Di sebalik kontroversi kalimah Allah

Oleh MUHAMMAD HATIM
Penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam menjadi isu yang bakal menjadi api dalam sekam masyarakat Malaysia jika tidak ditangani secara berhemah. Meskipun Menteri Dalam Negeri telah memfailkan rayuan dan memohon menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaannya dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly pada 31 Disember lalu, dan kini penerbitan terbabit pula telah ‘berjanji’ tidak menggunakan kalimah tersebut, masyarakat masih memikirkan banyak kesilapan dan kealpaan orang Islam dalam usaha ‘memelihara dan memulihara’ kalimah suci itu.
Setelah mendapat tahu keputusan tersebut menyebelahi Archbishop Tan Sri Murphy Pakiam, orang perseorangan sama ada berjawatan sebagai menteri, bekas menteri ataupun bekas Perdana Menteri memberikan pandangan dan kecewa dengan keputusan tersebut.
Seluruh umat Islam sudah mula bersatu menentang atau membantah keputusan tersebut di samping mendesak agar dirujuk kepada Majlis Raja-Raja agar segera diselesaikan. Banyak juga pihak yang tidak berpuas hati membuat laporan polis.
Api kemarahan itu walaupun sampai ke kemuncaknya, telah dapat ditenangkan oleh Perdana Menteri. Beliau telah mengotakan apa yang diucapkan beberapa hari lalu agar Menteri Dalam Negeri memfail rayuan.
Meskipun Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan pernah memberitahu Berita Nasional Malaysia (Bernama) bahawa “keputusan mahkamah tidak boleh dinafikan” – sehari selepas keputusan tersebut dibuat, rakyat tetap melihat isu itu boleh meletus kerana kegagalan agensi-agensi Islam memerihalkan bahawa penggunaan kalimah Allah itu adalah milik mutlak agama Islam.
Agensi agama Islam telah sekian lama membisu mengenai perkara-perkara yang dilemparkan terhadap keEsaan Allah dan kemuliaan Sang Pencipta. Suatu ketika dahulu agensi Islam juga dilihat gagal menangani ungkapan “tuhan juga boleh mencarut”, “bukan Islam boleh gunakan ayat al-Quran”, “bukan Islam boleh memaki atau mengeji Islam kerana mereka tidak faham” dan sebagainya.
Bersandarkan ketidaksungguhan agensi Islam memperkemaskan program dakwah dan menjalin persefahaman masyarakat bukan Islam menyebabkan mereka boleh mencabar hak mutlak Islam itu sendiri. Misalnya juga terjadi cabaran hebat mengenai “hak waris terhadap pemeluk Islam” termasuk agama anak, harta sepencarian dan dikebumikan mengikut agama asal setelah “orang baru” itu meninggal.
Kita sebenarnya sudah lama tahu dan cuba menyekat penggunaan kalimah Allah itu. Sekurang-kurangnya peringkat Kementerian Dalam Negeri yang berkuasa mengawal penerbitan bahan bercetak, pada 7 Januari 2009 meletakkan syarat bahawa majalah tersebut perlu menghentikan penggunaan perkataan Allah bagi terjemahan God dalam bahasa Melayu.
Kerana melihat sikap liberal dan perkembangan politik semasa yang dibawakan oleh arus “sama rata, sama rasa”, larangan tersebut tidak mendapat reaksi positif penerbitnya. Pada 16 Februari 2009, Tan Sri Murphy Pakiam membuat permohonan menyemak semula larangan tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Berdasarkan hujah penghakiman, Datuk Lau Bee Lan memutuskan bahawa di bawah artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kesalahan jika kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam untuk menyebarkan agama kepada orang Islam, tetapi ia bukanlah menjadi kesalahan apabila bukan Islam menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama kepada bukan Islam.
Merujuk kepada artikel 11dan 12 Perlembagaan Persekutuan, hakim Mahkamah Tinggi itu memberikan keputusan bahawa Herald-The Catholic Weekly mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah bagi tujuan “in respect of instruction and education of the congregation in the Christian religion.”
Sejak isu ini ditimbulkan, iaitu pada awal tahun 2009, kenapa tidak banyak pihak yang memahami dan cekap berhujah tidak tampil membuat kupasan. Tetapi apabila ia sudah “hampir menjadi bubur” barulah terdengar suara membantah kononnya tidak memahami sensitivity orang Islam. Sebenarnya orang Islam sendiri tidak sensitif dengan nilai-nilai Islam sendiri, tidak berani bangkit berbincang secara berhemah dan menggunakan ketajaman akal serta kecerdikan ilmu pengetahuan.
Seharusnya mereka telah lama tampil untuk memberikan hujah bahawa kalimah Allah itu sebenarnya hak mutlak Islam. Sepatutnya mereka berani mencabar bahawa tidak disebut dalam kitab mereka, bahawa Tuhan mereka ialah Allah. Agama Kristian memberikan penegasan bahawa tuhan mereka berada dalam tiga peringkat, iaitu Tuhan Bapak, Tuhan Anak dan Rahul Kudus. Manakala penganut Yahudi menamakan tuhan mereka sebagai Yahweh.
Oleh itu, kita tidak dapat memahami apakah motif sebenarnya menukarkan terjemahan God dari Tuhan menjadi Allah. Kenapa tidak sahaja menterjemahkan perkataan God itu dengan lain-lain nama yang terdapat dalam kitab mereka? Apakah kerana usaha menterjemahkan God dengan Allah dalam menterjemahkan bible dalam bahasa Indonesia telah berjaya dalam usaha kristianisasi mereka?
Dengan mengambil kira kejayaan tersebut, apakah mereka akan mengulanginya di Malaysia? Tentunya suasana dan sensitiviti antara kedua-dua negara tersebut adalah berbeza. Indonesia telah meletakkan prinsip Ketuhanan Yang Maha Esa sebagai prinsip pertama Pancasila, tetapi Malaysia menjadikan prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan. Kedudukannya sudah jelas berbeza, kerana Malaysia meletakkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, manakala tidak disebut agama rasmi.
Islam hanya diyakini dianuti oleh lebih 80 peratus penduduk. Tetapi Indonesia membenarkan perkahwinan pasangan berlainan agama berdasarkan prinsip tersebut, manakala orang Islam tidak dibenarkan berkahwin dengan apa cara sekali pun dengan bukan Islam di Malaysia. Jika perkahwinan tersebut berlaku juga dalam situasi yang bertentangan, perkahwinan itu dianggap tidak sah dan perlu dibubarkan. Mereka yang terbabit perlu dihadapkan ke mahkamah.
Jika mengambil kira pengertian dan pemahaman mengenai kalimah Allah, jelas sekali antara kedua agama samawi itu jauh berbeza. Allah dalam sudut keyakinan umat Islam mengandungi zat yang amat besar sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
”Dia Allah Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada Nya segala sesuatu, Dia tiada beranak dan tidak pula di peranakan dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.” (al-Ikhlas: 1-4)
Tuhan dalam agama Kristian adakalanya disamatarafkan dengan sifat manusia dan kerana itulah Jesus (Nabi Isa a.s.) dikatakan Tuhan Anak. Konsep tersebut jelas membayangkan bahawa makna sebenar dan hakikat kalimah Allah adalah lebih murni dan kudus dalam Islam, berbanding Kristian.
Tetapi hakikat yang jelas tidak sedemikian berlaku. Maha Suci Allah sebagai Tuhan Yang Tunggal dan Esa, seakan dipermainkan oleh olakan fikiran rasional. Seperti terlahir dalam falsafah positivisme Agustus Comte ataupun pentafsiran kitab Bible, bahawa Tuhan perlu menurunkan tarafnya sebagai manusia untuk memahami manusia. Sedangkan Allahlah yang mencipta seluruh kehidupan, maka manusia perlu tunduk kepada kebesaran-Nya. Allah tidak tertakluk kepada mana-mana sistem, sedangkan manusia tetap tertakluk kepada sistem termasuk sistem alam semesta yang diciptakan oleh Allah s.w.t.
Kumpulan ini sebenarnya adalah sama dengan kaum musyrikin Mekah, kerana mereka sebenarnya terdesak untuk berkongsi nama dan mengakui hakikat ketuhanan. Ia tidak ubah seperti satu percuban melarikan diri dari suatu kebuntuan atau pertentangan fikiran, kerana ilmu ada tidak mampu memberikan petunjuk yang jelas. Sebab itulah mereka ingin meminjam nama Allah untuk menamakan Tuhan mereka.
Kembalilah kesucian kalimah Allah. Dengan tidak mengendahkan kesucian-Nya, makna Allah Yang Maha Besar, Maha Pencipta, Maha Agung dan Maha Pengasih dan Penyayang akan terus ‘ternoda’ oleh tangan-tangan besar dan ‘ghaib’ yang berselindung di sebalik tabir kebebasan beragama.
Leave a Reply