Muhasabah awal tahun

December 21, 2009 10:59 AM 0 comments

Share this Article

Author:

awal

Oleh KETUA EDITOR

 

Hari demi hari telah berlalu. Demikian juga minggu, bulan, dan tahun. Tahun 1430 Hijrah ditinggalkan, kemudian dibuka lagi dengan lembaran baru tahun 1431 H. Begitu juga 2009 Masihi yang bakal dijemput 2010.

Sempena Tahun Baru Hijrah ini marilah kita sejenak merenung diri atau muhasabah dan berhijrah secara maknawi dari sifat buruk kepada sifat yang baik. Hijrah dalam pengertian yang lebih luas ialah berhijrah dari sifat khianat kepada amanah, daripada sifat taksub atau tertutup fikiran kepada sifat yang lebih terbuka.

Apakah selama ini perilaku dan sifat kita sudah baik dan sesuai dengan apa yang Allah s.w.t perintahkan dan Rasulullah s.a.w contohkan.

Setiap daripada kita perlukan perenungan terhadap diri sendiri; pada setiap jam, setiap hari, setiap bulan dan setiap tahun, dalam kerangka ‘sumpah dan ikrar’ kita terhadap Allah s.w.t. Kita bertanya kepada diri kita sendiri: apakah kita lalui jalan yang benar, yang menuju keredaan-Nya dengan amalan yang kita galas sepanjang tahun itu.

Apakah kita telah menunaikan hak-hak Allah dan hak-hak hamba Allah yang diamanahkan kepada kita sebagaimana kita merasa tamak untuk mendapatkan hak-hak sendiri, kemudian membandingkan antara kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan dan menilai diri sendiri, kemudian bertaubat, beristighfar, berusaha untuk mengganti apa yang telah berlalu dengan kebaikan-kebaikan.

Muhasabah diri dapat dilakukan dengan mencipta daftar pertanyaan yang diitujukan kepada diri sendiri dan menjawab sendiri, sebagaimana disebutkan menerusi firman Allah s.w.t dalam surah al-Qiamah ayat 14  yang bermaksud:

“Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya.”

Muhasabah diri dilakukan di dunia ini sebelum menghadap Allah s.w.t pada perhitungan akhirat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Haaqah ayat 18 yang bermaksud:

“Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Tuhanmu), tiada sesuatu pun dari keadaanmu yang tersembunyi (bagi Allah).” 

Daripada jawapan-jawapan dan pertanyaan-pertanyaan di atas seseorang dapat mengetahui:

•   besarnya keberhasilan dalam melaksanakan ketaatan untuk mencapai keredaan Allah s.w.t. Kita akan memperbanyakkan amal itu dan akan bersyukur kepada Allah yang telah menolong diri kita untuk melakukan hal tersebut.

•   besarnya kekurangan di sisi Allah, kemudian menegur diri sendiri, beristighfar dan bertaubat serta berjanji kepada Allah untuk tidak akan melakukan dosa-dosa lagi.

Ingatlah bahawa setiap manusia betapa pun panjang usianya, pasti akan berdiri di hadapan Allah s.w.t yang akan menghitung segala yang mulia mahupun yang hina, yang kecil atau yang besar, sebagaimana yang   difirmankan Allah s.w.t di dalam surah al-Kahfi ayat 49 yang bermaksud:  

“Dan diletakkan kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata, “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya”; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis).”

Allah s.w.t mengingatkan hamba-hambanya agar merasa takut dan bertaubat kepada-Nya, merasa malu kepada-Nya dalam semua amalnya, tingkah lakunya dan sikap diamnya, agar mereka melakukan perhitungan terhadap diri mereka sendiri dan melihat amal-amal mereka yang mereka simpan untuk diri mereka sendiri, agar menghitung diri mereka sendiri sebelum dihadapkan pada hari perhitungan yang tidak ada lagi yang tersembunyi daripada mereka.

Mereka juga harus merasakan pada setiap waktu bahawa Allah Maha Mengetahui akan semua amal mereka, keadaan mereka, tingkah laku mereka dan bisikan-bisikan mereka, dan bahawa tidak ada sesuatu pun daripada urusan mereka yang tidak diketahui-Nya.

Di dalam al-Quran, banyak disebutkan tentang muhasabah di hadapan Allah s.w.t agar setiap manusia mempersiapkan jawapannya, selalu bertanya kepada diri sendiri selama hidup di dunia ini sebelum ditanya di akhirat nanti.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Maka sesungguhnya Kami akan menanyakan umat-umat yang telah diutus rasul-rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami akan menanyakan (pula) rasul-rasul (Kami).” (al-A’raf: 6)

Kata ‘menanyakan’ dalam ayat di atas adalah meminta pertanggungjawaban di hadapan Allah pada hari Kiamat, baik untuk para rasul mauhupun orang-orang yang beriman, orang-orang yang jujur dan orang-orang kafir. Semua akan dihisab di hadapan Allah dan cukuplah Allah sahaja yang menjadi Penghitung.

Muhasabah nafsu dilakukan oleh seseorang dengan bertanya kepada dirinya sendiri sebelum melakukan sesuatu perbuatan, apakah perbuatan itu sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan sesuai dengan petunjuk Rasulullah s.a.w yang mulia.

Kemudian sekali lagi kita bertanya kepada diri kita sendiri setelah melakukan perbuatan itu untuk meyakinkan sekali lagi bahawa kita tidak tersesat jalan, tidak menyimpang dari jalan yang lurus. Pertanyaan ini dilakukan pada setiap waktu. Kemudian melakukan penilaian ketika keadaan sudah tenang, misalnya ketika masuk tidur  atau ketika bersendiri.

Muhasabah diri dilakukan terhadap semua perbuatan, tingkah laku dan tindakan kita, baik yang berhubungan dengan ibadah atau muamalah. Contohnya, adalah menjadi kewajipan bagi seseorang untuk selalu bertanya kepada dirinya sendiri dengan beberapa pertanyaan, kemudian mengingat dasar-dasar pengajaran daripada al-Quran dan Sunnah.

Rasulullah s.a.w telah mendidik umat Islam generasi pertama kepada muhasabah diri. Rasulullah s.a.w selalu mengingatkan tentang beratnya hisab di akhirat. Mereka mengetahui bahawa Allah amat memerhatikan mereka, bahawa mereka akan dihisab pada hari kiamat, dan tidak ada yang dapat menyelamatkan diri mereka daripada dihitung itu kecuali muhasabah diri dan kejujuran ketika melakukan muraqabah (pengawasan).

Barangsiapa yang menghitung nafsu mereka sendiri sebelum dihitung, maka hisabnya pada hari kiamat akan ringan, tempat kembali dan tempat tujuannya akan menjadi baik. Barangsiapa yang tidak menghitung dirinya sendi, maka mereka akan alami kesedihannya yang berpanjangan dan penantiannya pada hari kiamat akan sangat lama.

Diriwayatkan daripada Ubadah bin ash-Shamit, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda kepada seorang lelaki ketika meminta kepada baginda agar diberikan nasihat. Rasulullah s.a.w memberikan nasihat dan bersabda yang bermaksud:

“Jika engkau menghendaki sesuatu urusan, maka renung-renungkanlah akibatnya. Apabila baik, maka lakukanlah dan apabila sesat, maka cegahlah.”

Leave a Reply