13 tahanan ISA dibebaskan

April 5, 2009 10:19 PM 0 comments

Share this Article

Author:

TAIPING, 5 April – Kesemua 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibebaskan oleh pihak berkuasa, dibawa keluar dari Kem Tahanan Kamunting di sini kira-kira 1.30 tengah hari, hari ini.

Mereka dibawa keluar dalam beberapa kenderaan polis dan Jabatan Imigresen ke lokasi yang tidak diketahui.

Difahamkan, kumpulan pertama yang dibawa keluar ialah tiga rakyat asing iaitu warga India Sundaraj Vijay dan dua warga Myanmar iaitu San Khaing serta Amir Hussain.

Mereka yang ditahan sejak 2007, dibawa keluar dengan sebuah van Jabatan Imigresen pada 10.45 pagi.

Ini diikuti dengan pembebasan dua peguam Hindraf, V Ganabatirau, 40, dan R Kenghadharan, 40, pada 1.20 tengah hari, yang dibawa dalam dua kereta berasingan dan diiringi oleh kereta anggota keluarga mereka.

Kedua-dua aktivis Hindraf itu ditahan sejak 13 Disember 2007.

Baki tahanan dibawa keluar dalam beberapa buah kenderaan lain kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Mereka terdiri daripada anggota Darul Islam iaitu Binsali Omar, A Artas A Burhanudin, Idris Lanama, Francis Indanan, Mohd Nazri Dollah, Pakana Selama dan Mohd Arasad Patangsari yang ditahan sejak 2006.

Tempoh tahanan mereka sepatutnya berakhir tahun depan. Seorang lagi yang turut dibebaskan ialah anggota Jemaah Islamiah iaitu Wan Amin Wan Hamat yang ditahan sejak 2003. Tempoh tahanannya sepatutnya berakhir pada 2011.  
  
Polis meningkatkan kawalan di luar pintu masuk utama kem tahanan itu termasuk menempatkan anggota Unit Pencegahan Rusuhan (PORU) untuk mengawal kira-kira 80 orang yang berkumpul di situ untuk menyaksikan pembebasan itu.
 

 

Leave a Reply