Menangani perubahan
Oleh ABDULLAH AL-FAKIR
Budaya adalah sesuatu yang dinamis. Begitulah pendapat yang dipersetujui oleh para ahli kaji masyarakat atau ahli sosiologi. Oleh kerana budaya dilahirkan oleh masyarakat, maka dengan sendirinya masyarakat juga seperti budaya adalah sesuatu yang dinamis.
Kedinamisan yang demikian pada hakikatnya adalah manifestasi dinamisnya individu mahupun kumpulan iaitu manusia yang menjadi elemen masyarakat dan budaya. Hal yang penting daripada proses dinamisme itu ialah lahirnya perubahan.
Sejarah membuktikan perubahanlah yang menentukan kesejahteraan mahupun malapetaka dalam kehidupan manusia, masyarakat dan budaya. Oleh yang demikian, perubahan adalah suatu tenaga yang mesti ditangani secara yang bijaksana kerana ia melahirkan sekurang-kurangnya dua tenaga yang amat dan malah bertentangan iaitu yang negatif dan yang positif.
Jelas bahawa kedinamisan dan perubahan itu adalah buah pada satu tangkai, sesuatu yang tidak dapat dinafikan dan natijahnya adalah perubahan dalam kehidupan budaya masyarakat mahupun individu. Semuanya sentiasa berubah. Disedari mahupun tidak dan dalam prosesnya terjadilah pelbagai perkara yang boleh mendatangkan manfaat mahupun mudarat kepada kehidupan manusia umumnya.
Oleh kerana dunia sentiasa berubah, perlahan, lambat mahupun laju dan pantas, maka individu, kumpulan atau masyarakat malah negara bangsa yang tidak dapat berada secara bijaksana pada kedudukan dalam arus perubahan itu dengan sendirinya akan tertinggal di belakang, mundur dan ketinggalan. Hanya yang dapat menyesuaikan diri dengan perubahan itu akan berjaya.
Pada hakikatnya perubahan itu dapat dilihat dengan jelas dalam pelbagai bidang kehidupan individu mahupun institusi. Tidak sahaja terjadi di luar negara tetapi didepan mata kita sendiri sepanjang masa. Sewaktu teknologi komunikasi belum begitu maju dan cepat seperti hari ini sesuatu yang terjadi di Iraq, Afghanistan, Palestin, Amerika, Rusia dan sebagainya lambat tiba kepada pengetahuan kita di Malaysia, hal yang kini lain sama sekali – kini sesuatu yang terjadi di negara-negara tersebut – melalui teknologi komunikasi yang canggih kita dapat mengetahui dan melihatnya dengan mata kepala kita sendiri pada waktu yang sama dengan sesuatu kejadian itu terjadi.
Secara mudah kita dapat bahagikan perubahan itu ke dalam bidang-bidang kehidupan politik, ekonomi dan sosial. Pembahagian yang agak mudah bagi perbincangan ini penting supaya rakyat Malaysia khususnya orang Islam sedar apakah yang sedang terjadi di depan matanya dan dengan yang demikian dapat mempersiapkan diri untuk menghadapinya. Kata orang bijaksana dahulu, sediakan payung sebelum hujan.
Payung amat penting. Dalam kehidupan politik orang Melayu, politik menjadi payung yang menyelamatkannya selama ini. Hal ini amat penting sekali disedari oleh bangsa Melayu. Jangan payung yang sedia ada itu diterjah oleh hujan ribut luar musim atau apa sahaja malapetala sehingga payung yang sedia ada itu menjadi koyak dan apabila hujan tidak dapat digunakan lagi. Apabila payung itu sudah robek, sudah koyak apabila hujan menangis air mata darah sekalipun sudah tidak berguna lagi.
Dalam politik, hal yang amat penting ialah perpaduan dalam pengertian yang seluas-luasnya. Perpaduanlah yang menyebabkan negara kita memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957. Berkat kemerdekaan itu natijahnya kita dapat menyusun masyarakat dan membangunkan negara.
Hal yang kita sebutkan ini sebenarnya bukanlah perkara baru. Kata mereka yang beranggapan dirinya pandai, ini semua umpama lauk basi sahaja. Tapi cubalah kita renung sejenak apakah memang seperti lauk basi? Tidakkah ramai di kalangan kita justeru memperoleh sesuatu kedudukan atau demi mencapai sesuatu kedudukan bertindak dengan tidak memperdulikan aspek perpaduan itu?
Barisan Nasional atau lebih tepat lagi UMNO, kelemahannya apakah disebabkan oleh orang lain? Persoalan itu tiadk perlu kita menjawabnya di sini.
Sementara itu, jangan lupa pula bahawa orang Melayu kini mempunyai banyak pilihan untuk memilih calon partinya sendiri. Cuma dari satu segi barangkali agak beruntung kerana PAS dan PKR juga sedang menempuh gelombang besar masing-masing.
Dan adalah satu subjek yang menarik memikirkan bahawa PAS tidak mahu bekerjasama dengan UMNO alias Barisan Nasional sementara sanggup pula bekerjasama dengan DAP. Sikap PAS itu secara makronya tentulah amat aneh bagi yang berfikir tentangnya.
Kita tidak ada jawapan tentang persoalan itu. Yang kita ingin bentangkan di sini adalah keanehan-keanehan yang sedang terjadi dalam masyarakat kita, khususnya dalam bidang kehidupan politik bangsa kita. Ini semua harus disedari oleh semua pihak, oleh semua rakyat yang cintakan Negara Malaysia ini.
Kita bukan orang politik, jadi kita tidaklah apologetik dalam hal mengatakan Barisan Nasional yang diterajui UMNO kini berada dalam keadaan yang lemah. Kelemahannya jelas sekali berdasarkan PRU lalu. Beberapa negeri ditawan pembangkang. Entah apa musibatnya. Sewaktu UMNO lemah, MCA dan MIC juga sedang dilambung ombak besar. Gerakan? PPP juga bergelombang dengan perebutan.
Dalam bidang politik kita lihat Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri sedang bertungkus lumus untuk menyelamatkan kapal 1Malaysia waktu kini yang sedang dilambung gelombang besar di tengah samudera politik, ribut dan taufan ekonomi yang menyaksikan ekonomi dunia yang baru – oleh pakar ekonomi dunia, katanya sedang puleh. Benarkah ekonomi dunia sedang puleh? Atau itu hanya harapan-harapan yang dibina oleh pakar-pakarnya supaya tubuh ekonomi yang sakit itu menerima atau sesuai dengan antibiotic yang diberikan?
Kita tidak ingin menjawabnya kini di sini. Yang kita ingin timbulkan di sini adalah masalah-masalah yang kita sedang hadapi supaya setiap orang sedar.
Dalam bidang kemasyarakatan pula bagaimana? Bagaimana kedudukan dalam bidang pendidikan. Kita tidak bertanya berapa orang yang memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Tak.
Benar kita telah mempunyai pelbagai pakar dalam pelbagai bidang. Bagaimanakah ini terjadi? Jawapannya ialah Dasar Ekonomi Baru yang banyak dikritik. Itupun bukan 100 peratus tercapai. Sekali lagi kita jangan apologetik. Ada banyak juga atap yang tiris dan bocor.
Kita berbangga, rakyat Malaysia berbangga dengan bangunan pencakar langit Menara Berkembar Patronas. Pertanyaan kita ialah berapa ramai orang Melayu yang berniaga di sana? Dan jangan lupa siapakah yang menguruskan bangunan bertaraf dunia itu? Orang Melayukah atau bukan? Orang Malaysiakah atau bukan?
Kita tidak tahu jawapan tepatnya. Yang kita ingin timbulkan di sini supaya kita semua sedar kerana itu semua adalah bahagian daripada proses yang sedang terjadi dalam masyarakat kita, dalam negara kita. Jika hal-hal yang demikian itu tidak disedari, apakah maknanya 1Malaysia “Percapaian di Utamakan Rakyat Didahulukan”?
Kita mesti sedar semua perkara yang sedang berlaku di sekeliling kita – tidak sahaja gejala sosial yang memeningkan, tetapi semua perkara. Jangan kita berfikir bahawa persoalan politik kita serahkan kepada orang politik, persoalan ekonomi kita serahkan kepada orang ekonomi.
Begitulah selanjutnya. Tidak. Dalam dunia yang cepat berubah seperti kini semua orang tidak kira kedudukannya mesti ikut sama sedar apakah yang sedang terjadi dalam masyarakat dan negara kita. Kenapa demikian? Sebabnya kita tidak mahu negara yang kita cintai ini jadi macam Iraq, macam Palestin atau macam Afghanistan.
Leave a Reply