Puing-puing dan wajah muram Bosnia

December 31, 2009 6:34 AM 0 comments

Share this Article

Author:

fragments

Oleh ABUL HANZALAH

Banyak monumen Islam di Bosnia telah dimusnahkan secara tersusun oleh golongan nasional Serb. Kini, menurut Asim Zubcevic, seorang sarjana Islam di Universiti Sarajevo, Bosnia, timbul cabaran besar – antara pemuliharaan atau membangun tapak baru dengan limpahan wang dari negara Arab kaya minyak.

Menulis dalam laman web Islamonline, Asim mendapati kemegahan Bosnia sebagai negara Islam di Eropah terjejas oleh perang. Mercu tanda yang dibina dalam zaman Uthmaniah di barat Semenanjung Balkan pada abad ke-16 lesap begitu saja. Bahkan di kota-kota Bijeljina dan Banja Luka yang tidak terjejas oleh peperangan, berlaku pemusnahan.

Alasan mereka, pemusnahan tersebut perlu untuk membangun semula Bosnia. Padahal, ia sebenarnya memerangi warisan kaya sejarah Bosnia.

Perang Bosnia (1991-94) berakhir dengan perjanjian Dayton. Bagaimanapun, Bosnia kehilangan 250,000 jiwa, menanggung lebih dua juta pelarian, puluhan ribu wanita dan anak perempuan yang diperkosa dan lebih 3,000 bangunan bersejarah atau seni telah musnah.

Menurut Asim: “Tidak syak, warisan budaya Bosnia dimusnahkan secara teratur bermula dengan monumen agama, perpustakaan dan mercu tanda yang dikaitkan dengan etnik tertentu. Pemusnahan itu dilakukan secara sengaja demi menghapuskan peninggalan umat Islam di Bosnia. Kini pemusnahan terbesar pula berlaku di luar bidang ketenteraan.”

Umumnya, kaum Serb memandang jijik terhadap umat Islam Bosnia. Hal ini terpapar pada sastera sehinggalah usaha mereka menghapuskan kaum Islam yang disifatkan sebagai tindakan yang absah. Bahkan sikap serupa juga ada pada diri sesetengah etnik Croat yang amat membenci kehadiran Muslim Bosnia.

Dengan campur tangan dunia, perang etnik di Bosnia dapat ditamatkan, setelah banyak azab ditanggung umat Islam di Balkan itu.

Bagaimanapun, terdapat beberapa monumen Islam yang masih dapat dipertahankan.

• Masjid Atiq di Bijeljina. Dibina antara tahun 1520 dengan 1566 (zaman kerajaan Uthmaniah yang dipimpin Sultan Sulaiman yang hebat), masjid di timur laut kota Bijeljina itu hampir musnah akibat bedilan pada 13 Mac 1993. Sewaktu dibangun semula, ada dakwaan kononnya masjid itu dibina di atas gereja. Sebuah suruhanjaya bebas dibentuk dan kerja pemulihan dihentikan. Namun ternyata dakwaan tadi tidak berasas.

• Masjid Aladza di Foca. Ia dibina berdasarkan seni bina Uthmaniah sekitar 1550/51 Masihi. Jurubinanya merupakan rakan karib Mimar Sinan, jurubina Uthmaniah yang gemilang. Masjid ini begitu indah tatariasnya. Namun, pemuliharaannya belum dimulakan.

• Masjid Ferhadija di Banja Luka. Pemusnahan masjid ini pada 7 Mei 1993 kini diperingati sebagai Hari Masjid oleh umat Islam Bosnia. Keseluruhan 1,100 masjid musnah dalam perang 1992-1995.

Selepas lama dilengah-lengahkan oleh pihak berkuasa Serb Bosnia, akhirnya batu asasnya diletakkan pada 7 Mei 2001. Namun, berlaku rusuhan di sini. Pada 4 Oktober 2005, barulah pembinaan semulanya dilancarkan. Tahap pertama melibatkan pengambilan semula 1,000 kepingan sisa masjid yang bakal dipulihara, dipasang semula atau disalin dalam acuan bagi projek pembangunan.

• Warisan Islam di Stolac. Ia adalah kawasan perkotaan tertua di Bosnia – lebih 3,000 tahun. Di sinilah pada musim bunga 1993, lelaki Muslim dihimpunkan dan digiring ke khemah sementara wanita dan kanak-kanak diusir.

Berlaku penjarahan dan penembakan yang meluas oleh tentera Croat di kota tua ini. Empat buah masjid dibom di Stolac dan lagi tujuh buah di kawasan desa.

Bagaimanapun, selepas perang, umat Islam kembali ke sini walaupun cuba diadang oleh kaum nasionalis Croat. Halangan serupa dilakukan ke atas Muslim yang cuba kembali ke Mostar dan Pocitelj, dua kota yang didirikan dalam zaman Uthmaniah.

Penganut Kristian mendakwa masjid-masjid di sana dibina di atas gereja. Hal ini mendorong seorang sarjana Amerika menulis surat kepada Pope John Paul supaya menegah kumpulan Kristian daripada menghalang pembinaan masjid. Akhirnya, pada 22 Ogos 2003, Masjid Carsija tersergam kembali.

Masjid Uzinovicka telah dapat dipulihara dan masjid keempat, Cuprijska Mosque (satu-satunya masjid yang mempunyai dua tingkat di Bosnia), telah dibina semula. Kehadiran masjid-masjid lama merupakan kesinambungan sejarah silam Bosnia.

Kini terdapat usaha membangun masjid baru di atas tapak masjid lama sejak adanya dana daripada Timur Tengah. Memanglah masyarakat Islam Bosnia memerlukan dana, namun pembinaan masjid moden di atas puncak bukit dengan banyak menara tidaklah sesuai, hujah Asim. Bahkan penonjolan sedemikian boleh menimbulkan rasa kurang senang dari segi hubungan beragama serta mutu seni bina masjid baru didapati tidak sesuai dengan perwajahan Bosnia.

Hal ini terpapar menerusi hasil kajian jurubina Bosnia, Amra Hadzimuhamedovic: “Masjid-masjid baru bak memutuskan kenangan budaya Islam, merubah rupadarat budaya dan memutuskan hubungan dengan sesuatu tempat.”

Seni bina tradisional Bosnia sebenarnya dipelbagaikan dengan kubah yang megah, bumbung berjubin dan menara empat segi – sejajar dengan keadaan alam yang lasak dan bergunung-ganang.

Leave a Reply