Al-Baqarah, ayat 33: Ilmu sebagai pemikul amanah Allah
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRY
Selepas daripada pengakuan malaikat dengan kekuasaan dan keilmuan Allah, seterusnya Allah s.w.t mengarahkan Adam a.s supaya menzahirkan ilmu yang dikurniakan Allah kepadanya berhubung dengan nama-nama sebagaimana firman-Nya:
AYAT 33
Maksudnya: Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka.” Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”
Ibn Jarir al-Tabari berkata: Sesungguhnya Allah memperkenalkan kepada malaikat-Nya tatkala mereka memohon untuk dilantik menjadi khalifah di bumi. Mereka menyifatkan diri mereka dengan ketaatan dan kepatuhan dengan segala arahan-Nya tanpa sedikit pun melakukan kerosakan dan penumpahan darah. Ini sebelum daripada pengetahuannya berhubung dengan hukum qada Tuhan, sebelum diterangkannya dan kejahilan mereka dengan nama-nama yang dibentangkan kepada mereka tanpa ilmu yang diketahuinya kecuali apa yang diajar oleh Tuhan mereka.
Allah yang Maha Mengetahui berhak mengkhususkan daripada ilmu kepada siapa yang dikehendaki di kalangan makhluk-Nya di samping menegahnya daripada siapa yang dikehendaki. Sebagaimana Allah mengajar kepada Adam dengan segala nama sedangkan ditegah ilmunya kepada malaikat.
Ayat ini Allah memulakan dengan arahan-Nya seraya berkata: Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka, iaitu ajarkanlah kepada mereka dengan nama-nama yang mereka lemah daripada mengetahuinya di samping mengiktiraf betapa terhadnya himmah mereka daripada mencapai martabat keilmuan tersebut.
Al-Imam al-Samarqandi melalui tafsirnya Bahr al-Ulum, berkata: Iaitu khabarkanlah mereka dengan segala nama-nama termasuk haiwan-haiwan yang melata dan juga daripada hikmah di samping apa yang halal dimakan atau tidak.
Seterusnya Allah berfirman: Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka setelah Adam mengkhabar dan menceritakan kepada mereka dengan mengikut arahan Allah segala sesuatu dengan menamakan setiap sesuatu mengikut namanya di samping menyebut beberapa hikmah dan fungsi tentangnya.
Akhirnya, Allah mengulangi pertanyaan-Nya sekali lagi kepada malaikat tanpa memerlukan jawapan seraya berfirman: Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan? Iaitu tidakkah Aku terangkan kepadamu bahawa Aku Maha Mengetahui dengan segala yang ghaib daripadamu sama ada di langit atau di bumi. Juga Aku mengetahui apa yang kamu zahir dan nyatakan di samping apa yang kamu sembunyikan daripada dakwaan kamu bahawa Allah tidak menciptakan makhluk lebih afdal daripadamu.
Abu Hayyan di dalam Al-Bahru al-Muhit, menaqalkan daripada Ali, Ibn Masu’d dan Ibn Abbas, “apa yang kamu zahirkan”, ganti nama kepada malaikat.
Sedangkan “apa yang kamu sembunyikan”, ganti nama kepada iblis. Menjadikan ucapan ini kepada semuanya.
Ibn Jarir berkata: Ghaib itu ialah apa yang ghaib daripada pandangan sehingga tidak diketahuinya sebagai tempelak daripada Allah kepada mereka di atas kenyataan mereka sebelumnya dan betapa naifnya mereka.
Al-Mawardi di dalam Al-Nukat wa al-U’yun, berkata: apa yang kamu sembunyikan? Terdapat dua pandangan ulama, iaitu:
Pertama: Iaitu apa yang disembunyikan oleh Iblis daripada sifat takbur dan derhaka. Ini adalah pendapat Ibn abbas dan Ibn Masu’d.
Kedua: Apa yang mereka sembunyikan pada jiwa mereka bahawa Allah tidak mencipta makhluk kecuali mereka lebih baik daripadanya. Inilah pendapat al-Hasan al-Basri.
Al-Imam al-Samarqandi berkata: Iaitu apa yang Iblis sembunyikan pada dirinya sehingga berkata: Jika manusia lebih daripadaku, nescaya aku tidak akan taatkannya. Sebaliknya, jika aku lebih daripadanya, nescaya aku hancurkannya.
Sebahagian ulama menafsirkan: Sesungguhnya mereka berkata, ketika Allah menghendaki untuk menciptakan Adam, bahawa Dia tidak akan menciptakan seseorang yang lebih afdal daripada mereka. Inilah yang mereka sembunyikan. Tafsir ini diambil daripada Qatadah.
Sebahagian ulama berkata: Tatkala diciptakan Adam, malaikat merasa musykil, apakah Adam lebih mengetahui daripada mereka atau sebaliknya? Lantaran Allah bertanya kepada mereka tentang nama-nama. Mereka tidak mampu mengetahui dan menjawabnya sehinggalah ditanyakan kepada Adam dan dapat menjawab satu persatu.
Justeru, zahirlah bagi mereka bahawa Adam lebih mengetahui.
Diriwayatkan bahawa Allah Taala tatkala menciptakan Adam a.s, malaikat telah melihat kejadian fitrahnya yang penuh ajaib seraya berkata: “buatlah apa yang dikehendaki.” Tuhan Kami tidak akan menciptakan mana-mana makhluk kecuali kami lebih mulia daripadamu seperti yang dinyatakan oleh Ibn Kathir dan Abu Al-Suud.
Al-A’llamah Ibn A’syur di dalam tafsirnya Al-Tahrir wa al-Tanwir, berkata: Sesungguhnya Allah menjadikan ilmu Adam dengan segala nama sedangkan malaikat lemah daripada itu merupakan alamat dan tanda keahlian dan kelayakan manusia memegang dan memikul amanah sebagai khalifah di muka bumi, tidak / bukan malaikat.
Ini kerana khilafah di muka bumi merupakan khilafah Allah dalam melaksanakan apa yang dikehendaki-Nya dengan pembinaan mengikut keadaan dan manusia.
Dalam erti kata yang lain, Allah s.w.t telah menjadikan jenis kemanusiaan untuk melaksanakan kehendak-Nya di alam ini. Justeru segala perlakuannya di dunia merupakan pelaksanaan secara langsung mengikut kudrat Allah Taala pada semua amalan yang dilakukannya.
Tanpa syak lagi bahawa khilafah ini tidak mungkin ditegakkan tanpa ilmu sehingga dapat melakukan pertimbangan yang sewajarnya antara kebaikan dan keburukan. Di samping itu mampu melakukan kebaikan dan juga kejahatan mengikut tempatnya dan tidak layak bagi ilmu ini kecuali dikurniakan kekuatan berkata-kata, iaitu mempunyai akal fikiran sehingga dapat menzahirkan makrifah sesuatu nama dan juga keistimewaannya hingga akhirnya.
Seterusnya syeikh menyebut: Ayat ini membawa keistimewaan yang besar bagi jenis kemanusiaan pada bab ini dan kelebihan ilmu.Tetapi ianya tidaklah menunjukkan bahawa kelebihan jenis kemanusiaan atas malaikat sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Syihab al-Qarafi.
Sebaliknya, disandarkan kelebihan yang mutlak berdasarkan kepada himpunan kelebihan sebagaimana hadis yang mengkhabarkan antara Musa dan Khidir.
Syeikh Muhammad Rasyid Ridha di dalam tafsirnya al-Manar, berkata: Sesungguhnya telah berlalu sunnah Allah pada kitab-Nya bahawa Dia menzahirkan bagi kita banyak perkara maknawi dengan menukarkan ibarat yang lafzi. Di samping menerangkan bagi kita dan menjelaskan segala bentuk pengetahuan berdasarkan kepada kefahaman akal dengan gambaran-gambaran yang zahir untuk mendekatkan dan memudahkan kefahaman di samping menyenangkan untuk mencapai ilmu. Daripada yang demikian itu bahawa kita mengetahui berdasarkan kisah ini betapa bernilainya kita dan apa yang Allah sediakan kepada kita fitrah sehingga kita mempunyai keistimewaan berbanding makhluk yang lain.
Justeru, menjadi kemestian kepada kita dengan berusaha bersungguh–sungguh dalam menyempurnakan diri kita dan melengkapkan dengan seberapa banyak ilmu yang Allah ciptakan untuk kita untuk persediaan sebagai pemikul amanah Allah di bumi, tidak seperti malaikat dan makhluk yang lain. Ini untuk menzahirkan hikmah Allah kepada kita dan mudah-mudahan kita menjadi makhluk yang mulia mengikut makna yang telah diumumkan Allah kepada malaikat-Nya, begitu juga dengan sujudnya mereka kepada asalnya kita, iaitu Adam.
Di sini dapatlah kita fahami betapa manusia amat penting menyedari hakikat dirinya sebagai khalifah Allah dengan kurniaan yang terlalu banyak sama ada fizikal, akalan, roh, persaan dan lain-lain yang tidak terhingga. Mengabdikan diri kepada Allah bagi mentahkikkan ubudiah sebagai matlamat kejadian manusia merupakan setinggi-tinggi nikmat dan sudah pasti mendapat pembalasan yang cukup hebat dengan keredaan dan syurga daripaada Allah. Sebaliknya amat wajar kita berwaspada daripada terjerumus ke lembah kelalaian sehingga dilabelkan seperti binatang berkaki empat bahkan lebih lagi dek kerana melanggar arahan Allah dengan anekaragam maksiat. Semoga Allah menempatkan kita daripada golongan yang bersyukur kepada-Nya. Amin.





