Nasib umat Islam Asia Barat pasca kemenangan Obama: Palestin boleh merdeka?

December 26, 2008 1:32 AM 3 comments

Share this Article

Author:

 

Nasib umat Islam Asia Barat masih terus menjadi tanda tanya selepas kemenangan ‘bergaya’ Barrack Husein Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat.

 

Penjelasan daripada  Profesor Dr Mohammad Redzuan Othman, pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya yang pakar dalam masalah politik rantau Timur Tengah, memperincikan apakah yang bakal berlaku kepada nasib umat Islam di Mesir, Iraq dan Palestin kepada  ZAIN A. GHANI baru-baru ini.

 

Barrack Obama bakal ditabal secara rasmi pada 20 Januari 2009 sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-44, apakah dasar AS terhadap Asia Barat, terhadap rantau yang bermajoriti umat Islam itu akan berubah secara drastik kepada lebih baik?

 

Sebelum kita pergi  jauh kepada masa depan Iraq, Palestin, Mesir dan negara-negara Arab lain di Asia Barat selepas kemenangan Obama, elok dijelaskan serba sedikit latar belakang kepada penubuhan kerajaan dan pemerintah di rantau itu bagi membolehkan kita memahami senario yang bakal wujud di rantau itu dengan lebih jelas. 

 

Sebelum Perang Dunia Pertama yang berlaku pada tahun 1914 hingga 1918, rantau Timur Tengah yang terdapat pada hari ini merupakan satu entiti politik yang agak berpadu di bawah Daulah Uthmaniyyah (DU).Walaupun DU tidak sepenuhnya mewakili  perpaduan umat Islam tetapi sekurang-kurangnya kewujudannya sebagai simbol dan kekuatannya yang menjadi harapan kepada umat Islam menghadapi rempuhan Barat.

 

Jika kita lihat kira-kira 50 tahun sebelumnya Perang Dunia Pertama proses penjajahan berlaku dengan giat  dan hampir seluruh negara umat Islam dijajah. Jadi kewujudan DU walaupun dengan serba kekurangan namun sebagai benteng terakhir yang menjadi  ‘simbol’ kesatuan umat.

 

Menjelang abad ke-20, DU sudah mula memperlihatkan kelemahan, dan bagi Barat kewujudan empayar DU ini merupakan halangan besar kepada cita-cita kepenjajahannya.

 

Oleh itu, proses untuk merobohkan DU dilakukan dan ini adalah satu proses yang panjang. Tetapi yang penting menjelang awal abad ke-20  DU berada di dalam keadaan yang amat lemah. Sultan terakhir yang dianggap berwibawa ialah Sultan Abd Hamid II yang digulingkan pada tahun 1909 oleh sekumpulan penentang yang bergabung sebagai Turki Muda.

 

Apabila berlaku Perang Dunia Pertama, kerajaan Turki Uthmaniyah menyebelahi Jerman, tindakan itu sebenarnya mempercepatkan lagi proses kejatuhan DU. Ketika perang itu, memang  ketara dan menonjol sekali terdapatnya pakatan Barat untuk menghancurkan sekaligus mencorakkan negara Islam pada masa akan datang.

 

Pada waktu itu berlaku tiga peristiwa penting dan bakal mencorakkan negara-negara Asia Barat sebagaimana  yang terdapat pada hari ini.

 

Yang pertama ialah apa yang dipanggil surat menyurat antara Syarif Hussain dari Mekah dengan Sir Henry McMahon pada 1915, iaitu Pesuruhjaya Tinggi British di Mesir di mana kandungannya secara ringkas ialah British bersetuju dengan pelan pembentukan negara Arab yang berpisah dari DU.

 

Syaratnya orang Arab bangkit menentang DU. Sejak itu orang Arab mula bangkit dalam apa yang dipanggil Pemberontakan Arab menentang DU sehingga menyebabkan daulah tersebut runtuh.

Itulah di antara proses atau bermulanya negara-negara Arab yang ada pada hari ini seperti Arab Saudi, Syria, Iraq dan sebagainya. Jadi Baratlah yang sebenarnya memainkan peranan kepada pembentukan negara-negara Arab yang wujud hingga hari ini. Oleh itu bukan suatu yang menghairankan jika didapati negara-negara Arab monarki pada hari ini amat pro Barat kerana Baratlah yang mewujudkan mereka. Jangan bayangkan mereka berani atau sanggup menentang; kerana bukan sahaja kewujudan, dan malahan kesinambungannya adalah atas ihsan Barat.

 

Sebagai contoh, jika ada orang bertanya mengapa Arab Saudi itu takut sangat dengan AS? Yang jelas, kerajaan yang ada pada hari ini wujud kerana sokongan dan dukungan Barat bukannya kerana sokongan rakyat.

 

Oleh itu, jangan harap mereka akan menentang Barat, walaupun kadang-kadang jelas berlaku ketidakadilan dalam pelbagai isu.

 

Saya tertarik dengan satu temubual dengan bekas Menteri  Minyak Arab Saudi (ketika di luar negara) yang terkenal iaitu, Syeikh Ahmad Zaki Yamani; apabila ditanya tentang demokrasi di negara-negara Arab. Beliau secara sinis menyatakan bahawa jika wujud demokrasi di negara-negara Arab di mana rakyat diberi hak menentukan siapa yang mereka mahu menjadi pemerintah, beliau tidak terkejut jika semua negara Arab, terutamanya di bawah pemerintahan monarki hari ini akan tumbang kerana mereka berkuasa bukan disokong rakyat , tetapi disokong oleh AS dan Barat. 

 

Yang kedua, ketika Perang Dunia Pertama sedang berada di kemuncaknya terdapat satu perjanjian yang dipanggil Persetiaan Sykes- Picot. Sir Mark Sykes seorang pegawai British dengan kerjasama seorang diplomat Perancis Francois Georges Picot dengan persetujuan Rusia, Perancis dan Britain telah membahagi-bahagikan negara Arab kepada kawasan pengaruh mereka.

 

Walaupun ketika itu Perang Dunia Pertama masih belum berakhir, namun kawasan pengaruh kuasa Barat ini sudah ditentukan dengan Iraq diletakkan bawah pengaruh British, Lebanon di bawah Perancis dan Turki di bawah Rusia. DU yang satu ketika merupakan sebuah empayar yang besar kini menjadi begitu kecil – hanya tinggal kota Istanbul sahaja.

 

Cuma satu kebetulan yang menyelamatkan Turki apabila berlaku Revolusi Bolshevik di Rusia pada 1917.Suasana tidak stabil , ia tidak memungkinkan Rusia melebarkan pengaruhnya. Pada masa yang sama muncul Kemal Ataturk menuntut kemerdekaan bagi Turki, dan wujudlah negara Turki moden sebagaimana pada hari ini.

 

Jika tidak dengan peranan yang dimainkan Ataturk mungkin negara Turki tidak lagi wujud di dunia ini. Cuma malangnya Ataturk mewujudkan Turki bukan sebagai negara Islam, tetapi sebagai negara sekular yang menolak Islam secara total.

 

Yang ketiga apabila Deklarasi Balfour dibuat, iaitu apabila Lord Belfour , Setiausaha Luar Britain mengadakan satu persetiaan  dengan Lord Rothchild, ketua kaum Yahudi di Britain. Berikut persetujuan sulit ini Britain menjanjikan sebuah negara Yahudi di Palestin tanpa mengambil kira kewujudan dan nasib rakyat Palestin.

 

Perkembangan yang berlaku di Timur Tengah pada hari ini jelas menunjukkan bahawa ia telah dirancang oleh Barat sejak Perang Dunia Pertama.  

 

Itu sebenarnya bukan kebetulan tetapi satu ‘design’ yang melatari sejarah kewujudan kerajaan/pemerintah di Timur Tengah sekarang ini. Ia bukan sahaja melatari politik dan ekonomi tetapi segala aspek yang berkaitan dengan kewujudan negara-negara Arab tersebut.   

 

Itu adalah 100 tahun lalu, tetapi sekarang mereka merancang untuk 100 tahun akan datang. Inilah yang dipanggil ‘The New Middle East’ di bawah tajaan pentadbiran Presiden George W. Bush dan kumpulan Neo-Cons yang menguasai Rumah Putih, mereka mahukan negara Timur Tengah yang berdemokrasi tetapi mestilah pro Barat. 

 

Sebab itulah Bush mencadangkan pendemokrasian di Timur Tengah, tetapi apabila demokrasi dilaksanakan rakyatnya tidak pro Barat, tetapi sebaliknya pro Islam. Inilah menyebabkan mereka menjadi “double standard” apabila bercakap tentang demokrasi di Timur Tengah.

 

Apabila rakyat Algeria memilih FIS secara demokrasi, AS dan Barat bersekongkol dengan rejim tentera menyekat pembentukan  kerajaan yang dipilih. Begitu juga di Palestin apabila rakyat memilih Hamas, AS dan Barat bersekongkol dengan Fatah yang tewas dalam pilihan raya untuk menjatuhkannya dan memainkan peranan pemulauan serta sekatan ke atas kerajaan Hamas. 

 

Hal yang sama berlaku di Mesir apabila Ikhwan Muslimin berjaya mendapat sehingga 25% kerusi dan mampu menggugat NDP yang diketuai Hosni Mubarak. Kemaraan Ikhwan Muslimin menyebabkan proses pendemokrasian terhenti di Mesir dan AS serta Barat merestui tindakan rejim Mubarak ini yang membekukan proses demokrasi yang dimulai.  

 

Oleh itu AS dan Barat membuat perancangan untuk 100 tahun bagi Timur Tengah yang dapat dipastikan terus  pro mereka dan menjaga kepentingannya. Mereka mahu pastikan kalau berlaku demokrasi ia adalah demokrasi yang menguntungkannya bukan demokrasi yang mereka laung dan amalkan.  

 

Prof, apakah rakyat Arab mengetahui perancangan jahat AS dan Barat terhadap mereka; tambahan al-Quran turut menyatakan kejahatan Yahudi? 

 

Inilah masalah orang Arab. Di dunia Arab hari ini yang kaya terbuai dengan kekayaannya, dan orang miskin pula juga terbuai dengan kemiskinannya. Jurang ekonomi antara sesama rakyat Arab begitu jauh.Di Mesir umpamanya, yang kaya itu sangat kaya dan yang miskin itu terlalu daif sekali. Tetapi jika kita lihat di Qatar dan Bahrain, mereka memang kaya raya. Dan jika kita lihat di semenanjung Gaza, mereka tersangat miskin dan papa kedana yang tidak memiliki perkara asas untuk meneruskan kehidupan. 

 

Dan AS merestui  suasana sebegini sehingga bagi orang Arab hari ini kepentingan diri sendiri adalah keutamaan dan mengatasi segala-galanya. Umpamanya bagi orang Mesir; “Egypt first” – maksudnya ialah bagi orang Mesir hanya mengutamakan perihal orang Mesir sahaja.Sekiranya orang Palestin dibunuh dengan kejam di Gaza atau Tebing Barat, orang Mesir akan menganggap itu masalah Palestin; bukannya masalah orang Mesir atau masalah umat Islam. Begitulah juga dengan orang Arab di negara-negara yang lain, kepentingan diri sendiri mengatasi segalanya. 

 

Sebenarnya Barat dan AS amat takut dengan kebangkitan yang didorong kesedaran Islam. Pengalaman di Algeria bagaimana dalam masa yang singkat sekitar tiga tahun sahaja FIS berjaya lahir sebagai suatu parti yang kuat dan terpengaruh sehingga berjaya mengetepikan FLN yang telah lama berkuasa.

 

Begitu juga dengan apa yang berlaku di Lebanon, walaupun Hizbullah dinafikan dengan segala kemudahan, tetapi terbukti bahawa mereka mampu mencipta kemenangan. Mereka mencatatkan rekod sebagai satu-satunya kemenangan Arab di medan peperangan, iaitu apabila mereka berjaya memalukan Israel dalam peperangan dua tahun lalu. 

 

Pada pengamatan saya, orang Arab bukan tidak sedar bahawa mereka dizalimi, tetapi mereka tiada kekuatan (helpless) kerana diperintah oleh rejim yang zalim dan ganas. Jika kita lihat sekeliling dunia – rantau Timur Tengahlah yang paling tidak demokratik. Pada hari ini di kalangan negara Arab hanya Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang pernah berjaya mengamalkan demokrasi dalam ertikata sebenarnya. Tetapi malangnya demokrasi ini dikhianati oleh orang Arab dan AS serta Barat. 

 

Pada keseluruhannya tidak berlaku demokrasi di Asia Barat.Jadi siapakah yang  memerintah? 

 

Orang yang memegang tampuk pemerintahan ialah sama ada golongan yang mendapat sokongan tentera atau dari kalangan monarki.

 

Jadi dengan senario yang ada, kita tidak dapat mengharapkan sesuatu usaha ke arah demokrasi dalam ertikata sebenar di Asia Barat. Ini adalah kerana pemerintahan yang ada begitu kental dengan usaha bagi mengekalkan kuasa. 

 

Cuma sedikit harapan yang saya nampak sejak akhir-akhir ini ialah, apabila dasar langit terbuka diperkenalkan. Untuk pertama kali orang Arab sudah mendapat tahu apa yang berlaku di sekitarnya.Selama ini beanggapan merekalah yang paling hebat, paling tahu, paling kaya atau paling canggih. Mereka mengagung-agungkan tamadun ribuan tahun seperti Mesir mengagungkan piramid yang pembinaannya terbukti bagi memenuhi impian individu pemerintah. 

 

Tetapi dengan dasar langit terbuka ini, mereka mula tahu dan sedar apa sebenarnya berlaku di sekelilingnya. Dan ini tentunya akan memberi kesan kepada generasi muda.

 

Mereka mula membandingkan, kenapa orang lain mendapat kebebasan dan segala kemudahan, kenapa tidak kepada kami – ini memberi kesan besar kepada generasi muda. Pada waktu ini generasi muda di bawah umur 40 tahun merangkumi lebih 60 peratus penduduk negara Arab. 

 

Tetapi pada saya, setelah berulang alik beberapa kali di dalam masa empat tahun kebelakangan ini sebagai pensyarah jemputan di Universiti Kaherah, Mesir  didapati kesan daripada letusan sumber maklumat media ini masih minimum.Apabila berlaku perang di  Lebanon di mana Israel menyerang negara itu, seluruh dunia heboh  dengan tunjuk perasaan seperti di kota London dan juga di beberapa ibu kota di Eropah termasuklah di AS, tetapi ketika itu saya di Kaherah-tiada apa-apa tunjuk perasaan. Semua kota di negara Arab boleh dikatakan sunyi sepi dalam memperlihatkan reaksi terhadap tindakan rakus Israel ini.

 

Hanya pada minggu-minggu akhir peperangan sahaja barulah dirancang satu demonstrasi di kota Kaherah; tetapi yang  berlaku ialah anggota polis yang menghalang lebih ramai dari para demonstran. 

 

Perkembangan yang berlaku ini menunujukkan bahawa bukan orang Arab tidak peka dengan apa  yang  berlaku di kalangan saudara seagama di negeri-negeri sekitarnya, tetapi pemerintah yang despotik dan menindas tidak membenarkan sebarang bentuk pernyataan penentangan kerana dikhuatiri menjurus kepada penentangan terhadap rejim memerintah. 

 

Tetapi jika kita lihat pengaruh dari segi hiburan sangat menonjol. Kita  dapat lihat TV mereka menyiarkan ‘video clip’ nyanyian dan muzik ditayangkan sehingga 24 jam dan menjadi kegilaan anak-anak muda.  

 

Setahun lalu ketika saya berada di Mesir terdapat kempen kerajaan supaya satu rumah memiliki satu komputer. Tujuannya bagi merapatkan jurang digital, tetapi itu hanya berlaku di bandar Kaherah. Di luar bandar kadar celik komputer masih rendah, begitulah juga dengan penggunaan internet masih perlahan berbanding dengan negara maju, dan malahan jika dibandingkan dengan negara kita. 

 

Berbalik kepada dasar pendemokrasian tadi, bagaimana dengan sokongan AS terhadap dasar langit terbuka itu? 

 

Pada dasarnya AS menyokong, tetapi di sebaliknya apabila kesan yang sebaliknya berlaku di mana gerakan Islam semakin mendapat sokongan, AS mula menolak pula. 

 

Sebagai penganalisis kepada politik Timur Tengah, saya tidak nampak sebarang usaha mampu menyekat pengaliran maklumat. Kegelisahan di kalangan umat Arab sudah mula dirasai. Saya menjangkakan bahawa regim yang ada , tidak pasti sama ada mampu untuk bertahan untuk tempoh 10 tahun akan datang.

 

Pada generasi muda, mereka melihat yang kaya terlalu kaya dan mewah ,tetapi yang miskinnya amat daif.Peluang pekerjaan amat terbatas dan lebih banyak dibolot oleh elit tentera atau kerabat monarki. Di negara Arab seperti Mesir golongan Kelas Pertengahan amat kecil. Golongan kaya merupakan golongan minoriti yang menguasai kekayaan sedangkan golongan miskin yang merupakan 80 peratus penduduk hidup dalam suasana yang serba kekurangan. 

 

Saya menjangkakan Mesir adalah negara Arab yang bakal berhadapan dengan perubahan politik yang drastik pada masa hadapan. Presidennya, Presiden Hosni Mubarak  menjadi presiden pada tahun dengan Tun Mahathir menjadi PM (1981). Dalam tempoh 20 tahun Mahathir berjaya membangunkan negara dan mendapat sanjungan dunia dan kini sudah bersara daripada politik. Sebaliknya Mubarak masih berkuasa  dan mengatakan bahawa ‘agendanya masih belum selesai.” Beliau menyatakan beliau memerlukan banyak tahun lagi untuk berkuasa bagi menyelesaikan banyak agenda yang masih belum selesai, walaupun usianya sudah menjangkau 80 tahun pada Mei yang lalu. Jadi rakyat yang tertindas sudah mula mempersoalkan bilakah masanya agenda untuk kebaikan rakyat?

 

Negara-negara Arab pada hari ini masih bergelut dengan isu yang asas iaitu demokrasi. Negara lain sudah jauh ke hadapan dan demokrasi merupakan asas kepada kemajuan negara. Negara Iran adalah contoh terbaik di mana pemerintahan secara demokrasinya, walaupun diremehkan oleh Barat menjadikan negara tersebut mampu berhadapan dengan pelbagai tekanan luar. AS dan Barat amat takut dengan pengaruhnya kerana negara itu mampu menunjukkan contoh menolak hegemoni Barat, walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. 

 

Di Mesir, Mubarak sedang mengasuh anaknya Jamal Mubarak untuk menggantikannya.Sebelumnya Hafiz Assad digantikan oleh Bassar Asad yang tidak memperlihatkan wibawa sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat Syria. 

 

Negara-negara Arab juga berhadapan dengan masalah penggantian. Pembesaran keluarga di raja bermakna ramai yang merasakan layak menjadi raja. Masalah ini berlaku di kerajaan Bani Hashim di Jordan, keluarga Saud di Saudi, Al-Maktoum di Oman, al-Khalifah di Bahrain dan lain-lain yang bakal mencetuskan konflik. 

 

Tambahan pula sekarang ini harga minyak merudum berikutan spekulasi oleh kapitalis Barat, kesannya tetap ada kepada negara Arab yang selama ini bergantung kepada hasil itu. Apabila kehidupan mewah di kalangan monarki mula tergugat ia akan menjurus kepada konflik politik yang pasti akan mencetuskan ketidakstabilan.  

 

Berbalik kita kepada  isu konflik yang masih berpanjangan di Timur Tengah. Konflik di Iraq masih berlanjutan, walaupun AS menjanjikan akan berundur dalam masa tiga tahun (2011). Ini bermakna untuk tempoh tiga tahun lagi Iraq yang suatu ketika adalah pusat tamadun Islam akan terus menderita dan kini berada di tahap negara pra-moden. Di Iraq derita negara pra moden amat mencengkam dalam negara tersebut. Rakyat berhadapan dengan ketiadaan keselamatan, kekurangan makanan, kehilangan tempat tinggal dan kekurangan minyak.Amat malang sekali, sebuah negara pengeluar, tetapi minyaknya tidak dapat dinikmati rakyatnya.

 

Berbalik kepada kesan kemenangan Obama sebagai Presiden AS baru-baru ini. Bagaimana? 

 

Ada orang melihat Obama sebagai  pecinta isu kemanusiaan  ‘humanis’, Beliau dikatakan mencintai keadilan, kebenaran dan kebebasan. Dan ramai berharap Obama segera mengundurkan tentera AS dari Iraq. Tetapi persoalannya, adalah ini akan menyelesaikan masalah. Kekhuatiran saya ialah jika Obama mengundurkan tentera AS pada hari ini-Iraq akan bertambah kucar-kacir dan berkemungkinan seperti Somalia yang dibiarkan setelah diktator Ziad Barre digulingkan. 

 

Tetapi pada masa yang sama AS dan Barat tidak sanggup menjadikan Iraq sebagaimana   di Somalia sekarang. Dalam kes Somalia pada mulanya mereka seolah-olah ‘seronok’ melihat sesama Islam berbunuhan-tetapi setelah beberapa tahun  begitu; isu baru timbul. Rakyat Somalia kini terkenal sebagai lanun yang memporak-perandakan laluan perkapalan di Teluk Aden.Mereka merampas kapal dagang dan menuntut wang tebusan. 

 

AS dan Barat tidak mampu melihat krisis di Somalia berlaku di Teluk kerana ¼ daripada keluaran minyak dunia datang dari rantau tersebut. Kekuatan ekonomi dunia boleh runtuh jika pengaliran minyak dari rantau ini tersekat atau terputus angkara ketidakstabilan yang berlaku. 

 

Jadi untuk tempoh terdekat ini, AS akan terus berada di Iraq, dan jika mereka benar-benar ingin keluar , AS akan pastikan bahawa proksinya akan berperanan meneruskan dasarnya.  

 

Ekonomi AS terjejas juga kerana terpaksa melayan persoalan Iraq, bagaimana agaknya Obama menyelesaikannya? 

 

Dasar AS di Iraq tidak dapat lari daripada melindungi sekutu Arabnya dan Israel. Di pihak Israel pula – generasi ketiga negara tersebut semangat juangnya tidak seutuh generasi pertama dan kedua. Generasi ketiga ini ingin melihat Israel yang selamat dan mempunyai jiran yang bukan sebagai musuh.

 

Generasi Yahudi Israel hari ini bukan lagi generasi yang ingin membentuk  “Israel Raya”. Generasi ini cenderung kepada hiburan dan kesenangan duniawi.Semangatnya tidak seperti generasi tua.Jadi warga Israel hari ini tidak mempunyai banyak pilihan selain mewujudkan perdamaian dengan jiran Arabnya. 

 

Apakah ada kemungkinan kemerdekaan Palestin? 

 

Terdapat pandangan yang bersifat realistik di kalangan pemimpin Israel, di mana untuk terus hidup dan wujud mereka harus ‘menyerahkan kemerdekaan’ yang merangkumi Tebing Barat dan Gaza termasuk memberikan Baitulmaqdis kepada rakyat Palestin. 

 

Tetapi sebahagian yang orthodok menganggap tidak mungkin berlaku. Apa yang kita lihat syarat

untuk perdamaian ialah diserahkan Baitulmaqdis kepada Palestin – tiada perdamaian tanpa penyerahannya yang bakal dijadikan ibukota bagi negara Palestin merdeka. Inilah yang diperjuangkan Arafat hingga ke akhir hayatnya. 

 

Hari ini rakyat Israel berhadapan dengan “psikologi takut”. Mereka sentiasa hidup dalam ketakutan seolah-olah sentiasa diancam oleh orang Arab. Contohnya apabila pejuang Hamas melancarkan roket al-Qassam (berkemampuan sasaran 18 km) ke atas Qiryat Simona di Israel, ia menyebabkan ketakutan yang amat sangat sehingga kini bandar itu menjadi lengang. Penduduk bandar ini tidak dapat bertahan terpaksa duduk dalam kubu di bawah tanah setiap kali siren dibunyikan yang menandakan ada serangan roket. Sedangkan roket yang dilancarkan lebih banyak tersasar daripada mengenai sasarannya. 

 

Kewujudan pengebom berani mati Palestin pula menyebabkan orang Yahudi takut menaiki bas, mereka juga takut berbaris panjang membeli pizza atau makanan segera lain. Mereka takut untuk berkumpul kerana takut diserang pengebom berani mati dari kalangan rakyat Palestin.

 

Apa kesan besar kemenangan Obama terhadap Iran? 

 

Obama akan meneruskan dasar Bush. Dasar AS terhadap Timur Tengah bukannya dasar tulen AS, tetapi suatu dasar yang dilaksanakan atas kehendak dan kepentingan Israel.

 

Dasar AS ke atas Iran ialah suatu dasar yang bertujuan menjaga kepentingan Israel.Sebenarnya negara Barat juga menghadapi dilema apabila berhadapan dengan isu Iran kerana ketidakstabilannya akan menjejaskan negara di rantau Teluk. Justeru mereka sebenarnya cuba mengelak berkonflik secara terbuka dengan Iran. 

 

Iran sebenarnya juga melaksanakan dasar luar yang pro aktif. Negara tersebut banyak mengadakan kerjasama  dengan negara Barat, China dan Rusia. Langkah yang diambil Iran ini menyebabkan jika ada tekanan terhadap negara itu, China adalah di antara negara yang tidak menyokong (konflik rekaan AS). Ini disebabkan China merupakan antara pelabur terbesar pada waktu ini. 

 

Negara Eropah seperti Jerman melalui syarikat Siemen banyak melabur di Iran, terutamanya dalam bidang telekomunikasi. Pada mereka apa perlunya menjaga kepentingan AS kalau  ekonomi terabai.Siemen juga terlibat di dalam pembinaan landasan keretapi di Iran dan menghubungkan telekomunikasi negara itu .Jika berlaku embargo terhadap negara Islam itu, sudah tentu menjejaskan pelaburan mereka. 

 

Oleh kerana kemenangan Obama ketika ekonomi AS dan Barat yang sedang mengalami ‘pengecilan’- mereka tidak mampu kehilangan pelaburan dari Iran. Bagi pelabur Barat dan China ini kepentingan ekonomi mereka adalah lebih penting daripada menyokong agenda AS. 

 

Di samping itu Iran menyimpan wang yang banyak yang dikumpulkan ketika kenaikan harga minyak. Iran mampu bertahan untuk satu tempoh yang panjang jika berlaku sebarang  tindakan daripada pihak AS dan Barat. 

 

Berbalik kepada isu two state solution dalam penyelesaian krisis Palestin-Israel, AS cenderung menyokong idea ini. AS dan Barat sudah mula sedar bahawa tiada penyelesaian kepada konflik ini tanpa penglibatan Hamas. Walaupun dengan pelbagai tekanan kerajaan Hamas di Gaza di bawah Ismail Haniyeh terus mampu bertahan.  

 

Di kalangan rakyat Palestin pula, walaupun mereka ditekan dengan pelbagai masalah, namun secara umumnya berpuas hati dan menerima pemerintahan Hamas. Di Gaza hari ini, walaupun tiada elektrik dan makanan tetapi wujud keamanan. Hamas berjaya memberikan keamanan berbanding pada zaman pentadbiran PA terdahulu di mana  terdapat banyak gangster yang bermaharajalela. Kini keamanan terkawal dan jenayah dapat dikurangkan, kesengsaraan yang mereka alami bukan kesalahan Hamas tetapi diwujudkan oleh Barat dan AS dengan persekongkolan oleh PA. 

 

Sebenarnya rakyat Palestin rela kekurangan makan daripada dijajah dan ditekan regim Zionis Israel. Walaupun Mahmoud Abbas, iaitu presiden Palestin pernah mengatakan bahawa rakyat Palestin memerlukan makanan berbanding demokrasi, namun kenyataannya itu dianggap menghina rakyat Palestin.  

 

Rakyat Palestin di Gaza menolak pandangan Mahmoud Abbas dan menganggapnya sebagai kenyataan pemimpin yang lemah. Bagi rakyat Palestin mereka sudah lebih empat dekad menderita dan ini bukan penghalang untuk mereka hidup disebuah Negara merdeka. Ini terbukti ketika Haniyeh mengambil alih Gaza pada Jun 2007, pihak Barat mengatakan rakyat Gaza hanya dapat bertahan paling lama tiga bulan sahaja. Kini sudah setahun lebih (hampir 19 bulan) Hamas terus mampu bertahan walaupun ditekan dengan hebat dan zalim rejim Zionis Israel.

3 Comments

  • jelas tipudaya barat (kristian dan yahud) sangat hebat-tetapi mengapa orang islamterus berbalah sesama sendiri sehingga semakin hari semakinlemah

  • Begitukah tertubuhnya negara-negara Arab sekarang, padanlah mereka tidak peduli langsung dengan nasib orang-orang Palestin, terutama di GAZA tu-ya Allah apa nak jadi pada orang-orang Arab.
    Berilah petunjuk kepada mereka (orang Arab di Timur Tengah tu..)

Leave a Reply