Syarat menjadi umat gemilang
Allah s.w.t menjanjikan bahawa umat Islam akan menjadi umat terbaik dan terbilang yang pernah dilahirkan di muka bumi ini.
Namun begitu, janji ini hanya akan terlaksana apabila umat Islam telah sanggup memenuhi beberapa prasyarat yang telah ditetapkan. Prasyarat ini Allah namakan sebagai tali Allah dan tali manusia. Ia tersimpul di sebalik ayat 112 dalam surah Ali-Imran yang bermaksud: “… mereka (umat terdahulu) akan ditimpa kehinaan di mana saja mereka berada kecuali jika mereka berpegang teguh pada tali Allah dan tali manusia.”
Tali Allah ialah yang menyambungkan manusia ke langit untuk hubungan manusia dengan tuhannya. Tali manusia ialah yang menyambungkan manusia ke bumi untuk hubungan dengan manusia. Selanjutnya, Allah s.w.t menjelaskan apa ertinya kedua-dua tali ini. Tali Allah yang dimaksudkan ialah keimanan kepada Allah dan tali manusia ialah kesanggupan manusia untuk saling tegur menegur dalam kebaikan atau lebih jelas dikatakan sebagai mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran.
Ini dijelaskan dalam ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud: “Kamu adalah sebaik umat yang dilahirkan dari kalangan manusia sekiranya kamu menyuruh kepada makruf, imencegah mungkar dan beriman kepada Allah.”
Pemahaman terhadap dasar tali Allah dan tali manusia ini sebenarnya bermula daripada iman kepada Allah diikuti dengan larangan kepada mungkar dan diakhiri dengan mengajak kepada makruf.
Namun penyusunannya dalam ayat al-Quran dimulakan dengan mengajak kepada makruf, diikuti dengan melarang yang mungkar dan diakhiri dengan iman kepada Allah supaya manusia dapat mengutamakan yang mudah dahulu kemudian diikuti dengan yang susah.
Jika kita amati dengan yang paling mudah antara ketiga-tiga tanggungjawab ini ialah menyuruh kepada makruf atau kebaikan. Rata-rata yang merasa lebih senang untuk menyuruh seseorang supaya bersabar, berbuat baik, bersederhana, bermurah hati atau bertolak ansur. Tetapi tidaklah semudah mencegah sesuatu maksiat yang sedang berlaku umpamanya melarang seseorang dari terus mengamalkan riba.
Kebiasaannya orang yang dilarang itu akan menjadi marah dan melenting kerana tabiat manusia yang tidak suka dirinya dipersalahkan. Manusia lebih senang mempersalahkan orang lain dari dipersalahkan.
Taraf paling teratas ialah iman kepada Allah. Jika benar seorang hamba itu telah beriman kepadaAllah, amar (menyuruh) makruf dan nahi (mencegah) mungkar akan terlaksana dengan mudah.
Wujudnya tali dengan Allah atau iman yang jitu pada Allah akan menimbulkan rasa tanggungjawab untuk menegur sesama manusia. Ia tidak harus disamaertikan dengan kerenah busy body atau menyibuk hal orang lain. Jika sesuatu perkara berkaitan dengan awam, semua orang mempunyai hak untuk bersuara.
Jika sesuatu perkara pada asalnya adalah peribadi tetapi boleh membahayakan orang lain maka ia bukan lagi hak peribadi tetapi termasuk hak awam.
Dalam hal ini Rasulullah s.a.w memberi perumpamaan yang tepat sekali melalui hadis yang bermaksud “Perumpamaan orang yang menegur antara satu sama lain ialah seperti satu kaum yang mengundi untuk menaiki sebuah kapal. Ada di antara mereka yang berjaya mendapat tempat di bahagian atas kapal dan ada yang mendapat tempat di bahagian bawah.
Apabila penumpang yang di bawah ingin mendapatkan air mereka terpaksa naik ke atas dan melintasi penumpang atas lalu mereka terfikir, alangkah baiknya jika kita menebuk saja lubang di bawah kapal ini untuk mendapatkan air, jadi kita tak perlu naik ke atas lagi, lagipun bahagian bawah ini adalah bahagian kita, kita tidak akan menyakiti penumpang yang atas. Sekiranya penumpang atas membiarkan saja mereka menebuk lubang sudah tentu mereka semua sama ada di atas atau di bawah akan turut karam / tenggelam tetapi jika perbuatan itu dihalang, kesemua mereka akan terselamat.
Adanya tali manusia yang menghubungkan mereka melaluu sistem tegur menegur ini menandakan ummah itu masih bernafas. Andai hilang nilai tegur menegur yang berlandaskan amar makruf nahi munkar ini, bererti ummah ini mula melangkah keera lindap dan kabur. Tidak mustahil mengheretnya menjadi ummah yang mati walaupun bangkainya masih ada.
Berdasarkan senario hari ini, kadang-kadang kita berjumpa dengan orang yang mendakwa mereka beriman kepada Allah atau memegang kepada tali Allah. Tetapi semakin mendalam imannya semakin jauh pula hubungannya dengan manusia lain. Jika benar imannya bersambung kepada tali Allah, dia akan terjun ke dalam masyarakat. Dia prihatin pada masyarakat untuk tegur menegur demi tali manusia.
Jika masyarakat sudah tidak boleh tegur menegur itulah petanda mereka mengundang kedatangan malapetaka. Justeru, jalan untuk memperbaiki identiti ummah yang berjaya masih ada selama mana ummah mengekalkan tali AUah dan tali manusia.
Tali Allah yang terhubung ke langit akan dapat ditegakkan melalui iman yang teguh kepada al-Quran dan hadis. Tali manusia yang menyambung ke bumi pula akan tertegak apabila dihilangkan sifat iri hati dan dengki sesama manusia. Hapuskanlah perasaan riak, sombong, bermegah diri sementara orang lain hina semua. Sebaliknya, beramallah dengan sifat semakin mendalam iman kita semakin erat pula hubungan sesama manusia terjalin.






9:12 AM
Saya juga ketemui tafsiran lain mengenai tali Allah iaitu : Nabi Muhammad saw.. Maksudnya menyambung warisan amalan yang ditinggalkan oleh Nabi saw., sahabat-sahabatnya, dan ulamak warisatul anbiya. Waallahualam.