Mengapa menyalahkan takdir?
Oleh ABUL HANZALAH
Insan memang banyak kelemahannya.
Antaranya, sifat manusia digambarkan al-Quran, yang bermaksud:
“… bagaikan haiwan, bahkan lebih buruk lagi!” (al-A’raaf: 179)
“… punya hati tetapi tidak mahu memaham, punya mata tetapi tidak mahu melihat, punya telinga tetapi tidak mahu mendengar.”
Sebahagian manusia cenderung ke arah kebaikan (hanif). Namun ramai yang bergelumang dengan kesalahan atau dosa.
Antara kelemahan besar manusia yang digambarkan dalam al-Quran termasuk sifat ‘kepicikan’ (daif) dan ‘sempit fikiran’ (qathr).
Daif meliputi sombong seperti menganggap diri sendiri sebagai yang benar saja.
Qathr termasuk mementingkan diri, tamak, berkelakuan menceroboh, sifat panik, kurang yakin pada diri sendiri, serta khuatir yang sering menghantui diri.
Apabila ditimpa musibah, manusia jarang mahu meneliti kekurangan diri sendiri. Sebaliknya, dia sering menyalahkan pihak lain sebagai punca musibah yang dideritainya.
Dan itulah perkara mudah untuk berlepas tangan terhadap tanggungjawab mengapa seseorang menanggung nasib malang.
Dua alasan sering dipakai. Pertama, mengaitkan nasib malang kerana pakatan pihak lain yang sengaja menimpakan kecelakaan kepada diri kita. Kedua, pasrah semata kerana takdir tanpa berusaha untuk memperbaiki diri.
Alasan pertama itu sering dikaitkan dengan `teori pakatan jahat` (conspiracy theory). Kononnya, ada orang atau kumpulan serta masyarakat yang berniat buruk. Kajian menunjukkan ada segelintir penganut (baik Islam mahupun bukan Islam) yang berasa ada pihak berniat jahat.
Sesetengah orang Islam mendakwa mereka tidak akan maju selagi ada pakatan jahat yang sengaja dan senantiasa menghalang atau menyukarkan setiap usaha mereka.
Teori ini universal sifatnya, dan tidak terbatas terpakai bagi sesuatu kaum, masyarakat mahupun agama. Pakatan yang dimaksudkan itu juga berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan.
Dalam peristiwa serangan 9/11 dahulu, umpamanya, terdapat teori yang mengaitkannya dengan pakatan jahat pihak Israel. Kononnya, ketika serangan itu berlaku, tiada seorang pun orang Yahudi di menara kembar WTC, New York.
Sebaliknya, selepas 9/11, kaum bukan Islam di Amerika Syarikat, termasuk pihak berwenang, mendakwa umat Islam iri hati akan kejayaan sistem Barat pimpinan adikuasa tunggal itu. Pada peringkat awal, bekas Presiden Amerika, George W. Bush menyifatkan persediaan Amerika menentang serangan pengganas sebagai satu `crusade` (istilah yang digunakan dalam zaman Perang Salib – permusuhan antara tentera Kristian dari Eropah dengan tentera Islam, lebih seribu tahun lalu).
Bahkan permusuhan Kristian-Islam zaman silam itu turut diberikan nafas baru dan disemarakkan oleh para ilmiawan Amerika seperti Bernard Lewis dan Samuel Huntington.
Teori pakatan jahat tidak semuanya betul atau sahih. Ada kalanya, apa yang berlaku bertepatan dengan apa yang diteorikan. Namun umumnya, sebahagian besarnya tidak berlaku sebagaimana diteorikan.
Alasan kedua pula, takdir atau suratan yang pernah dikaitkan dengan Rukun Iman.
Pentafsiran `takdir` pula dikaitkan dengan bahas ahli falsafah Yunani (Greek) yang dipelajari oleh cendekiawan Islam. Maka itu, lahirlah dua kelompok `Qadariah` dan `Jabariah`. Mereka ini bak menyambung sengketa antara para pengikut Saidina Ali dan Khalifah Muawiyah.
Kelompok Khawarij (pemurni agama) menyifatkan golongan yang berpihak dengan Saidina Ali dan penentangnya, Muawiyah, telah melakukan dosa besar kerana tidak menghukumkan sesuatu mengikut al-Quran. Fokus debat yang ditimbulkan ketika itu ialah apakah orang yang telah melakukan dosa besar itu masih Islam atau telah kafir.
Golongan Qadariah berhujah bahawa nasib manusia di tangannya sendiri. Sebaliknya, golongan Jabariah berhujah bahawa manusia tidak mampu merubah ketentuan Ilahi.
Di tahap ekstremnya, kedua-dua pemikiran itu menghasilkan banyak kesan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
`Qadariah` yang ekstrem, antara lain, mencetuskan pemikiran yang menyalahkan takdir terhadap segala kekurangan diri atau nasib malang yang dideritai.
Dengan menyalahkan pihak lain terhadap nasib yang menimpa diri, seseorang itu memindahkan tanggungjawab kepada orang lain. Seolah-olah ia bebas daripada kesalahan.
Padahal, menyalahkan orang lain atas apa yang berlaku pada diri sendiri itu mempunyai bahaya tersendiri.
Pertama, dengan hanya menyalahkan pihak lain, kita tidak menghuraikan masalah pokok punca sebenar berlakunya musibah atau kecelakaan nasib. Dengan menyalahkan pihak lain, kita akan hanya menjadikan pihak lain itu sasaran untuk kita tangani dalam mendekati masalah tersebut.
Kita akan hanya menumpukan usaha ke arah menghilangkan unsur yang berupa pihak luar itu.
Soalnya, bolehkah dipastikan setelah unsur itu dihilangkan, nasib malang kita itu dapat dipulihkan dan seterusnya dimajukan? Mungkin sekali, setelah unsur berupa pihak lain itu berjaya dilenyapkan, kita akan kembali dengan sikap lama yang akan terus menjadikan kehidupan kita beku.
Kedua, dengan mempertanggungjawabkan semua musibah sendiri kepada orang lain, kita menjadi lupa memeriksa kekurangan dan kesalahan diri sendiri. Kesannya, kita kehilangan peluang mengambil langkah perbaikan daripada dalam diri sendiri.
Ketiga, dengan menyalahkan segala nasib malang sebagai suratan yang sudah ditakdirkan kita mengambil sikap menerima apa jua yang berlaku sebagai sesuatu yang langsung tidak mungkin dapat dielakkan. Segalanya sudah tertulis sejak awal lagi. Tetapi, adakah kita tahu dan pasti apakah keputusan awal yang sudah disuratkan itu? Mestikah ia satu ketentuan yang buruk?
Bahaya yang lebih besar berlaku apabila sikap menyalahkan pihak lain itu akhirnya membawa kepada tindakan menyalahkan Tuhan kerana Dialah yang mengatur dan menentukan segalanya.
Leave a Reply