Home » Perspektif » Mengubah persepsi dan perspektif masyarakat terhadap pendermaan organ

Mengubah persepsi dan perspektif masyarakat terhadap pendermaan organ

Oleh MUHAMMAD ZAKI RAMLI

Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan: Pendermaan Organ dari Perspektif Islam yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia di Majlis Wilayah Persekutuan baru-baru ini merupakan titik tolak yang terbaik untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan dan manfaat-manfaat yang boleh diperoleh daripada pendermaan organ kepada kebajikan dan kesihatan masyarakat Malaysia.

Namun begitu, sebagaimana dalam kebanyakan program-program kesedaran yang lain, soalan-soalan berkenaan hal-hal kebajikan mayat yang ingin diambil organ-organnya seolah-olah merupakan antara soalan wajib. Ia bukan sahaja menarik untuk dicungkil jawapannya, tetapi soalan-soalan lain yang boleh berbangkit selepas soalan tersebut dijawab menambahkan lagi perencah kepada resmi masyarakat kita, khususnya orang Melayu yang dimomokkan dengan pelbagai persepsi yang tersasar.

Masalah mengenai persepsi inilah yang sudah meracuni pemikiran masyarakat Melayu yang nampaknya susah benar mahu berikrar menjadi penderma organ, walhal dalam peratusan pecahan kaum di negara ini, bangsa tersebut merupakan yang paling ramai.

Memetik sedikit statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Sumber Transplan Nasional, sehingga 31 Oktober 2009, bangsa Cina merupakan penderma yang paling ramai dan diikuti oleh India. Bukan untuk menaikkan sensitiviti perkauman, tetapi bangsa Melayu perlu mencontohi bangsa-bangsa lain dalam hal mendaftarkan diri mereka sebagai pengikrar penderma organ.

Daripada organ di dalam jasad tak bernyawa dibiarkan dimakan ulat apabila ditanam di dalam kubur, sebagaimana yang ditulis oleh ulama terkenal Sheikh Yusuf al-Qardhawi pada 2003, lebih baik organ tersebut didermakan untuk menolong orang lain. Ini kerana, kesan daripada pendermaan dan pemindahan organ yang berjaya bukan sahaja kepada penerima organ, tetapi kepada keluarga terdekat dan kenalan-kenalan terdekat lain juga.

Pemindahan organ yang berjaya memungkinkan kehidupan yang berkualiti bagi seseorang penerima organ. Ini dibuktikan dengan, sebagai contoh, kes Muhammad Fikri Nor Azmi yang menerima jantung daripada penderma kadaverik. Beliau pernah menghadapi hari-hari yang sukar menggunakan jantung mekanikal yang perlu diusung ke mana-mana beliau pergi. Namun keadaan berubah apabila pembedahan pemindahan organ berjaya dilakukan dan beliau kini sedang menjalani hidup yang normal sebagai pelajar di peringkat A-Level.

Persoalan pokok di sini ialah, bagaimanakah kita boleh menolong lebih ramai orang seperti Muhammad Fikri dengan menderma organ walhal masyarakat kita masih lagi mempunyai persepsi yang salah mengenai pendermaan organ?

Dalam masyarakat Melayu Islam, kerap dibangkitkan bahawa dengan mengeluarkan organ daripada jenazah, ia tidak ubah seperti menyeksa jenazah tersebut. Perspektif ini didasarkan kepada hal-hal pengurusan jenazah termasuk memandikan dan mengkafankan jenazah. Mereka difahamkan bahawa jenazah perlu diuruskan dengan perlahan-lahan dan berhati-hati kerana dibimbangi sekiranya ia diuruskan dengan kasar, ia akan berasa sakit. Sudahlah sakit ketika nyawanya ditarik daripada jasad, usahlah pula menambahkan kesakitan ketika menguruskan jenazahnya pula.

Mengaitkan perspektif yang tersasar ini dengan pendermaan organ, sudah tentu kebanyakan daripada kita akan beranggapan bahawa kulit jenazah akan dilapah untuk mengeluarkan organ. Selepas kulit disiat, satu persatu organ akan dikeluarkan. Kemudian, bahan-bahan tertentu akan diletakkan untuk mengisi ruang yang asalnya diisi dengan organ supaya jenazah kelihatan seperti memiliki organ yang asal. Akhir sekali, kulit yang disiat akan dijahit semula dan meninggalkan kesan jahitan dan parut yang mengerikan. Semua proses ini dilihat seperti menyeksa jenazah. Sekiranya jenazah tersebut mempunyai upaya untuk bersuara, sudah tentu ia akan menjerit dan meminta tolong kerana kesakitan.

Malangnya, inilah perspektif yang sebenarnya salah dan tersasar. Pada asalnya, orang-orang yang terlibat dalam menguruskan jenazah cuma diingatkan supaya menjaga adab-adab ketika menguruskan jenazah. Namun dek kerana memikirkan hal-hal yang bukan-bukan, adab-adab tersebut telah dipanjangkan kepada perkara-perkara yang mengarut.

Kita perlu faham bahawa apabila nyawa sudah meninggalkan jasad, sistem saraf mayat tidak lagi berfungsi malah otak yang mentafsirkan rasa sakit tidak lagi boleh bertindak balas dengan apa-apa ransangan pun. Maka, walau apapun yang dilakukan kepada tubuh jenazah tersebut, ia tidak akan merasa apa-apa dan tidak ada tindak balas fizikal yang akan ditunjukkan oleh jenazah.

Namun begitu, kita perlu menghormati jenazah dan menguruskannya dengan cara terhormat. Begitulah juga keadaannya dengan jenazah yang dibedah untuk diambil organ-organnya. Proses mengeluarkan organ-organ tersebut dilakukan dengan berhati-hati, beretika dan beradab mengikut prosedur-prosedur yang tertentu yang dijalankan oleh doktor-doktor terlatih. Proses tersebut tidak dilakukan dengan semberono dan tidak berbelas kasihan.

Malah selepas organ-organ dikeluarkan, doktor akan memastikan kesan-kesan parut dan jahitan kelihatan cantik dan tidak mengerikan langsung. Ini adalah untuk memastikan waris-waris yang akan melihat jenazah untuk kali terakhir sebelum dikebumikan berpuas hati dengan cara jenazah diuruskan.

Selain itu, bangkit juga perspektif mengenai hal-hal pasca nyawa meninggalkan jasad. Antara soalan yang paling kerap dibangkitkan dek kebimbangan masyarakat Melayu Islam sekiranya organ didermakan kepada orang yang mereka “tidak berkenan”. Istilah “tidak berkenan” tersebut termasuk bagi orang-orang yang berlainan agama dan bangsa.

Ada juga yang membangkitkan isu sekiranya penerima tersebut mempersiakan hidupnya selepas menerima organ dengan melakukan perkara-perkara yang salah pada pandangan agama dan undang-undang. Mereka bimbang sekiranya nyawa yang sudah diangkat daripada bumi akan menerima “saham” juga lalu mereka akan diseksa di alam kubur. Sekiranya banyak amalan baik dilakukan semasa hayat jenazah tersebut, maka tidak perlu dirisaukan sangat kerana ia mungkin mampu membantu menolong roh jenazah tersebut. Namun, lain pula halnya jika jenazah tersebut ketika hayatnya banyak melakukan dosa, maka bertambah-tambahlah dosa dan seksa rohnya di alam kubur.

Apabila kita berkata tentang alam roh, sebenarnya apa yang dinilai pada sisi Allah s.w.t ialah amalan-amalan, bukannya jasad tersebut. Apa yang berlaku kepada organ yang sudah didermakan adalah di luar kawalan kita. Malah ia bukan lagi urusan kita kerana amalan-amalan kita, dengan beberapa pengecualian, tidak lagi dikira. Jasad hanyalah pinjaman untuk hamba-hamba Allah gunakan untuk menyembah dan beribadah kepada-Nya. Justeru, sepatutnya tidak timbul soal berkenaan “saham” amalan sekiranya ada mana-mana organ yang didermakan kepada orang lain dan disalahgunakan.

Ini kerana apa-apa yang ditinggalkan di bumi tidak akan dibawa ke akhirat melainkan tiga perkara sebagaimana yang terdapat dalam hadis Rasulullah s.a.w, daripada Abu Hurairah yang bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang salih yang berdoa untuknya.” (Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad. Mustika Hadis 3:312)

Jadi, jelas di sini bahawa sememangnya ada “saham” amalan yang berkekalan walaupun seseorang Muslim itu sudah meninggal dunia. Menurut susunan dalam tiga amalan-amalan tersebut, sedekah jariah diletakkan sebagai amalan yang pertama. Maka, dengan meredakan organ diambil dan didermakan kepada yang memerlukan, ia boleh menjadi amalan berkekalan yang terakhir yang boleh mendatangkan “saham” amalan kepada si penderma.

Selain itu, usahlah kita risau akan perkara-perkara seperti sejauh mana organ itu akan dimanfaatkan oleh penerima, tempoh organ tersebut akan digunakan malah kesesuaian organ kita dengan tubuh penerima kerana semuanya tidak lagi memberi erti kepada kita. Ini kerana roh kita sudah terpisah daripada jasad. Seharusnya kita lebih bimbangkan sama ada cukup ataupun tidak amalan-amalan kita semasa hidup untuk dibawa ke padang Mahsyar berbanding jika kita bimbangkan perkara-perkara teknikal yang selayaknya diserahkan kepada orang yang masih hidup.

Lebih lanjut lagi, jika para ulama tidak mempunyai masalah dengan pendermaan organ malah memfatwakan bahawa amalan tersebut adalah harus dengan syarat-syarat tertentu, mengapa pula kita perlu membangkitkan soal-soal yang tidak relevan? Malah, dalam syarat-syarat yang digariskan oleh para ulama, tidak pula disenaraikan perkara-perkara seperti penerima dan penderma mestilah daripada agama mahupun bangsa yang sama, penerima mestilah beramal soleh selepas menerima organ dan sebagainya. Jadi mengapa pula kita, orang-orang biasa perlu risau akan perkara-perkara yang tidak perlu?

Ironinya, dalam kalangan masyarakat kita, malah mungkin kebanyakan daripada kita berasa takut kerana tidak berilmu ataupun tidak tahu. Lantas, jalan singkat yang diambil adalah dengan membuat kesimpulan mudah dan mengaitkan dengan perkara-perkara yang tidak wujud dan tahyul. Inilah antara perspektif yang perlu diubah dan masyarakat kita perlu dididik untuk bangun dan sedar akan peranan yang mereka boleh mainkan dalam membantu orang-orang yang memerlukan.

Ada sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang jika dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” Dalam hal pendermaan organ, kasih sayang sesama manusia boleh ditunjukkan dengan mendermakan organ kepada pesakit-pesakit yang memerlukan.

Ini kerana, hanya dengan satu organ mahupun tisu yang didermakan dan dapat dimanfaatkan oleh penerima, ia boleh mengubah hidupnya seratus peratus; daripada seorang yang bergantung kepada ubat-ubatan ataupun alat-alatan perubatan tertentu untuk hidup kepada seorang yang boleh hidup seperti manusia biasa yang sihat. Inilah kempen yang dilakukan oleh Pusat Sumber Transplan Negara yang menggunakan slogan “A Gift of Life” ataupun “Anugerah Kehidupan” untuk menggalakkan lebih ramai tampil ke hadapan dan mengisi borang untuk menjadi pengikrar penderma organ.

Justeru, kita perlu mengubah perspektif kita terhadap pendermaan organ dan meletakkan niat untuk saling membantu sesama manusia dan mengetepikan sentimen agama, bangsa dan keturunan kerana hakikatnya kita semua ialah manusia yang diciptakan daripada tanah dan kepada tanah juga kita akan dikembalikan.

–      Penulis ialah Eksekutif Penyelidikan di Yayasan Ilmuwan

One thought on “Mengubah persepsi dan perspektif masyarakat terhadap pendermaan organ

  1. DAYANG ZALIZAN BINTI ABANG YAKUP says:

    ISU YANG SANGAT MENARIK DAN AMAT MEMBERI KESAN YANG MENDALAM DI MANA SEKALIGUS MENINGKATKAN KESEDARAN SERTA MEMBERI MAKLUMAT YANG SANGAT JELAS DAN MENYAKINKAN.TERIMA KASIH DI ATAS PENERANGAN YANG DIBERIKAN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 + 10 =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib