Ulama dan pemerintah perlu bekerjasama

July 13, 2009 10:10 AM 1 comment

Share this Article

Author:

Oleh WAHBA

 

Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan, susunan Haji Zainal Abidin Safarwan, terbitan UPND 1995 mendefinisikan ulama sebagai: 1. malim, orang alim yang menguasai sedikitnya tiga belas ilmu dasar, antaranya  ilmu usul ,fiqh, nahu syaraf, taksir dan hadis, pendeta, pakar, diaken, guru agama (ahli dalam pengetahuan agama Islam), 2. cerdik pandai, jamhur, 3. pedanda, rohaniwan.

 

Kamus Dewan, susunan T. Iskandar terbitan DBP 1970 pula mendefinasikan ulama sebagai: orang yang ahli (pakar) dalam pengetahuan agama Islam.

 

Dari sudut agama pula, penulis Abdullah Hinduan dalam artikelnya berjudul “Posisi dan Peranan Ulama dan Islam” (Jurnalislam.com) berkata ulama itu asalnya daripada perkataan Arab berbentuk jamak daripada isim fiil “alim” yang diambil dari asal kata “alima-ya’lamu”, yang bererti mengetahui.

 

‘Alim’ ialah orang yang mengetahui (berilmu atau ilmuwan), bentuk jamaknya adalah ulama atau alimun (para ilmuwan). Jadi kata ulama dalam bahasa Arab bererti para ilmuwan, baik ilmu agama atau ilmuwan umum.

 

Istilah ulama menurut generasi awal kaum Muslimin meliputi para pengajar, penghafal al-Quran, para pakar dan perawi hadis-nabawi, para fuqaha, mufti dan para kadi. Tetapi sekarang istilah ulama meliputi para ustaz, para imam, khatib jumaat, para pakar ilmu tafsir, pakar hadis, sejarah, falsafah dan teologi atau mereka yang meluangkan waktunya menuntut ilmu agama (Islam) di sekolah pondok, pesantren atau institusi pengajian tinggi dan berhasil memahami secara mendalam sebahagian daripada ilmu seperti tafsir, hadis, sastera Arab, sejarah, fiqh, falsafah, teologi, dan lain-lain.

 

Pada kebiasaannya, orang yang bejaya menguasai ilmu-ilmu ini memanfaatkannya ilmunya kepada orang lain dengan cara mengajar atau  menyebar ilmu itu kepada masyarakat Islam yang lain.

 

Dalam erti kata lain, ulama ialah orang yang belajar dan  berjaya menguasai  sebahagian daripada ilmu-ilmu itu dan secara aktif pula mengajarkannya kepada masyarakat,baik di rumah, di sekolah, di pondok, di masjid atau di pesantren.

 

Ulama itu pula kerana kemampuannya menguasai berbagai-bagai ilmu agama dan menyebarkannya kepada masyarakat untuk kebaikan sering dikaitkan sebagai ulama pewaris nabi  atau “ulama warisatul anbia”.

 

Definisi ulama warisatul anbia ialah sebagai ulama yang mewarisi atau mempusakai daripada Nabi s.a.w dalam perkara menjaga agama dan mentadbir dunia mengikut acuan dan ajaran agama. Ulama perlu peka dan arif serta mengetahui apa yang berlaku di sekitarnya.

 

Multaqa Ulama Kebangsaan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang diadakan pada 29 Jun hingga 1 Julai 2004 di Kuala Lumpur merumuskan 14 resolusi mengenai ulama.

 

  1. Ulama adalah orang yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran  dalam pelbagai bidang ilmu Islam.
  2. Ulama perlu membina jambatan dengan pelbagai pihak dalam masyarakat tanpa mengambil kira kecenderungan pemikiran mereka. Mereka tidak boleh sama sekali memisah dan memencil diri dalam dunia keulamaan yang berasingan daripada realiti masyarakat.
  3. Ulama dahulu matang dari segi rohani dan matang juga dari segi akal. Keadaan yang seimbang ini menyebabkan ulama zaman dahulu dihormati dan disanjung tinggi sehingga ke hari ini.
  4. Tugas  menyebar dan menjaga agama yang diutus melalui Nabi Muhammad s.a.w adalah tanggungjawab Khulafa Al Rasyidun selepas baginda wafat dan selepas itu ia menjadi tanggungjawab para ulama. Dengan itu para ulama yang disebut oleh Rasulullah s.a.w sebagai pewaris para nabi itu mesti memikul tanggungjawab itu sehingga ke hari akhirat.
  5. Ulama mempunyai pendekatan politik tersendiri dalam pemikiran Islam dan pendekatan itu dipanggil siasah ulama. Ia bermaksud politik atau polisi ulama. Siasah ulama ini mesti menuju ke arah menyatupadukan ummah dan bukan memecahbelahkan mereka.
  6. Siasah ulama merupakan kesinambungan kepada siasah Rasulullah s.a.w dan siasah Khualafa Al Rasyidin. Dengan itu dalam melaksanakan pendekatan politik ini para ulama mesti mengambil contoh keperibadian Rasulullah dan Khulafa Rasyidin.
  7. Ulama perlu menjadikan kitab Muqaddimah Ibn Khaldun sebagai rujukan baku (standard) mereka. Dalam kitab itu, Ibn khaldun menjelaskan kesepaduan antara ulama dengan ilmuwan/saintis dan keserasian antara ilmu-ilmu  syriah (agama) dengan ilmu-ilmu aqliah (dunia/rasional).
  8. Ulama mesti mempunyai ilmu dan percakapan mereka selari dengan perbuatan mereka.
  9. Ulama mesti sentiasa mengambil berat dalam ”menatarkan” (mementingkan keseimbangan) dengan pelbagai bidang ilmu agama dan ilmu dunia.
  10. Ulama juga mesti sentiasa mengambil berat tentang ilmu yang menyuburkan dan membersihkan batin dan hati.
  11. Ulama mesti memberi perhatian  kepada penghasilan ilmu yang berfaedah dan membukukan karya keilmuan mereka.
  12. Ulama mesti tidak mengamalkan kehidupan mewah yang berlebih-lebihan sebaliknya mereka memadai setakat menjaga nama dan maruah mereka sahaja.
  13. Ulama jika mendampingi pemerintah mesti dengan tujuan menjayakan seruan agama dan perkara itu mesti dilakukan dengan ikhlas dan bukan kerana mahu mendapat ganjara berupakan harta benda.
  14. Ulama perlu menghormti perbezaan pendapat dan menyatakan perbezaan pendapat itu dengan cara lemah lembut dan penuh beradab.

 

Di dalam masyarakat Islam, ulama dianggap orang yang mengetahui hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam, kerana itu mereka menjadi tempat rujukan,  tempat orang belajar dan tempat orang mendapat panduan mengenai bentuk kehidupan menurut acuan syariat.

 

Kata-kata yang terbit daripada mulut ulama didengar dan dipatuhi. Ulama sentiasa bercakap benar, tidak berdusta dan tidak menipu. Ulama sentiasa berusaha menyeru orang ke arah kebaikan. Kerana ulama berilmu dan peranannya yang murni dan suci itu maka mereka dihormati oleh masyarakat.

 

Ulama dianggap orang yang bertanggungjawab membawa sesebuah masyarakat Islam dan negara ke destinasi yang diredai Allah. Ulama dianggap pendorong penting dalam usaha membina atau membangun tamadun Islam. Ulama dan pemerintah saling perlu memerlukan. Pemerintah yang baik dan bijak tidak menyisihkan ulama. Ulama tempat merujuk segala permasalahan mengenai agama (Islam).

 

Jika dirujuk perkataan ulama itu sendiri dari segi bahasa adalah nama jamak (jam’u) bagi alim yang diambil daripada kata kerja (fi’il) bahasa Arab Alima Ya’lamu, ertinya tahu atau mengetahui. Jadi alim itu ialah orang yang tahu dan ulama itu membawa maksud orang-orang yang tahu.

 

Di dalam masyarakat Melayu yang beragama Islam sudah menjadi kebiasaan bagi mereka  menggunakan perkataan ulama dalam bentuk jamak (plural) untuk pengertian alim iaitu seseorang yang mengetahui tentang selok belok agama (Islam).

 

Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang mengandungi pengertian bahawa ulama itu adalah orang-orang yang mengetahui tentang agama.

 

Di antara ayat-ayatnya ialah seperti berikut (maksudnya):

 

  1. ”Maka hendaklah kamu bertanya ahli dhikr (ahli-ahli kitab yang terdahulu) sekiranya kamu tidak tahu.” (an-Nahl: 43)
  2. Dan contoh-contoh itu Kami (Allah) bawakan kepada manusia dan tidak (ada orang yang) mengetahuinya melainkan orang-orang alim.” (al-Ankabut: 43)
  3. Katakanlah (wahai Muhammad) adakah sama oranag-orang yang tahu dan tidak tahu? Demi sesungguhnya orang-orang yang (sentiasa) ingat (kepada Allah) ialah orang yang mempunyai akal (berilmu).” (az-Zumar: 9)

 

Demikian beberapa ayat yang terdapat di dalam kitab suci al-Quran yang menunjukkan betapa pentingnya orang-orang alim (ulama) yang boleh menjadi tempat rujukan mengenai sesuatu masalah yang timbul di dalam masyarakat.

 

Islam ialah agama yang hidup,dinamik dan tidak beku. Yang membekukannya ialah para pengamalnya, iaitu umatnya sendiri. Kekeliruan dan perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam masakini kerana umat Islam itu sendiri tidak memahami dan mengamalkan ajaran Islam secara total.

 

Institusi ulama hendaklah diberi peranan penting dan lebih besar dalam menyuarakan perkara berkaitan dengan agama, khususnya dalam membina ummah yang bertunjangkan teras keimanan dan ketakwaan yang tinggi.

 

Ulama hendaklah diberi peranan dalam usaha kita mewujudkan generasi yang bercirikan  ulu-al-bab atau cendekiawan. Kamus Dewan edisi ketiga mendefinisikan cendekiawan sebagai golongan cerdik pandai, terpelajar dan intelektual.

 

Daripada buku Ulu-al-bab Konsep dan Pengertian Menurut Syarak, tulisan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, (terbitan Maidam, 2006) disebut beberapa hadis mengenai perkara tersebut, antaranya hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Ahmad, at-Tirmizi, Ibn Majah, al-Hakim, al-Qudaie dan al-Askari menyebut, (bermaksud): “Orang yang cerdik itu ialah siapa yang muhasabah dirinya dan beramal untuk selepas mati.”

 

Di dalam buku itu, kriteria masyarakat ulu-al-bab, berdasarkan kepada sumber al-Quran, as-Sunnah dan pandangan ulama terdapat kira-kira 12 ciri yang boleh dianggap menepati kehendak ulu al-bab itu, iaitu:

 

i.              Berilmu

ii.             Sentiasa zikrullah

iii.            Sentiasa berdoa

iv.           Memberi manafaat kepada manusia

v.            Menunjukkan jalan hidayah kepada manusia

vi.           Memandu manusia ke akhirat

vii.          Melaksanakan ‘amar makruf nahi munkar’

viii.         Mempunyai fikiran yang baik

ix.           Mengutamakan maslahat ammah

x.            Memendekkan angan-angan

xi.           Tidak mengikut hawa nafsu

xii.          Mengambil iktibar atas takdir Ilahi

 

Dr.Zulkifli menyebutkan juga dalam bukunya itu beberapa contoh tokoh yang boleh dikategorikan termasuk dalam ulu al-bab itu, antaranya:

 

i.              Umar ibn Abd al-Aziz, pemimpin yang warak lagi zuhud.

ii.             Abu al-Hassan al-Ashaari, pemimpin ahli sunnah.

iii.            Sheikh Abd al-Qadir al-Jilani, penghulu ahli sufi.

iv.           Nuruddin Al-Zangi, pemimpin yang berani membela Islam.

v.            Salahuddin al-Ayyubi, panglima perang yang pintar.

vi.           Ibn Khaldun, pakar sejarah dan sosiologi yang terkenal di Timur dan di Barat.

vii.          Al-Biruni, pakar astronomi, sejarah dan bahasa yang disegani.

viii.         Ibn Sina, cendekiawan dan saintis yang dikagumi.

 

Banyak lagi contoh bijak pandai Muslim yang dikagumi di dunia timur dan  di dunia barat kerana pencapaian ilmunya yang tinggi.

 

Ulama-ulama dahulu kala telah berjaya meletakkan Islam di tempat yang tinggi kerana berjaya mencetuskan tamadun Islam yang tiada tolakbandingnya. Ulama kita hari ini hendaklah diberikan peranan lebih besar dan meluas dalam usaha mewujudkan golongan ulu al-bab atau golongan cerdik pandai ini yang berteraskan keimanan dan ketakwaan yang tinggi.

 

Ayat berikut mungkin boleh dijadikan renungan: ”Demi sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-hambanya adalah orang-orang alim” (surah Faatir: 28)

 

Orang-orang alim yang dimaksudkan ialah orang-orang yang berilmu, dunia dan akhirat. Orang-orang yang mencari ilmu kerana Allah dan menggunakan ilmu kerana Allah.

 

Ulama dan intelektual  hendaklah bersama-sama  berusaha menyedarkan seluruh umat Islam akan tanggungjawab dan peranan mereka di muka bumi ini.  Manusia dilantik sebagai khalifah di bumi ini tetapi malangnya kerana kekeliruan dan pemahaman yang sempit mengenai agama, mereka sekadar menjadi pengguna kepada teknologi yang dicipta oleh golongan bukan Islam. Sepatutnya umat Islamlah yang menjadi pencipta  dan peneroka  kepada teknologi tersebut.

 

Untuk mendapat hidayah daripada Allah s.w.t, umat Islam mestilah beriman dan  berilmu. Menjadi tanggungjawab besar bagi para ulama dalam usaha melahirkan lebih ramai umat Islam yang  beriman dan berilmu. Tanggungjawab ini dapat dipikul seandainya wujud kesepakatan antara golongan ulama dan intelektual serta diberi ruang dan dorongan kuat oleh pemerintah. Tenaga insan yang hendak dibina bukan hanya berilmu tetapi mestilah bertunjangkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Tanpa iman dan takwa, tenaga insan berilmu (dunia) itu hanya akan menjadi kuda kayu yang tiada perasaan dan matlamat.

1 Comment

  • Insya Allah jika semua Alimm Ulama, cerdik pandai Islam, para pemimpin Islam, Kerajaan Islam, dan semua pihak dapat bersatu padu dan bekerjasama dalam menegak, mempertahan dan mengembangkan dan membela ummat Islam dan sesiapa saja yang dizalimi, saya yakin dan percaya Allah SWT akan memberikan kejayaan kepada Ummat Islam, sebagaimana yang diharapkan oleh Rasulallah SAW, amin ya Rabbal ‘alamin.

Leave a Reply