31 Ogos – Rakyat Malaysia di luar negara turut menyambut Hari Kebangsaan ke-51 hari ini dengan penuh semangat patriotik yang diserikan dengan pelbagai acara yang meriah.
Di DUBAI, walaupun tanpa perbarisan atau kawalan kehormatan, ia tidak menghalang rakyat Malaysia di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) daripada menyambut Hari Kebangsaan ke-51 di Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi.
Mereka berdiri megah sambil menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku, yang diiringi dengan upacara menaikkan bendera di pekarangan kedutaan yang diketuai Kuasa Usaha Kedutaan, Fadli Adilah dan disertai kakitangannya.
Keadaan itu menyentuh hati sesiapa sahaja yang melihat rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum bermesra di antara satu sama lain – ada yang bergambar, menjalin persahabatan baru – sambil menyambut hari kemerdekaan, sebelum datangnya bulan Ramadan.
Turut sama menyertai sambutan itu termasuk ketua agensi kerajaan Malaysia yang berpangkalan di UAE.
Dalam ucapannya, Fadli turut menyentuh mengenai perlunya untuk mengekalkan perpaduan kaum sama ada ketika berada di dalam atau di luar negara.
Beliau juga berkata setakat ini terdapat 5,880 rakyat Malaysia yang mempunyai visa di UAE dan bilangan itu semakin meningkat setiap tahun.
“Kita hendaklah memelihara nama baik Malaysia di mana sahaja kita berada dan terus menjalin hubungan rapat di antara satu sama lain,” katanya sebleum mengetuai mereka yang hadir di majlis itu dengan laungan “Merdeka”.
Rakyat Malaysia yang hadir di majlis itu turut menjamu selera dengan hidangan yang mengingatkan mereka kepada tanah air.
Di BANGKOK, rakyat Malaysia pelbagai kaum berkumpul bagi menanti detik tengah malam di Kedutaan Malaysia di Jalan Sathorn.
Timbalan Ketua Perwakilan Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman mengetuai upacara menyanyikan lagu Negaraku dan upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang yang diadakan di Dewan Serbaguna di kedutaan.
Jumlah mereka yang hadir agak ramai walaupun suasana tidak menentu di ibu negara Thailand itu berikutan tindakan penunjuk perasaan anti-kerajaan mengepung pejabat Perdana Menteri.
Acara menanti detik tengah malam itu yang disiarkan secara langsung di Kuala Lumpur malam tadi ditayangkan di layar besar bagi memudahkan rakyat Malaysia yang tinggal di Bangkok berkongsi semangat patriotik yang ditunjukkan rakyat Malaysia di tanah air sambil mereka melihat Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengetuai sambutan itu di Dataran Merdeka.