Home » Resensi » Jangan Bersedih

Jangan Bersedih

 

Allah berfirman yang bermaksud: “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab) Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi yang mengatasi kekuasaan atas segala-galanya.” (Ghafir:16). Allah berfirman lagi yang bermaksud: “Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepada-Nya tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhluk-Nya.” (Ar- Rahman: 29)

 

“Apabila laut tiba-tiba bergelombang, ombak menghempas bergulung-gulung dan angin bertiup dan menderu kencang, si nelayan akan berseru: Oh Tuhan, ya Allah.  Apabila penunggang unta tersesat di tengah padang pasir Sahara, haluan berubah arah  dan kafilah kebingungan dalam perjalanan, dia pun berseru: Oh Tuhan, Ya Allah. Apabila musibah menimpa, ujian melanda dan cubaan datang silih berganti, maka yang ditimpa musibah itu akan berseru dengan sekuat hatinya: Oh Tuhan, Ya Allah. Apabila pintu ditutup di hadapan para pengemis dan langsir dilabuhkan, mereka akan berseru: Oh Tuhan, Ya Allah.  

 

Apabila ikhtiar sudah sempurna, sementara jalan tetap buntu, cita-cita terhenti dan segala hubungan terputus, mereka pun berseru: Oh Tuhan, Ya Allah. Apabila dunia yang luas terbentang ini terasa sempit buat anda sedangkan diri anda terasa dihimpit oleh segala yang ditanggung, anda pun berserulah: Oh Tuhan, Ya Allah.”

 

Begitulah indahnya ungkapan Dr. ‘Aidh al-Qarni menyatakan bagaimana keresahan manusia dan keperluan manusia kepada Allah s.w.t dalam bukunya ini. Sementara dalam mukadimahnya, penulis menulis antara lain, “saya tulis (buku ini) buat orang yang merasa hidup yang sempit, resah dan sedih; atau buat mereka yang ditimpa musibah atau tertekan hingga tidak dapat tidur dan mengalami insomnia….terdapat nas-nas (al-Quran dan hadis), rangkap-rangkap puisi, perumpamaan dan tamsilan faedah dan pantang larang, perbandingan dan kisah-kisah benar, yang saya ambil intinya sebagaimana yang telah dicungkil oleh orang yang sangat arif, sama ada berupa penawar bagi hati yang tertekan, roh yang keletihan atau jiwa yang dirundung duka nestapa. Buku ini menggesa anda bergembira dan berbahagialah, optimis dan damailah hidup anda.”

 

Banyak buku motivasi di pasaran masa kini tetapi buku ini kalau hendak dikatakan sebagai buku motivasi, ia pada hakikatnya lebih daripada sekadar buku motivasi. Ia memberikan sesuatu yang melangkaui lebih daripada sekadar buku motivasi. Dalam aluan oleh penterjemahnya, dia mencatatkan sebagaimana berikut:  “Buku Jangan Bersedih – Don’t be Sad ini adalah panduan hidup bahagia, jauh daripada kesedihan dan dukacita, dekat kepada rahmat dan ampunan Ilahi…. Buku ini tergolong ke dalam buku motivasi, tetapi ia berlainan daripada buku-buku motivasi biasa yang ada di pasaran. Ini buku motivasi yang unik dan istimewa, yang matlamatnya adalah menggabungkan kejayaan manusia di dunia – kejayaan kebendaan –  dan kejayaan di akhirat, iaitu kejayaan rohani.”

 

Hujah, cadangan, saranan, galakan dan yang seumpamanya, yang biasanya diperlukan oleh mereka yang resah gelisah yang terdapat dalam buku ini  tidak hanya berdasarkan pemikiran penulis semata-mata  melainkan  mengandungi nas-nas daripada al-Quran dan hadis, kisah yang mengandungi pengajaran, rangkap puisi yang diyakini menggugah rasa dan menyentuh hati, kata-kata orang arif dan bijaksana,  nasihat pakar perubatan serta buah fikiran seniman agung dunia yang berhubungan dengan tajuk-tajuk yang dibincangkan.

 

Tidak sebagaimana buku biasa yang ditulis dengan pembahagian bab tertentu, buku ini ditulis oleh penulis dengan tidak mementingkan bab-bab seperti penulisan biasa melainkan mementingkan manfaat yang bakal diperolehi oleh pembaca, justeru penyusunannya begitu rupa.  Catat penulisnya lagi, “Sesungguhnya buku ini saya tujukan kepada semua orang tanpa pengecualian. Saya tidak menyeru hanya kepada golongan tertentu, generasi tertentu, kelompok khusus atau negara tertentu. Tetapi ia adalah untuk setiap orang yang ingin hidup bahagia.”

 

Pada halaman 351, penulis mencatatkan “Berwaspadalah Terhadap Empat Perkara”. Bagi penulis, terdapat empat perkara yang membuat hidup menjadi sukar, perasaan menjadi tertekan dan dada sesak. Empat perkara yang dimaksudkan itu ialah:

 

1.      Bersungut / berungut dan tidak menerima qada dan qadar Allah s.w.t.

2.      Berbuat dosa dan tidak disertai taubat. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Maka ia adalah diusebabkan apa-apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa).” (Asy-Syura:30).

3.      Iri hati kepada sesama manusia, muncul perasaan untuk membalas dendam kepada dan dengki atas anugerah yang Allah berikan kepada orang lain. Mereka lupa kepada firman Allah s.w.t dalam surah An-Nisa’ ayat 54 yang bermaksud: “Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat Nabi dan agama Islam) yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya.” Sebuah hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Tidak akan merasa tenang orang yang berhasda dengki.”

4.      Berpaling daripada mengingati Allah s.w.t. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit.” (Taha:124).

 

Banyak lagi hujah, huraian, analisis dan pelbagai petunjuk yang diberikan oleh penulis buku ini. Tidak ada jalan mudah untuk mendapatkannya kecuali seperti jalan yang telah diberikan Allah sw.t: Iqra’. Bacalah. Bacalah buku ini.

 

Selain buku di atas, penulis yang sama juga menulis antara lain buku-buku yang berikut: Tersenyumlah, Beginilah Zaman Memotivasikan, dan Motivasi Menjadi Wanita Bahagia. Perlu dijelaskan di sini bahawa karya penulis ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dunia.

Pengulas SUTUNG UMAR RS

 

Buku:    La Tahzan (Jangan Bersedih) Don’t Be Sad

Penulis:  Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni

Penterjemah: Mohd Sofwan Amrullah

Penerbit: Jasmin Enterprise, Kuala Lumpur.

Pencetak: Berlian Publications Sdn Bhd.

Halaman:  xviii +  592 halaman. 

Harga:  RM30.00 (kulit nipis)

Cetakan Ketiga: 2006 (kulit nipis dan kulit tebal)

 

 

(* Pembaca boleh mendapatkan buku berkenaan di atas dengan menghubungi MOHD SHAUKI ABD MAJID di talian 013-3810208)

commentscomments

  1. muhammd hafiz omar says:

    saya ingin bertanya berkaitan buku ini apakah yang cuba digambarkan oleh buku ini dan sekiranya saya ingin terus oder daripada pihak tuan bagaimana caranya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × one =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib