Harta, sakit, dan bencana (dan 2 kisah lain)
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bersihkanlah hartamu dengan zakat, ubatilah sakitmu dengan sedekah, dan tolaklah olehmu bencana-bencana dengan doa.” (Riwayat Ibnu Mas’ud)
Sudah menjadi hukum alam bahawa setiap persoalan atau masalah pasti selalu ada jalan keluarnya, meskipun itu sangat sulit. Pun dalam menjalani kehidupan ini, kita kerap menemui masalah harta, sakit, dan bencana, sebagaimana dijelaskan dalam maksud hadis di atas. Semua itu akan berjalan dengan lancar jika kita mengetahui cara dan kunci dalam menjalani kehidupan.
Memang harta merupakan sesuatu yang dicari oleh setiap manusia. Rasulullah s.a.w sendiri secara langsung memerintahkan kepada umat Islam untuk mencari sebanyak-banyaknya harta.
Rasulullah menegaskan, “Bekerjalah untuk kehidupan duniamu seolah-olah engkau akan hidup selama-lamanya. Dan bekerjalah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok.”
Bahkan Rasulullah s.a.w sendiri adalah seorang saudagar yang berjaya.
Namun demikian, Islam mengajarkan bahawa harta yang kita peroleh tidaklah merupakan sesuatu yang suci sebelum dikeluarkan zakatnya. Kewajipan ini Allah s.w.t tegaskan dalam firman-Nya, “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat ini kamu membersihkan dan menyucikan mereka, dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah swt Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (at-Taubah: 103)
Ayat tersebut menjelaskan bahawa harta yang dikeluarkan zakatnya itu tidak saja membersihkan harta itu sendiri, tapi juga menyucikan dan menenteramkan orang yang mengeluarkannya. Harta yang dikeluarkan zakatnya itu menjadi harta yang berkah, tumbuh dan berkembang di hadapan Allah s.w.t, meskipun secara ‘mata kasar’ manusia hitungan tersebut berkurangan.
Dan sakit merupakan salah satu fasa putaran hidup manusia. Tegasnya, sakit merupakan sebuah kepastian yang setiap manusia akan mengalaminya. Mengenai sakit, Rasulullah s.a.w mengajarkan tidak ada satu sakit pun yang tidak ada ubatnya.
Salah satu cara yang Rasulullah s.a.w contohkan, sebagaimana hadis di atas, adalah dengan memperbanyak sedekah. Setiap sedekah yang kita keluarkan mengandungi keberkahan dan doa. Terlebih-lebih sedekah itu diberikan kepada orang-orang yang benar-benar memerlukan.
Imam Muslim meriwayatkan bahawasanya Rasulullah s.a.w selalu mendoakan orang yang bersedekah dengan doanya, “Ya Allah, rahmatilah mereka.” Sedangkan bencana-bencana yang terjadi pada dasarnya merupakan akibat tangan dan tindakan manusia (Maksud Surah al-Rum ayat 41). Kerana untuk menghindari bencana-bencana tersebut kita harus menjaga lingkungan dan memperbanyak berdoa agar Allah s.w.t menghindarkan kita daripada segala bencana.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud, “Katakanlah, ‘siapakah yang dapat menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut, yang kamu berdoa kepada-Nya dengan rendah diri dengan suara yang lembut ini, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur’.” (al-An’am: 63)
Hati, mata, dan telinga
Allah s.w.t menciptakan manusia dengan pelbagai keajaiban yang menyertainya: mata dengan kemampuan melihat, telinga dengan kemampuan mendengar, dan hati dengan kemampuan memahami. Namun demikian, ada juga manusia yang tidak bermata (matanya tidak berfungsi) tetapi dapat melihat, telinganya rosak tetapi tidak tuli. Manusia saperti ini biasanya tidak peka terhadap ayat-ayat Allah s.w.t.
Di hari kiamat kelak, penglihatan, pendengaran dan pemahaman tersebut dimintai pertanggungjawaban. Adapun mata, telinga dan hati serta fizikal hanya didudukkan sebagai saksi. Manusia yang paling buruk ialah yang tidak boleh memanfaatkan tiga unsur keajaiban manusiawi itu demi mengetahui kebenaran Allah swt dan ayat-ayat-Nya. Sehingga Allah s.w.t sampai mensejajarkan mereka dengan binatang ternak, bahkan lebih buruk lagi, dan tempat kembali mereka di akhirat kelak adalah neraka jahanam.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka) jahanam kebanyakan daripada jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka seperti binatang, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Maksud al-Quran, Surah al-Araf ayat 179, al-Ahqaf ayat 26 dan al-Isra ayat 36).
Tiga ‘indera berharga’ manusia itu sering kali tidak diasah dan diasuh secara sesungguhnya dalam rangka melangkah suatu perubahan yang konstruktif dalam hidup, iaitu menambah ketajaman penglihatan, pendengaran ataupun pengelolaan hati di jalan Allah s.w.t.
Sebaliknya, kebanyakan manusia lebih memperturutkan dirinya pada hawa nafsu yang ditunggangi kebodohan, dusta, dan prasangka yang tidak berdasar (Maksud al-Quran, Surah al-An’am ayat 148, al-Naml ayat 84). Padahal Allah s.w.t berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak miliki pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu akan diminta pertanggungjawabannya.” (a-Isra: 36)
Marilah kita bersama-sama menjaga hati, mata dan telinga agar kita tidak tunduk dalam arahan hawa nafsu. Ketiganya, haruslah selalu diasah dan dikelola untuk mengetahui, mengerti dan memahami ayat-ayat Allah s.w.t, baik yang kauniyyah (alam dan lingkungan sekitar) mahupun yang qauliyyah (al-Quran dan sunnah). Sehingga, kita selalu hidup sesuai kehendak-Nya dan semakin mulia kedudukan kita di sisi-Nya. Tanpa mengupayakan hal itu, nescaya hidup kita akan gelap dan tidak terarah, dan lebih celakanya lagi, di akhirat kita kelak akan menghadap Allah swt dalam keadaan buta, tuli dan bisu (meskipun di dunia ini keadaan fizikal kita normal, tanpa cacat apa pun), disebabkan dosa kita yang amat besar, yakni mengabaikan dan lalai akan ayat-ayat-Nya. (Maksud al-Quran, Surah al-Isra ayat 97)
Keutamaan solat malam
Solat malam memiliki keutamaan yang sangat besar sehingga menjadi sangat penting bagi orang-orang yang menginginkan kesempurnaan iman. Kerana sedemikian pentingnya, Allah s.w.t berfirman kepada Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Hai orang-orang yang berselimut, bangunlah pada sebahagian malam untuk solat, separuhnya, atau kurangi atau lebih sedikit dari itu. Dan bacalah al-Quran dengan tertib.” (az-Muzzammil: 1-4)
Nabi Muhammad s.aw juga sangat mengambil berat solat malam, hingga kedua telapak kakinya pecah-pecah. Meskipun Allah s.w.t telah mengampuni dosa-dosa baginda yang telah lalu dan akan datang, dengan tersenyum baginda menjawab, “Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang bersyukur.”
Solat malam merupakan sebab utama bagi seseorang untuk boleh masuk syurga. Menurut Abdullah bin Salam, pada waktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, orang-orang menyambutnya dengan perkataan: “Rasulullah datang! Rasulullah datang! Rasulullah datang! Begitulah suara teriakan terdengar, Kerana ingin melihat baginda, saya pun datang bersama orang-orang. Setelah boleh melihat baginda dengan jelas, saya pun tahu bahawa wajah baginda bukanlah wajah pendusta. Dan sabda baginda yang pertama kali saya dengar ialah: “Wahai sekalian manusia, sambunglah kekerabatan, dan solatlah di saat manusia terlelap tidur pada saat malam, nescaya kamu masuk syurga, kampung keselamatan.”
Dari kisah di atas, setidaknya ada beberapa keutamaan yang diperoleh bagi orang yang membiasakan solat malam. Di antaranya Allah s.w.t akan menaikkan darjatnya, sebagaimana yang disabdakan Rasulullah s.a.w yang bermasud, “Sungguh dalam syurga terdapat kamar-kamar yang bahagian dalamnya terlihat dari luar dan bahagian luarnya terlihat dari dalam. Kamar-kamar itu disediakan oleh Allah s.w.t untuk orang yang memberi makan, melembutkan perkataan, mengiringi puasa Ramadan, menebar salam, dan bersolat malam di saat manusia terlelap tidur.” (Riwayat Abu Malik Al-Asy’ari)
Selain itu, orang yang membiasakan solat malam adalah orang-orang yang berbuat ihsan dalam ibadah sehingga layak untuk mendapatkan rahmat dan syurga. Allah s.w.t berfirman, “Di waktu malam, sedikit sekali mereka tidur. Dan pada waktu sahur mereka beristighfar.” (az-Dzariyat: 17-18)
Allah s.w.t sangat memuji orang yang suka solat malam sehingga menggolongkan sebagai hamba-hamba-Nya yang baik sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menghabiskan waktu malam dengan sujud dan berdiri menyembah Tuhan mereka.” (al-Furqan: 64)
Justeru, Nabi s.a.w sangat mendorong kita melakukan solat malam. Baginda bersabda yang bermaksud: “Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadhan adalah puasa pada bulannya Allah s.w.t, iaitu Muharam. Sedangkan solat yang paling utama selepas solat wajib ialah solat malam.”
Susunan MUHAMMAD HAIKAL





