Relevansi pemikiran Ibn Sina kepada suasana semasa

November 9, 2009 3:05 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Tags:

Memandangkan relevansi pemikiran Ibn Sina terhadap suasana semasa, ZAIN A. GHANI (ZAG) pada Oktober lalu menemui DR SYAMSUDDIN ARIF, pensyarah di Jabatan Usuluddin, Institut Ilmu Wahyu dan Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau yang tesis sarjananya tentang Ibn Sina bertajuk Ibn Sina’s Theory of Intuition. Beliau kemudian menyelesaikan tesis PhD-nya di ISTAC dengan judul Ibn Sina Cosmology: A Study of the Appropriation of Greek Philosophical Ideas in in 11th Century Islam. Sebagai mukadimah beliau mengetengahkan secara ringkas pemikiran tokoh besar Muslim yang juga terkenal di Barat sebagai Avicenna.   

ZAG: Ibn Sina (meninggal 428 H/1037 M) tokoh kedoktoran, falsafah dan politik telah pergi meninggalkan kita lebih 1000 tahun, mengapa pemikirannya masih signifikan kepada kita? 

SYAMSUDDIN ARIF: Pemikiran tokoh-tokoh hebat sememangnya senantiasa menarik dan mampu memberikan inspirasi kepada kita. Hal ini berlaku di mana-mana. Orang Cina masih memetik hikmah daripada K’ung-fu-tzu alias Confucius yang mati sejak 2500 silam. Para ilmuwan Eropah pula masih merujuk karya-karya klasik demi setitik petunjuk. Inilah sebabnya mengapa Universiti Harvard menerbitkan siri Loeb Classical Library (himpunan karya-karya agung dalam bahasa Yunani dan Latin berjumlah ratusan jilid). Begitu pula Universiti Chicago meluncurkan The Great Books of the Western World berpuluh-puluh jilid. Sesungguhnya, fikir mereka, apa yang diutarakan dan dibincang oleh Plato, Descartes, Locke, Comte, Marx dan sebagainya itu sentiasa relevan dengan isu-isu yang kita hadapi di zaman sekarang maupun di masa yang akan datang.  

Demikian pula bagi kaum Muslimin, pemikiran tokoh-tokoh sehebat Ibn Sina mestinya menjadi rujukan penting berkenaan isu-isu pendidikan, peranan agama di masyarakat, persoalan politik dan pentadbiran negara mahupun masalah psikologi dan etika.

Justeru itu, pertubuhan antarabangsa UNESCO telah pun memaklumkan sebuah Hadiah yang dinamakan Avicenna Prize for Ethics in Science. Nama Latin Ibn Sina diambil sebab beliau dianggap tokoh ilmuwan yang berjasa memperhubungkan Dunia Barat dengan Dunia Islam. Nama “Avicenna” akan selalu mengingatkan orang akan hutang budi tamadun Barat kepada tamadun Islam.

Betapa “kelahiran kembali” (renaissance) bangsa Eropah tidak mungkin wujud tanpa kejeniusan pencapaian para saintis Muslim. Ibn Sina juga dipandang sebagai pelopor humanisme moden dan perintis sains perubatan experimental. Seorang yang menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan, Ibn Sina melihat sains secara holistik. Cara pandang beliau multidisipliner, bukan macam kuda ditutup mata. Baginya, sains mesti berhubungkait dengan falsafah, etika dan politik.  

Bagaimana kita dapat memanfaatkan kehebatan idea beliau demi memajukan semula ummat khususnya manusia Muslim Nusantara? 

Banyak pengajaran menarik yang dapat kita petik dari Ibn Sina. Sebagai contoh, dalam sebuah karyanya yang berjudul Risalah as-Siyasah, beliau menjelaskan bahawa syarat menjadi pemimpin itu adalah sanggup dan sukses memimpin diri sendiri (siyasatun nafs).

Masalahnya ramai orang belum pandai dan gagal memimpin diri sendiri namun tetap mahu tampil memimpin rakyat dan umat. Akibatnya negara kacau, rakyat sengsara, dan agama rosak.

Di antara sebab rosaknya kerajaan, kata Ibn Sina, adalah munculnya kroni-kroni jahat (qurana’ al-su’) yang sentiasa mengelilingi dan menghasut para pemimpin politik. Sementara golongan cerdik pandainya lalai dan enggan menyampaikan kritik dan nasihat kepada mereka.

Jadi menurut Ibn Sina, kaum berilmu harus tampil sebagai penerang dan pembimbing jika masyarakat ingin maju. Apa-apa yang bengkok kena diluruskan, yang keliru dibetulkan, dan yang benar dikedepankan. 

Umumnya orang mengaitkan kecemerlangan akademik dan pencapaian ilmiah dengan suasana politik yang aman dan stabil serta masyarakat yang makmur sejahtera. Namun tidak demikian halnya bagi Ibn Sina.

Beliau hidup di wilayah konflik, di mana keselamatan nyawanya sentiasa dalam bahaya. Sebagai menteri sudah tentu beliau pun terlibat dalam perang saudara antara satu sultan dengan yang lain.

Beberapa kali Ibn Sina ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara, diperhinakan dan dihalau, sehingga terpaksa hidup berpindah-pindah dari satu negeri ke negeri yang lain. Akan tetapi suasana demikian itu tidak menghalangi usaha beliau mengembangkan ilmu pengetahuan.

Di siang hari beliau bekerja sebagai pegawai kerajaan dan ahli politik, manakala di malam hari beliau membaca dan mengarang buku. Diceritakan beliau sanggup menulis sehingga 150 muka-surat setiap harinya.

Ini membuktikan bahawa produktiviti ilmiah tidak semestinya terhalang oleh atau bergantung pada situasi ekonomi politik semasa.

Ibn Sina pernah diangkat sebagai Menteri, apakah pemikiran beliau yang dapat kita manfaatkan kepada politik demokrasi yang sedang diamalkan di Malaysia dan lain-lain negara? 

Semasa menjadi menteri di negeri Hamadhan, Ibn Sina berjaya menghadkan kuasa golongan tentera ke atas kerajaan. Beliau lebih bertindak sebagai pencinta ilmu pengetahuan daripada kuasa politik semata. Sikap Ibn Sina kepada Sultan cukup bijak. Beliau tidak mengampu-ampu (menjilat) mereka yang di atas dan tidak pula menginjak  orang di bawahnya. Ibn Sina menolak berkhidmat kepada Sultan yang gila kuasa dan tamak harta.

Beliau hanya menyokong kerajaan yang berusaha membina dan melestarikan tamadun kemanusiaan. Itulah sebabnya mengapa beliau suka tinggal Isfahan di bawah naungan Sultan Ala’ud Dawlah yang amat menghargai ilmu dan para ilmuan.    

Apakah sisi positif pemikiran tasawwuf beliau yang dikatakan “menyeleweng” oleh sesetengah orang? 

Walaupun beliau seorang saintis ulung, Ibn Sina tidak menolak tasawwuf (sufisme). Pernah suatu hari beliau berjumpa ahli tasawwuf bernama Abu Sa‘id Abu l-Khayr (meninggal 440/1049). Sang sufi melempar sebuah kendi (cerek) ke langit. Kendi tersebut tidak terus jatuh, tetapi mengapung dan tergantung di udara.

“Mengapa ia tidak jatuh, padahal ianya terbuat dari tanah?” tanya Abu Sa‘id. “Kerana ianya terhalang oleh daya memaksa,” jawab Ibn Sina.

 “Dari mana datangnya daya tersebut?” tanya sang sufi lagi. “Dari dalam dirimu,” ujar Ibn Sina. Setelah mereka berpisah, masing-masing ditanya pendapatnya mengenai satu dengan lain. Kata Ibn Sina: “Apa yang aku ketahui, telah dilihatnya.”

Manakala Abu Sa‘id berkata: “Apa yang aku lihat, sudah diketahuinya.” Anekdot ini menggambarkan pengiktirafan seorang saintis terhadap ilmu yang dicapai oleh para sufi menerusi disiplin rohani dan intuisi batin.

Pandangan Ibn Sina mengenai “stesen-stesen” yang ditempuh kaum sufi dalam pengembaraan mereka menuju al-Haqq dihuraikannya dalam bahagian akhir kitab al-Isharat wa al-Tanbihat.

 

Leave a Reply