Home » Mutiara Hadis » Pengertian agama: Iman, Islam, Ihsan

Pengertian agama: Iman, Islam, Ihsan

Oleh MOHD YUSUF ABAS

 

(Bermaksud) Daripada Umar al-Khattab r.a, katanya: Sedang kami duduk-duduk bersama Rasulullah s.a.w, tiba-tiba muncul seorang lelaki, amat putih pakaiannya dan hitam rambutnya, tanpa kelihatan daripadanya kesan-kesan perjalanan (pengembaraan), dan tiada seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga duduk mendekati Rasulullah, lalu dirapatkan lututnya kepada lutut baginda dan meletakkan kedua-dua tangannya ke atas paha Rasulullah seraya berkata: “Wahai Muhammad! Beritahu kepadaku  mengenai Islam.” Jawab baginda: “Islam itu (1) engkau bersaksi tiada Tuhan selain Allah (2) dan bersaksi bahawa Muhammad itu utusan (pesuruh) Allah (kepada seluruh manusia) (3) dan  mendirikan solat (4) mengeluarkan zakat (5) mengunjungi Baitullah untuk mengerjakan haji sekiranya berkuasa melakukannya.” Jawab lelaki tersebut: “Benar katamu itu.” Kata Umar r.a: Kami hairan akan lelaki itu, dia yang bertanya, lalu dia pula yang membenarkan jawapan baginda. Tambah lelaki itu, “Beritahuku, apakah Iman itu?” Sabda baginda, “Iman itu ialah (1) kamu percaya dan beriman kepada Allah (2) kepada Malaikat-Nya (3) kitab-kitab-Nya (4)  Rasul-Nya (5) hari akhirat (6) qadar baik dan jahat itu daripada Allah.” Dia bertanya tentang Ihsan pula, maka sabda Nabi: “Ihsan itu ialah kamu beribadat (menyembah Allah) seolah-olah kamu melihat-Nya sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya, maka (yakinlah) Allah tetap melihatmu.” 0rang itu bertanya mengenai kiamat pula, maka sabda baginda: “Masakan yang ditanya lebih tahu daripada yang bertanya?” Orang itu mengalih pertanyaannya kepada tanda-tanda kiamat. Sabda Rasulullah s.a.w: “Tandanya ialah perempuan melahirkan tuannya sendiri (anak yang sanggup memperhambakan ibunya), kamu akan melihat orang-orang desa yang berkaki ayam, koyak rabak pakaiannya, dan pengembala kambing berlumba-lumba mendirikan bangunan.” Kata Umar: Kemudian lelaki itu pun berlalu. Setelah aku berdiam sebentar. Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: “Hai Umar! Tahukah kamu siapa lelaki yang bertanya tadi?” Jawabku, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Itulah Jibril, dia datang mengajar agama kamu.” (Riwayat Muslim)

 

Pengenalan

 

Hadis ini adalah diterima dan disepakati para ulama hadis mengenai kesahihannya, di riwayatkan oleh Imam Besar dalam bidangnya. Imam Muslim r.a dalam kitab Iman (bilangan 9 &10). Imam lain yang masyhur seperti  Nasa’i, Abu Daud, Ibnu Majah, dan Tarmizi memperakuinya sebagai hadis hasan lagi sahih.   

 

Huraian

 

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w sebagai pembimbing umat yang membawa rahmat dan pemegang mohor amanat di bumi telah didatangi oleh pembimbing dan penyimpan mohor amanat dari langit (Malaikat Jibril a.s) untuk bekerjasama dalam menyelesaikan persoalan agama untuk panduan keselamatan manusia di setiap masa dan tempat yang mencakupi seluruh kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Demikianlah pengertian agama yang sebenar yang diredai Allah. Satu-satunya agama yang masih relevan penuh kesaksamaan hingga akhir zaman.

 

Pengajaran

 

1.  Rukun agama ada tiga: Keyakinan hati (Iman), kepatuhan anggota lahir (Islam), keindahan akhlak dan ketinggian budi pekerti (Ihsan).

2.  Harus kemukakan persoalan, bukan untuk mengetahui tetapi untuk mengajar orang lain.

3.  Urusan kiamat termasuk dalam ilmu ghaib yang tidak dapat diketahui melainkan  tanda dan alamatnya sahaja.

4.  Melalui tanda tersebut menunjukkan kiamat sudah hampir masanya.

5.  Segala tanda yang dijelaskan itu semuanya telah berlaku

6.  Wajib beriman dengan hari pembalasan.

7.  Hari pembalasan (agama)  yang dijanjikan itu pasti tiba.  

8.  Perlu bersedia  dengan bekalan untuk menghadapinya.

9. Petunjuk dari langit sahaja yang dapat menyelamatkan bumi dan segala isinya.

10. Agama yang diakui itu bukan ritual dan urusan ibadat sahaja, malah tidak pernah memisahkan  antara dunia dan akhirat.  

 

Kesimpulan

 

Agama terbentuk daripada tiga unsur, iaitu Iman, Islam dan Ihsan. Rukun Iman enam perkara, manakala Rukun Islam lima perkara. Kiamat itu pasti tiba. Tanda-tandanya sudah terang dan nyata.

commentscomments

  1. fahad says:

    persiapkanlah diri dgn keimanan yg kukuh.ins’Allah

  2. Nuyul says:

    alhamdulillah. thanks for the info.

  3. aang yudi says:

    Ihsan intisari dalam kesempurnaan iman dan islam, ihsan juga menjadi core dlm menggapai shalat khusyu’ yg merupakn tiang agama

  4. niccaniez says:

    mohon izin share ya…,terima kasih…,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

18 − two =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib