Faktor huruf ‘K’ dan sentimen Nehru: Penentu nasib umat Kashmir
(Sudah lebih enam dekad (sejak 1947), masyarakat Islam di Jammu Kashmir sengsara dengan kemiskinan dan penindasan melibatkan ribuan nyawa kerana mahu keluar daripada cengkaman kerajaan India.
Pejuang Kashmir banyak terbunuh kerana terpaksa berdepan dengan tentera India yang mahu terus menjajah negara mereka.
Wilayah Kashmir yang kini terpecah dua; satu di bawah cengkaman India tetapi tidak mahu bernaung di bawah kuasa New Delhi, ini dapat difahami kerana majoriti penduduknya adalah Muslim.
Tetapi kenapa usaha Azad Kashmir yang mahu keluar daripada Pakistan juga mendapat halangan dari Pakistan? ZAIN A GHANI menemui pensyarah dan pakar Asia Selatan di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, DR AZHARUDDIN MOHAMED DALI untuk mendapat penjelasan. Ikuti pandangan Dr Azharuddin)
Tuntutan untuk kemerdekaan Kashmir bermula sejak 1947/1948 apabila India terpisah kepada dua negara; India dan Pakistan. Bilakah masalah timbul di Kashmir?
DR AZHARUDDIN: Sejak kemerdekaan India/Pakistan pada 1947, di dalam suasana di mana kemerdekaan digariskan berdasarkan asas-asas keagamaan dan majoriti dan minoriti; kita dapati pada masa yang sama umat Islam Kashmir turut terperangkap dan bergolak hebat dalam keinginan untuk memerdekakan negaranya.
Pada masa itu siapakah yang memerintah negara Kashmir?
Ketika itu (1947) Kashmir diperintah oleh seorang maharaja berugama Hindu bernama Hari Singh. Sungguhpun begitu, harus diingat bahawa majoriti masyarakat Kashmir ketika itu adalah orang Islam.
Apabila kemerdekaan dicetuskan pada 1947, oleh kerana majoriti orang Kashmir mahu bergabung dengan Pakistan. Dan harus kita ingat bahawa huruf ‘K’ pada kata ‘PAKISTAN’ itu bermakna Kashmir.
Perkataan ‘Pakstan’ dirujuk kepada “lima daerah (kawasan di utara India, iaitu: Punjab, (kawasan Afghanistan), Kashmir, Sind and Baluchistan. “
Jadi jika huruf ‘K’ (Kashmir) tidak menyertai Pakistan; maka pincanglah negara baru Pakistan itu. Itulah antara faktor penting bahawa Kashmir harus berada di dalam negara Pakistan.
Apabila menjelang kemerdekaan; Maharaja Hari Singh tersebut mahu menyertai India, tetapi majoriti rakyat mahu bergabung dengan Pakistan.
Dalam suasana kekacauan, British yang terdesak meninggalkan India tidak dapat membuat satu keputusan yang konkrit terhadap Kashmir.
British pun terpaksa melepaskan isu itu – dalam keadaan sedemikian berlaku perebutan antara India dan Pakistan untuk menguasai Kashmir.
Pada masa yang sama kita dapati banyak faktor menyokong kepada peperangan tersebut. Antara peristiwa besar ialah kehilangan sehelai rambut Rasululah s.a.w yang tersimpan di salah sebuah masjid di Kashmir.
Peristiwa pada 1947-1948 itu menimbulkan kemarahan umat Islam di Kashmir dan merebak sehingga ke Pakistan.
Dan konflik semakin bersemarak juga berlaku di Punjab. Ada peristiwa menyayat hati berlaku. Orang Islam Punjab (di bahagian India) mahu berpindah ke Islamabad, sebaliknya orang Hindu Punjab bahagian Pakistan mahu berpindah ke New Delhi.
Ia berakhir dengan tragedi berdarah yang amat dahsyat. Kereta api dari Punjab, Pakistan tiba di New Delhi penuh dengan mayat orang India beragama Hindu. Di sebaliknya keretapi yang tiba di Islamabad (orang Islam) tiba dengan manusia yang telah tidak bernyawa lagi.
Di sini juga berlaku pertempuran antara orang Sikh. Sikh di India dan Sikh yang tinggal di negara baru Pakistan terpaksa berperang sesama sendiri.
Kenapa orang Sikh sampai ke titik itu; maksudnya sanggup berbunuhan?
Mereka terpaksa menentukan nasib dan membuat satu keputusan yang dapat menguntungkan pendirian masing-masing.
Peperangan yang berlaku sangat dahsyat. Ada yang mengatakan hampir sejuta yang terkorban, tetapi ada juga mengatakan lebih 500,000 nyawa melayang. Fakta itu telah banyak tertulis, banyak dibukukan bahkan difilemkan.
Mengapa British terpaksa meninggalkan India pada ketika itu? Sedangkan ia telah berada di sana selama hampir 300 tahun?
British membuat keputusan setelah tidak tertahan lagi diasak oleh gerakan kemerdekan India dan Pakistan.
British terpaksa meninggalkan India begitu sahaja. Tanpa membuat pembahagian yang jitu mengikut realiti dan kehendak kedua-dua negara-India dan Pakistan.
Pihak Inggeris hanya mengambil sebuah peta dan dibuat garisan pembahagian di atasnya – hanya itu sahaja cara yang dibuat Inggeris. Itu menunjukkan Inggeris sangat terdesak untuk keluar segera daripada benua kecil India.
Peristiwa ini mempunyai pengaruh besar ke atas pergolakan di Kashmir kerana dasar-dasar yang tesedia ada.Kita tahu bahawa faktor huruf ‘K’, sangat besar kepada Pakistan. Begitu juga Kashmir juga penting kepada India merujuk kepada faktor kedudukan yang strategik. Kashmir bersempadan dengan China; di samping ia adalah suatu kawasan yang cantik untuk pelancongan.
Berapa ribu rakyat Kashmir mati ekoran peristiwa itu?
Ratusan ribu-mungkin sudah dua ratus ribu-tetapi banyak juga kematian yang tidak dilaporkan.
Berbalik kita ke tahun 1947 – apabila berlaku pemisahan India , Pakistan, ke British mengadakan satu perisytiharan yang dipanggil Line of Control (LOC) – memisahkan dua kawasan.
Kawasan itu ialah Azad Kashmir yang ditadbir Pakistan, dan Jammu dan Kashmir yang ditadbir oleh India.
Rakyat Kashmir di Azad ini tidak mempunyai banyak masalah kerana memang penyokong negara Pakistan, tetapi rakyat Jammu Kashmir yang majoriti Islam memang bermasalah dengan India.
Baru-baru ini berlaku lagi satu konflik di Jammu Kashmir di mana kerajaan Kashmir yang sedia ada jatuh kerana isu pembinaan berhala di Srinagar.
Dan baru-baru ini ada pilihan raya dan ini masyarakat Islam di Jammu ini menghadapi masalah lagi kerana negaranya dipengaruhi (secara paksa) oleh negara India.
India pula mahu memastikan supaya tidak berlaku masalah demografi Hindu tetap menjadi minoriti dan Islam tetap majoriti. Justeru didirikan kuil supaya dapat menarik orang Hindu untuk menetap di Jammu.
Nampaknya ia mirip kepada apa yang berlaku di Palestin, di mana Yahudi dengan apa sahaja cara merampas tanah, menghalau penduduk dan membawa masuk Yahudi menduduki tanah Arab?
Kita jangan hairan berlaku begitu kerana India memang mempelajarinya dari negara Zionis itu. Ingat, tempoh hari ketika serangan di Mumbai (26 November 2008), ketua sinagog Yahudi di Mumbai dibunuh dan seorang daripada anaknya telah dibawa pulang ke Tel Aviv.
Itulah sebagai latarbelakang kepada masalah Kashmir yang terus menjadi kemelut yang berterusan sehingga hari ini.
Kenapa masyarakat kita masih tidak sedar masalah besar umat sendiri sebagaimana di Kashmir ini?
Mungkin kaitan rapat kita dengan al-Aqsa itu berbanding dengan tempat lain seperti Sri Lanka, Rohingya, Mindanao, Chechnya dan lainnya.
Kembali semula kepada perjuangan Lashkar E-Taiba (LeT) yang dianggap berpengaruh dan satu-satunya yang sanggup bergerila menentang India?
Selain LeT, terdapat beberapa lagi seperti Jaisy Muhammad dan beberapa lagi tetapi yang berpengaruh dan kuat seperti dua yang disebut di atas. Selain itu perjuangan Taliban sendiri – perjuangan asalnya bermula di Kashmir sendiri, kemudian beransur-ansur memasuki Afghanistan. Dan harus diingat pada peringkat awal, ketika Taliban muncul, ia dengan segera diiktiraf oleh Pakistan dan Saudi Arabia. Jadi LeT dan Jaisy Muhammad ini menjadikan pusat perjuangan mereka di Azad, Kashmir, Lahore dan Islamabad di Pakistan.
Mereka mendapat bantuan daripada rakyat Pakistan melalui kutipan derma pada setiap Jumaat di seluruh Pakistan.
Bagaimana dengan situasi sekarang, di mana AS telah meletakkan kumpulan ini sebagai kumpulan teroris?
Ini satu masalah besar; selepas peristiwa serangan Mumbai pada November 2008, AS dan India telah mendesak Pakistan supaya memutuskan hubungan dengan kumpulan ini yang dianggap sebagai kumpulan teroris.
Oleh kerana Pakistan yang bergantung banyak kepada AS terutama pada dana IMF, ia terpaksa mengambil keputusan menyokong AS tanpa apa-apa reserve lagi.
Jadi pada masa ini kumpulan mana yang paling berpengaruh mendepani masalah Islam Kashmir?
Pada masa ini kumpulan ‘jihadis’ yang paling berpengaruh ialah Lashkar E-Taiba (LeT).Tetapi LeT sekarang semakin sukar bergerak kerana tekanan AS, India dan Pakistan. Mereka semakin sukar mendapat senjata dan bantuan yang sangat-sangat diperlukan di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan di Jammu Kashmir.
Apabila terjejas perjuangan LeT, maka anasir-anasir yang sememangnya mempunyai kepentingan ke atas Kashmir mula bergerak untuk melebarkan sayap.
Terdapat tiga pihak yang mahukan Kashmir merdeka. Satu yang mahu bersatu dengan Pakistan, satu lagi kumpulan (Parti Kongres) mahu bersatu dengan India dan yang terbaru mahu Kashmir merdeka sepenuhnya, tidak melalui dua negara tersebut.
Sebenarnya parti-parti Hindu seperti Shiv Sena dan BJP juga terdapat di Kashmir yang memperjuangkan Kashmir ke dalam India.
Bagaimana orang Islam berjuang melalui politik – apakah mereka menubuhkan parti sendiri?
Orang Islam tidak ada parti sendiri kerana tidak dibenarkan India, sebelum ini mereka berjuang melalui Parti Kongres. Dan pada suatu ketika, ketika India diperintah oleh BJP; ramailah pula orang Kashmir di Jammu ini yang terpaksa menyokong Parti BJP – suatu ironi barangkali!
Dan apabila berlaku peristiwa Mahendra Modi di Gujerat yang mengatakan ‘mahu membunuh orang Islam’ – menyebabkan orang Islam Kashmir kembali menyokong Parti Kongres.
Dan sekarang telah sampai ke satu kesimpulan di mana mereka berjuang untuk memerdekakan Kashmir sepenuhnya tanpa menyertai mana-mana negara. Kata mereka: “No to India, no to Pakistan.”
Selain kedudukannya yang strategik, apakah hasil utama Kashmir sehingga menjadi rebutan kedua-dua negara itu?
Pelancongan adalah sumber utama kerana keindahan dan cuaca yang nyaman sehingga bergelar Switzerland of the East. Terdapat sebuah tasik yang cantik; Tasik Dal yang dapat menarik jutaan pelancong untuk ke sana. Di samping pelancongan, permaidani Kashmir adalah di antara yang terbaik di dunia.
Kerana kecantikan dan cuaca yang nyaman, Kashmir juga pernah menjadi tempat pegawai-pegawai British (sebelum 1947) melarikan diri daripada musim panas di India.
Jadi bagaimana masa depan Kashmir?
Jika merdeka pun, saya jangkakan negara ini tetap mendapat kesan besar daripada India dan Pakistan.
Pada persidangan Kashmir Solidarity di Kuala Lumpur pada tahun lepas (2008), saya mencadangkan supaya isu Kashmir ini diserahkan keputusannya kepada majlis Keselamatan atau PBB ataupun sebuah tribunal setelah segala persengketaan dan syarat-syaratnya diselesaikan terlebih dahulu.
Perkara ini telah disebut oleh banyak pakar, namun kedua-dua negara yang mencengkam Kashmir sekarang enggan beralah. Tetapi jika PBB dapat mengadakan dan pungutan suara yang benar-benar bebas dibawa berbincang di mahkamah antarabangsa supaya diputuskan kemahuan sebenar masyarakat Islam Kashmir sama ada bergabung ke dalam Pakistan, India atau pun merdeka sepenuhnya.
Apakah Kashmir mempunyai cendekiawan yang dapat dibanggakan?
Kashmir adalah pusat utama gerakan sufisme Islam dan pada masa yang sama India mempunyai sentimen besar terhadap negara itu kerana pemimpin mereka Jawaharlal Nehru adalah berasal dari Kashmir.
Mungkin India mempunyai perasaan sentimental yang tinggi terhadap Kashmir, tetapi apakah kerana sentimen dapat menghalalkan segala pembunuhan tidak berperikemanusiaan terhadap orang Islam di sana pada hari ini?








7:03 PM
banyak maklumat diperolehi tentang kashmir, india dan pakistan.Kesian masyarakat kashmir -haknya tidak dipedulikan masyarakat antarabangsa;dan termasuk umat Islam sendiri.
3:03 PM
boleh hurai banyak lagi sebab perlu maklumat tentang kashmir