Al-Baqarah, ayat 32: Berkata-kata, sesuai dengan ilmu yang dimiliki
Oleh DR ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRY
Setelah Allah memperihalkan kurniaan-Nya kepada Adam dengan ilmu, juga cabaran-Nya kepada malaikat berhubung dengan nama-nama yang Allah zahirkan kelebihannya kepada Adam, lantas malaikat mengakui kelemahannya di samping tidak mempunyai pengetahuan berhubung dengan persoalan nama yang diajukan Allah. Akhirnya, dengan nada penuh kesedaran dan keinsafan, mereka semuanya mengikrarkan diri mereka seraya berkata:
AYAT 32
Maksudnya: Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Malaikat menjawab sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Quran: Maha Suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami.
Al-Samarqandi berkata: Sebahagian ahli bahasa berpendapat bahawa subhana (Maha Suci) diambil daripada sibahah (renang) kerana yang bertasbih menjarakkan antara dua tempat dengan makna jauh.
Sebahagian yang lain pula berpendapat, lafaz ini dihimpun daripada dua kalimah taajub (hairan) kerana orang Arab apabila merasa hairan dengan sesuatu, berkata “hana” sedangkan orang Ajam (bukan Arab) apabila merasa hairan dengan sesuatu, berkata “sub”. Dihimpunkan antara kedua-duanya, maka jadilah “subhana.” Akan tetapi penulis kurang bersetuju dengan pendapat ini kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab sepenuhnya kecualilah beberapa kalimat seperti yang dibahaskan di dalam usul fiqh yang menjadi kekhilafan di kalangan ulama.
Al-Imam al-Nasafi di dalam tafsirnya, Tafsir al- Nasafi berkata: Ayat ini memberi faedah atau manfaat kepada kita bahawa pengetahuan terhadap nama-nama lebih tinggi daripada berhiasan dengan ibadat. Bagaimana pula kalau memiliki ilmu syariat?
Ucapan pertama malaikat ialah dengan menyatakan Maha Suci Engkau Ya Allah daripada segala sifat kekurangan dan kelemahan dan sebenarnya ‘kami tidak mempunyai sebarang ilmu kecualilah apa yang Kau ajar kepada kami’. Kalaulah malaikat sanggup mengakui kelemahan tanpa ilmu, maka sewajarnya manusia mengakui dengan penuh keinsafan kalau mereka tidak mempunyai ilmu.
Malaikat berkata :
“Kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami.”
Syeikh Abu Hayyan di dalam tafsir Al-Bahru al-Muhit, berkata: Ini merupakan kemuncak dalam meninggalkan dakwaan dan berserah sepenuhnya kepada guru yang utama, iaitu Allah.
Abu Uthman al-Maghribi berkata: Tiada bala makhluk kecuali dakwaan-dakwaan (memandai-mandai). Tidakkah kamu lihat malaikat tatkala berkata: “Sedangkan kami mensucikan dengan memujikanmu.” Bagaimana diturunkan kepada tahap kejahilan sehingga mereka berkata “Tidakkah kami mempunyai ilmu?”
Inilah juga apa yang diriwayatkan daripada Ja’afar al-Sadiq.
Bagi orang yang tidak mengetahui selayaknya berkata “Aku tidak tahu.” Imam Ibn Qayyim di dalam kitabnya I’lam al-Muwaqiin, berkata: Diriwayatkan daripada Ali r.a seraya dia berkata: Ada lima perkara apabila seseorang berjalan menuju ke arah kanan, hendaknya dia merubah arah perjalanannya: seseorang hamba tidak boleh takut kecuali kepada Tuhannya, tidak boleh khuatir kecuali akan perbuatan dosanya, seseorang yang tidak memiliki ilmu pengetahuan tidak boleh malu belajar, orang yang tidak mengetahui jawapan daripada masalah yang ditanyakan kepadanya tidak boleh malu untuk mengatakan: Hanya Allah yang Maha Mengetahui, dan bersabarlah kerana kedudukan sabar dalam agama bagaikan kepala kepada tubuh.”
Az-Zuhri dari Khalid bin Aslam seraya dia berkata: Kami pergi berjalan bersama Ibn Umar kemudian kami bertemu dengan orang Arab Badwi seraya dia bertanya: “Apakah anda bernama Abdullah bin Umar?” Beliau menjawab, “Ya benar.” Dia berkata “Aku akan bertanya dan minta petunjuk daripadamu. Maka beritakan kepadaku apakah bibi mendapat warisan?” Beliau menjawab: Aku tidak tahu. Dia berkata: Apakah anda tidak tahu? Beliau menjawab, “Ya, benar. Oleh kerana itu hendaknya kamu pergi kepada ulama Madinah dan tanyakanlah kepada mereka. Ketika orang Arab itu hendak pergi, dia menghulurkan tangannya seraya berkata: “Sesungguhnya terpujilah kamu berdua. Abu Abdul Rahman berkata: Beliau (Ibn Umar) itu ditanya tentang masalah yang tidak beliau ketahui, maka beliau menjawab, “Aku tidak tahu.”
Ibn Masud berkata: Barang siapa yang mempunyai ilmu pengetahuan, maka hendaknya dia berkata sesuai dengan ilmu pengetahuannya dan barang siapa yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan, maka hendaknya ia berkata: “Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.” Sesuai dengan firman Allah s.w.t yang ditujukan kepada nabi-Nya yang bermaksud. ”Katakanlah (hai Muhammad): Aku tidak meminta upah sedikitpun kepadamu atas dakwahku. Dan bukanlah aku termasuk orang yang mengada-adakan.” (al-Shad, ayat 86)
Dalam salah satu hadis sahih yang diriwayatkan dari Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas dijelaskan: Barangsiapa yang memberi fatwa kepada manusia dalam setiap permasalahan yang ditanyakan kepadanya, maka dia termasuk orang gila.
Abu Husain Al-Asadi berkata: Sesungguhnya seseorang di antara para sahabat suka memberikan fatwa secara langsung dalam masalah yang ditanyakan kepada mereka. Tetapi seandainya permasalahan itu ditanyakan kepada Umar, nescaya beliau akan mengumpulkan para sahabat yang ikut dalam peperangan Badar untuk memecahkan masalah tersebut.
Ibn Sirin berkata: Kematian seseorang dalam kebodohan dianggap lebih baik daripada mengatakan sesuatu yang tidak dia ketahui.
Al-Qasim berkata: Di antara kemuliaan diri seseorang itu adalah tidak mengatakan sesuatu kecuali yang dikuasai oleh ilmu pengetahuannya. Dia berkata ”Wahai penduduk Iraq. Demi Allah aku tidak banyak mengetaui tentang masalah yang kamu tanyakan kepadaku.” Kehidupan seseorang yang bodoh yang hanya mengetahui apa yang diwajibkan oleh Allah kepadanya dianggap lebih baik daripada dia mengatakan atas Allah dan Rasul-Nya apa yang tidak dia ketahui.
Imam Malik berkata: Di antara tanda kefakihan seorang alim adalah mengatakan: “Aku tidak tahu.” Kerana cara itu dianggap lebih baik baginya. Dia berkata: “Saya mendengar Ibn Hurmuz berkata: “Wajib bagi orang alim mewariskan majlisnya sepeninggal dia dengan perkataan “tidak tahu” sehingga majlis itu berada seperti semula di tangan-tangan mereka (generasi yang mewarisi) di mana mereka akan selalu berlindung kepada perkataan tersebut.”
Al-Sya’bi berkata: Perkataan “aku tidak tahu” itu adalah sebahagian daripada ilmu.
Ibn Jubair berkata: Sungguh kecelakaan itu bagi orang-orang yang mengatakan sesuatu yang tidak diketahuinya bahawa :”Sungguh aku tidak mengetahui.”
Al-Syafie berkata: Aku mendengar Imam Malik berkata: “Aku mendengar Ibn Ijlan berkata: ”Apabila seseorang alim lupa mengatakan “aku tidak tahu” ingin sekali aku membunuhnya.” Ibn Ijlan menceritakan riwayat ini daripada Ibn Abbas.
Abu Ayyub telah meriwayatkan daripada Ibn Abi Mulaikah seraya dia berkata: Abu Bakar ditanya tentang suatu ayat. Kemudian beliau menjawab: “Di bumi yang mana aku akan berpijak dan di langit mana aku akan bernaung serta ke mana aku akan pergi? Bagaimana aku boleh bersikap jika aku berkata mengenai kitab Allah dengan sesuatu yang tidak Allah kehendaki?”
Al-Baihaqi telah menceritakan daripada Muslim al-Bathin daripada Uzarah al-Tamimi seraya dia berkata: “Ali bin Abi Talib r.a berkata mengenai keadaan di syurga.”Hidangan pertama kali yang dimakan oleh penghuninya adalah limpa.”
Beliau menceritakannya sebanyak tiga kali. Para sahabat lainnya bertanya “Wahai Amirul Mukminin, apa itu? Dia menjawab: ”Jika seseorang ditanya tentang sesuatu yang tidak diketahuinya, maka hendaknya dia menjawab “Hanya Allahlah Yang Maha Mengetahui.”
Seterusnya firman Allah Taala: “Sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Syeikh Abdul Rahman Sa’di di dalam kitabnya Taisir al-Karim al-Rahman, berkata: Hakim dengan makna bijaksana ialah siapa yang mempunyai kebijaksanaan yang sempurna di mana tiadalah diciptakan sesuatu kecuali dengan hikmah dan arahan dengan sesuatu kecuali dengan hikmah. Hikmah itu sendiri bermaksud meletakkan sesuatu di tempat yang layak baginya.
Syeikh Ibn A’tiah di dalam tafsirnya Al-Muharrar al-Wajiz, berkata: “Maha Mengetahui dengan makna penambahan maklumatnya dan banyaknya pada hak Allah. Sedangkan Maha Bijaksana pula dengan makna yang memutuskan atau bijaksana.”
Kata sebahagian ulama dengan makna menegah daripada kerosakan, iaitu pengakuan malaikat yang sesungguhnya Allah bersifat Maha Mengetahui, tiada tersembunyi kepadanya oleh sesuatupun. Lagi Maha Bijaksana di mana segala perbuatan-Nya mempunyai hikmah sama ada diketahui atau tidak oleh makhluk-Nya.





