Azam merealisasikan azam

Oleh SYAM AKHYAR
Betapa banyak cita-cita masa lampau kita, yang bukan sahaja kandas di hari-hari kelmarin, malahan seolah-olah tak mungkin dibangunkan kembali pada hari-hari esok. Betapapun usaha dan kerja dilipat-gandakan, kesempatan untuk bangkit bagaikan telah diberi isyarat bahawa “rezeki kita akan tetap secupak”, malahan yang secupak itu pun bukan mustahil akan tercicir begitu saja!
Begitu kita bercita-cita, begitu pula kita menanam mimpi. Setiap kita pasti pernah bercita-cita dan tetap bercita-cita untuk maju dan jaya dalam hidup. Kita saluti cita-cita itu dengan mimpi indah. Mimpi-mimpi indah itu kita anyam bak bintang-bintang di langit, cerlang dan berkilauan.
Bagaimanapun, betapa banyak antara kita yang kemudiannya menyadari bahawa cita-cita itu seringkali sekadar bak embun di hujung rumput. Demi terbitnya matahari, embun pun kering; bahkan rumput pun pun kian layu. Begitu pula dengan mimpi. Semua bertaburan, hilang berciciran sepanjang jalan.
Nah, demikianlah setiap kali kita ditanyakan (ada ketikanya pertanyaan itu mirip provokasi): apa azam anda ketika kaki melangkah memasuki tahun baru?; tidak jarang kita jadi terpana. Mata berpinar dan jantung berdetak. Kita bukan tidak tahu bagaimana akan menjawab. Kita tahu, seperti juga orang lain tahu, bahawa kita patut menjawab: “Azam saya begini begini…. azam saya ini ini… dan ini ini.” Masalahnya apabila kita ditanya lagi: Bagaimana dengan azam-azam di tahun-tahun lalu? Telahkah ditunaikan?
Di sinilah kita terduduk.
Ketika usia kita, katakanlah mencecah tiga puluh atau empat puluh atau lima puluh tahun, dengan mengambil kira rentang-waktu lima belas tahun atau tujuh belas tahun pertama sebagai era kanak-kanak dan era remaja, setidak-tidaknya kita telah secara mutlak mengalami anjakan tahun sebanyak dua puluh atau tiga puluh lima kali.
Apabila ini dihitung, bermakna telah dua puluh atau tiga puluh lima kali pula kita berazam (itupun dengan andaian setiap habisnya Zulhijjah, lalu datangnya Muharam kita hanya membuat satu azam). Bayangkan, jika setiap kali hadirnya tahun baru, kita menanam tiga atau empat azam sekali gus? Maka berapa sebenarnya azam kita dalam tempoh dua puluh atau tiga puluh lima tahun itu?
Akhirnya, sekali lagi, kita akan terduduk.
Maka bijaksanalah jika kita cuba membuka sebuah buku baru, mungkin diperlukan sehingga dua atau tiga ribu halaman kosong, untuk kita tulis semula setiap pergerakan kita, setiap aktiviti kita, supaya dengan itu kita tahu di mana sebenarnya kita pacak azam kita, dan bagaimana pula azam itu beranak-pinak hingga menjadi ratusan azam, lalu pada akhirnya kita bertanya:
Apa sebenarnya azamku?
Bila mana terbukti kita pernah, biar secara betahap, cuba merealisasikan azam-azam kita, kita sepantasnya bersyukur. Jika tidak, jika tidak pernah satupun azam itu kita cuba laksanakan (apatah lagi cuba menjayakannya), barangkali patutlah kita dakwat-merahkan saja catatan kita dengan sebaris:
Rupanya setiap kali berpindahnya tahun, azamku hanyalah sekadar “berazam untuk menunaikan azam yang lalu.”
Untung saja azam demikian tidak menyerupai makanan, sehingga tidak perlu ditulis: mulai esok aku berazam untuk menambah bekalan makananku; padahal ketika itu setongkol ubipun tidak ada dalam simpanan kita, dan kita pun tidak pernah punya kebun yang pernah kita tanami ubi; tidak juga punya satu sen wang untuk kemungkinan membeli ubi!
Dengan bahasa yang mudah: sudah tibalah waktunya untuk kita menghitung hari-hari lalu kita; bertanya dan menjawab sendiri apa sahaja kemusykilan, agar dengan itu kita punya sedikit kesempatan untuk tahu ke mana sebenarnya telah kita cicirkan waktu kita sehingga tak pernah sekali kita cuba merealisasikan azam kita. Atau sebenarnya antara kita ini, memang ada yang langsung tak pernah berazam, tak pernah punya azam, alias tak pernah punya cita-cita?
Baiklah. Cuba kita bermain-main dengan angka.
Kita andaikan sahaja umur kita sekarang empat puluh tahun (tentu saja tidak sedikit pembaca majalah ini baru berumur empat belas tahun; sedangkan yang lain barangkali telah mencecah enam puluh empat tahun). Ya, 40 tahun. Kita tolak 17 tahun sebagai umur kanak-kanak dan umur remaja, jadi masih berbaki 23 tahun. 23 tahun! Cukup banyak itu!
Dalam setahun ada 356 hari. 356 didarab 23, jawabnya 8188. Paling tidak telah 8188 hari usia normal kita. Dalam sehari ada 24 jam, didarab 8188 jawabnya 196,512. Ertinya dalam tempoh 23 tahun itu, telah kita lalui 196,512 jam. Dalam satu jam, ada 60 minit. Cuba kita darab lagi. 60 darab 196,512, berapa? Jawabnya ialah 11,790,720. Ya, dikira dengan minit, kita telah hidup selama sebelas juta tujuh ratus sembilan puluh ribu tujuh ratus dua puluh minit!
Aduhai! Tak larat rasanya untuk membilang!
Cuba kita cartakan detik-detik dengan jadual dan timbang-ukur yang mudah. Dalam sehari, ada 24 jam. Tentulah tidak seluruh 24 jam itu kita “hidup”. Ada banyak jam di mana kita “mati”. Setidak-tidaknya 8 jam kita “mati”, antara jam 10.00 malam hingga jam 6.00 pagi. Bukankah tidur itu sebahagian daripada mati? Itupun jika kita tidak tidur lagi beberapa jam di siang hari, misalnya selepas Zuhur menunggu Asar (setelah balik dari kerja), atau satu dua jam selepas Asar. Itupun jika kita tidak tidur seawal jam 9.00 malam dan bangkit jam 7.00 pagi.
Nah, ditolak masa tidur selama 8 jam, tempoh hidup kita dalam sehari tinggal 16 jam sahaja. Dari 16 jam, ke mana kita habiskan? Jika kita mandi tiga kali sehari, dengan andaian setiap kali mandi kita habiskan 30 minit, satu jam setengah lagi telah habis. Kemudian kita makan.Dengan andaian setiap kali makan kita habiskan pula 30 minit, satu jam setengah lagi telah susut. Yang tinggal sekarang hanya 13 jam.
Sebelum ke tempat kerja, kita pasti mandi, mengadap cermin, berpakaian (termasuk menstrika), bersolek dan sebagainya? Berapa minit itu? Buka pintu pagar rumah, masuk ke kereta, berkereta ke tempat kerja, cari parking di tempat kerja, sembang-sembang sebentar, baru duduk di meja kerja. Nah, berapa jam telah kita habiskan di sana? Mungkin yang tinggal sekarang hanya 12 atau sebelas jam sahaja lagi.
Kitapun mulai bekerja.
Jam 5.00 petang bertolak pulang.
Tinggal kira-kira 4 jam sahaja lagi. Itu belum lagi dicampur dengan kemungkinan kita singgah ke pasar raya untuk membeli belah, atau singgah ke hospital untuk menziarahi pesakit. Belum juga andaikata kebetulan harus hadir ke upacara kenduri, ke majlis-majlis pertemuan keluarga atau pertemuan sosial.
Cuba kita campur-darab semua pergerakan itu? Kita hanya bekerja lapan jam sehari (kendati di tempat lain memang ada orang yang bekerja lima belas jam sehari), tapi nampaknya kita tidur sepuluh jam sehari (padahal di sana, ada orang yang hanya sempat tidur dua atau tiga jam sahaja sehari). Ada masanya kita makan empat jam sehari, mandi manda lima jam sehari. Belunjur di kerusi malas sahaja berjam-jam sehari. Menonton TV berapa jam? Berkhayal berapa jam? Kalau berfikir lain juga.
Tinggal berapa jam saja lagi? Untuk ibadat? Kita sembahayang (bagi Muslim), berzikir, berwirid dan berdoa, termasuk sebelumnya berwuduk, lima kali sehari. Barangkali setiap kali sembahayang, kita habiskan 20 minit. Maka lima kali sembahyang, sama dengan seratus minit. Baru seratus minit?Baru satu jam setengah lebih. Yang 22 jam lagi itu?
Kita dengan bangga mendakwa: saya kerja, lapan jam sehari. Ada OT lagi tiga jam!
Memang bagus jika betul bekerja 8 jam sehari. Tetapi berapa banyak dari waktu yang lapan jam itu kita habiskan dengan tidak bekerja? Berapa banyak dari tempoh lapan jam itu yang digunakan untuk keluar dari tempat kerja dengan macam-macam alasan?
Saya nak baiki kereta. Saya nak ambil anak di TADIKA. Saya nak hantar anak balik ke rumah. Saya nak ke klinik. Saya nak tampal gigi. Saya nak ke bilik air. Saya nak jumpa kawan. Saya nak ke bank. Saya nak ke kedai jahit. Saya nak ke pejabat pos. Saya nak ke pasar…
Begitu kita membuat kira-kira, begitu “akaun waktu” kita dikemas-kinikan, kita pasti terhenyak. Itu baru dalam tempoh dua puluh empat jam. Kalau dalam tempoh 356 kali 24 jam, yakni kalau dalam tempoh setahun? Kalau merangkumi tempoh 23 tahun? Ya, cuba kita bayangkan.
Berapa ribu jam telah kita habiskan untuk tidur, untuk makan, untuk berkhayal, untuk santai, untuk memandu, untuk bermimpi, untuk bercumbu, untuk mandi, untuk buang hajat? Lalu berapa ribu jam sahaja (atau berapa ratus jam sahaja) sebenarnya yang kita habiskan untuk betul-betul bekerja, untuk betul-betul beribadat, untuk betul-betul berfikir?
Dibandingkan dengan masa yang kita korbankan untuk borak-borak kosong, berapa banyak masa yang kita ambil untuk bincang-bincang berisi? Dibanding dengan masa yang kita sia-siakan untuk berkhayal dan berfantasi, berapa banyak masa pula kita pakai untuk berfikir lumayan?
Demikian seorang pemimpin Indonesia pernah merungut:
“Saya hairan mengapa orang harus turun ke lapangan untuk demonstrasi? Kenapa dihabiskan waktu sia-sia untuk bising-bising di jalan raya, rosakkan harta negara dan harta rakyat, padahal bukankah lebih baik kalau waktu yang begitu banyak dipakai untuk mencari rezeki?”
Kata-kata demikian patut diambil jadi pengajaran. Betul bahawa pada waktu-waktu tertentu, pada tempat-tempat tertentu, harus ada juga demonstrasi rakyat sebagai petanda bahawa rakyat tidak tidur buta terhadap segala kepincangan di peringkat kepemimpinan negara; akan tetapi andaikata dengan berdemonstrasi, semuanya menjadi punah, apakah itu perlu?
Di tempat lain lagi, berapa banyak waktu yang telah kita korbankan untuk berperang sesama sendiri, sedangkan pasti masih ada cara untuk mencari damai dan merebut menang tanpa perlu berperang? Di hadapan mata kepala kita, berapa banyak dari kalangan kaum kerabat kita, yang harus menghancur-leburkan sisa-sisa hidup mereka di dalam penjara, untuk menebus dosa dan kerana melakukan pelbagai macam dosa?
Begitulah kepada anak-anak dan para remaja kita, tanamkanlah cita-cita murni dan jilah untuk suatu hari dapat bangun membina bangsa. Tidak perlu menabur mimpi yang berantakan yang kelak-kelak waktu akan berpusing memenggal leher sendiri! Banyak yang boleh kita kerjakan untuk perkara yang baik-baik. Sekaligus, percayalah, tak satu perkara pun yang berunsur kejahatan patut kita lakukan!
Kita telah banyak mensia-siakan waktu kita, menghabiskan masa kita, antara lain sebagai pelanggar undang-undang. Bahkan, di luar sedar kita, banyak pula jam-jam dan minit-minit kita telah kita biarkan berserakan di tangga-tangga batu atau di lantai-lantai marbel, di rumah atau di pusat beli belah, untuk mengumpat-ampil, untuk bermain gosip dan fitnah, untuk melepak, untuk syok sendiri!
Sulit untuk mengutip mimpi yang bertaburan.
Namun tetap terbuka luas kesempatan untuk menyirat dan menganyam cita-cita, biarpun cita-cita itu pernah kandas atau pernah berselerakan!
Maka berazamlah, ketika memasuki tahun baru 1431 Hijrah ini, untuk tetap melaksanakan apa jua cita-cita kita!





