Di mana letaknya ruyung?

Bookmark and Share

Oleh SYAM AKHYAR

Baik ditolak mahupun dialu-alukan, yang datang tetap datang. Demikian dengan angka 2010, tahun baru Masihi. Jika pun anda berasa keberatan menerimanya, atas beberapa perkara dan sebab, anda tak dapat menghindarinya. Ia tetap tiba untuk menggenapkan digit; dengan kata lain ianya tetap hadir sebagai sebuah penyempurnaan peralihan waktu. Apatah jika anda memang mengalu-alukannya, maka kehadirannya adalah satu lonjakan kehidupan yang pasti cukup menarik.   

Menarik dan membahagiakan.        

Tentulah ada alasan untuk anda berasa senang sedemikian rupa; namun siapa pun yang mengalaminya, alasannya pasti bertolak daripada dua sebab utama: pertama, kerana rasa puas; dan kedua, kerana besarnya harapan.           

Antara sekian banyak orang yang berasa terhambat, berasa kesal dan kecewa, gara-gara tahun-tahun yang berlalu sarat dengan cabaran dan kehampaan, penuh dengan kegagalan, sangat melelahkan, bahkan terlalu mengancam; pastilah di sana ada dan masih ada orang yang berasa betapa sepanjang tahun yang lalu dia telah berjaya mengatasi kedukaan dan kemurungannya, dia telah berjaya memulihkan ketenatannya, dia telah berjaya mengangkat balik apa yang pernah jatuh. 

Misal sahaja, seseorang yang sejak sekian lama telah dimufliskan atau telah diisytiharkan muflis, tiba-tiba pada tahun yang lalu dia telah berjaya memadamkan calar hitam muflis itu, maka tentulah baginya tahun yang lalu itu adalah tahun yang sangat membahagiakan, dan harapannya menjadi lebih besar agar di tahun yang baru ini, dia akan bertambah makmur. Alangkah puasnya hati.           

Tetapi tentulah tidak semua orang boleh berada pada tahap puas itu, walaupun hampir semua orang pula akan tetap menjana dan tetap pula mencanai harapan. Apatah apabila diingatkan, setiap indvidu biasanya akan berada dalam posisi yang berbeda, dengan cabaran dan kemungkinan yang berbeza pula.            

Bagi sang jutawan, cabaran di hadapan akan seiring dengan nilai yang dimiliknya. Bagi sang penguasa, cabarannya berlainan lagi. Bagi usahawan dan pedagang, cabaran yang menantinya tentu berskala besar. Bagi pentadbir, cabaran mensukseskan pentadbirannya boleh membuatkan darahnya naik ke tahap maksimum. 

Demikian bagi seorang guru, seorang kerani, seorang pekedai runcit, seorang peraih (bahkan peraih barangan kelontong), seorang pewarong makanan, seorang penyanyi, seorang pelakon, seorang penggubah musik, seorang pemilik kelab malam, dan seorang pekerja lain dengan apa sahaja jenis pekerjaannya, cabaran tetap datang.. Cabaran dan harapan yang pelbagai, yang membuatkan sesiapa sahaja mesti memerah otak, memerah keringat, memerah tenaga, malahan memerah nafas; demi agar harapan untuk menjejak esok akan kesampaian, dan akan sampai pula dengan sempurnanya.         

Kendati bukan mustahil ada antara kita yang tak berasa apa-apa terhadap peralihan waktu, juga barangkali tak pernah punya harapan apa-apa terhadap hari-hari baru, dan kerananya pula tak berasa tercabar sedikit pun oleh kedaifan di masa lalu; atau kendati boleh jadi saja ada sejumlah orang antara kita yang tidak pernah mengerti apa ertinya atau apa hakikatnya berasa puas dan berasa tidak puas terhadap keadaan diri sendiri, terhadap nasib yang dialami diri sendiri (dan diri orang lain dalam lingkungan kerabat dekatnya), namun rata-rata pastilah hampir setiap kita ingin juga mengecap rasa puas dan serentak itu ingin merubah apa yang sebelumnya dirasakan tidak puas.          

Ini secara langsung berkait erat dengan proses anjakan dan sekaligus proses lonjakan. Anjakan pemikiran, dan lonjakan kreativiti. Hidup mesti diatur oleh pemikiran, dan akan dipercantikan (disempurnakan) oleh sifat kreatif. Dengan kata lain, hidup mesti dan perlukan tatanan yang sempurna, tidak mungkin sekadar berbasa-basi. Kerananya, setiap manusia sewajarnya selalu berharapan, selalu menanam harapan.          

Manusia kecil dengan harapan (dan cita-cita) yang kecil-kecilan barangkali; sementara manusia besar dengan harapan (dan cita-cita) yang besar-besaran. Tapi jangan menidakkan hak untuk manusia kecil berharapan (dan bercita-cita) besar, kerana kesempatan untuk meraih kejayaan besar sesungguhnya terbuka bagi siapa sahaja, baik bagi manusia besar mahupun bagi manusia kecil. Ini bergantung kepada kerja kuat, ilmu, kemahiran dan nasib baik.           

Malangnya, tidak sedikit dari manusia yang tidak mampu membezakan antara cita-cita dan khayalan, antara harapan dan angan-angan. Kerana ketidak-mampuan ini, atau kerana sengaja berpura-pura tidak mampu, ada manusia yang mencampur-adukkan realiti dan ilusi, membaurkan antara hakikat dan angan-angan. Dalam sekian banyak kes, banyak manusia yang percaya bahawa nasibnya boleh berubah dalam sekelip mata melalui syihir, bukan melalui usaha; seumpama not satu ringgit boleh bertukar sekelip mata menjadi not seratus ringgit!           

Sangat ketara, manusia-manusia yang tersyihir oleh kepercayaan begini adalah manusia-manusia yang sering tidak ingin bekerja kuat. Orang-orang begini jugalah yang dengan mudah terpedaya untuk menggandakan wang ringgit dan harta bendanya melalui pelbagai skim cepat kaya; dan selalu memandang lekeh apa jua usaha penabungan yang pulangan untungnya dianggap kecil.             

Pada hakikatnya, sagu tak mungkin terhasil daripada rumbia muda. Sagu hanya boleh didapatkan dari ruyung, daripada sagu yang sedang bunting. Pun, selagi tak dipecahkan ruyung itu, betapa mungkin akan didapatkan sagunya?             

Jika tidak menyimpan seringgit sehari, tak mungkin akan terkumpul tiga puluh ringgit sebulan. Jika tak menabung seratus ringgit sebulan, bagaimana akan terkumpul seribu dua ratus ringgit setahun? Tetapi inilah masalahnya. Ada orang yang setiap terbangun dari tidur, meluru menuju mesin wang automatik, semata-mata untuk melihat baki akaunnya. Kenapa? Kerana dia percaya, akaunnya boleh bertambah seribu ringgit sehari kerana dia telah ikut serta dalam skim cepat kaya; bahkan tak sedikit orang yang kenyang dengan khayalan bahawa akaun banknya tiba-tiba jadi membengkak semata-mata kerana kesilapan teknk pihak bank. Siapa tahu ada orang memasukkan sejuta ringgit ke dalam akaun saya, walaupun niat asalnya hendak memasukkan ke dalam akauan orang lain! Haha… nasib orang, siapa yang tahu?               

Mengapa dan bagaimana boleh jadi begini? Pertama kerana manusia memang mudah terpengaruh. Di tengah-tengah manusia yang mudah terpengaruh ini, terdapat segelintir manusia lain yang pandai memanipulasi keadaan. Inilah golongan penipu dan penjangak, yang entah bagaimana boleh bergerak begitu leluasa. Golongan inilah yang muncul dengan pelbagai kaedah untuk memperdayai orang ramai. Dan kebetulan ada antara orang ramai yang mudah gelap-mata, maka kenyanglah pemangsa meratah si mangsanya!               

Kemudahan internet dan teknologi SMS melalui telefon tangan adalah dua rangkaian telekomunikasi saintifik yang sedang berleluasa diguna-pakai oleh para penjangak moden ini. Melalui internet, anda akan dimaklumkan telah memenangi satu cabutan loteri, di Bangkok atau di Sepanyol atau di Amerika. Skim loteri itu pula kononnya ditaja atau dilindungi oleh kerajaan di negara-negara berkenaan. Tetapi sebelum anda mendapat hadiahnya, yang tentu sahaja nilainya mencecah jutaan dolar, anda dikehendaki membayar wang prosesnya. Anda diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam akuan yang nombornya diberikan. Ya, siapa yang tidak tergoda? Sekadar habiskan sepuluh ribu US Dollar untuk nanti beroleh sepuluh juta USD?                

Untung bagi orang yang berfikiran waras. Tapi andaikata sahaja anda seorang yang tamak, yang tak dapat membezakan antara realiti dan ilusi?                

Di dalam negara kita sendiri, kemudahan berSMS melalui telefon tangan turut menjadi alat untuk memanipulasi sifat tamak manusia. Saya percaya, setiap pemilik HS pernah dan senantiasa menerima SMS-SMS yang menggiurkan. Macam-macam bunyinya. Ini pengumuman daripada PETRONAS Malaysia….Ini pengumuman daripada penganjur AF4… Ini pengumuman daripada Resort World! Kad SIM anda telah memenangi cabutan bertuah. Anda berjaya mendapat sepuluh ribu RM… Anda berjaya mendapat dua belas ribu RM. Sila hubungi nombor telefon berikut untuk keterangan lanjut!                 

Jika misalnya anda pernah menerima SMS sedemikian, pernah pulakah anda hubungi nombor telefon yang diberikan? Jika pernah, akan lengkaplah cerita sebagaimana cerita-cerita yang pernah dikeluhkan oleh sekian banyak orang. Ya, kata seseorang, saya telah hubungi nombor telefon yang diberikan. Saya tanya fasal hadiah yang dinyatakan itu. Si penjawab telefon minta saya masukkan dulu dua puluh peratus daripada nilai hadiah sebagai wang proses. Tapi bila saya kata, ambil sahaja wang hadiah saya itu, dia terus saja letak telefon!                  

Tidakkah itu namanya satu penipuan?                  

Seseorang lain bercerita lagi. Lebih kurang seperti itu juga. Si penjawab telefon minta saya berikan nombor akaun bank saya. Bila saya beri, dia menelefon saya balik. Katanya, baki akaun saya sikit sangat. Saya mesti tambah dulu jadi ribu-ribu, baru boleh dapat hadiah. Saya sengaja memberikan nombor akaun yang ingin saya tutup. Saya tahu, saya sedang ditipu.                    

Orang yang bercerita itu telah mengambil sikap yang bijak. Tetapi di tempat lain, ternyata ada juga mangsa yang tidak bijaksana. Diberikan nombor akaun banknya, yang bakinya masih cukup lumayan. Dua hari kemudian, bakinya tinggal sepuluh ringgit. Bahkan ada yang sanggup berikan nombor pin kad ATMnya. Dia lupa, di zaman ini, tanpa kad ATMpun, orang lain boleh keluarkan wang asalkan tahu nombor pinnya. Tanpa membawa buku akaun ke bank pun, orang boleh keluarkan wang asalkan tahu nombor akaunnya! Bahkan di saat setiap pengguna telefon tangan dikehendaki mendaftar secara rasmi, para penyangak dengan mudah menggunakan nombor telefon negara luar, yang boleh akses dengan mudah juga dalam negara kita. Jadi, dalam keadaan demikian, para penjangak itu tidak berasa gerun andai penipuan dan identiti mereka dapat dijejak.                    

Tetapi si mangsa itu sendiri? Gara-gara apa ini kalau bukan kerana terlalu ghairah untuk menggandakan wang! Dengan dan melalui jalan yang singkat!                    

Sekali lagi, hanya diperut ruyung terkumpul sagunya. Pecahkanlah ruyung itu dulu. Dengan menanam sayur, orang mampu pada akhirnya membina rumah. Dengan hanya berjualan bunga, atau dengan hanya menjaja “etok”, sepasang suami isteri mampu menghantar anak-anaknya ke universiti. Ini berlaku dalam tahun enam-puluhan, ketika tak ada pihak yang menaja apa-apa pinjaman pengajian, dan untuk mendapat biasiswa dari pemerintahpun sangat rumit. Mereka tidak tergerakpun untuk cepat kaya, misalnya dengan membeli tiket-tiket loteri yang dijual bebas ketika itu!                     

Sebabnya mudah. Mereka tahu, yang sedikit-sedikit itulah yang lama kelamaan menjadi bukit. Mereka juga tahu, untuk jadi kaya, harus kerja kuat, walaupun kerja kuat itu sekadar menanam ubi kayu. Untuk jadi kaya, harus kurangkan tidur, tapi mesti banyakkan usaha. Berniaga atau berdagang, secara halal dan penuh sikap manusiawi. Menghindar daripada riba, menjauh daripada tipu daya!                      

Yang jadi kaya kerana riba, pada satu waktu akan lemas dalam lautan api. Yang bermain dengan tipu daya, pada satru hari akan muflis gara-gara terkena tipu daya orang lain.                      

Nah, ketika hari ini tahun baru 2010 telah menjelang, ketika para ibu bapa sedang bergelut dengan sekian banyak tuntutan untuk menyempurnakan persekolahan anak-anak (walaupun buku teks dapat percuma, yuran persekolahan telah dibatalkan, atau kalaupun masih ada kadarnya sangat kecil), maka untunglah barangsiapa yang sejak awal telah menabung! Inilah waktunya memecahkan tabung; untuk maksud yang sangat bermanfaat, yang nantinya dapat kembali menabung lagi.            

Rumbia senantiasa tumbuh bersilih ganti. Ditebang yang satu, lima yang lain akan bercambah. Ruyung  ada di mana-mana. Gerakkan siku tulang, dan pecahkan ruyung itu. Sagu jua yang diperolehinya! Tak perlu lagi meminta, jauh daripada mengemis! Tangan sendiri yang mendulang, nyiru sendirilah yang tersaring emas!

Bookmark and Share

About the Author

Editor

Leave a Reply

You can use these XHTML tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <blockquote cite=""> <code> <em> <strong>