Home » Fikrah » Makna haji mabrur

Makna haji mabrur

Haji2

Oleh MUHAMMAD HATIM

Daripada sekalian banyak ibadah, haji adalah puncak ibadah ritual yang sangat dicita-citakan oleh setiap umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah sebagai saat pertemuan sejati kaum Muslimin untuk memenuhi panggilan Allah s.w.t dan merupakan kebahagiaan yang tidak terkira nilainya. Justeru pahalanya yang sangat besar, orang-orang yang mengerjakan (haji) akan dianggap oleh Allah sebagai tetamu-Nya.

“Orang yang beribadah haji dan umrah adalah tetamu Allah. Dan adalah hak Allah untuk memuliakan para tamu-Nya serta mengurniakan mereka keampunan.” (maksud hadis)

Kebahagiaan itu akan lahir ketika mereka menginjakkan kaki ke tanah suci dari memasuki Kaabah di Masjidil Haram sambil mengucapkan, “Labbaik Allahumma Labbaik.” (Ya Allah aku datang memenuhi panggilan-Mu). Sungguh indah pernyataan fitrah hamba kepada pencipta-Nya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” (al-Hajj: 32)

Kaabah yang dikunjungi mengandung pelajaran yang amat berharga dari segi kemanusiaan. Di sana, misalnya, ada Hijr Ismail yang erti harfiahnya “pangkuan Ismail”. Di sanalah Ismail, putera Ibrahim, pembina (pendiri) Kaabah ini, pernah berada dalam pangkuan ibunya yang bernama Hajar, seorang wanita yang miskin yang dikatakan makamnnya pun berada di tempat itu. Namun demikian, wanita ini ditempatkan Tuhan di sana (atau panggilannya diabadikan Tuhan) untuk menjadi pelajaran bahawa Allah memberi kedudukan untuk seseorang bukan kerana keturunan atau status sosialnya, tetapi kerana hubungannya yang sangat dekat kepada Allah dan usahanya untuk hajar (berhijrah) daripada kejahatan menuju kebaikan.

Ibadah haji adalah merupakan sumbangan Islam yang paling positif untuk melahirkan manusia-manusia yang ideal, bersatu hati dan bersatu amal, yang sering dicita-citakan oleh para ahli falsafah sejak dari zaman Plato, Al-Farabi, hingga ke zaman kita ini.

Kaum Muslimin yang pelbagai rupa dan warna kulitnya, bahasanya yang berlainan, lagak lakunya yang berbeza-beza, sekarang berkumpul di Tanah Suci yang satu. Hilang segala perbezaan dan hapuslah segala keasingan, dan semuanya berkenalan dan bersaudara, bagaikan mereka dari keluarga yang satu, bahkan lebih daripada itu, bagaikan tubuh yang satu, yang sama merasakan sakit dan senang, susah dan gembira. Keyakinan tentang kemanusiaan yang bersifat sejagat, tiada perbezaan dalam kemanusiaan seseorang dengan yang lain, betapa pun terdapat perbezaan antara mereka dalam hal-hal lain.

Tidak pula kurang pentingnya, ibadah haji mengembalikan kenangan kepada masa hampir 50 abad (5,000 tahun) yang lampau, iaitu Nabi Ibrahim, bapa segala nabi. Bukankah dia yang telah menghabiskan segenap umurnya untuk mengabdi kepada Tuhan, berpindah-pindah mengembara dari Mesopotamia, sampai Palestin terus ke Mesir, dan dengan berpusat di Tanah Suci Mekah, dia meninggalkan bekas-bekas yang tetap bersejarah sampai sekarang.

Tiada yang diinginkan oleh mereka yang mengerjakan haji di Mekah melainkan keinginan yang amat tinggi untuk memperoleh haji yang mabrur. Dari segi bahasa, mabrur mempunyai dua makna. Pertama, bererti baik, suci dan bersih. Kedua, bererti diterima dan mendapat keredaan Allah.

Dengan demikian, haji mabrur adalah haji yang baik dan membawa kebaikan kepada orang yang melakukannya. Menurut pendapat ulama, haji mabrur yang tidak bercampur dengan perbuatan dosa-dosa kecil, mahupun dosa besar. Orang yang memperoleh haji mabrur akan semakin kuat imannya serta semakin meningkat amal ibadatnya.

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Dari umrah ke umrah adalah penghapus dosa antara keduanya. Dan haji mabrur ada balasannya, iaitu syurga.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keunikan ibadah haji kerana ia mencakupi seluruh dimensi ibadah itu yang memerlukan pengorbanan yang tinggi dari segi fizikal, harta dan jiwa. Justeru tidak mudah untuk mendapatkan haji mabrur, sebagaimana yang dikatakan oleh Umar bin al-Khattab sekitar 1,400 tahun yang lampau, iaitu ‘melancong’ yang banyak sedangkan yang melakukan haji hanya sedikit.

Maknanya secara kuantiti, banyak orang yang mengerjakan haji tetapi secara kualiti sedikit saja yang benar-benar melakukan manasik (ibadat) haji dan memahami setiap amal ibadah haji sehingga memperoleh haji mabrur.

Dalam konteks haji, dikatakan ibadat haji yang lengkap memerlukan mujahadah iaitu satu usaha yang sungguh-sungguh untuk mencapai musyahadah kesedaran barulah dapat disebut haji mabrur. Kesedaran ini akan melahirkan al-mahadah cinta satu persiapan untuk berkorban apa sahaja kerana Allah.

Ringkasnya ibadah yang telah sampai pada peringkat musyahadah adalah ibadah yang telah melahirkan kesedaran mengubah dan membentuk perilakunya kepada sikap yang sesuai dan nilai moral dan spiritual daripada ibadah itu.

Dalam ibadah haji, yang menjadi ukuran mabrur atau tidak baik haji kita itu adalah seberapa banyak amal ibadat haji yang telah dilakukan itu melahirkan kesedaran moral dan spiritual yang boleh melahirkan semangat untuk melaksanakan kebaikan dan kebajikan.

Dengan kata lain, seberapa jauh ibadah haji mendorong terjadinya perubahan pada diri kita, sehinggalah dapat mengubah daripada sikap negatif kepada sikap positif dan dari sikap tertutup kepada sikap keterbukaan.

Haji mabrur ditandai dengan bekasnya, iaitu makna simbol-simbol amalan yang dilaksanakan di Tanah Suci, sehingga makna-makna tersebut wujud dalam bentuk sikap dan tingkah laku setiap hari.

Pakaian biasa ditanggalkan dan pakaian ihram dikenakan. Pakaian dapat melahirkan perbedaan, menggambarkan status sosial, di samping juga dapat menimbulkan pengaruh psikologi.

Menanggalkan pakaian biasa bererti menanggalkan segala macam perbezaan dan menghapuskan keangkuhan yang ditimbulkan oleh status sosial itu. Mengenakan pakaian ihram melambangkan persamaan darjat kemanusiaan serta menimbulkan pengaruh psikologi bahawa yang dalam keadaan demikianlah seseorang akan menghadap Tuhan pada saat kematiannya. Bukankah ibadah haji adalah kehadiran memenuhi panggilan Tuhan?

Apakah sekembalinya dari tanah suci, masih ada keangkuhan di dalam jiwa? Masih terasa adanya perbezaan darjat kemanusiaan? Masih ingin hipokrit menindas orang lain? Masih mahu berpura-pura alim tetapi hakikatnya jahil. Kalau masih ada maka kita masih mengenakan pakaian biasa dan belum menanggalkannya.

Seseorang yang pulang dari menunaikan haji, bukan sahaja merasakan dirinya kembali ke fitrah kesucian tetapi juga tumbuh dalam dirinya perasaan menjadi sebahagian daripada satu masyarakat dunia bernama bangsa Muslim. Suatu bangsa yang merapatkan barisan atas landasan tauhid yang menyatukan manusia daripada pelbagai darjat dan keturunan.

Landasan tauhid juga menjadikan mereka bersaudara di antara orang Arab dan orang Melayu, perantau Cina dan mualaf Eropah, hamba Afrika dan pedagang India. Muncul di dada setiap orang yang mengerjakan haji bahawa dirinya sebahagian daripada satu kekuatan yang besar. Sesungguhnya haji yang telah menjadikan globalisasi antara Mekah, Mina, Arafah serta Madinah.

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

9 + 13 =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib