapat kekhuatiran dalam UMNO, jika parti tersebut tidak bertindak balas terhadap fenomena kebangkitan Islam, maka ia boleh mengancam kelangsungannya. Inilah antara fakor utama yang mendorong UMNO melaksanakan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam bagi membolehkannya turut serta dalam arus kebangkitan Islam. Lihat. Ibrahim Ahmad. 1989. Konflik UMNO-PAS dalam Isu Islamisasi. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn Bhd, hal. 71.
4. Hussin Mutalib. 1993. Islam in Malaysia:From Revivalism to Islamic State. Singapore: National University of Singapore. hal. 30.
5. Lihat Diana K. Mauzy dan R.S. Milne. The Mahathir Administration in Malaysia: Discipline Through Islam. Pacific Affair, jil. 56, bil. 4, Winter 1983-84.
6. Utusan Malaysia, 11 Oktober 1985, hlm. 10, sebagaimana yang dikutip dalam Azali Bin Atan. 1986. Islam, Politik dan Pentadbiran: Satu Tinjauan Mengenai Proses Penerapan Nilai-nilai Islam di Malaysia. Latihan Ilmiah, Jabatan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. UKM.
7. Pada awalnya, Islam Hadhari diperkenalkan sebagai satu konsep tentang ketamadunan Islam. Bagaimanapun, setelah dipertikaikan dari segi bahasa, sejarah, fokus dan strategi pengisian oleh banyak pihak, konsep ini diubah menjadi pendekatan. Lihat Wan Nik Wan Yussof dan Asma’ Husna Sulaiman, Islam Dalam Politik Malaysia: Satu Kritikan Terhadap Islam Hadhari. Kota Bharu: Centre for Political Analysis and Strategic Development, 2006, hal. 140.
8. Abdullah Ahmad Badawi. Islam Hadhari Approach: Towards A Progressive Islamic Civilisation. Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2007, hal. xv.
9. Ucapan Datuk Seri Abdullah Badawi dalam pertemuan, “The OIC Commission of Eminent Persons”, di Hotel Marriott, Putrajaya pada 27 Januari 2005. Lihat koleksi ucapan beliau dalam, Abdullah Ahmad Badawai, Islam Hadhari Approach: Toward a Progressive Civilisation, hal. 50.
10. Saliha Hj Hassan, NGO, Masyarakat Sivil dan Demokrasi. Dlm Abdul Rahman Embong (pyt). Negara, Pasaran dan Pemodenan Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000, hal: 225.
11. Kajian tentang profil dan fokus NGO daripada pelbagai aspek, lihat Lim Teck Ghee, Non-Governmental Organisations in Malaysia and Regional Networking, Dlm, Tadashi Yamamoto (pnyt), Emerging civil society in the Asia Pacific Community, Singapura: Institute of Southeast Asian Studies, 1995.
12. Dikutip dalam Saliha Hassan, Organisasi bukan Kerajaan dalam Politik Malaysia, Dlm, Hairany Naffis (pnyt). Politik Malaysia dekad 1990-an. Prosiding Seminar Politik Malaysia ke-IV. Bangi: Jabatan Sains Politik UKM, 1991, hal. 52.
13. Meredith L Weiss dan Saliha Hassan (pnyt), Social movement in Malaysia: From moral communities to NGOs, London: Routledge Curzon, 2002, hal. 6.
14. Makmor Tumin, NGO dalam sistem demokrasi Malaysia, Massa, 16 Mei 1998, hal. 62-63.
15. Organisasi Kaum Muda misalnya, iaitu antara pertubuhan bukan kerajaan yang dikatakan terawal kelahirannya di Malaysia. Gerakan yang diketuai oleh Syed Sheikh al-Hadi ini bertujuan untuk mereformasi cara berfikir umat Islam agar dapat disesuaikan dengan perkembangan sosial semasa. Kemudian muncul organisasi-organisasi sivil yang berpaksi semangat nasionalisme untuk menuntut kemerdekaan seperti Persatuan Anak Melayu Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor yang kemudian menjadi parti UMNO. Begitu pun di kalangan kaum yang lain, terdapat beberapa gerakan sosial seperti yang dilakukan oleh guru-guru Cina dan di kalangan kaum India ada gerakan ‘Appar Sava Sanggam’. Perbincangan mengenai kelahiran organisasi-organisasi bukan kerajaan pada peringkat awal lihat, William R. Roff, The Origins of Malay Nationalism, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1980. Dalam konteks sejarah penubuhan NGO dan keterkaitannya dengan saluran politik berdasarkan aliran dan ideologi NGO lihat, John Funston, Malay Politics in Malaysia: A Study of UMNO and PAS, Kuala Lumpur: Heinemann, 1980.
16. Lihat misalnya, tulisan Saliha (1992) yang membincangkan secara terperinci mengenai NGO di Malaysia khususnya pada awal era 90-an. Tulisan ini cukup komprehensif dalam menjelaskan kedudukan NGO yang meliputi sifat-sifat dasar, asal mula kemunculan dan wilayah operasinya, segi pendaftaran, keahlian, kepimpinan, matlamat jenis aktiviti, hubungannya dengan masyarakat dan kerajaan. Sebagai perbandingan baca Weiss (2002) yang membincangkan NGO Malaysia dalam konteks sejarah, kerangka kerja dan corak utamanya.
17. Perbincangan tentang pengkategorian NGO ini, lihat Yoshiki Kaneko, Malaysia, Dual Structure in the State-NGO Relationship, Dlm Shinichi Shigetomi (pnyt), The State and NGOs: Perspective from Asia, Singapore: Institute of Southeast Asian Studies, 2002. Saliha Hassan, Political Non-Governmental Organizations: Ideal and Realities dlm Francis Loh Kok Wah dan Khoo Boo Teik (pnyt). Demoracy in Malaysia: Discourse and Practices. London: Curzon, 2002.
18. Saliha Hassan, Political Non-Governmental Organizations: Ideal and Realities, hal. 226.
19. Yoshiki Kaneko, Malaysia, Dual Structure in the State-NGO Relationship, hal. 183.
20. Makmor Tumin, NGO dalam Sistem Demokrasi Malaysia, hal. 62.
21. Johan Saravanamuttu, Malaysian Civil Society-Awakening?, dalam, Maznah Mohamad dan Wong Soak Koon (pnyt). Risking Malaysia. Culture, Politics and Identity, Bangi: Penerbit UKM, 2002, hal. 96.
22. Keterangan lanjut tentang kategori NGO Islam sama ada yang berlatar belakang pro kerajaan mahupun NGO yang neutral, lihat Saliha Hassan, Islamic Non-Governmental Organisations, dalam, Meredith L Weiss dan Saliha Hassan (pnyt), Social Movement in Malaysia: From Moral Communities to NGOs, London: Routledge Curzon, 2002.
(Bersambung…)
Leave a Reply