Pandangan Kakitangan Agensi Agama Terhadap Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Pendekatan Islam Hadhari (Bhg. 1)

January 13, 2010 10:05 AM 0 comments

Share this Article

Author:

Oleh MOHD SHAUKI ABD MAJID

ABSTRAK

Kajian ini dilakukan untuk melihat persepsi dan pandangan di kalangan kakitangan Agensi Agama terhadap Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Pendekatan Islam Hadhari. Secara keseluruhan, penilaian kalangan ini menunjukkan pandangan yang positif. Hasil kajian ini mendapati bahawa usaha kerajaan dalam mempertingkatkan penghayatan dan pengamalan Islam sama ada dalam Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Pendekatan Islam Hadhari dapat diterima. Bagi kalangan kakitangan agensi agama, program kerajaan dalam melaksanakan Penerapan Nilai-Nilai Islam telah memberikan kesan yang cukup mendalam ke atas pembentukan jatidiri insaniah secara individu, masyarakat mahupun negara. Manakala Pendekatan Islam Hadhari dianggap mampu melonjakkan lagi imej Malaysia sebagai negara Islam contoh di persada antarabangsa yang mengikut acuan sendiri. Menariknya, dalam penilaian terhadap Islam Hadhari khasnya selepas Pilihan Raya ke-12, kajian ini mendapati jawaban yang diberikan oleh kakitangan agensi agama adalah bercampur. Sebagai sebuah konsep yang menekankan kepada aspek gagasan pembinaan tamadun bangsa dan negara berteraskan Islam, Islam Hadhari pada pandangan mereka perlu disokong. Namun dalam konteks perkembangan politik negara pasca pilihan raya ke-12 dan persoalan kelanjutan program Islam Hadhari, pandangan mereka cenderung sebaliknya. 

PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM DAN PENDEKATAN ISLAM HADHARI

Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran (PNI) mula diperkenalkan pada tahun 1983 apabila Dr. Mahathir Mohamad mengambilalih pentadbiran negara. Dasar PNI lebih menekankan kepada usaha untuk menjadikan semangat pentadbiran dan pengurusan awam mempunyai nilai-nilai keislaman disebabkan ketika itu Negara sedang menghadapi fenomena kebangkitan semula Islam. Kebangkitan semula Islam (1) mula memuncak setelah meletusnya Revolusi Iran yang menyebabkan penyingkiran Rejim Shah Pahlavi oleh Imam Ayatullah Khomeini pada tahun 1979. Perkembangan ini menyebabkan kumpulan siasah dalam negara mula memperjuangkan pembentukan sebuah Negara Islam dengan menjadikan Islam sebagai ideologi politik. Ketika itu, Parti Islam Semalaysia (PAS) menggunakan ideologi penubuhan Negara Islam di Malaysia berdasarkan prinsip-prinsip perjuangan Ikhwanul-muslimin dan Jemaat Islamiyah.

Bagi PAS, perjuangan politik mereka yang berlandaskan prinsip jihad di mana setiap masyarakat Islam perlu berjuang menegakkan sebuah negara Islam dan melakarkan sebuah penentangan terhadap pentadbiran yang sedia ada yang dianggap warisan penjajah dan bercanggah secara ideologinya. Falsafah perjuangan berasaskan prinsip Negara Islam sebenar ialah sebuah pemerintahan berdasarkan system khalifah yang diperkenalkan oleh Abul ‘Ala al-Maududi menjadi rujukan utama bagi sekumpulan pertubuhan belia yang diasaskan atas semangat Revolusi Iran, iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).  Kedua-dua pertubuhan tersebut mempunyai kekuatan sokongan berasaskan semangat kebangkitan Islam dan bagi menghadapi gelombang tersebut, Dr. Mahathir Mohamad mula memperkenalkan dasar PNI. Hasil pengenalan dan pelaksanaan dasar PNI, kekuatan dan kebangkitan politik PAS dapat dibendung, manakala sebahagian besar pemimpin ABIM menyebelahi kepimpinan politik kerajaan dengan menyertai parti pemerintah. 

Idea yang mencetuskan pelaksanaan Pendekatan Islam Hadhari mempunyai kaitan yang erat dengan konsep pemikiran tentang perkembangan tamadun Islam dan hubungkaitnya dengan persoalan mutakhir yang berlaku di Malaysia dan dunia Islam pada awal tahun 2000-an. Sebagai sebuah konsep, idea ini telah dibincangkan dalam Seminar Percambahan Pemikiran Islam Hadhari/Tamadun Islam Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada tahun 2002. Persidangan ini telah dirasmikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi  yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.(2)

Walau bagaimanapun, konsep yang dibincangkan di persidangan tersebut tidak membawa kepada pelaksaaan yang terancang kerana tidak ada tindakan susulan yang berkesan yang dilakukan selepas itu. Namun begitu, setelah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 pada 31 Oktober 2003, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menjadikan Pendekatan Islam Hadhari sebagai agenda peribadi yang kemudiannya dilaksanakan sebagai agenda negara. Kebetulan ketika agenda ini dibincangkan, Malaysia berada dalam suasana menghadapi pilihan raya umum ke-11 sehingga mendorong Barisan Nasional menjadikan agenda ini sebagai sebahagian manifesto pilihan raya.

Pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan itu kemudiannya mendapat sanggahan dan polemik yang berpanjangan berdasarkan penggunaan istilahnya. Bagi Presiden PAS, konsep Islam Hadhari adalah satu contoh penggunaan istilah yang salah dan berdasarkan kesalahan tersebut, Islam Hadhari telah dianggap sebagai ”satu bentuk agama baru yang ingin diperkenalkan oleh Barisan Nasional”.  Disebabkan kecenderungan politik tersebut dan kedudukan PAS yang semakin tergugat, Haji Abdul Hadi Awang, iaitu Presiden PAS, telah menerbitkan sebuah buku berjudul Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari (3), dengan harapan dapat mengurangkan sokongan politik kepada Barisan Nasional. Polemik mengenai istilah tersebut berupaya menimbulkan pelbagai persepsi dan sikap yang skeptikal terhadap usaha kerajaan dalam meningkatkan perkembangan Islam.(4)

Pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap dalam  Perhimpunan Agung UMNO ke-55 pada 23 September 2003. Dalam ucapan sulung selaku pemimpin nombor satu UMNO, beliau menghuraikan sepuluh prinsip yang terkandung di dalam  Islam Hadhari. Keseluruhan prinsip-prinsip tersebut merupakan intipati kepada pembinaan semula kegemilangan tamadun Islam berasaskan nilai-nilai Islam yang universal. Melalui pendekatan tersebut,  beliau berhasrat menjadikan Malaysia sebagai model pembangunan masyarakat  Islam melalui pembangunan modal insan.. Di peringkat antarabangsa pula, sebagai pengerusi Persidangan Negara-Negara Islam (OIC), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menggunakan pelbagai kesempatan bagi memperkenalkan Pendekatan Islam Hadhari kepada negara anggota sebagai satu wahana  untuk penyelesaian masalah yang sedang dihadapi oleh dunia Islam. (5)

Dari segi teori, Pendekatan Islam Hadhari bermatlamat bagi mewujudkan  sebuah negara dengan bangsanya yang bertamadun dan berwibawa. Pendekatannya juga bertujuan bagi menonjolkan ciri-ciri sesebuah masyarakat moden dalam usaha meningkatkan kualiti sumber insaniah yang celik teknologi dan maju dalam bidang sains. Sepuluh prinsip Islam Hadhari ialah (1) keimanan dan ketakwaan kepada Allah, (2) kerajaan yang adil dan amanah, (3) rakyat berjiwa merdeka, (4) penguasaan ilmu pengetahuan, (5) pembangunan ekonomi, (6) kehidupan berkualiti, (7) pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, (8) keutuhan budaya dan moral, (9) pemuliharaan alam semulajadi, dan (10) kekuatan pertahanan.

Secara politiknya, Pendekatan Islam Hadhari dianggap amat tepat pada masanya kerana pengenalan tersebut dilihat mampu menyeledsai atau meredakan sedikit ketegangan serangan Barat terhadap Islam selepas peristiwa pengeboman  Pusat Dagangan Dunia pada 11 September 2001. Pendekatan Islam Hadhari juga dikatakan sebagai langkah membendung prasangka barat terhadap Islam ekoran kebangkitan semula Islam dan kecenderungan baru dasar luar Amerika Syarikat selepas berkahirnya Perang  Dingin. Pada tahun 1996, Samuel P. Huntington(6) mengemukkaan tesis bahawa dunia akan menghadapi pertembungan tamadun dan yang paling ketara ialah antara Barat dan Islam. Sebelumnya, pertembungan tersebut difokuskan antara Barat dan Komunisme(7), tetapi setelah runtuhnya tembok Berlin dan perpecahaan negara Kesatuan Republik Soviet, Islam telah dijadikan sasaran ekoran peningkatan jumlah penganut Islam yang lebih cepat dan semakin bertambah(8). Selepas kejadian tersebut,  umat Islam semakin diasak dengan pelbagai label dan tuduhan yang berunsur  negatif termasuk mempopularkan kembali istilah islamiphobia dan hantu hijau(9) yang dikaitkan dengan ekstremisme agama dan pendekatan jihad atau perang suci (holy war). Pendekatan Islam Hadhari yang dilaksanakan di Malaysia yang bersifat moderat dianggap mampu memberikan wajah Islam yang universal dan boleh dijadikan model yang dapat diterima oleh segenap lapisan masyarakat.(10)

Namun begitu, setelah empat tahun Islam Hadhari dilaksanakan, Barisan Nasional menghadapi Pilihan Raya Umum ke-12 dengan pelaksanaannya yang banyak menimbulkan polemik. Seperti dalam Pilihan Raya Umum Ke-11, UMNO khususnya masih menggunakan isu ini sebagai bahan kempen pilihan raya, walaupun pada skala yang jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum Ke-11.(11) Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 pelaksanaan Pendekatan Islam Hadhari di Malaysia berhadapan dengan dilema, terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, iaitu Selangor(12), Perak dan Pulau Pinang. Selain itu, nasib masa depan Pelaksanaan Islam Hadhari juga turut menimbulkan persoalan memandangkan pelaksanaanya berkait erat dengan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Penolakan masyarakat terhadap Islam Hadhari mempunyai kaitan yang erat dengan penggunaan Islam dalam Islam Hadhari yang telah menimbulkan banyak kekeliruan dan polemik. Dalam konteks ini penjenamaan semula dan penyesuaian dalam pelaksanaannya boleh membantu menjayakan agenda yang bertujuan untuk memperkasakan tamadun umat Islam di Malaysia dan membantu menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh masyarakat Islam pada hari ini. Selain itu, kejayaan usaha bagi memajukan umat Islam, yang mungkin namanya bukan “Islam Hadhari”, tetapi mempunyai matlamat yang murni, memerlukan kesungguhan semua pihak.

4.1 PROFIL RESPONDEN

Kajian ini dijalankan di seluruh Semenanjung dan dibahagikan kepada empat zon, iaitu Zon Utara (Pulau Pinang, Perlis dan Kedah), Zon Tengah (Melaka, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) , Zon Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan Zon Selatan (Melaka dan Johor). Jadual di bawah menunjukkan taburan responden berdasarkan setiap zon serta pecahan-pecahannya.

Jadual 1: Taburan Responden Berdasarkan Zon

ZON

Bilangan Responden

Peratus (%)

Zon Utara

70

11.2

Zon Tengah

292

46.7

Zon Timur

182

29.1

Zon Selatan

81

13.0

Jumlah

625

100.0

 

Dari segi taburan responden, Jadual 2 menunjukkan bahawa 16.5% responden adalah Kakitangan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), 31.8% kakitangan Jabatan Agama Islam Negeri manakala 19.8% adalah kakitangan Majlis Agama Islam Negeri dan 31.9% lagi terdiri daripada kakitangan IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia), YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia), Yayasan Islam Hadhari, JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas), JAPIM (Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pelajaran Malaysia), YAPEIM (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia), KAGAT (Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan), Pegawai Masjid dan kakitangan Institut Islam Hadhari.

Jadual 2: Taburan Responden Berdasarkan Agensi

1

Daripada seramai 625 orang responden telah ditemui,  54.88% (343) adalah responden lelaki manakala 45.12% lagi adalah responden perempuan (282). (Lihat Jadual 3)

Jadual 3: Taburan Responden Berdasarkan Jantina

 

Jantina

Bilangan Responden

Peratus (%)

Lelaki

343

54.9

Perempuan

282

45.1

Jumlah

625

100.0

 

Responden yang berumur antara umur 31 hingga 40 tahun adalah kumpulan terbesar iaitu 35.52% berbanding lain-lain kumpulan umur seperti dalam Jadual 4.

                                Jadual 4: Kumpulan Responden Berdasarkan Umur

2

Sejumlah 64.0% (400) orang adalah responden yang tinggal di  kawasan bandar manakala 35.5% adalah di luar Bandar manakala  05% lagi tidak memberikan sebarang respons.  (Jadual 5)

Jadual 5: Taburan Responden Berdasarkan Tempat Tinggal

 

Tempat Tinggal

Bilangan Responden

Peratus (%)

Kawasan Bandar

400

64.0

Kampung (Luar Bandar)

222

35.5

Tidak Respon

3

0.5

Jumlah

625

100.0

 

Latar belakang pendidikan juga menunjukkan bahawa 51.7% (323) adalah memiliki Ijazah , 25.3% responden yang memiliki Sijil STPM/ Diploma/A-Level dan selebihnya 2.1 % memliki Sijil PMR (Penilaian Menengah Rendah),  17.9 % di peringkat  SPM (Sijil Pelajaran Malaysia)/O-Level dan lain-lain kelulusan 2.7%.. (Lihat Jadual 6).

                               Jadual 6: Tahap Pendidikan Responden

3

Berdasarkan profil pendapatan responden, 39.5% adalah penjawat awam yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM 1000 hingga RM 2000 , 23.7% berpendapatan RM 2000 hingga RM 3000. Ini bermakna 63.2 % responden adalah penjawat awam (agensi pentadbiran Islam) merupakan kumpulan rendah berbanding 13.6 % adalah dalam kumpulan pendapatan bulanan antara RM  3000 hingga RM 5000 ke atas . (Jadual 7).

Berdasarkan profil pendapatan responden, 39.5% adalah penjawat awam yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM 1000 hingga RM 2000 , 23.7% berpendapatan RM 2000 hingga RM 3000. Ini bermakna 63.2 % responden adalah penjawat awam (agensi pentadbiran Islam) merupakan kumpulan rendah berbanding 13.6 % adalah dalam kumpulan pendapatan bulanan antara RM  3000 hingga RM 5000 ke atas . (Jadual 7).

                                 Jadual 7: Tahap Pendapatan Responden 

4

Nota Kaki:

  1. Lihat Chandra Muzafar, Kebangkitan Semula Islam, Petaling Jaya: Fajar Bakti.
  2. Pada awalnya, Islam Hadhari diperkenalkan sebagai satu konsep tentang ketamadunan Islam. Bagaimanapun, setelah dipertikaikan dari segi bahasa, sejarah, fokus dan strategi pengisian oleh banyak pihak, konsep ini diubah menjadi pendekatan. Lihat Wan Nik Wan Yussof dan Asma’ Husna Sulaiman, Islam dalam Politik Malaysia: Satu Kritikan terhadap Islam Hadhari. Kota Bharu: Centre for Political Analysis and Strategic Development, 2006, hlm. 140.
  3. Hadi Awang, Hadrahah Islamiyyah bukan Islam Hadhari,
  4. Untuk analisis perdebatan tentang Islam Hadhari dan Hadharah Islamiah, lihat Ab Halim el-Muhammady, “Hadharah Islamiah dan Islam Hadhari: Satu Penilaian dalam Konteks Umat Islam di Malaysia”, dalam Shaharuddin Badaruddin, et al, (pnyt). Gerakan Islam antara Dua Paradoks. Kajang: ABIM, 2006.
  5. Abdullah Ahmad Badawi. Islam Hadhari Approach: Towards A Progressive Islamic Civilisation. Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2007, hlm, xv.  
  6. Samuel P. Huntingon, The Clash of Civilisation and remaking of World Order, N.York: Simon and Schuster, 1996.
  7. Francis Fukuyama, The End of History and The Last Man, N.York: Penguins, 1992
  8. Lihat Emmanuel Wallerstein, The World-Systems Analysis: An Introduction, Durham, North Carolina: Duke University Press, 2004.
  9. Lihat John L.Epistio, The Islamic Threat: Myth or Reality,   N.York: Oxford University Press, 1999 dan John L.Espitio dan James P. Piscatori, The Global Impact of The Iranian Revolution, Washington DC: The Middle East Institute, 1989.
  10. Ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pertemuan “The OIC Commission of Eminent Persons”, di Hotel  Marriott, Putrajaya pada 27 Januari 2005. Lihat koleksi ucapan beliau dalam, Abdullah Ahmad Badawi, Islam Hadhari Approach: Toward a Progressive Civilisation, hlm. 50.
  11. “Islam Hadhari Faktor Kekalahan BN?”      http://buletinonline.net/index.php?option=com_content&task=view.  
  12. Pendekatan Islam Hadhari secara rasminya ditolak oleh Pakatan Pembangkang yang memerintah Selangor kerana dianggap tidak ada Islam Hadhari dalam agama Islam.

(Bersambung…)

Leave a Reply