Jangan berdiam diri

January 13, 2010 11:34 AM 0 comments

Share this Article

Author:

Daripada Nu’man bin Basyir r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Perumpamaan mereka yang berada dalam batasan sempadan (agama) Allah dan mereka yang terjerumus ke dalamnya adalah seperti kaum yang mengundi untuk mendapatkan tempat masing-masing dalam sebuah kapal, antara mereka ada yang dapat di tingkat atas kapal dan sebahagian lain beroleh di tingkat bawah. Mereka yang berada di bawah akan melalui yang berada di bahagian atas untuk mengambil air, mereka berkata sekiranya kita tebuk saja tempat kita ini kita tidak perlu  mengganggu mereka (yang di atas) lagi. Sekiranya dibiarkan mereka laksanakan cadangan tersebut, maka akan binasalah sekalian penumpang, dan kalau dicegah rancangan itu akan selamatlah mereka dan penumpang semuanya.” (Riwayat Bukhari)

Huraian

Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam sahihnya. Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w membawa suatu perumpamaan, mereka yang melanggar batasan dan mereka yang patuh menjaga batasan hukum agama adalah seperti kaum yang menumpangi bahtera.

Sebahagian mereka berada di atas, manakala sebahagian lagi di bawah, dan apabila mereka yang di bawah ingin mendapatkan air, terpaksalah mereka menaiki berulang alik ke atas kapal  tersebut.

Antara mereka ada yang memberi cadangan untuk menebuk lubang di bawah perut kapal, untuk mendapatkan air tanpa mengganggu mereka yang di atas kapal, apabila cadangan itu dibiarkan, maka tenggelamlah kapal tersebut dengan penumpangnya sekali.

Bagaimanapun, sekiranya rancangan itu dihalang pastilah kapal dan mereka (penumpang semua)akan selamat dan sejahtera.

Pengajaran

Keselamatan masyarakat adalah kewajipan dan tanggungjawab semua.

1.   Suatu keputusan yang silap  boleh menghancurkan semua.

 2.   Perancangan yang silap itu (tidak harus dibiarkan berlaku tanpa ada pembetulan daripada mereka bersama).

 3.   Tidak ada dalam agama itu sikap nafsi-nafsi.

 4.   Saudara Muslim itu adalah bersaudara, masing-masing bertanggungjawab sesama mereka.

5.   Kewajipan amar makruf dan nahi munkar tidak harus diabaikan.

6.   Pihak berkuasa terutamanya perlu bertanggungjawab terhadap kesejahteraan umat dengan membuat perancangan yang tepat,  tegas, dan penuh hikmah.

Kesimpulan

Perbetulkanlah kembali setiap kesilapan dan perangi penyelewengan dalam masyarakat, kerana rangkaian kesilapan itulah yang akan membawa malapetaka yang amat dahsyat, yang akan menimpa semua sama ada masyarakat  mahupun seluruh anggota keluarga kita. 

Peumpamaan ‘bahtera’ adalah seperti kehidupan yang kita lalui sebelum menuju alam baqa. Pertanggungjawaban terhadap perilaku dan tindak-tanduk dalam mengharungi kehidupan tersebut perlu berlandaskan perintah dan keredaan Allah, bukan bersandarkan kepada perhitungan akal dan nafsu semata-mata.

Maka akan rugilah orang yang menjadikan nafsu sebagai nakhoda bahtera kehidupannya. Dan akan binasalah kita andai kesalahan dan kesilapan yang berlegar di sekitar kehidupan tidak kita hiraukan atau dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Susunan MOHD. YUSUF ABAS

Leave a Reply