Seratus satu persoalan tasawwuf (Bhg. 4)

Bookmark and Share

Bersama DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRY

SOALAN 21

Benarkah bahawa Nabi s.a.w makhluk Allah yang pertama dan bahawa Baginda diciptakan daripada cahaya?

JAWAPAN

Dr. Yusuf al-Qardawi berkata: Telah diketahui bahawa hadis yang menyatakan bahawa makhluk pertama adalah itu atau ini… dan seterusnya, tidak satu pun sahih, sebagaimana ditetapkan oleh para ulama Sunnah.

Oleh kerana itu, kami dapati sebahagian bertentangan dengan sebahagian yang lain. Sebuah hadis mengatakan, bahawa yang pertama kali diciptakan oleh Allah adalah pena.

Hadis lainnya mengatakan, yang pertama kali diciptakan Allah adalah akal. Telah tersiar di antara orang awam daripada kisah maulid yang sering dibaca bahawa Allah menggenggam cahaya-Nya, lalu berfirman: “Jadilah engkau Muhammad.” Maka ia adalah makhluk yang pertama kali diciptakan Allah daripada situ diciptakan langit, bumi dan seterusnya.

Daripada itu juga tersiar kalimat: Selawat dan salam bagimu wahai makhluk Allah yang pertama. Hingga kalimat itu dikaitkan dengan azan yang disyariatkan, seakan-akan sebahagian daripadanya.

Perkataan itu tidak sah riwayatnya dan tidak dibenarkan oleh akal, tidak akan memartabatkan agama dan tidak pula bermanfaat bagi perkembangan peradaban dunia. Keawalan Nabi Muhammad s.a.w sebagai makhluk Allah tidak terbukti, seandainya terbukti tidaklah berpengaruh pada keutamaan dan kedudukannya di sisi Allah. Tatkala Allah memujinya dalam kitab-Nya, maka Allah memujinya dengan alasan keutamaan yang sebenarnya.

Allah berfirman dalam surah al-Qalam, ayat 4, yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya kamu benar-benar orang yang berbudi pekerti agung.”

Hal itu terbukti dan ditetapkan secara mutawattir. Nabi s.a.w adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib al-Hasyim al-Quraisy yang dilahirkan di Mekah pada tahun Gajah. Bagina dilahirkan sebagaiman halnya manusia biasa dan dibesarkan sebagaimana  manusia dibesarkan. Beliau diutus sebagaimana para Nabi dan Rasul sebelumnya diutus dan bukannya Rasul yang pertama di antara rasul-rasul-Nya.

Baginda hidup dalam waktu terbatas, kemudian Allah memanggilnya kembali kepada-Nya seperti firman Allah s.w.t dalam surah al-Zumar, ayat 30, yang bermaksud: 

Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula).”

Baginda akan ditanya pada hari kiamat, sebagimana para Rasul ditanya dalam firman Allah s.w.t dalam surah al-Maidah, ayat 109, yang bermaksud:

 “(Ingatlah) hari di waktu Allah mengumpulkan para Rasul, lalu Allah bertanya (kepada mereka): Apa jawapan kaummu terhadap seruanmu? Para Rasul menjawab: Tidak ada pengetahuan kami (tentang itu) sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui perkara yang ghaib.”

Al-Quran telah menegaskan kemanusiaan Muhammad s.a.w di berbagai tempat dan Allah memerintahkan menyampaikan hal itu kepada orang-orang dalam berbagai surat, antara lain:

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Kahfi, ayat 110, yang bermaksud:

“ Katakanlah, sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa…”

Ayat di atas menunjukkan bahawa beliau adalah manusia seperti manusia lainnya, tidak memiliki keistimewaan, kecuali dengan wahyu dan risalah. Nabi s.a.w menegaskan makna kemanusiaannya dan penghambaannya terhadap Allah dan memperingatkan agar tidak mengikuti kebiasaan-kebiasaan daripada orang-orang sebelum kita, iaitu penganut agama-agama terdahulu dalam hal memuja dan menyanjung:

“Janganlah kamu sekalian menyanjungku sebagimana kaum Nasrani menyanjung Isa putera Maryam. Sesungguhnya aku adalah hamba Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Nabi yang agung ini adalah manusia seperti manusia lain dan tidak diciptakan daripada cahaya mahupun emas, tetapi diciptakan dari air yang memancar dan keluar dari tulang sulbi lelaki dan tulang rusuk wanita sebagai bahan penciptaan Muhammad s.a.w.

Allah s.w.t  berfirman kepada ahlul kitab dalam surah al-Maidah, ayat 15, yang bermaksud:

“…Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan kitab yang menerangkan.”

Maksud cahaya dalam ayat ini adalah Rasulullah s.a.w, sebagaimana al-Quran yang diturunkan kepada Baginda adalah juga cahaya.

Doa Nabi s.a.w yang bermaksud: “Ya Allah, berilah aku cahaya di dalam hatiku, berilah cahaya di dalam pendengaranku dan berilah aku cahaya dalam penglihatanku, berilah cahaya dalam rambutku, berilah aku cahaya disebelah kanan dan kiriku, di depan dan di belakangku.” (Hadis Riwayat Muttafaqun `Alaih)

Maka, Baginda adalah Nabi pembawa cahaya dan Rasul pembawa hidayat. Semoga Allah menjadikan kita sebagai orang-orang yang mengikuti petunjuk dan sunnahnya.

 

SOALAN 22

Tasawwuf antara pro dan kontranya, bagaimana pandangan Syeikh al-Qardhawi?

JAWAPAN

Dalam bukunya yang bertajuk Fatawa Mu`asirah, beliau berkata:

Kami pernah diajukan persoalan ini dalam fatwa yang lalu, walau bagaimanapun tiada halangan untuk sekali lagi mengulanginya memandangkan peri pentingnya tajuk ini dan kerana hilangnya hakikat mengenainya dari kalangan orang-orang yang memuji atau mencercanya secara keterlaluan. Justeru itu, ia amat memerlukan keterangan yang lebih lanjut.

Kami juga tidak keberatan untuk mengetengahkan beberapa aspek mengenai tajuk ini serta nenerangi jalan kepada sesiapa yang ingin menjalani kehidupan ini dengan Basirah (iaitu berusaha untuk memahami berdasarkan ilmu, pengalaman dan lain-lain).

Umat Islam pada era sahabat dan orang-orang yang berguru dengan mereka belajar dan mengajar Islam secara menyeluruh mengenai kesyumulannya, keseimbangannya, positivitinya dan juga perinciannya.

Mereka tidak menekan kepada satu sudut dan mengabaikan sudut yang lain. Mereka tidak melupakan perkara-perkara zahir untuk menumpukan perhatian kepada perkara batin tidak juga mengabaikan urusan batin semata-mata kerana urusan zahir bahkan mereka menunjukkan prihatin terhadap akal, roh dan badan secara menyeluruh, mengambil berat akan hal individu dan masyarakat serta menjaga kepentingan dunia dan akhirat seperti yang diungkapkan oleh fuqaha’.

Kemaslahatan (kepentingan) manusia, dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Apabila kehidupan telah menjadi kompleks dan berubah maju berpunca daripada pelbagai faktor-faktor sama ada dalaman ataupun luaran, lahirlah dalam masyarakat Islam satu golongan yang hanya menekankan aspek akal pemikiran sahaja seperti golongan mutakallimin disamping satu golongan lagi yang begitu menekankan aspek amalan-amalan zahir seperti ahli-ahli feqah.

 Di samping dua golongan ini, ada satu lagi yang hanya dihanyutkan oleh kemewahan dunia dan ditenggelami oleh arus materialisme seperti para pemerintah dan orang-orang kaya serta orang-orang yang menjejaki mereka dalam mencari harta dunia.

Di saat ini lahirlah golongan sufi yang memberikan prihatin terhadap satu aspek yang penting iaitu aspek spiritual dan kerohanian dalam kehidupan Islam. Mereka memenuhi kekosongan yang tidak berupaya diisi oleh ahli ilmu feqah dan ilmu kalam demi menyelamatkan umat manusia daripada tenggelam dalam kemewahan dan kepalsuan dunia.

Ulama-ulama salaf yang terdahulu seperti yang telah diterangkan mengambil Islam secara keseluruhannya yang tersusun dalam martabat-martabat bermula dengan Islam, iman dan ihsan seperti yang terdapat dalam hadith Jibril yang masyhur itu. Kemudian lahir ulama; fiqh yang mengkhususkan kepada rukun-rukun Islam yang zahir sahaja dan ahli ilmu kalam pula mengkhususkan persoalan iman dan kajian-kajian yang berkaitan dengannya.

Manakala ahli tasawwuf pula berkata kami khusus kepada martabat ihsan.

Praktis-praktis dalam tasawwuf bermatlamat untuk merealisasikan tujuan yang praktikal iaitu menyelamatkan diri daripada kemurkaan Allah s.w.t dan azab di akhirat melalui cara berzuhud, meninggalkan kemewahan serta berjihad melawan hawa nafsu. Mereka melakukannya bersumberkan kepada adab syarak dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Kemudian muncul golongan ulama dan pendidik yang telah menyatukan aspek ketakutan dan perasaan takutkan Allah seperti Hasan al-Basri, kemudian timbul satu elemen baru ekoran dari aspek ketakutan tadi iaitu perasaan cintakan Ilahi (atau kecintaan Ilahi). Unsur tersebut terdapat dalam syair Rabiatul Adawiyah (wafat 185H) kata-kata Abu Sulaiman al-Darani (wafat 215H) Zu al-Nun al-Misri (wafat 245H) dan Abu Yazid al-Bastami serta ramai lagi yang menerangkan bahawa mereka tidak hanya mentaati Allah dan menunaikan kewajipan semata-mata kerana takutkan api neraka dan bukan juga kerana mahukan kenikmatan syurga sebaliknya itu semua adalah kerana kasihkan Allah dan mencari jalan untuk mendekatkan diri kepadanya.

Perkara ini terdapat dalam kata-kata Rabiah: Mereka semua menunaikan ibadat kerana takutkan api neraka mereka menganggap kejayaan itu sebahagian daripada perolehan yang banyak, apabila mereka masuk syurga, mereka mendapat balasan dan bertuah dan hikmat dan mereka meminum air telaga Salsabil, tiada bagiku sebarang balasan pada syurga mahupun neraka, aku tidak pinta sebarang tukar ganti dengan kecintaanku ini.

Selepas daripada itu tasawwuf telah bertukar corak dari tarikat untuk pendidikan akhlak dan kerohanian kepada satu falsafah yang mengandungi beberapa kefahaman asing daripada ajaran Islam, pemesongan daripada pengajaran yang asal. Penyimpangan yang palimg ketara ialah teori al-Hulul (iaitu jelmaan tuhan pada tiap sesuatu) dan Wihdah al-Wujud (iaitu mengenai kesatuan di antara tuhan dan makhluk).

Tasawwuf telah terpesong jauh hasil perbuatan al-Halaj yang telah diperdayakan oleh pelbagai tipu daya (al-Ghurur) sehingga dia berkata: Aku adalah Allah yang sama dengan mazhab orang yang mendakwa adanya penjelmaan tuhan pada makhluk seperti dakwaan orang-orang nasarani terhadap al-Masih.

Penyelewengan ini telah menjadi sebab kemarahan ahli-ahli feqh dan masyarakat Islam terhadap al-Halaj hingga menyebabkan beliau dibunuh pada tahun 309H. Kebanyakan ahli tasawwuf tidak bertanggungjawab mengenai idea dan teori yang dibawa oleh al-Halaj itu.  

Kemudian konsep Wihdah al-Wujud semakin terpesong dan menjadi lebih ekstrem penyelewengan konsep ini terdapat di dalam karya-karya Muhyidin Ibn al-Arabi (wafat 638H) dan lain-lain yang menyangka bahawa tiada kewujudan melainkan Allah dan tiada perbudaan dalam Wujud. Oleh itu tiada serentak kewujudan Allah s.w.t dan makhluk dan tiada Tuhan dan hamba.

Hasil daripada falsafah ini ialah penafian tentang konsep tanggungjawab yang menjadi tonggak kepada akhlak dan juga persamaan di antara orang-orang baik dan jahat, penyembah tuha yang Esa (iaitu Allah orang-orang Islam) dan penyembah berhala. Semua itu adalah tanda iaitu kewujudan hak Allah secara nyata dan jelas. Justeru itu Ibn al-Arabi menulis:

          Sesungguhnya hatiku menerima segala bentuk gambaran,

Bicara pendeta dan padang ternak untuk anak-anak kijang,

          Rumah berhala dan kaabah,

                   Serta helaian kitab taurat dan mashaf al-Quran.

 

SOALAN 23

Apakah pandangan Dr. Yusuf al-Qardhawi berkenaan dengan aliran sufi?

JAWAPAN

Tidak syak lagi bahawa orang ramai telah berbeza pendapat mengenai ahli-ahli tasawwuf. Orang-orang yang taksub mengenainya menyerlah kebaikan-kebaikan dan menyokong pandangan-pandangan mereka dalam segala-galanya dalam mempertahankan mereka walaupun salah malah dia tidak tergambar langsung untuk menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

 Manakala orang yang terlalu anti tasawwuf pula menghina ahli sufi dan mengeji setiap perkara yang dilakukan orang mereka, hatta sesuatu yang dilakukan oleh seorang sahaja walaupun perkara itu hak untuk dirinya sendiri. Dia mengumumkan yang tasawwuf ini adalah mazhab yang dibawa masuk kedalam islam dan dicedok dari agama Masehi, Buddha, Brahmanisme dan lain-lain.

Akan tetapi keinsafan menuntut kami supaya berkata: Sesungguhnya tasawwuf itu ada aspeknya yang Islamik dan tidak boleh diingkari. Di dalamnya terdapat unsur-unsur asasi Islam yang tidab tersembunyi. Ianya terdapat di dalam al-Quran, sunnah Nabi, sirah Rasul dan para sahabat yang zuhud seperti Saidina Umar, Ali, Abu al-Darda’, Salman, Abu Zar dan ramai lagi.

Sesiapa yang membaca al-Quran dan hadis akan menyedari kedua-duanya ada mengandungi peringatan yang berulang-ulang mengenai fitnah kehidupan dunia dan kemewahannya di samping panduan-panduan yang membimbing kehemahan menuju Allah s.w.t dan akhirat. Juga menggerakkan hati untuk merindui syurga dan isi kandungannya yang penuh dengan keredaan Allah dan peluang untuk melihat wajah-Nya yang mulia.

Terdapat juga unsur-unsur yang menakutkan kita kepada api neraka dan azabnya dari segi fizikal dan maknawi seperti yang terdapat di dalam hadith tentang kasih Allah terhadap hamba-Nya dan kasih mereka terhadap-Nya seperti di dalam firman-Nya dalam Surah al-Maidah, ayat 54, yang bermaksud:

“ Dia kasihkan mereka dan mereka kasihkan-Nya.

Dan orang-orang yang beriman itu lebih kuat kecintaannya terhadap Allah.

Katakanlah olehmu, jika kamu cintakan Allah, hendaklah kamu mengikutiku, nescaya Allah akan mengasihi kamu.

Dan Allah mengasihi orang-orang yang baik.

Dan Allah mengasihi orang-orang yang sabar.

Sesungguhnya Allah kasihkan orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam keadaan berbaris-baris.

Terdapat lagi di dalam al-Quran dan hadis nas-nas yang banyak tentang soal zuhud, tawakal, taubat, syukur, sabar, yakin, taqwa, muraqabah dan pelbagai lagi aspek yang terdapat dalam agama. Tiada orang yang memberikan perhatian sewajarnya kepada perkara-perkara tersebut seperti mentafsir, bahawa `illah yakni mencari sebab terhadap sesuatu perkara, membuat pembahagian dan sepertinya selain daripada ahli-ahli tasawwuf.

Oleh sebab itu, mereka merupakan orang-orang yang lebih mengetahui tentang soal keaiban diri, penyakit-penyakit hati dan pintu-pintu kemasukan syaitan. Mereka juga adalah orang yang paling banyak mengambil berat tentang hal ehwal jalan agama dan pentarbiahan orang-orang yang mahu mengikuti jalan agama.

Sudah berapa ramai orang yang menderhaka bertaubat melalui mereka dan berapa ramai pula orang-orang kafir yang telah memeluk Islam melalui mereka. Namun tasawwuf tidak berhenti setakat berfungsi dalam peringkat pertama sahaja iaitu sebagai akhlak agama dan erti ibadat yang ikhlas kepada Allah.

Tunggaknya ialah kemahuan (iradat) seperti yang telah dijelaskan oleh Ibn al-Qayyim, tetapi ia telah berpindah dari sifatnya sebagai ilmu akhlak Islam kepada teori-teori yang berusaha untuk mencapai maksud al-Kasyf dan al-Faidh al-Ilahi iaitu pengurniaan Ilahi yang terlalu banyak terhadap hamba-Nya melalui penyucian jiwa (al-Kasyf ialah pembongkaran tentang sesuatu yang tersembunyi di sebalik alam zahir yang hanya dapat dikesan oleh mata halus).

Kemudian berlakulah pelbagai pemesongan dan penyelewengan sebagaimana yang telah terbukti. Oleh itu, adalah menjadi satu keingkaran (kesombongan) apabila seseorang menafikan pengaruh-pengaruh luaran terhadap ilmu tasawwuf yang kadang-kadang boleh menyebabkan terkeluar daripada imej kesederhanaan dan pertengahan Islam kepada kekerasan dan rigid seperti di dalam sistem rabbaniah (mengasingkan diri di mihrab untuk menjadi sami) atau kepada kefanatikan seperti yang terdapat dalam agama Buddha.

Di antara fenomena-fenomena penyelewengan di kalangan ahli tasawwuf ialah idea-idea di bawa ini:

      i.        Mengambil kira citarasa dan perasaan hati individu atau ilham sebagai ukuran untuk mengetahui dan buruk sesuatu serta untuk membezakan di antara yang betul dan yang salah, hinggakan ada yang melampau dalam perkara ini sampai berkata: Hatiku telah berbicara dengan tuhanku. Berlawanan dengan perkataan ulama hadith iaitu: Seseorang telah memberitahuku dari seorang yang lain dari Rasulullah s.a.w.

     ii.        Pengasingan yang mereka lakukan di antara syariat dan hakikat. Menurut mereka, sesiapa yang melihat kepada makhluk dengan `ain syariat nescaya dia akan memarahi mereka, barangsiapa yang melihat mereka dengan `ain hakikat dia akan maafkan mereka. Ekoran daripada itu ialah orang-orang kafir tidak boleh diperangi dan orang-orang yang melakukan kemungkaran tidak boleh diingkari.

    iii.        Penghinaan mereka terhadap soal-soal kehidupan yang bercanggah dengan manhaj al-Quran dan bercanggah dengan sunnah serta manhaj sahabat seperti kata: Bekerjalah untuk dirimu seolah-oleh kamu akan hidup selama-lamanya dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati pada esok hari.

   iv.        Penguasaan sifat jabariah dan salbiah terhadap kebanyakan mereka yang mana telah meninggalkan kesan di dalam pemikiran umat Islam yang menyebabkan mereka percaya bahawa manusia ini diatur dan dipandu bukan diberi pilihan atau tiada faedah untuk menentang kerosakan dan memerangi apa-apa kebatilan. Ini kerana Allah telah menentukan segala-galanya ke atas hamba-Nya, kata-kata ini telah berleluasa di kalangan mereka: Tinggalkan kuasa kepada kerajaan dan tinggalkan makhluk untuk Tuhan.

Ini telah membawa kepada penguasaan roh yang kalah dalam kehidupan umat Islam.

    v.        Menghapuskan personaliti murid dalam proses pentarbiyah suluk dan pemikiran mereka tenggelam dan kalah oleh idea syeikhnya dan dia tidak boleh membincangkan apatah lagi menentangnya atau mempersoalkan kenapa atau berkata tidak. Antara kata-kata mereka: Seorang murid dihadapan syeikhnya adalah seperti mayat dihadapan tukang mandi. Sesiapa bertanya kenapa; nescaya akan gagal.

Idea-idea di atas telah tersebar pada zaman mutaakhir ini dan ramai yang menerimanya dengan percaya bahawa ia adalah sebahagian dari ajaran Islam. Apabila fajar kebangkitan moden bangkit di negara umat Islam maka ramai di kalangan intelektual yang menyangka bahawa idea-idea negatif yang tertonjol itu adalah Islam. Lalu mereka enggan menerimanya dan barangkali menentangnya pula kerana kejahilan mereka tentang hakikat nilai-nilai Islam yang sebenar.

Perlu rasanya kami menambah di sini demi kebenaran bahawa ahli-ahli sufi yang awal dan sederhana sikap mereka telah memberi peringatan tentang penyelewengan dan perlampaun itu serta mewajibkan berpegang teguh dengan nas-nas syarak dan kaedah-kaedahnya yang tidak salah mahupun menyimpang.

Ibn al-Qayyim ada menukilkan pelbagai kata-kata yang dilahirkan oleh ketua-ketua ahli tasawuf antaranya ialah kata-kata oleh ketua ahli tasawwuf al-Junaid bin Muhammad (meninggal 297H) yang berkata: Tarikat-tarikat semuanya ditutup daripada kenyataan makhluk kecuali orang-orang mengikut athar sunnah Rasulullah s.a.w. Katanya lagi: Sesiapa yang tidak menghafal al-Quran dan menulis hadith dia tidak boleh diikuti dalam hal tasawwuf ini kerana pengetahuan kita ini berkait dengan al-Quran dan terikat dengan sunnah.

Abu Yazid berkata:sekiranya kamu melihat kepada seorang lelaki yang diberi beberapa keramat sehingga dia mampu terbang di udara, maka jangan kamu tertipu dengannya hatta kamu melihat bagaimana keadaannya dalam soal suruhan dan larangannya, menjaga batas batas (hudud) agama serta melaksanakan syariat.

Kata kata yang paling sederhana yang pernah dikeluarkan tentang tasawuf ialah jawapan ibnu Taimiyah ketika disoal megenai ahli ahli sufi. Antara jawapan beliau: manusia berbeza beza tentang jalan mereka (tarikat) ada yang mengeji ahli ahli sufi dan tasawwuf mereka berkata golongan sufi ini melakukan ibadah bidaah yang terkeluar daripada sunnah. Ada petikan yang diambil dari beberapa pihak mengenai beberapa perkara seperti yang dimaklumi. Ini dilakukan oleh pihak pihak dari kalangan ahli feqah dan ilmu kalam.

Adapun satu pihak yang lain yang melebihi had dan mendakwa bahawa golongan sufi ini adalah sebaik-baik makhluk dan yang paling sempurna selepas para nabi. Kedua-dua pihak ini amat tercela.

Yang benar ialah sesungguhnya mereka adalah golongan yang berijtihad dalam mentaati Allah sepertimana orang lain juga, berusaha untuk mentaati-Nya. Ada di antara mereka yang lebih mendahului dari dekat dengan sebab usahanya. Ada juga yang sederhana yang terdiri daripada golongan kanan (ahli syurga). Di antara dua kategori ini ada juga yang telah berijtihad dan salah. Ada juga yang berdosa kemudian bertaubat atau tidak bertaubat.

Di kalangan orang-orang yang cuba menasabkan keturunan mereka dengan golongan sufi adalah menzalimi diri sendiri dan menderhaka kepada Allah. Beberapa pihak yang dikatakan bidaah dan orang-orang Zindiq cuba menasbakan keturunan mereka kepada ahli-ahli sufi. Akan tetapi ahli-ahli tasawwuf yang muhaqqiqun (yang melakukan kajian mengenainya) tidak mengiktiraf mereka seperti al-Halaj. Terdapat syeikh-syeikh tarikat yang menentang serta menghalaunya daripada kumpulan tarikat seperti ketua tarikat yang bernama al-Junaid serta ramai lagi.

 

SOALAN 24

Bagaimanakah pandangan al-Ghazali berkenaan dengan tasawwuf?

JAWAPAN

Menuju kepada Allah adalah sebagai ubat yang mujarab bagi penyakit kejiwaan yang dialami oleh Imam al-Ghazali. Beliau menggambarkan kepada kita bagaimana beliau sembuh daripada penyakitnya:

Inilah yang menyebabkan aku jatuh sakit, semakin hari semakin tenat rasanya, hampir dua bulan aku terumbang ambing hidup sebagai penganut sofist. Keadaan yang memaksa aku menjadi begitu, bukan sekali-kali dengan sukarela aku mahu menjadi demikian. Sekarang Allah telah menyembuhkan penyakit yang aku hadapi selama ini, sekarang aku kembali menjadi sihat walafiat seperti biasa. Jiwaku tidak ragu lagi. Aku kembali yakin akan kebenaran hukum akal, semuanya itu bukan dengan dalil-dalil yang tersusun dan ungkapan yang teratur tetapi adalah dengan cahaya yang Allah campakkan di dalam dada, cahaya itulah yang menjadi kunci kebanyakkan pengetahuan, sesiapa yang menyangka bahawa kasyaf hanya ada pada dalil-dalil, maka ia telah menyempitkan rahmat Allah yang luas.

Cara hidup al-Ghazali telah dipenuhi dengan cahaya iman, walaupun begitu beliau masih lagi mencari hakikat melalui aliran-aliran yang terdapat dalam Islam yang ada pada zamannya. Ini dapat membebaskan fikirannya daripada kongkongan taqlid untuk mendapat cahaya kebenaran. Beliau menjadikan dirinya sebagai satu metode yang tersusun rapi yang ditakbirkan olehnya dengan:

Ilmu yang yakin ialah ilmu yang mana perkara yang diketahui itu terdedah dengan dedahan yang tidak ada ragu lagi dan tidak ada kemungkinan salaf dan faham. Ini adalah kaedah yang mengingatkan kita kepada method ahli falsafah moden Perancis Descartes yang menjadikan fikiran yang paling mudah dan jelas sebagai asas kepada keyakinannya.

 

SOALAN 25

Apakah pandangan al-Imam al-Syatibi berkenaan dengan tasawwuf?

JAWAPAN

Imam al-Syatibi menyebut di dalam kitabnya al-`Itisam dengan  katanya: Adapun perbincangan tentang seni-seni tasawwuf maka ianya tidaklah bidaah ecara mutlak, begitu juga tidaklah sahih secara mutlak tetapi hal tersebut hendaklah dibahagikan. Lafaz tasawwuf mesti dijelaskan terlebih dahulu sehingga berlaku hukum atas perkara yang difahami, kerana ia merupakan perkara yang mujmal di sisi kebanyakkan ulama mutakhir. Kemudian hendaklah melihat kepada mereka yang awal. Secara ringkasnya lafaz tasawwuf di sisi mereka mempunyai dua makna:

     1.     Berakhlak dengan setiap akhlak yang baik serta berlepas diri dari segala akhlak yang buruk dan rendah.

     2.     Iaitu fana daripada dirinya dan kekal dengan tuhannya.

Daripada yang tahqiq menunjukkan makna yang satu kecuali salah satu daripada keduanya sesuai untuk diibaratkan bagi permulaan dan yang lain untuk kesudahan kecuali yang pertama tidak melazimi oleh hal sedangkan yang kedua dilazimi oleh hal. Sesungguhnya ada yang mengibaratkan dengan lafaz yang lain. Jika ini thabit, maka tasawwuf dengan makna yang pertama bukanlah perkara bid`ah. Ini kerana kembali kepada tafaqquh yang sayugia ke atasnya beramal. Di samping itu melebihkan perkara yang membawa kepada luput, pertentangan dan juga yang merosakkan dengan pengislahan. Ia merupakan feqah yang sahih dan usulnya diambil daripada kitab dan sunnah yang zahir.

Maka tidak dikatakan seumpamanya sebagai bidaah kecuali apabila diitlaqkan pada cabang-cabang fiqh yang tidak disebut seumpamanya oleh salaf al-Soleh bahawa ianya bidaah seperti cabang-cabang salam, ijarah, masalah lupa, kembali daripada syahadat (penyaksian), jual beli bertangguh dan seumpamanya. Tiadalah daripada kerja ulama; mengitlaqkan segala bidaah atas cabang-cabang yang diistinbatkan yang tiada padanya kenyataan salaf jika diperhalusi masalahnya. Begitu juga tidak diitlaqkan atas perkara yang seni dalam cabang akhlak yang zahir dan batin bahawa ia bidaah kerana kesemuanya kembali kepada usul syariat.

 

SOALAN 26

Apakah pandangan Ibn Taimiyyah berkenaan tasawwuf?

JAWAPAN

Ibn Taimiyyah memberi jawapan sebagai berikut: Pandangan orang dalam tasawwuf ada dua, iaitu sebahagian termasuk daalam ahli fiqh dan ilmu kalam mencela dan menganggap bahawa sufi itu ahli bid`ah dan diluar sunnah Nabi s.a.w.

Sebahagian lagi terlalu berlebih-lebihan dalam memberikan pujian dan menganggap mereka paling baik dan sempurna di antara manusia setelah Nabi s.a.w. Kedua-duanya tidak benar, yang benar adalah bahawa mereka ini sedang dalam usaha melakukan pengabdian kepada Allah sebagaimana usaha-usaha orang lain untuk mentaati Allah s.w.t. Dalam keadaan yang baik di antara mereka ada yang cepat sampai dan dekat kepada Allah, orang-orang ini dinamakan Minal Muqarrabin (orang yang terdekat dengan Allah). Sesuai dengan ijtihadnya ada pula yang kadar ketaatannya biasa-biasa sahaja. Orang ini termasuk bahagian kanan min ashab al-Yamin (orang-orang yang berada di antara kedua-dua sikap tersebuti).

Di antara golongan itu ada yang berbuat salah, ada yang berdosa melakukan taubat, ada pula yang tetap tidak bertaubat, yang lebih sesat lagi adalah orang-orang yang melakukan kezaliman dan kemaksiatan tetapi menganggap dirinya orang-orang sufi.

Masih ramai lagi dari ahli bidaah dan golongan fasik yang menganggap dirinya golongan tasawwuf yang ditolak dan tidak diakui oleh tokoh-tokoh sufi yang sebenar dan terkenal seperti al-Junaid dan lain-lainnya.

 

SOALAN 27

Apakah makna takwa?

JAWAPAN

Ulama telah mendefinisikan taqwa dengan pelbagai takrifan. Dinyatakan di sini definisi takwa pada bahasa dan istilah.

Takwa pada bahasa bermaksud takut atau memelihara. Adapun pada istilah terdapat takrifan yang diberi oleh ulama, antaranya:

Saidina Ali r.a berkata: Takwa ialah takut kepada Tuhan al-Jalil, beramal dengan al-Quran yang diturunkan, reda dengan sedikit, bersedia untuk hari akhirat.

  1. Al-Nasr Abazi Rahumahullah berkata: Takwa ialah seseorang memelihara selain daripada Allah.
  2. Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari Rahumahullah berkata: Takwa ialah menjauhkan apa yang menjauhkan kamu daripada Allah.
  3. Zu al-Nun al-Misri Rahumahullah berkata: Orang yang bertakwa ialah siapa yang tidak mengotorkan zahirnya dengan sebarang pertentangan dan batinnya dengan sebarang alamat sedangkan dia berdiri bersama Allah dengan penuh kesepakatan.
  4. Ibn `Ataillah Rahumahullah berkata: Bagi takwa zahir dan batin. Zahirnya dengan menjaga had dan batasan dan batinnya dengan niat dan ikhlas.
  5. Talq bin Habib Rahumahullah berkata: Takwa ialah amal dengan ketaatan kepada Allah atas cahaya Allah.
  6. Abu Hafs Rahumahullah berkata: Takwa ialah pada perkara halal semata-mata, bukan yang lain.
  7. Abu al-Husein al-Zanjani Rahumahullah berkata: Siapa yang modal hartanya takwa, nescaya beratlah segala lidah daripada mensifatkan baunya.
  8. Al-Wasiti Rahumahullah berkata: Taqwa ialah seseorang memelihara daripada takwanya, yakni daripada melihat ketakwaannya.

Dr. `Aid al-Qarni berkata, terdapat dua faktor dalam meraih ketakwaan:

         1. Merasakan pengawasan daripada Allah s.w.t, Zat yang Maha Esa lagi Maha Tunggal.

        2.  Melaksanakan ibadah-ibadah wajib dan segala bentuk ketaatan.

 

SOALAN 28

Apakah kelebihan takwa?

JAWAPAN

Imam al-Ghazali menyebut kelebihan orang yang bertakwa berdasarkan kepada firman Allah, melalui kitabnya Minhaj al-`Abidin,  antaranya:

Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali-Imran ayat 186, yang bermaksud:

“Jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).”

Ayat ini menunjukkan bahawa dengan bersabar dan bertakwa sebagai tanda kekuatan azam.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali Imran, ayat 120, yang bermaksud:

 ” Dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun.”

Ayat ini menunjukkan bahawa dengan bersabar dan bertakwa selamat daripada sebarang tipu daya dan mudarat.

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Nahl, ayat 128, yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang bertaqwa diberi pertolongan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Talaq, ayat 2 dan 3, yang bermaksud:

 Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang bertaqwa diberi dua kelebihan, pelepasan dan rezeki.

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Ahzab, ayat 70 dan 71, yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara). Supaya Ia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu.”

Ayat ini menunjukkan dengan bertakwa dan bercakap yang benar akan dielokkan amalan seseorang.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali Imran, ayat 76, yang bermaksud:

 Maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.”

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang bertaqwa dikasihi oleh Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Maidah, ayat 27, yang bermaksud:

Hanyasanya Allah menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa.”

Ayat ini menunjukkan bahawa penerimaan amalan oleh Allah s.w.t hanya terbatas kepada orang yang bertakwa.

Firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Hujurat, ayat 13, yang bermaksud:

 ” Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).”

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang paling bertakwa adalah yang paling mulia di sisi Tuhan.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Yunus, ayat 63 dan 64, yang bermaksud:

“(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat.”

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang beriman dan bertakwa diberitakan dengan berita gembira di dunia dan akhirat.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Maryam, ayat 72, yang bermaksud:

“Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertakwa.”

Ayat ini menunjukkan bahawa janji Allah s.w.t untuk menyelamatkan orang yang bertakwa.

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Lail, ayat 17, yang bermaksud:

“Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertakwa.”

Ayat ini menunjukkan orang yang bertaqwa memperoleh keselamatan daripada azab.

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Ali Imran, ayat 133, yang bermaksud:

 ” Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t menyediakan syurga bagi orang yang bertakwa.

 

SOALAN 29

Apakah yang dimaksudkan dengan ikhlas?

JAWAPAN

Ikhlas ialah sesuatu yang termulia bagi setiap amalan ibadat. Amal yang didasarkan kepada niat yang baik dan ikhlas diterima Allah dan diberi ganjarannya. Imam Nawawi rahimahullah dalam keterangannya mengenai amal yang disertai dengan niat yang baik, telah berkata: Bahawa amal ini ada tiga bahagian, iaitu:

Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah s.w.t. Amal ini dinamakan ibadat hamba.

      1. Amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala. Amal ini dinamakan ibadat saudagar.

     2.   Amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah s.w.t dan kerana dilaksanakan hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seorang yang masih di dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu adakah amalnya diterima atau tidak. Amal ini dinamakan ibadat yang merdeka.

     3.    Abu Sulaiman rahimahullah berkata: Apabila seseorang hamba itu berjaya menegakkan keikhlasan di dalam dirinya maka terhapuslah daripada banyak was-was dan riak.

    4.    Manakala Makhul rahimahullah pula berkata: Keikhlasan seseorang hamba memancarkan hikmah dari hati dan lidahnya.

     5.     Imam al-Ghazali berkata: Niat yang lurus dan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah Rab al-Alamin lebih tinggi martabat dan kedudukannya daripada pekerjaan yang semata-mata hanya didasarkan pada niat untuk memperoleh keduniaan. Niat lurus dan hati ikhlas itulah yang membuat amal seseorang diterima oleh Allah s.w.t sedangkan niat buruk lambat laun nescaya akan menghilangkan rasa taat kepada Allah dan akhirnya akan mengubah menjadi kesukaan berbuat maksiat. Daripada perbuatan maksiat orang tidak akan memperolehi apapun selain kekecewaan dan kerugian. Justeru keikhlasan merupakan kemuncak dalam penerimaan amalan walau apa jua sekalipun bidang yang diceburi kerana ia akan menentukan dan menjadi neraca sama ada diterima atau tidak di sisi Allah.

 

OALAN 30

Apakah konsep syukur?

JAWAPAN

Bersyukur adalah suatu tindak balas yang baik, sama ada melalui perkataan atau perbuatan terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang. Sesuatu kebaikan sering dibalas dengan perkataan yang baik, yang indah dan luhur serta perbuatan yang menggambarkan pemberian itu diterima dengan penuh penghargaan dan terima kasih. Biasanya kata-kata pujian dan sanjungan diluahkan oleh penerima kepada orang yang memberi.

Sheikh Muhammad Abduh membuat takrif syukur sebagai berikut: Dan tidak dikatakan bersyukur kecuali jika seseorang menggunakan dan memanfaatkan segala nikmat-nikmat itu dalam hal-hal untuk apa nikmat itu diberikan.

Jadi tidak cukup bersyukur itu dengan membaca atau mengucapkan lafaz الحمد لله dan شكر لله sahaja. Erti bersyukur yang sebenarnya ialah meliputi lisan, hati, dan anggota badan.

Bagaimanakah caranya kita bersyukur kepada Allah s.w.t? Bersyukur kepada Allah s.w.t ialah dengan mengekalkan baik sangka terhadap Allah s.w.t dan meletakkan keyakinan kepada-Nya dalam apa jua keadaan. Perkataan yang terlafaz dari mulut kita tentang Allah s.w.t hanyalah kata-kata pujian, sanjungan dan pujaan. Justeru hanya Allah s.w.t yang layak menerima kata-kata seperti itu. Tidak seharusnya terlafaz daripada diri kita perasaan benci, kecewa, buruk sangka dan perasaan seumpama itu terhadap Allah s.w.t.

Baginda membanyakkan ibadat sebagai amalan kesyukuran kepada Allah s.w.t. Oleh itu, melaksanakan segala suruhan Allah s.w.t dan meninggalkan larangan-Nya, adalah pernyataan kesyukuran yang paling utama. Ini diikuti dengan mengerjakan amalan-amalan sunat bagi menyempurnakan kesyukuran itu. 

Tanda bersyukur dalam perkhidmatan ialah dengan menjadikan khidmat kepada negara dan orang ramai sebagai ibadah. Tugas yang dijalankan sama ada di sektor awam dan swasta, bukan semata-mata untuk mencari nafkah, tetapi lebih daripada itu. Selain daripada bertujuan mencari nafkah, ia juga hendaklah memenuhi tuntutan ibadah iaitu mencari nafkah untuk diri dan keluarga bagi memenuhi kewajipan yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Jika ini menjadi matlamat, maka nafkah yang diperolehi mestilah nafkah yang halal, kerana tujuannya ialah untuk menunaikan kewajipan yang ditentukan oleh Allah s.w.t terhadap diri dan keluarga.

Seorang ahli hikmah berkata: Saya sibuk mensyukuri empat perkara:

     1.  Allah telah menjadikan seribu macam makhluk, sedang yang termulia dari semua itu adalah anak Adam, lalu Allah menjadikan aku dari anak Adam.

     2.   Allah telah melebihkan orang lelaki daripada wanita, lalu menjadikan aku lelaki.

      3.   Aku mengetahui bahawa Islam itu sebaik-baik agama, dan yang diterima oleh Allah, lalu aku dijadikan sebagai seorang Muslim.

      4.   Aku mengetahui bahawa umat Muhammad itu seutama-utama umat, lalu Allah menjadikan aku dari umat Muhammad s.a.w.

(Bersambung…) 

 

 

 

 

 

 

Bookmark and Share

About the Author

Editor

Leave a Reply

You can use these XHTML tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <blockquote cite=""> <code> <em> <strong>