Perpaduan kita yang amat ‘fragile’
Oleh SUTUNG UMAR RS
Perpaduan bermakna 1. Penggabungan, peleburan; 2 . Persesuaian, kecocokan; 3. Perihal berpadu (1. bercampur menjadi satu, menjadi sebati, 2. Bercampur bergaul 3. Menjadi beku dan keras [darah dan lain-lain], 4. Teguh,( kukuh, utuoh) dan kuat kerana sudah bersatu. Terbit daripada kata asas itu antara lain ialah mencocokkan pendapat, menyatukan hati (kasih dan lain-lain. Selanjutnya menjadikan bersatu padu, menyatukan sungguh-sungguh).
Begitulah makna asas kata padu atau perpaduan itu. Bukti sejarah menunjukkan tidak dapat dinafikan lagi oleh sesiapapun bahawa perpaduan adalah satu kata yang hasilnya amat penting tidak sahaja penting buat masa kini tetapi menjadi kata yang penuh keramat semenjak awal perjuangan tanah air bagi mencapai kemerdekaan.
Oleh pentingnya kata dan lebih-lebih lagi perbuatan bersatu padu itu, yang semenjak sebelum merdeka lagi dijeritkan oleh para pejuang kemerdekaan dan diikuti sehingga kini, kita sekedar bertanya, apakah yang menyebutnya benar-benar faham daripada apa-apa yang dijeritnya itu?
Pertanyaan ini amat mudah sebenarnya tetapi untuk menjawabnya bukanlah satu perkara yang mudah terutama apabila kita melihat secara yang lebih luas beberapa frasa lain yang terbit daripada kata perpaduan itu.
Para agamawan, kadang-kadang ahli politik pun menyebutkan “perpaduan ummah”. Golongan politik atau pihak kerajaan menyebutnya “ perpaduan nasional”, “perpaduan kebangsaan” “perpaduan rakyat” terkadang menyebut “perpaduan Melayu” (frasa akhir ini jarang disebut kerana oleh beberapa pihak dinyatakan sebagai boleh menimbulkan hal yang sensitif dan tidak menuju ke arah perpaduan).
Apabila menyebutkan perpaduan ummah, apakah maknanya ialah agar terhasil perpaduan di kalangan umat Islam semata? Kerana ummah itu adalah istilah yang gharibnya, yang lazimnya dipakai oleh orang Islam? Begitu juga dengan perpaduan Melayu itu adakah maknanya supaya perpaduan terjadi dikalangan orang Melayu sahaja? Adakah dalam makna perpaduan Melayu itu tidak mengandungi makna supaya apabila Melayu itu bersatu maka yang bukan Melayu akan sedikit takut dan gerun? Adakah terdapat makna yang sedmikian dalam ayat tersebut? Atau apa sebenarnya?
“Perpaduan nasional” dan “perpaduan kebangsaan”. Frasa pertama tentulah lebih jelas, bersih dan tidak mengandung unsur negatif sementara frasa yang kedua boleh sedikit sebanyak mengandungi unsur negatif,( terutama kepada mereka yang amat sensitif dan takut dikatakan sebagai ultra Malay) kerana kebangsaan itu berkait rapat dengan nasionalisme – yang di dalamnya jelas mengandungi ideologi tertentu.
Kita tidak ingin menjawab semua persoalan yang kita timbulkan itu, sama ada tentang perpaduan ummah, perpaduan nasional, perpaduan kebangsaan mahupun perpaduan Melayu. Kita sekedar menimbulkan persoalan di sini untuk sama-sama kita berfikir secara terbuka supaya apabila kita menggunakan frasa-frasa itu semua, kita tahu apakah maknanya yang sebenar. Dan apabila kita tahu makna hakikatnya, tidaklah kita menggunakannya secara sembarangan sehingga boleh menimbulkan tanggapan yang pelbagai terutama di kalangan yang mendengarnya, yang tidak merujuk kepada bahan-bahan yang sahih.
Sebenarnya ada banyak lagi kata yang kemudiannya muncul menjadi frasa yang digunakan oleh banyak orang dan yang kita lihat mereka menggunakannya secara berleluasa sehingga tidak mendatangkan manfaat yang baik, malahan sebaliknya menimbulkan pemahaman yang bercanggah, mengelirukan dan sama sekali tidak bermanfaat.
Sebagai contoh ambil sahaja kata “adil”. Daripada kata adil akan muncullah kata “keadilan” yang berikutannya akan muncullah frasa-frasa lain seperti misalnya “keadilan sosial”, “keadilan ekonomi”, “keadilan politik” dan sebagainya. Ramai orang yang bercakap tentang pelbagai keadilan, sama ada dalam bidang kehidupan politik, ekonomi mahupun sosial kita. Apabila kita memerhatikan dengan teliti makna yang selalu dibawa dalam ucapan-ucapan oleh pelbagai orang itu akan kelihatanlah dengan jelas kepada kita bahawa “adil” itu diberi makna “sama rata”.
Adil itu bukan sekadar sama rata. Dalam bidang politik, mengikut falsafah demokrasi, betullah ia bermakna sama rata – setiap orang hanya berhak mengundi satu undi dalam pilihanraya. Selain praktis itu, dalam bidang-bidang kehidupan yang lain, kalau makna adil itu ialah sama rata ia menimbulkan situasi yang pula tidak adil. Adil pada hakikatnya ialah setiap orang memperoleh haknya masing-masing. Jadi yang berhak itu memperoleh haknya. Bagaimana pula menentukan haknya, atau hak seseorang itu? Ini tentunya menimbulkan banyak lagi perbincangan yang bukan niat kita untuk berbincang hal tersebut di sini. Yang kita nak timbulkan di sini ialah supaya orang berfikir tentang hal ini. Hal ini penting kerana jika kita tidak hati-hati, oleh sebab ghairah terhadap sesuatu, kita akan dengan mudah mengatakan bahawa bumi kita ini kepunyaan kita bersama. Betulkah?
Berbalik kepada perpaduan, hal awal yang kita bincangkan. Ada banyak persoalan yang timbul dalam hal ini. Perbincangan yang terperinci tentulah akan mengambil ruang yang panjang dan berjela-jela dan tidak mustahil pula menjemukan pembaca. Jadi kita hanya akan mengambil jalan yang singkat, yang bertujuan supaya kita nanti sama-sama berfikir apakah yang sedang terjadi kepada perpaduan ummah, perpaduan nasional, perpaduan kebangsaan, perpaduan Melayu dan yang seumpamanya.
Sejarah telah membuktikan dengan dalil-dalil yang sahih lagi terang bahawa perpaduan Melayu begitu mudah pecah. Apabila Inggeris masuk campurtangan ke dalam pemerintahan Tanah Melayu masyarakat berpecah kepada dua golongan iaitu yang menyokong Inggeris dan yang tidak menyokong Inggeris. Malahan kekalahan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511 juga adalah akibah perpecahan yang sama, ada orang Melayu, rakyat Melaka yang menyokong Portugis, sementara ada yang mempertahankan bumi pusaka orang tuanya, iaitu Melaka.
Inggeris masuk ke Tanah Melayu, ke negeri-negeri Melayu dengan dasar devide and rule, pecah dan perintah. Mana-mana negeri yang ada masalah di kalangan yang ingin menjadi raja, Inggeris akan masuk sebelah pihak dengan memberi sokongan padu, sehingga pihak yang satu lagi menerima kekalahan. Begitulah yang terjadi di Selangor dan Perak misalnya. Tidakkah ini gambaran perpecahan orang Melayu?
Apabila merdeka hal ehwal yang berhubung dengan agama dan adat istiadat Melayu diletakkan dibawah raja-raja Melayu sementara bidang ekonomi dan sosial yang hasilnya jauh lebih besar diletakkan dibawah Inggeris. Tidakkah ini juga suatu bentuk perpecahan terancang Inggeris bagi memecahbelahkan perpaduan di kalangan orang Melayu? Sultan-sultan yang dulu mempunyai kuasa dalam semua bidang kehidupan, sudah tidak mempunyai kuasa lagi. Hal ini pada hakikatnya mempunyai implikasi yang amat rumit sehingga ke hari ini.
Inggeris meletakkan orang Cina di bandar, India di estet dan orang Melayu, rakyat asal rantau ini kekal sebagai petani atau penagkap ikan. Tidakkah ini juga satu bentuk perancangan perpecahan yang dilakukan Inggeris? Dan ini implikasinya sehingga ke hari ini amat besar sekali dalam semua bidang kehidupan. Kita sedang menunggu seorang pemimpin berani, seorang ahli politik kita yang sanggup memecahkan akibat dasar yang berterusan yang ditinggalkan Inggeris ini.
Perpaduan ummah? Apa jadinya dengan perpaduan ummah? Jelas inipun satu perkara yang sangat fragile. Keadaan mudah pecah itu jelas apabila begitu banyaknya penekanan yang dibuat oleh yang mendakwah tentang Islam sentiasa memperingatkan ummah supaya memperkukuhkan perpaduan ummah.
Dalam bidang politik, kita tak usah pergi jauh ke belakang, kita lihat sahaja apabila PAS memasuki Baraisan Nasional di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak bin Hussein sebagai Perdana Menteri. Berapa lama sahaja perpaduan itu kekal? Kepimpinan Datuk Asri Haji Muda hancur dan Pas pun keluar daripada Barisan Nasional.
Bagaimana keadaan selepas itu dan sehingga kini? Pas tidak boleh bekerjasama dengan Barisan Nasional kerana dalam Barisan Nasional itu ada komponen yang bukan Islam? Sekarang apabila Pas bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, boleh pula?
Keadaan yang kita sebutkan itu sama-samalah kita fikirkan, apakah yang sebenarnya sedang berlaku terhadap perpaduan ummah?. Alasan tidak boleh bekerjasama dengan Barisan Nasional kerana Barisan Nasional ada komponen yang bukan Islam, sementara dia mengambil sikap berkerjasama dengan Pakatan Rakyat yang ada DAP di dalamnya. Kekeliruan apakah yang hendak ditimbulkan oleh para ulama Islam Malaysia kini terhadap perpaduan ummah?
Itu kita lihat dalam bidang politik yang besar, secara makro. Kalau kita lihat pula secara mikro, dalam PAS itu sendiri – yang kononnya memperjuangkan Islam – adakah mereka bersependapat – tentang isu-isu yang timbul dalam masalah Islam, sama ada yang kecil mahupun yang besar. Yang kecil, tetapi heboh buat masa kini ialah tentangt penggunaan kalimah Allah oleh yang bukan Islam pun mereka tidak sependapat. Ada tokoh Pas yang mengatakan boleh dan ada yang mengatakan tak boleh.
Ada kalangan mereka yang mengatakan bahawa perselisihan itu adalah perkara kecil sahaja, perkara furuk, ranting tidak menjejaskan Islam pada keseluruhannya. Persoalan kita kalau dalam hal yang kecil begitu pun mereka berbeza pendapat, bagaimana pula hendak berhadapan dengan perkara yang lebih besar?
Perpaduan ummah? Bagaimana para ilmuan agama Islam pada umumnya? Jawapan yang sama juga muncul, iaitu perpaduan kita amatlah fragile, amatlah mudah pecah. ,Pelbagai orang yang mempunyai pengetahuan agama yang dalam masyarakat berkedudukan tinggi tidak dapat sepakat tentang penggunaan kalimah Allah. Ada yang mengatakan (memfatwakan) sesiapa yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh Herald Weekly, boleh menjadi kufur.
Persoalan kita yang besar ialah kenapa hal-hal yang sebeginipun para cendekiawan Islam kita tidak boleh sepakat dalam mengeluarkan pendapat, apatah lagi dalam mengeluarkan fatwa? Di Malaysia kita ada berapa ramai mufti, berapa ramai ulamak, hal kecil inipun tidak boleh diselesaikan? Kenapa?
Yang jelas adalah perpaduan ummah kita adalah sesuatu yang amat fragile sifatnya. Itu belum lagi kita membentangkan tentang pertentangan yang terjadi antara penyokong faham Wahabi dengan Ahlul Sunnah Waljamaah, tentang bahayanya kumpulan Islam Liberal atau yang lebih besar lagi misalnya antara Ahli Sunnah Waljamah dengan Syiah – yang kita musuhi lebih daripada kita memusuhi Amerika.
Demikian besarnya jurang yang menunggu di hadapan kita. Itu belum lagi kita setentangkan bahawa dalam masyarakat kita pada umumnya memang perpecahan itu jelas. Orang agama misalnya hanya hidup rapat sesamanya, mereka berkumpul sesama mereka, mereka tidak bercakap tentang masalah sosial, jarang sekali persoalan ekonomi – barangkali oleh sebab tidak diberi ruang kepada mereka – justeru kita mendapati wang zakat di etiap negeri bertimbun tidak dimajukan. Manakala orang ekonomi pula dalam bidangnya sendiri, begitu juga yang dalam bidang-bidang lain. Sukar misalnya kita ingin duduk dalam satu majlis, misalnya membincang tentang AFTA yang dilihat daripada pelbagai sudut, dari sudut ekonominya, sudut politiknya, sudut sosialnya dan sudut agamanya. Sedangkan implikasi daripada sesuatu dasar yang kita buat itu terkena kepada semua rakyat.
Leave a Reply