Home » Ensiklopedia » Ibnu Maskawaih

Ibnu Maskawaih

Nama sebenar Ibnu Maskawaih ialah Abu Ali Ahmad bin Muhammad bin Yaakub bin Maskawaih (330-421 H / 941 – 16 Februari 1030). Ada yang menyebut bahawa nama tokoh ini “Maskawaih” sahaja, tanpa “Ibnu”, kerana belum dapat dipastikan apakah Maskawaih adalah namanya sendiri atau nama anak lelaki (Ibnu) kepada Maskawaih.

 

Ibnu Maskawaih terkenal sebagai ahli sejarah dan falsafah. Di samping itu, beliau juga seorang moralis, penyair, serta banyak mempelajari ilmu kimia. Beliau belajar sejarah, terutamanya Tarikh at-Tabari (sejarah yang ditulis at-Tabari), daripada Abu Bakar Ahmad bin Kamil al-Qadi pada tahun 350 H / 960 M, sementara beliau mempelajari ilmu falsafah melalui guru yang bernama Ibnu Khamar, seorang mufasir (juru tafsir) kenamaan yang banyak ‘mentafsir’ karya-karya Aristotle. Manakala Abu at-Tayyib ar-Razi adalah guru Ibnu Maskawaih dalam bidang kimia.

 

Ibnu Maskawaih mempunyai hubungan yang baik dengan orang-orang penting dan penguasa pada zamannya. Beliau pernah bekerja dengan Abu Fadl al-Amid sebagai pustakawan. Setelah Abu Fadl al-Amid meninggal dunia, Ibnu Maskawaih bekerja pula dengan putera a-Amid, iaitu Abu al-Fath Ali bin Muhammad al-Amid. Kedua-dua penguasa tersebut adalah menteri pada masa Dinasti Bawaihi (945-1055 M). Selain itu, Ibnu Maskawaih juga pernah bertugas dengan Adud ad-Daulah, yang juga salah seorang penguasa Buwaihi. Ibnu Maskawaih mempunyai pengaruh besar di daerah Rayy.

 

Ibnu Maskawaih terkenal sebagai pemikir Muslim yang produktif. Beliau telah menghasilkan banyak karya dalam bidang penulisan tetapi hanya sebahagian kecil yang sekarang ini masih ada, antara lainnya ialah:

 

(1)  Al-Fauz al-Akbar (Kemenangan Besar)

(2)  Al-Fauz al-Asgar (Kemenangan Kecil)

(3)  Tajarib al-Ulum (Pengalaman Bangsa-bangsa)

 

Bahagian terpenting daripada pemikiran ahli falsafah Ibnu Maskawaih ditujukan pada etika dan moral. Beliau seorang moralis dalam erti sesungguhnya. Masalah moral dibicarakan dalam tiga bukunya, iaitu Tartib as-Sa’adah, Tahzib al-Akhlaq, dan Jawidan Khirad.

 

Di dalam bukunya,  al-Fauz al-Asgar, Ibnu Maskawaih membicarakan tentang pembuktian adanya Tuhan, tentang roh serta kerahsiaannya, dan tentang kenabian. Ketika berbicara mengenai Tuhan, Ibnu Maskawaih menggunakan istilah “Penggerak Pertama”, dengan sifat dasar esa dan abadi.

 

Ibnu Maskawaih juga membawa konsep “emanasi”, iaitu bahawa wujud pertama yang memancar daripada Tuhan adalah “kebijaksanaan pertama”, yang sama dengan akal aktif dan kekal. Emanasi lebih sempurna apabila dibandingkan dengan yang lebih rendah daripadanya dan tidak sempurna apabila dibandingkan dengan Tuhan.

 

Sebagai pemikir agama, Ibnu Maskawaih sebagaimana terlihat dalam karyanya, mencuba membuktikan bahawa penciptaan bermula daripada ketiadaan (al- Ijad min la Syai’).

 

Konsep moral Ibnu Maskawaih pula sangat berhubungan erat dengan masalah roh. Beliau membuat hipotesis bahawa pembawaan roh dengan kebajikan-kebajikan yang mempunyai tiga jenis pembawaaan: rasional, keberanian, dan hasrat. Di samping itu, roh juga mempunyai tiga kebajikan yang saling berkaitan iaitu: kebijaksanaan, keberanian, dan kesederhanaan. Mengenai fitrah manusia, Ibnu Maskawaih berpendapat bahawa adanya manusia bergantung pada kehendak Tuhan, tetapi baik dan buruknya manusia diserahkan kepada manusia sendiri dan bergantung pada kemahuannya sendiri.

 

Mengenai sejarah, pandangan dan analisis Ibnu Maskawaih yang dimuatkan di dalam buku Tajarib al-Umam begitu berfalsafah, ilmiah, dan kritis. Beliau berpendapat bahawa sejarah merupakan rakaman tentang turun-naiknya suatu peradaban, bangsa-bangsa, dan negara-negara. Maka ahli sejarah harus menghindarkan diri daripada kecenderungan umum mencampuradukkan kenyataan dengan rekaan atau kejadian-kejadian palsu. Ia harus bergantung kepada fakta, kritis dalam mengumpulkan data, menyertakan pandangan-pandangan ahli falsafah, dan mentafsirkannya dalam lingkup kepentingan manusia.

 

Sejarah bukanlah kumpulan kenyataan terpisah dan statik, tetapi merupakan proses kreatif dan dinamik daripada harapan dan aspirasi manusia yang hidup dan berkembang. Strukturnya ditentukan oleh cita-cita dasar dan cita-cita kebangsaan serta negara. Sejarah tidak hanya mengumpulkan kenyataan masa lampau menjadi suatu kesatuan organik, melainkan juga menentukan bentuk sesuatu yang akan datang.

 

Pandangan Ibnu Maskawaih mengenai sejarah yang dituangkan dalam bukunya Tajarib al-Umam amat dekat dengan prinsip-prinsip yang dianut oleh ahli-ahli sejarah Barat dan ahli-ahli sejarah moden.

 

Susunan SITI ZAINAB ZAKARIA

commentscomments

  1. [...] Sumber: Umattan Wassatan [...]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

six − three =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib