Perginya tokoh kewartawanan dan pejuang kemerdekaan

September 4, 2008 10:56 PM 1 comment

Share this Article

Author:

KUALA LUMPUR, 4 September – Tokoh kewartawanan dan pejuang kemerdekaan,Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di sini pada 5.58 petang, hari ini (Khamis) kerana jangkitan paru-paru.

Tan Sri Abdul Samad, 84, yang lebih dikenali sebagai A Samad Ismail, dimasukkan ke hospital itu sejak 24 Ogos lepas setelah mengalami kesukaran bernafas.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di No 2, Lorong 16/7C, Petaling Jaya di sini dan akan dikebumikan selepas sembahyang Jumaat esok, menurut menantunya, Azmi Ansar.

Salah seorang anak Allahyarham, Nuraina dalam blognya “Nuraina A Samad’s 3540 Jalan Sudin” hari ini berkata dialisis kedua bapanya pada pukul 5.30 petang ini gagal, malah tekanan darahnya semakin menurun.

Tan Sri Abdul Samad telah menjalani dialisis sejak semalam apabila keadaan buah pinggangnya semakin lemah. Bagaimanapun, keadaan jantungnya baik.

Tan Sri Abdul Samad yang memulakan kariernya sebagai pemberita Utusan Melayu pada tahun 1940, begitu sinonim dengan sejarah persuratkhabaran negara serta Malaysia itu sendiri.

Pemergiannya hari ini bersempena dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-51 yang baru sahaja berlalu begitu menyentuh kerana Tan Sri Abdul Samad adalah antara anggota rombongan delegasi negara ke London pada 1956 untuk rundingan kemerdekaan.

Malah penglibatannya dalam sejarah negara tidak dapat diperkecilkan walaupun peranannya banyak di belakang tabir, begitu juga dengan kemerdekaan Indonesia dalam merapatkan semula hubungan antara Malaysia dan Indonesia semasa konfrantasi.

Allahyarham yang banyak terlibat dengan aktiviti anti penjajah pada zaman penjajahan British dan Jepun, pernah keluar masuk penjara kerana fahaman politiknya itu.

Al-Fatihah…

 

1 Comment

  • hj mohd shah abdullah

    Sedih dan pilu apabila seorang pejuang pergi meninggalkan alam maya ini menemui sang kekasih. Terlalu banyak jasa, sumbangan dan pengorbanannya, wajar diteladani generasi muda, kita jangan kehilangan idealisme…

Leave a Reply