Home » Perspektif » Islam dan cabaran politik Melayu-Islam

Islam dan cabaran politik Melayu-Islam

Oleh KAMARUN KH

Islam adalah agama yang dianut oleh lebih separuh penduduk Malaysia. Ia menjadi agama rasmi secara perundangan dan  disahkan mempunyai kedudukan yang utama dalam pentadbiran negara. Walaupun agama-agama lain boleh diamalkan, masyarakat bukan Islam adalah dilarang untuk mempengaruhi orang Islam menukarkan agamanya. Larangan ini telah menyebabkan sesetengah pihak memandang dengan perasaan cemburu dan iri hati. Lantaran itulah beberapa persoalan telah muncul kembali dalam kamus kehidupan beragama di kalangan masyarakat Malaysia.

Ada pihak mula mempersoalkan bahawa “prinsip kebebasan beragama yang dijamin dalam Perlembagaan” tidak harus mengecualikan penyebaran lain-lain agama kepada masyarakat Islam. Dialog dan ceramah yang menggunakan prinsip kebebasan beragama akhirnya mempersoalkan kenapa “seseorang yang memeluk agama Islam tidak dibenarkan kembali kepada agama asalnya? Kenapa seseorang yang beragama Islam secara asalnya tidak dibenarkan memeluk agama lain, menurut keyakinan barunya? Timbul pula beberapa isu yang pernah hangat melanda masyarakat termasuk kes Lina Joy, perebutan keluarga terhadap jenazah suami yang memeluk Islam secara rahsia dan sebagainya.

Namun demikian, sebagai agama terbesar dalam masyarakat Malaysia, Islam telah banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat, atau sekurang-kurangnya memberikan kesan kepada seluruh masyarakat. Corak masyarakat Melayu yang dihubungkaitkan secara langsung dengan Islam, akan menjadi lebih sensitif apabila agama Islam dipersendakan oleh bukan Islam. Bagi masyarakat bukan Islam pula, jika inginkan kehidupan yang harmoni, mereka tidak perlu mencabar corak hidup masyarakat Islam.

Dari segi politik, Islam telah digunakan secara meluas sama ada sebagai alat untuk mendapatkan kuasa atau sekadar menyedapkan tema kempen. Apabila bercakap dengan orang-orang Melayu, pergeseran politik lebih berpihak kepada menggunakan Islam  sebagai alat mendapatkan kuasa. Ini dapat kita lihat secara jelas dalam kempen-kempen politik yang digunakan oleh PAS sejak mula menjadi sebuah badan siasah.

Masyarakat Melayu-Islam telah dipujuk rayu, bahawa dengan menyokong perjuangan PAS bererti menyokong perjuangan Islam. Oleh kerana itu, memilih PAS akan membawa seseorang itu ke pintu syurga(1), dan jika meninggal semasa bersama PAS, ia tetap dijanjikan “sebuah kehidupan yang tenang di alam barzah. Pusara akan di tumbuhi oleh pokok-pokok yang merimbun, suasana di alam barzah sejuk”.(2)

Jika meneliti pola kempen dan penggunaan Islam sebagai alat untuk mendapatkan kuasa politik, ternyata bahawa keupayaaan memperoleh pengaruh bergantung kuat bagaimana Islam itu digunakan sebagai bahan kempen. Namun, perkembangan mutakhir menyebabkan beberapa golongan dalam PAS menukarkan ideologi Islam kepada yang lebih berbentuk moderate. Jika sebelum mengamalkan konsep marriage of convience dengan lain-lain parti pembangkang semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-12, perjuangan PAS lebih mengutamakan “pembentukan sebuah negara Islam”.

Setelah bergabung dengan lain-lain parti pembangkang yang berlainan latar belakang etnik dan agama, prinsip pembentukan dan pemerintahan berunsurkan Islam semakin terhakis. Bagi mengelabui pemikiran masyarakat, para pemimpin PAS menegakkan konsep pemerintahan negara kebajikan di mana batas ras, etnik dan agama dihapuskan. Persoalan ini telah menyebabkan Mursyidul Am PAS baru-baru ini mengemukakan pandangan supaya menggantikan konsep bumiputeraisme , kerana ia lebih berbentuk assabiyah.

Berdasarkan konteks tersebut, iaitu hubungan Melayu dengan Islam yang kuat menjadikan setiap pilihan-pilihan politik umat Islam akan memunculkan tindakan, penghayatan, ataupun tindakan daripada pihak penggubal dasar bagi memenuhi tuntutan dalaman mahupun global.

Dalam perkembangan selanjutnya, kedua hubungan itu semakin memperoleh daya gerak yang saling mempengaruhi kehidupan masyarakat Islam.  Dengan mengambilkira faktor globalisasi, perubahan tindakan ikut berkembang dengan adanya pengaruh dan gaya yang dibawa olehnya. Salah satu sebab daripada pernyataan ini ialah apa sahaja yang berlaku di Amerika, sebagai contoh, sedikit ataupun banyak akan memiliki imbasan kesan dalam kehidupan dalam negeri.

Dan kerananya, mengetahui lebih jauh tentang dinamika politik umat Islam dan kaitannya dengan globalisasi menjadi sangat penting. Terlebih penting ialah jika kita ingin mengetahui lebih jelas bagaimana umat Islam memainkan peranannya dalam kedinamikan politik antarabangsa, misalnya apa reaksi sebahagian besar orang Melayu-Islam tatkala Barack Obama memperoleh kuasa menerajui Amerika Syarikat.  

Kemenangannya menjadi sejarah, apabila menjadi Presiden kuasa besar termuda dan pertama dari kalangan kulit hitam. Hubung kaitnya dengan Islam apabila ibunya pernah memeluk Islam sewaktu berkahwin dengan suami kedua dari Indonesia. Kemenangan juga melontarkan sedikit angan-angan kepada bukan Melayu supaya jawatan Perdana Menteri akan disandang di kalangan bukan Islam. Desakan itu berlaku dan dilakukan secara sengaja walaupun tidaklah boleh dianggap keterlaluan, tetapi riaknya mencerminkan suatu hari nanti jika tanpa hati-hati orang Melayu-Islam akan kehilangan kuasa politik.

Mengapa orang Melayu-Islam harus mencarikan jawapan dan menyusun strategi baru bagi menghadapi gelombang tuntutan baru itu? Konsep ketuanan Melayu turut dipersoalkan oleh orang Melayu sendiri, kerana ia khuatir tidak akan mendapat pengaruh atau sokongan bukan Melayu jika tidak turut mempertikaikan kedudukan tersebut. Apabila berhadapan dengan masyarakat Melayu, nadanya bertukar menjadi lebih kemelayuan. Tindakan itu diibaratkan sebagai sesumpah, boleh bertukar warna apabila perlu.

Apabila kita cuba memahami pokok persoalan, maka yang kita akan temui ialah aneka jawapan terpacul di kalangan orang Melayu-Islam sendiri. Walaupun tetap berpegang kepada satu agama, Tuhan Yang Maha Esa, al-Quran dan Hadis, masih beragam tafsirannya dalam menghayati sejarah dan memberikan respons terhadap setiap persoalan yang kita hadapi. Sudut pandangan yang beragam itu lahir daripada aliran pemikiran dan konteks politik yang berbeza.

Kesatuan dalam penghayatan Islam nampaknya tidak menjurus kepada pegangan politik walaupun daripada parti siasah yang sama. Kita akan dapat meninjau bagaimana aliran pemikiran pemimpin PAS berhubung dengan tafsiran politik ketuanan Melayu. Sebahagiannya mengiktiraf kepentingan politik ketuanan Melayu kerana yakin dengan pemugaran kedudukan Islam. Sebahagiannya pula menganggap konsep ketuanan Melayu itu seakan-akan perjuangan berbentuk assabiyah, yang lahir  daripada pemesongan makna dengan bersandarkan konsep sekularisme dan faham kebangsaan yang sempit.

Politik ketuanan Melayu yang mekar dalam senario politik negara berkembang bersama Islam. Ketuanan Melayu bukanlah fahaman yang yang tidak ada hubung kait dengan Islam kerana Islamlah yang membezakan ciri-ciri Melayu Malaysia berbanding dengan lain-lain konsep Melayu yang digunapakai di Nusantara. Perkara ini diakui oleh banyak pihak termasuk kajian terbaru mengenai orang Melayu yang dilancarkan oleh Raja Muda Perak, Yang Mulia Raja Dr. Nazrin baru-baru ini.

Respons umat Islam terhadap sesuatu isu memanglah tetap beragam. Ini terjadi kerana  karena setiap kelompok kecil yang pelbagai latar belakang budaya memiliki corak dan keanekaragaman penghayatan terhadap masalah yang berbeda-beda. Bahkan tidak kurang juga bahawa jurang perbedaan tersebut telah menimbulkan gesekan dan konflik di pelbagai peringkat masyarakat.

Ragam perbezaan tersebut pada satu sudut atau perspektif harus diterima secara positif kerana ia melambangkan erti sebuah kedinamikan masyarakat yang muncul sebagai daya gerak baru umat Islam sendiri. Meskipun begitu, di sudut perspektif yang lain, perbezaan sedemikian akan memberikan ruang perundingan yang serius dan platform paling efektif menjarakkan pemisahan sosial. Pemisahan sosial itu adakalanya menjadi medan permusuhan secara total sehingga mengasingkan kelompok-kelompok tersebut dalam perebutan kuasa seperti perang saudara atau konflik politik, misalnya antara pergerakan Fatah dengan Hamas. Ketika itu, antisipasi amat diperlukan bagi menyelesaikan konflik atau meneruskan susrvival. Contoh yang terbaru ialah ada cadangan supaya BN dan PAS kembali berbincang dan mencari jalan untuk mewajudkan “kerajaan perpaduan”.

Walaupun cadangan ini masih di peringkat awal, dan tidak mahu mengulangi kesilapan seperti pernah berlaku ketika BN mula dibentuk pada tahun 1974, demi survival politik Melayu-Islam, kepimpinan baru PAS mula nampak kebaikannya. Mereka mungkin sedar, jika antara Melayu saling bercakaran, sekutunya akan memperoleh kekuatan. PAS mungkin sedar kedudukannya juga mungkin terancam kerana penyokongnya mula mempertikaikan prinsip perjuangan asal, manakala sekutunya dilihat tidak memihak kepada Melayu-Islam.

Masih banyak ranjau dan perundingan perlu dibuat. Apabila ada idea melaksanakan nilai-nilai Islam, sekutu politik yang berlainan etnik mula “memohon memberikan penerangan” dan “meneliti kembali cadangan”. Konsep negara Islam ditentang secara keras oleh DAP dan Karpal Singh pernah meminta supaya “langkah mayatnya” dan “Singh is the King”. Lim Guan Eng meminta supaya Presiden PAS memberikan penjelasan mengenai “kerajaan perpaduan”, manakala sikap DAP semakin dilihat banyak merugikan perjuangan PAS.

Nota hujung:

1    Bentuk syllogism yang digunakan PAS sepanjang kempen-kempen awal untuk mememangi pilihan raya terutama di Kelantan, “Undi PAS, Masuk Syurga”, termasuk fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Haji Hadi Awang pada tahun 1985.

2    Sebahagian daripada tema kempen PAS dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu yang digunakan oleh perayu undi pada awal Januari 2009.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

18 − fourteen =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib