Orang Melayu perlukan tajdid

December 8, 2008 3:06 PM 0 comments

Share this Article

Author:

Tags:

 

 

(Setelah lebih setengah abad merdeka, orang Melayu semakin tertinggal dalam pelbagai bidang berbanding banga-bangsa Malaysia yang lain. Apa yang jelas, orang Melayu yang majoritinya beragama Islam memerlukan tajdid atau reformasi di dalam mengamalkan Islam. Profesor Madya Dr Mohamad Kamil Abdul Majid dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, kini menjawat sebagai Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan telah ditemubual oleh Zain AG dari Siasah bagi menjelaskan kenapa tajdid harus terus dilaksanakan)

Boleh Dr jelaskan kepentingan tajdid, khusus kepada orang Melayu, yang terus dikatakan mundur dalam pelbagai bidang?

Tajdid pada makna yang mudah bermaksud pembaharuan. Pembaharuan itu bersifat umum dan menyeluruh. Ada tajdid agama, iaitu memahami kefahaman tentang agama, di mana kefahaman tentang agama juga harus melalui proses yang sepatutnya. Umpamanya, pada zaman Nabi, orang menjalani agama dalam bentuk simple sahaja. Kemudian, dengan peredaran zaman, pelbagai perkara berlaku, justeru tajdid ini semakin diperlukan. Tajdid yang dimaksudkan ialah kembali kepada memahami Islam yang asal atau terawal. Kemudian berlaku pula proses tajdid pada politik, ia berlaku pada zaman Umar Abdul Aziz.

Apabila kefahaman Islam semakin merosot, maka diperlukan penguatan semula. Ketika pengaruh jahiliah semakin kuat dan seolah-olah mengganti tempat Islam, maka pengamalan Islam itu perlu diperbaharui supaya masyarakat kembali mengamalkan Islam sebenar yang syumul.

Antara contoh pembaharuan ialah ketika pemerintahan Bani Umaiyah semakin terpesong daripada Islam; maka kedatangan Umar Abdul Aziz adalah membawa satu bentuk tajdid yang besar dari segi politik. Dia membawa semula Islam asal seperti pada zaman Khulafa al-Rasyidin atau seperti zaman Umar al-Khattab daripada segi pentadbiran, politik, ekonomi dan lainnya.

Dalam konteks kita; apabila penjajahan Barat bermula dengan Perjanjian Pangkor pada 1874, maka bermulalah penjajahan asing ke dalam masyarakat Islam di Malaysia. Sehingga undang-undang Islam bertukar kepada undang-undang sekular Barat. Ekoran daripada itu, kefahaman masyarakat juga menjadi ‘lebih sekular.’ Dan ia berlaku secara besar-besaran di dalam pentadbiran, pemikiran atau politik.

Bagaimana tajdid pada era 1970-an?

Jadi, jika demikian, semakin perlulah kita kembali kepada tajdid.J ika kita perhatikan kebangkitan Islam di negara kita pada akhir 1960-an hingga awal 1970-an, ia merupakan satu tajdid ataupun pembaharuan. Maka, timbul slogan ‘Islam yang syumul’ menggantikan kefahaman terdahulu – kefahaman yang salah sehingga ada yang menganggap Islam itu hanya dalam bentuk ritual dan sempit.

Kemudian daripada bentuk konsep-konsep tersebut, ia memerlukan kepada bentuk praktikal pula. Jadi, pada akhir 1970-an hingga awal 1980-an berlaku proses ‘Penerapan Nilai-nilai Islam’ atau program berkaitan yang dapat dianggap satu tajdid.

Di sini dapat kita lihat lahirnya Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Bank Islam dan pelbagai institusi yang berkaitan. Sungguhpun begitu, terdapat kritikan yang menganggap ianya hanya ‘satu kosmetik’ tetapi apabila kita lihat dari sudut positif, ia telah lahir dengan membawa satu kesan besar kepada masyarakat Melayu dan dalam bidang dakwah itu.

Di sebalik kejayaan tersebut, orang Melayu nampak masih terkial-kial. Apakah halangannya?

Jika semakin tinggi ‘suhu sekularisme,’ maka semakin tinggilah keperluan untuk memperbaharui tajdid itu. Jika kita guna istilah Islah atau reform, ada sesetengah orang berpendapat ia hanya berlaku kepada dunia politik.

Tetapi yang lebih penting ialah berlakunya soal reform untuk memperbaharui politik. Misal kata reform yang dibawa oleh Jamaludin al-Afghani yang membangkitkan emosi dan semangat orang Islam, manakala Muhammad Abduh pula lebih kepada pengisian, iaitu melakukan islah kepada pendidikan.

Berlakulah reformasi pendidikan di Universiti Azhar – daripada bersifat tradisional kepada ilmu-ilmu moden yang bertujuan supaya pengajian di sana dapat menyumbang kepada dunia Islam semasa.

Apakah kesan daripada tajdid atau Islah kedua-dua tokoh yang disebut Dr tadi?

Kesannya – jika dirujuk kepada Jamaluddin – ialah lahirkan semangat mahu memerdekakan negara daripada penjajahan Barat. Sebenarnya usaha Afghani itu dikatakan juga memberi kesan besar kepada dunia sebelah Timur. Sebagaimana apabila diserang Jepun – barulah kita menganggap bahawa British bukanlah sekuat mana- British boleh dilawan! Kebangkitan yang ditiupkan beliau membawa semangat untuk memerdekakan negara-negara Islam.

Apabila berlaku reform daripada Abduh, maka kita lihat sistem pengajian daripada sistem pondok yang tradisional kepada bentuk/corak madrasah. Sistem ini lebih moden daripada sistem pondok kerana ia mengajar bukan sekadar menghafal dan sebagainya tetapi memberi kesedaran semangat nasionalisme atau semangat mahukan bebas daripada cengkaman asing kepada kemerdekaan. Itu dapat dianggap sebagai tajdid di dalam pendidikan.

Kemudian pembaharuan daripada Rasyid Ridha yang menyeru kepada al-Quran dan al-Sunnah dan tidak terlalu taksub kepada mazhab.

Selepas ketiga-tiga tokoh itu, datang pula Hasan al-Banna dengan Ikhwan Musliminnya. Mereka melihat Islam itu secara menyeluruh, secara teori dan amali. Al-Banna juga mengajar orang Islam hidup di dalam jamaah.

Bagaimana gelombang ini sampai ke negara kita sedangkan Mesir itu sangat jauh? Gelombang-gelombang itu dapat dibawa oleh beberapa golongan. Diperoleh daripada pelajar yang merantau ke Mesir untuk belajar seperti Jalaluddin Tahir al-Azhari, Syed Syeikh al-Hadi, Abu Bakar Ashaari dan lain-lain

Kemudian berlaku perubahan di dalam sistem pendidikan kita. Ia pada awalnya berlaku pada sistem agama di Singapura, bermula dengan Muhammad Al-Suhaimi, yang membuka Maahad Muhammadi. Begitu juga oleh pendidik dari aliran al-Attas dan lain-lain.

Jadi hasil daripada tajdid ini, Islam difahami sebagai agama yang lebih menyeluruh; tidak lagi di dalam bentuk pasif – lahirnya kefahaman bahawa Islam itu agama yang dapat berfungsi.

Ia bukan sahaja pada soal iman tetapi telah berlaku pada bentuk tindakan. Ini dapat kita lihat kepada kelahiran aliran yang dipanggil Kaum Muda. Tetapi di dalam konteks kita, kebangkitan pada era 1970-an adalah lebih menyeluruh. Bermula daripada pusat–pusat pengajian tinggi, menular ke desa-desa. Yang jelas kita sudah dapat melihat kaum perempuan yang bertudung, kanak-kanak sudah mula diajar doa-doa di tadika-tadika tertentu misalnya.

Walaupun kita sebagai orang Islam masih banyak perkara yang tidak memuaskan, tetapi berbanding dengan era 1960-an, ia sebenarnya semakin bertambah baik. Tetapi harus diingat, bersama kebangkitan Islam, kontra kepada Islam, ‘isme-isme’ dan tekanan Barat yang memaksakan liberalisme mereka juga pesat berkembang dan mengancam. Sebagaimana kita lihat dalam gerakan memacu ekonomi orang Melayu sekarang, di dalam menggerakkan ekonomi Melayu/Islam, ia memang terdapat kemajuan. Tetapi peratus kemajuan orang lain juga bergerak dengan lancar. Dan jika kita lihat nisbah sebenar, ia mungkin masih jauh daripada yang hendak kita capai.

Begitu juga dengan tajdid yang kita perkatakan. Walaupun ia sedang berjalan lancar tetapi pada masa yang sama liberalism, gerakan hak asasi manusia, sekularisme dan pelbagai isme lagi juga bergerak lancar untuk menjadi penghalang kita.

Langkah-langkah mereka sebenarnya ‘lebih panjang’ kerana mereka mempunyai jentera yang kuat dan hebat. Jadi, jika proses tajdid hanya berhenti di peringkat yang sedia ada; ia sangat berbahaya pada masyarakat!

Pada pemerhatian saya di IPTA atau IPTS, walaupun seseorang itu belajar khusus dalam bidang pengajian bukan Islam, tetapi ada kesan tajdid ini. Kita dapati mereka mula mencari alternatif Islam; umpamanya dalam ekonomi – mereka memilih kaunter-kaunter Islam apabila berurusan di bank. Jadi bank-bank terpaksa atau sukarela menyediakan kaunter Islam!

Ya, pada kita, itu merupakan tuntutan masyarakat yang mahukannya. Ia diadakan di atas permintaan kepada orang bisnes. Apabila masyarakat Islam hendakkan kepada keislaman, dengan sendiri mereka terpaksa adakan.

Sebagaimana juga sekarang ini hub-hub halal adalah satu produk yang asalnya daripada masyarakat Islam yang mencari makanan halal. Juga telah ada busana perempuan Islam, ada hiburan alternatif yang bercorak keislaman, ada lagu-lagu nasyid, ada lagu bercorak ketuhanan. Ada wayang kulit yang telah bertukar corak. Di Kelantan dinamakan ‘Wayang Kulit Dewan Bahasa & Pustaka.’ Cerita-cerita lama seperti Sri Dewi, Seri Rama dan Hanuman sudah ditiadakan.Jadi ia adalah satu proses atau pengaruh yang berlaku daripada pengaruh tajdid.

Perlu diingat, kita tidak boleh berpuas hati; selesa dengan setakat usaha yang ada kerana musuh-musuh sentiasa mencari peluang untuk ‘mengatasi’ usaha murni kita.

Boleh Dr sebutkan di antara tokoh-tokoh tajdid yang berjasa itu? 

 

Tokoh tajdid yang di luar sana seperti Al-Afghani, Maududi, Syah Waliyullah Dehlawi. Mereka adalah tokoh-tokoh tajdid yang ada sumbangan di dalam mengembalikan Islam yang murni, asal atau disebutkan sebagai Islam yang sah lagi murni.

Kemudian ia keluar di dalam bentuk istilah yang disebut sebagai harakah Islamiah, juga ada yang menyebut Islam siyasi; di segi tamadun maka lahir juga apa yang dikatakan Islam Hadhari. Sebenarnya ia adalah ranting-ranting yang tumbuh daripada gerakan tajdid.

Pada mulanya ia diadakan di dalam bentuk ilmu dan berkembang di dalam bentuk tindakan yang mempunyai cabang-cabang yang pelbagai. Ia berlaku pada kehidupan, budaya, hiburan, di dalam pemakanan, perekonomian dan lain-lain yang berkaitan.

Bolehkah dianggap tajdid oleh Shah Waliyullah itu sesuai dengan konteks negara kita Malaysia yang berbilang kaum?

Shah Waliyullah (meninggal 1763M) boleh dianggap sebagai Kaum Muda pada masa ini. Kelebihannya ialah beliau sentiasa mencari apakah hikmah di sebalik syariat yang diturunkan Allah s.w.t itu. Beliau tidak melihat hukum syariat secara mendatar; beliau mengkaji atau mencari apakah rahsia di sebaliknya.

Beliau seorang yang terbuka untuk berdialog dengan orang bukan Islam (Hindu). Ia sebenar sangat sesuai di dalam konteks negara India pada zamannya.

Di negara kita, apabila perlembagaan menetapkan bahawa ‘agama Islam sebagai agama rasmi’, jadi orang Islam dapat hidup dengan lebih selesa dan merasakan tidak perlu lagi berdakwah kerana itu dikatakan ‘tugas pemerintah’. Kemudian segala tugas itu juga diberi bantuan yang sepadan.Jadi semangat jihad semakin hari semakin hilang.

Pada kebiasaaannya jika orang Islam ditekan, mereka mempunyai semangat jihad yang tinggi untuk menghadapi tekanan itu. Contohnya, umat Islam di selatan Thailand yang bersemangat berjihad membangun sekolah sendiri. Begitu juga di Indonesia yang tidak mendapat dukungan daripada pemerintah, mereka lebih bersemangat untuk berjihad membangun Islam.

 Kita lihat pertubuhan Muhammadiyah di Indonesia mempunyai universiti, hospital dan tadika-tadika sendiri. Organisasi ini lebih berfungsi dan bergantung kepada semangat sendiri.

Berbanding masyarakat Islam Malaysia yang bergantung harap pada kerajaan dengan bekerja sebagai pegawai kerajaan, pegawai agama, guru sekolah kerajaan, atau lain-lain. Mereka berasakan diri sentiasa ‘dilindungi’ sehinggga berasakan dakwah atau tugas tajdid ini perlu dilakukan oleh pihak yang memerintah.

Tetapi, Nabi sendiri berkata ‘Jaddidu imaanakum bi qawwi lai illahaillalah’. Sebenarnya di sini berlaku tajdid iman, dan berlaku tajdid kerohanian juga.

Jadi, pendekatan itu harus berubah atau kreatif. Contohnya, jika kita ambil Rukun Iman, tetapi kita tidak perlu menukarkan Rukun Iman itu menjadi lapan misalnya. Yang kita mahu lakukan ialah bagaimana mengajarkan Rukun Ima’ secara yang mudah dan dapat diterima menurut trend masa kini.

Walaupun pada masa yang sama terdapat orang yang selesa dengan cara lama (tradisional), namun kreativiti harus ada untuk mencari cara baru yang lebih segar, menarik dan mudah difahami.

Jadi, kesimpulannya, tajdid di dalam negara kita Malaysia ini diperlukan lahir daripada semua peringkat. Ia tidak semestinya dilakukan oleh pihak pemerintah sahaja. Ia perlukan semua golongan daripada para ulama, sokongan dan dukungan sektor korporat, para seniman yang beriman dan lain-lain yang memahami proses dan kepentingan tajdid demi kebangkitan serta kesedaran orang Melayu Islam.

 
 

 

 

 

 

 

 

 

 
 

 

Leave a Reply